Showing posts with label Ustaz Fadzil Noor. Show all posts
Showing posts with label Ustaz Fadzil Noor. Show all posts

Wednesday, June 27, 2012

Ustaz Fadzil Noor:10 Tahun Perginya Sebutir Permata (130337-230602)


Posted on Sunday, June 24 @ 09:53:08 MYT by paktam
Artikel
Oleh Zaini Ab Rahman
Petang 22 Jun 2002, Negara dikejutkan oleh pengumuman perletakan jawatan Dr.Mahathir Muhamed sebagaiPresiden UMNO. Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan penggulungan di Mesyuarat Agong UMNO di PWTC, Kuala Lumpur.



Walaupun DS Abdullah Ahmad Badawi membuat pengumuman Dr. Mahathir menarik balik perletakan jawatan tersebut, rakyat masih ragui akan penarikan tersebut, kecualilah penarikan itu keluar dari mulut Dr. Mahathir sendiri. Selagi tidak ada penarikan itu, rakyat beranggapan jawatan presiden UMNO itu tidak ada penyandangnya
Pada 23 Jun 2002, lebih kurang jam 11.00 pagi, saya menerima sms dari saudara Azizi Abdullah dari Kedah. Beliau memaklumkan Ustaz Fadzil Noor (UFN) telah meninggal dunia di HUKM. Kematian UFN menjadikan pada 23 Jun 2002, parti UMNO (Parti Kebangsaan Melayu - ahlinya terdiri dari orang-orang Melayu, Siam, Kadazan, Dusun, Melanau dan lain-lain dari berbagai bangsa dan agama) dan parti PAS (Parti Islam SeMalaysia-ahli-ahlinya semua beragama Islam) kehilangan presiden parti masing-masing. Satu meletakkan jawatan dan satu lagi meninggal dunia. Ketika itu saya sedang menemani anak saya Ahmad Nazif Zulfi yang memasuki peraduan syair di SRA Sg. Sekamat, Kajang. Mengetahui berita itu, terasa lunglai anggota saya. Sekejap itu juga saya memaklumkan berita tersebut kepada isteri saya yang berada di dewan SRA tersebut.
Kemudian berita sayu itu saya smskan kepada kawan-kawan saya yang berada di KL, Selangor, Kelantan, Brunei, Hong Kong dan Johor. Saya memohon mereka sedekahkan al-fatihah dan sekaligus mendoakan UFN ditempatkan bersama ahli-ahli syurga. Sms tersebut ada yang return balik kepada saya bertanyakan kepastian dan kesahihan berita dan ada yang tidak memberi respon apa-apa. Ketika acara di SRA belum selesai, saya bersama isteri dan anak-anak menuju ke HUKM. Di HUKM saya dimaklumkan jenazah UFN telah dibawa ke surau al-Mustaqimah Taman Jaya Bandar Tun Razak. Bersama anak-anak, Ahmad Naquish Zihni dan Ahmad Nazif Zulfi saya bergegas ke surau al-Mustaqimah. Di situ jenazah selesai dimandikan dan sedang diziarahi oleh orang ramai. Kemudian Sultan Kedah menziarahi sama jenazah.
Disekitar jam 1.00 tengahari, solat jenazah dimulakan dengan diimamkan oleh Us. Abd Gahani Ab. Rahman, bekas pensyarah UTM yang juga ajk PAS pusat. Kemudian solat-solat berikut diimamkan oleh anak UFN, Nasaruddin Mat Isa (SUA PAS) Mufti Wilayah Pesekutuan Datuk Hashim Yahya, Datuk Dr. Harun Din dan YB Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Saya sembahyang dua kali iaitu dengan imam pertama dan imam kedua.
Semasa solat jenazah saya terasa sangat sebak. Dan sebenarnya saya tidak pernah menangis begitu perlahan tetapi lama ketika saya berdepan dengan jenazah-jenazah sebelum ini. Pemergian UFN saya merasakan satu kehilangan yang amat besar kepada satu perjuangan. Hilangnya sebutir permata yang sukar dicari ganti. Selepas solat zohor dan selepas makan tengahari, saya dan keluarga menuju ke TUDM Subang, di sana sudah sedia menunggu para jemaah termasuk beberapa orang menteri Kerajaan Pusat.
Dalam panas terik mentari, ramainya saya dapati orang yang menghantar jenazah. Dan saya bersama saudara Azizi di kedah bertukar-tukar sms. Sehingga jam 3.39 petang, dengan diiringi oleh kawan-kawan dari parti seperjuangan, jenazah diterbangkan ke Alor Setar. Ketika itu sdr Azizi memaklumkan puluhan ribu orang yang sedang menunggu kepulangan jenazah al-Marhum.Ada orang besar yang terpaksa dibawa dengan motorsikal ke Muassasah Pokok Sena kerana tidak ada laluan yang boleh dilalui oleh motokar.
Saya kurang pasti bagaimana sambutan terhadap jenazah-jenazah lain sebelum ini, tetapi inilah kali pertama saya dimaklumkan jenazah seorang pemimpin Parti Islam disambut dengan banjiran manusia puluhan ribu orang. Bagaimana agaknya kalau manusia ini masih hidup dan pulang ke tanah airnya bersama gelaran Perdana Menteri!
PUTIK 31 MEI 2002
Ketika pulang bercuti di kampung Chepa, Kubang Kerian, Kota Baharu, Kelantan pada akhir Mei 2002 bersama anak-anak, saya bercadang untuk pulang ke KL pada 31 Mei 2002. Atas desakan Ahmad Naquish takut terbabas Jumaat kerana kebetulan 31 Mei jatuh pada hari Jumaat, saya terpaksa menangguhkan kepulangan saya ke KL pada 1 Jun 2002. Jadi pada 31 Mei saya bersama anak-anak ke PUTIK (Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan), Pengkalan Chepa.
Hari itu rupa-rupanya hari terakhir saya mendengar ucapan UFN. Sebelah pagi ketika saya menerima bermacam-macam soalan melalui sms yang saya belum pernah di tanya soalan-soalan sebegitu oleh mana-mana kawan-kawan saya, sebenarnya pada masa itu saya gunakan indera saya kepada dua subjek, telinga mendengar ucapan UFN di PUTIK dan pada masa yang sama, tangan, dengan hati-hati menjawab soalan-soalan melalui sms. Agaknya jika saya pulang ke KL pada 31 Mei itu, tidak daptlah saya ke PUTIK dan tidak dapatlah saya mendengar ucapan terakhir UFN.
Sebenarnya kisah perjuangan UFN dalam harakah Islamiah saya mulai ketahui pada tahun 1973 / 74. Saya mulai mendengar ucapan beliau dalam forum di kuliah F, Fakulti Ekonomi UM. Setelah beliau memberi pendapat pada malam itu, esoknya keluar di muka depan surat khabar sebagai berita utama Kenapa Melenting. Berita itu mengulas komentar UFN terhadap beberapa isu semasa yang amat tidak disukai oleh pihak-pihak tertentu jika diketengahkan.
Selepas itu keluar dalam akhbar ulasan seorang pensyarah UM atas komentar UFN dan beliau mengatakan teguran UFN tidak spesifik dan terlalu umum. Apa yang saya lihat secara tersirat, pensyarah itu sebenarnya faham apa yang dikehendaki oleh UFN. Namun atas sifatnya sebagai seorang pensyarah, beliau perlu mengemukakan pendapat alternatif kepada pendapat UFN. Tetapi ulasan pensyarah itu tidak menjadi polemik yang berpanjangan.
Pandangan Idris Jauzi 1977
Pada tahun 1977, saya pernah bertanya Datuk Idris Jusi (Jauzi) - Orang Rengit Johor- di Johor Baharu tentang kualiti UFN dan masa depan kepimpinannya dalam harakah Islamiah kerana saya sebenarnya masih samar-samar atas perkara ini. Beliau meyakinkan saya UFN mempunyai masa depan yang amat cerah dalam harakah Islamiah. Beliau perlu didampingi anak-anak muda kerana beliau merupakan aset kepada perjuangan Islam terutama dalam negara kita.
Ketika itu saya melihat Idris Jusi telah memberi ulasan yang berterus terang atas sifat UFN sebagai pensyarah Universiti dan saya sebenarnya masih belum membaca dan melihat apa-apa keistimewaan yang terdapat pada UFN. Namun begitu, beberapa orang kawan yang pernah belajar di Yayasan Anda memaklumkan UFNlah orang pertama yang menceritakan siapakah sebenarnya Mustafa Kamal Attaturk. Bagaimana beliau telah menghancurkan Kerajaan Othmaniah Turki dan menukar Turki dari sebuah negara khilafah kepada negara secular. Pandangan dan pengaruh UFN ini menukar kedudukan Mustafa Kamal yang sebelum ini diagongkan oleh orang kita dan dianggap sebagai bapa pembangunan Turki kepada pengkhianat Turki. Pandangan UFN ini disokong dan diperkukuhkan oleh rakan-rakanya seperti Sidik Fadil, Razali Nawawi dan lain-lain.
Pendapat Prof. Khoo Kay Kim
Secara personal saya tidak mengenali UFN. Tetapi atas sifatnya sebagai orang yang boleh membuka mata masyarakat dan merubah senario pandangan umum terhadap satu-satu isu menjadikan saya amat tertarik dengannya. Pada 26 Feb 1981 semasa bertugas di Jabatan Perpaduan Negara, saya berkesempatan mengurusetiakan Kursus Pegawai-Pegawai Rukun Tetangga seMalaysia di Port Dickson Negeri Sembilan. Antara tokoh yang saya cari sendiri untuk mengisi slot-slot kursus ialah Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan (UIA), Prof. Khoo Kay Kim (KKK) (UM) dan Dr.Ting Chew Peh (UKM).
Dalam perbincangan ketika minum setelah Prof. KKK selesai memberi ceramah bertajuk Nilai dan Etika Masyarakat Malaysia., Prof. KKK secara jelas dan berani mengemukakan analisis politiknya dalam kepimpinan politik Melayu. Dari analisis beliau, Datuk Asri ialah orang UMNO. Perbezaan beliau dengan kepimpinan UMNO ialah pemimpin UMNO menggunakan wadah kebangsaan sementara Datuk Asri menggunakan wadah Islam. Sekiranya Pas menang dan memerintah Malaysia, Datuk Asri tidak akan berbuat apa-apa yang boleh mencorakkan politik Malaysia kepada satu bentuk baru. Tetapi mengikut Prof. KKK, sekiranya Pas diketuai oleh orang seperti UFN, senario politik Malaysia akan berubah dan UFN akan memberi input Islam kepada politik Malaysia kerana beliau ialah seorang pemimpin Islam.
Ketika itu, saya tidak boleh menyetujui pandangan Prof. KKK dan saya cuba hujjahkan bagaimana Datuk Asri yang pernah menjadi murid kepada Us. Abu Bakar al-Bakir dan bekas orang kuat Hizbul Muslimin (parti politik Islam yang diharamkan oleh British pada tahun 1948, tetapi UMNO pimpinan Dato’ Onn tidak diharamkan) tidak boleh diklasifikasikan sebagai pemimpin Islam. Prof KKK memaklumkan, begitulah analisisnya dari ucapan dan tulisan Datuk Asri, Datuk Asri ialah tokoh nasionalis Melayu, dan tidak ada bezanya beliau dengan tokoh UMNO. Saya tidak ada hujjah substantif untuk menolak analisis KKK. Cuma apa yang saya ingat, Asri tidak pernah disentuh oleh ISA dan tidak pernah disusahkan oleh apa undang-undang pun. Tidak seperti Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Dr. Abbas Alias dan beberapa pemimpin Pas yang lain.
Mata saya menjadi terbuka bila Asri meletakkan jawatannya sebagai YDP PAS setelah ucapan dasarnya ditolak oleh Muktamar Agong PAS dan beliau menyertai UMNO pada tahun 1983. Dan sejak itu saya meletakkan KKK sebagai tokoh sejarah yang tidak ada tolak bandingnya.
Perpisahan Dengan Anwar
UFN rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bukan kerana panjangnya zaman bujang DSAI tetapi kerana banyaknya persamaan dalam perjuangan mereka. Ketika majlis syura ABIM menolak hasrat DSAI yang ingin menyertai UMNO, UFN membiarkan pemergian DSAI walau pun hatinya terhiris. Keakraban UFN-DSAI dapat dilihat betapa UFN antara orang yang mengiringi perkahwinan DSAI-Azizah, membelah mulut dan mencukur rambut anak sulung DSAI-Azizah, Nurul ‘Izzah.
Permergian DSAI menjadikan perjuangan Islam berpecah, kepimpinan belia dan tokoh-tokoh Islam berkecamuk dan kesatuan fikrah islamiah hampir berkecai. Pada bacaan umum perjuangan DSAI mirip kepada PAS bukan kepada UMNO. Ramai orang yang mencaci DSAI, tetapi ada orang yang mencaci itu kemudiannya mengikut jejak DSAI. Namun UFN tenang sahaja.
Antara ulasan UFN terhadap DSAI ialah ada orang baru nak pandai agama, tiba-tiba pergi ke tempat lain. Bilalah ia akan pandai agama. Dengan merenung masa depan DSAI dalam UMNO, berulang-ulang kali UFN menasihati DSAI: “Pimpinan UMNO rakus dan akan mengkhianati saudara sebaik sahaja kedudukan saudara kukuh”. Kerana itu bila pertama kali DSAI mencuba nasib dalam pertandingan Naib Presiden UMNO, soalan pertama yang ditanya oleh UFN ialah Anwar menang atau tidak. Dan sebagai seorang pejuang saya tidak tahu apa strategi perjuangan dua tokoh ini dalam wadah yang berbeza. Apa yang saya nampak UFN tetap bersama DSAI ketika senang dan ketika susah. Amat berbeza dengan tokoh-tokoh UMNO, pokok akan didekati ketika ranumnya dan pokok itu akan dijauhi ketika keringnya!
Masjid Ar-Rahman, Univesiti Malaya
Program UFN dengan Masjid ar-Rahman (MAR), Universiti Malaya yang terletak di Jalan Pantai Baru, Lembah Pantai, Kuala Lumpur sudah lama berjalan. Sekali dalam sebulan, iaitu ketika beliau turun ke KL, beliau akan ke MAR untuk memberi satu ceramah umum yang biasanya relevan dengan peristiwa semasa. Uniknya UFN ketika memberi ceramah agama di Masjid, beliau tidak mengambil kesempatan memasukkan elemen politik walaupun secara sinikal. Ini menjadikan beliau di hormati oleh orang yang cintakan kebenaran.
Empat (4) tahun ketika menjadi Pengerusi MAR, program bulanan UFN di masjid diteruskan. Ketika menjadi Pengerusi MAR saya berpeluang mendekati beliau. Saya perhatikan ketika makan, baik semasa di Masjid atau semasa di luar, beliau sangat suka kepada kambing, ayam dan lain-lain jenis lauk yang pada pendapat saya beliau perlu berhati-hati. Sekiranya beliau meneruskan tabiat makannya tanpa menghitung kandungan yang terdapat pada jenis makanan yang beliau sukai, beliau akan berdepan dengan masalah kesihatannya.
Satu hal yang istimewa pada beliau, saya dapati beliau langsung tidak cuba mengindoktrinate orang lain dengan fahaman politiknya. Kalau orang tidak mengenalinya, orang tidak tahu akan kedudukannya dalam politik Malaysia. Beliau hanya akan menceritakan satu-satu isu bila ditanya secara spesifik. Kalau tidak beliau akan mendiamkan diri dan tidak akan memberi komentar apa-apa atas satu-satu isu. Istimewanya UFN, beliau akan mengenali kebanyakan nama-nama AJK masjid. Saya pernah bertanyakan beliau mengenai bekas pengerusi masjid yang sudah meninggal dunia dan beliau boleh menceritakan dengan teratur siapa orang itu dan bagaimana beliau boleh meninggal.
Sebelum ditukar ke Kedah pada tahun 1997, saya telah melepaskan jawatan Pengerusi MAR. Sebelum melepaskan jawatan, saya mencadangkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Pesekutuan (JAWI) orang yang layak mengganti saya hanya Prof. Madya Dr. Fadzin Othman, pensyarah Fakulti Ekonomi UM, kawan baik YAB Abd Ghani Othman (MB Johor sekarang) sebagai pengerusi masjid. Cadangan saya diterima dan Dr. Fadzin mengambil alih tempat saya. Semasa di Kedah saya tidak moniter lagi bagaimana UFN dengan MAR.
Perjuangan UFN
Berbintang Pisces, Ustaz Fadzil Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Bandar Alor Setar, Kedah (Tun Razak dilahirkan pada 11 Mac dan ramai pemimpin dunia berbintang pisces-mempunyai asas perjuangan yang kuat dan memerlukan kasih sayang dan ingin selalu didekati oleh orang yang bernama isteri). 1963, beliau berkahwin dengan Siti Khadijah, iaitu sepupunya. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan 8 orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’ Izzah, Faiz, Salwa, Fauwaz dan Anas. Anak-anak ini diharap menjadi anak-anak yang soleh yang akan mendoakan pemergian bapanya!
Penglibatan dalam politik
Pada tahun 1963 Ustaz Fadzil Noor menyambung pelajaran di Universiti Azhar dengan biasiswa Kerajaan Negeri Kedah setelah menamatkan pengajian menengahnya di negeri Kedah. Pada tahun 1967, UFN pulang dari Universiti Azhar, mengajar di Maktab Mahmud dan terus aktif dalam PAS. Namun penglibatannya dalam PAS mula dikesan seawal tahun 1959, iaitu ketika menuntut di Maktab Mahmud Alor Setar lagi.
1973 beliau mula mengajar di UTM, Jalan Semarak, KL dan terus mengajar sehingga tahun 1977 bila beliau bertanding dalam pilihanraya di DUN Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Penglibatanya dalam PAS secara aktif ialah pada tahun 1977, iaitu ketika PAS dipecat dari Barisan Nasional. Ketika itu PAS seperti rumah ranap yang menunggu masa untuk runtuh akibat pengistiharan darurat di Kelantan oleh kerajaan Barisan Nasional ekoran konspirasi politik UMNO setelah gagal mengalahkan PAS secara demokratik atau secara anak jantan. Dalam pilihanraya Umum itu, di Kelantan, PAS menang dua kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen iaitu Parlimen Pengkalan Chepa dengan Nik Abdullah Arshad sebagai MP tunggal PAS.
Kemasukan secara aktif UFN dalam PAS ialah untuk membaiki rumah yang runtuh itu. Rumah itu perlu diberi tiang baru, atap baru dan lantai baru. Dan kemasukan secara aktif ini ialah kerana keyakinan atas wadah perjuangan. Bukan kerana menunggu gugur buah yang ranum. Dalam PAS beliau tidak disambut dengan permaidani. Tetapi beliau berusaha membaiki dan membetulkan rumah yang kelihatan akan runtuh itu dengan semangat cintakan agama, kasihkan bangsa Melayu dan pastikan demokrasi di Malaysia terpelihara.
Dalam era kepimpinan ulamak, setelah Asri melarikan diri, kedudukan UFN dalam PAS semakin nyata. Tahun 1981 sehingga 1983 UFN menjadi Naib Presiden PAS. Di bawah kepimpinan Yusuf Rawa dari 1983 hingga 1989 beliau menjadi Timbalan Presiden PAS dan mulai 1989 sehingga 23 Jun 2002 beliau menjadi Presiden PAS.
Sebagai ketua penbangkang dalam parlimen, UFN telah memainkan peranan amat berkesan. Bagi menegakkan demokrasi beliau bersungguh-sungguh menghalang deposit pilihan raya berlebihan dikenakan ke atas calon yang mahu bertanding. Beliau bertegas mahu ISA dihapuskan dan beliau mengetuai protes mogok lapar kepada SUHAKAM. Selain dari itu terdapat banyak lagi jasa beliau kepada rakyat Malaysia dalam menegakkan sistem demokrasi di Malaysia.
Kenapa Saya Kagumi Ustaz Fadzil Noor (UFN)
Terdapat banyak sebab kenapa saya kagumi Ustaz Fadzil Noor, antaranya ialah:
(1) Yakin kepada wadah perjuangan
UMNO (1946) dan PAS (1951) adalah dua buah parti politik Melayu yang kekal dan servive hingga sekarang. Pertempuran UMNO-PAS bermula dari tahun 1955 hingga 1974. Atas kebijaksanaan Tun Razak, Asri telah dapat dijinakkan dan akhirnya BN telah dapat dibentuk. BN telah dapat berfungsi dengan berkesan di peringkat persekutuan dan negeri. Di peringkat Pusat beberapa pemimpin PAS telah dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan setiausaha Parlimen.
Demikian juga di peringkat negeri, beberapa orang pemimpin telah di lantik sebagai ahli MMK (EXCO). Demikian juga di Kelantan, jawatan Timbalan Menteri Besar telah diserahkan kepada wakil UMNO. Hanya di negeri Johor, gagasan BN tidak berjalan. MB Johor pada masa itu telah menolak dengan keras kehadiran PAS sebagai rakan kongsi dalam kerajaan Negeri Johor. Wakil PAS tidak dibenarkan bertanding atas tiket BN di negeri Johor. Melihat kepada dua wadah yang ada, antara idealisme dan pragmatisme perjuangan, UFN dengan rela hati telah memilih PAS sebagai wadah perjuangan walaupun beliau tahu wadah itu memerlukan pengorbanan, panjang perjalanan dan laluannya pun amat sukar. Atas kejelasan wadah yang di pilih setelah melalui proses perbandingan, dengan penuh keyakinan UFN telah memilih PAS sebagai wadah tempat beliau menyerahkan jasad, fikiran dan hati nuraninya bagi mencapai keredaan Allah.
(2) Istiqamah dalam perjuangan
Liku-liku perjuangan yang dilaluinya tidak sesenang seperti diharapkan oleh sesetengah pemimpin. Beliau memulakan karier dalam politik dengan kekalahan dalam pertandingan. Walaupun ramai tokoh-tokoh PAS datang dari Kedah yang mengalahkan tokoh-tokoh UMNO dalam pilihanraya pada tahun 1969 seperti Dr. Mahathir Muhamed, Tun Zahir Ismail (speaker parlimen sekarang), Datuk Senu Abd Rahman dan lain-lain, namun kemenangan itu tidak kekal lama. Kekalahan PAS ternyata bila PAS dikeluarkan dari BN pada tahun 1977.
Suasana kalah dan kalah dalam pertandingan tidak menyebabkan UFN tawar hati. Beliau tetap istiqamah dalam PAS. Beliau terpaksa berdepan dengan kumpulan Asri yang keluar dari PAS dan membentuk Hizbul Muslimin dan beliau antara pengasas era kepimpinan ulamak dalam PAS. Ketika mengemukakan gagasan tersebut, beliau bersama rakan-rakannya banyak menumpukan perhatian kepada kerja-kerja tarbiah yang dilakukan oleh ahli-ahli PAS. Bagi sesetengah ahli PAS, proses penterbihan dikalangan ahli merupakan satu kejutan kerana di zaman Asri, kerja tarbiah tidak menjadi keutamaan parti.
(3) Tidak banyak wajah
Ustaz Fadzil Noor tetap berwajah satu. Dengan sesiapa pun beliau berdepan, beliau membawa wajah UFN. Di zaman beliau, kepimpinan ABIM dipelopori oleh dua kumpulan tokoh iaitu pendidikan Arab (UFN) dan Inggeris (DSAI). Di peringkat Pusat, tokoh berpendidikan Arab seperti Sidik Fadil, Mohd Nor Monuty, Ramli Ibrahim, Abd Ghani Shamsuddin, Abd Ghani Abd Rahman dan beberapa orang lagi. Sementara yang berpendidikan Inggeris Kamaruddin Jaafar, Idris Jusi, Zakaria Hashim, Anuar Hashim dan beberapa orang lagi dapat bergerak dalam satu pasukan. Bila beliau cergas bergerak dalam PAS, beliau kekal dengan idealogi yang dipegangnya ketika dalam ABIM. Sementara rakan-rakannya yang bersama DSAI telah mulai memilih pendekatan dan wajah lain sebagai langkah penyesuaian denga rumah baru.
(4) Tidak Akomodatif dan Tidak Apologetik
Ustaz Fadzil Noor seorang individu yang mesra Insan, tanpa melihat kepada martabat insan itu. Beliau tidak menumpang sesiapa dan beliau tidak mahu menjadi tempat tumpangan individu lain. Beliau boleh menyanggah pendapat tokoh terkenal tanpa mengira siapa individu terssebut. Di peringkat awal namanya mengambil ruang dalam akhbar-akhbar tempatan pada peringkat awal dan pertengahan tahun 70-an, beliau banyak menyanggah pendapat popular dengan mengenepikan dirinya sebagai pensyarah Universiti. Mengenali VC universiti tempat beliau mengajar sehingga kini masih bersifat akomodatif kepada pihak tertentu, beliau tidak ikut berbuat demikian walaupun diketahui langkah yang diambilnya tidak memberi keselesaan kepada diri dan keluarganya.
Beliau juga tidak bersifat Apologetik tidak menentu hanya kerana ingin mengambil hati pihak-pihak tertentu samaada kawan atau lawan. Walaupun beliau tidak popular dengan memegang sifat tersebut, tetapi beliau yakin peganganya itu menyebabkan beliau tidak boleh dipandang remeh oleh orang lain.
(5) Boleh Berbeza Pendapat dan Berfikiran Terbuka
Sesuatu organisai yang disertai oleh ahli-ahli yang datang dari latar belakang pendidikan yang berbeza, terdapat banyak perbezaan pendapat. Lebih-lebih lagi dalam konteks Barisan Alternatif yang disertai oleh PAS, Keadilan, DAP dan Parti Rakyat. DAP walaupun disertai oleh orang Melayu, ia tetap dikenali sebagai sebuah parti China. Ia dicanai sebagai tidak inginkan bauan berbau Islam termasuk negara Islam gagasan PAS, sedangkan tujuan utama PAS ialah mahu menegakkan Negara Islam, walau dalam bentuk apa sekalipun. DAP akan memperjuangkan penubuhan SR(J)K China dimana wujudnya komuniti China. Bagaimana PAS boleh servive ketika bersahabat dengan parti seperti DAP.
Dalam kepimpinan PAS, beliau kelihatan lebih toleran berbanding dengan sesetengah pemimpin-pemimpin lain. Beliau berpendapat, kita tidak boleh memaksa pendapat kita keatas orang lain tetapi melalui beberapa kali perjumpaan dan pertemuan, beliau mengharapkan orang lain akan berubah pendapat lama dan dapat menerima pendapat baru setelah menilai keikhlasan kita.
Ketika membuat lawatan ke kawasannya kerana melihat keperluan projek pembangunan bersama pegawai kerajaan di negeri Kedah, beliau mengetahui kecenderongan pegawai-pegawai berkenaan. Namun atas sifatnya sebagi wakil rakyat beliau tetap mengatakan pegawai kerajaan ialah orangnya sekalipun beliau tahu orang itu menentangnya di belakang. Bila beliau mengambil keputusan menghadiri ceramah perdana bersama PM dalam isu Palestin, beliau banyak menerima kritikan dari dalam parti
. Namun atas sifatnya yang beranggapan semua pihak boleh mengeluar pendapat berbeza, beliau biarkan serangan tersebut menikam dirinya. Dan terbukti serangan itu akhirnya hilang begitu sahaja.
(6) Wajah serius yang lawak
Beliau antara pemimpin PAS yang sedikit ketawa, kezahiran ketawanya hanya disekitar 30% sahaja. Yang lain beliau simpan di dalam. Tetapi berbanding dengan Haji Hadi Awang, beliau kelihatan peramah. Namun begitu dalam keseriousan mukanya, beliau dapat memberi ucapan-ucapan lawak yang memukul terutama bila beliau mengkritik sahabat-sahabat lama yang memilih wadah lain. Dengan lawaknya itu, beliau lebih berani didekati oleh orang awam berbanding timbalannya.
(7) Berbaik sangka dengan sahabat
Satu sifat yang jarang ada pada orang lain ialah UFN amat berbaik sangka dengan sahabat walaupun sahabat itu memilih wadah lain. Beliau tidak mengindahkan apa pendapat orang lain mengenai seseorang asalkan beliau yakin dengan pegangan beliau. Kepada DSAI dan Datuk Kamaruddin Jaafar (MP Tumpat, Kelantan) pandangan beliau tidak berubah. Beliau berbaik dengan keluarga DSAI sehingga ke akhir hayat dan Kamaruddin Jaafar (KJ), tetap diberi peluang bertanding di Tumpat walaupun KJ menjadi ketua UMNO bahagian sebelum itu. Tetapi dengan Nakhie Haji Ahmad, nampaknya beliau perhati dengan penuh sinikal atas perubahan arah perjuangannya.
(8) Pemimpin Islam Malaysia
Secara De Jure, bagi mewakili Malaysia, dunia sekular menamakan orang tertentu sebagai pemimpin Islam Malaysia. Tetapi de Facto, secara syarie, dunia Islam melihat UFN adalah pemimpin umat Islam Malaysia. Nama beliau diletakkan setanding nama-nama besar seperti Mustafa Mashor (Mesir), Qadzi Hussain (Pakistan), Hassan Turabi (Sudan), Hamzah Has (Indonesia), Najamuddin Irbakan (Turki), dan Hashim Selamat (Filipina). Dengan namanya diletak setanding pemimpin-pemimpin Islam lain itu, UFN jelas kelihatan mewakili Umat Islam Malaysia dalam urusan Islam. Kerana itu beliau terus di jemput mewakili Malaysia oleh pertubuhan-pertubuhan Islam antarabangsa yang mewakili kumpulan-kumpulan Islam dari seluruh dunia.
(9) Ada anchor sendiri
Sejak beliau terjun secara aktif dalam politik UFN tidak bergantung kepada orang lain. Dalam PAS, beliau bukan penumpang. Walaupun beliau terjun ke dalam PAS semasa kapal PAS hampir karam, beliau tidak bertenggek kepada pemimpin lain, tidak kepada Asri dan tidak kepada Yusuf Rawa. Dengan kerektor sendiri beliau servive dalam parti dan dalam politik Malaysia.
Dari segi ilmu, beliau lah antara orang yang membawa gagasan kepimpinan Ulamak dalam PAS. Dengan gagasan ini, orang yang ingin melihat PAS sebagai wadah perjuangan Islam melihat umat Islam di Malaysia tidak ada wadah lain untuk memperjuangkan Islam, kecuali PAS. Bila beliau memegang jawatan sebagai presiden PAS, ramai tokoh profesional memasuki PAS, termasuk yang bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Anak Bukit dan DR Pendang baru-baru ini.
Dengan anchor yang ada, beliau nampaknya lebih ikhlas dalam perjuangan, berbanding dengan beberapa orang pemimpin lain. Keikhlasan merupakan tonggak untuk membolehkan seseorang mendapat pahala dalam perjuangannya.
(10) Tidak ada kepentingan diri
Orang-orang politik selalu dikatakan terlalu selfish. Bila ada kepentingan ia akan mencari pegawai kerajaan atau sesiapa sahaja untuk menjadi vehicalnya sampai ke lubang cacing. Bila tidak ada kepentingan atau bila maksud sudah tercapai atau bila kepentingan sudah terlaksana, bila berjumpa atau tersentuh bahu pun, mereka buat-buat tak kenal. Ramai pegawai kerajaan mempunyai pengalaman khusus dalam hal ini, terutama ketika mereka bertugas di Suruhanjaya Pilihanraya atau di Pejabat SDO atau di JPJ atau JKR, Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara atau mana-mana agensi kerajaan yang secara langsung terlibat dengan kepentingan umum. Dari pengamatan saya dan dari perbualan saya dengan kawan-kawan yang bermacam-macam warna, perangai ini tidak ada pada UFN.
Perangai seperti ini mungkin ada pada orang-orang politik lain, sama ada yang berada dalam kerajaan atau yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan. Sebenarnya sudah menjadi metos dikalangan pegawai kerajaan, kalau ingin bersahabat dengan orang politik, persahabatan di peringkat mana pun, mereka perlu beringat. Perangai lembut, cakap berlapik dan tradisi ingin berkhidmat yang sudah sebati dengan pegawai kerajaan mesti diketepikan. Bila ingin berkawan dengan orang politik, mereka mesti bertukar perangai dan sanggup memilih wajah baru. Mereka mesti sanggup memakan orang dan jangan sekali-kali biarkan diri dimakan orang. Mereka perlu mengamalkan sikap 3 K iaitu Keras Kering Kasar (Jiwa Keras, Hati Kering dan Perangai Kasar). Mereka sanggup membuat apa sahaja tanpa ada kasihan belas, asalkan tujuannya tercapai.
PENUTUP
Orang-orang yang berhati kering melihat pemergian UFN sebagai satu rahmat kepada kestabilan politik Malaysia. Tetapi sebenarnya pemergian UFN bukan sahaja satu tragedi kepada PAS malah kepada dunia Islam seluruhnya. Kepulangan beliau ibarat perginya sebutir permata dan lenyapnya satu sinar yang menyuluhi alam. Seluruh perjuangannya, dari mudanya, dewasanya dan hari-hari tuanya diharap dapat diterima sebagai satu jihad, ibadat dan amal salih yang akan di saksikan balasannya di akhirat. Amin Ya Rabbal ‘Aalamin!

Tuesday, June 19, 2012

Almarhum Ustaz Fadzil, dari gudang ilmu ke kancah siasah

Oleh RIDUAN MOHAMMAD NOOR 

Malaysia semenjak zaman disentuh angin sejahtera Islam sejak ratusan tahun dahulu, tidak pernah gagal untuk menampilkan ulama’ dan pemikir Islam sehingga ada yang bermukim di Mekah untuk menyampaikan ilmu di Masjidil Haram.
Ulama’ yang dilahirkan di Tanah Melayu ini bukan sahaja mampu mengajar kitab di masjid namun menjulang senjata untuk menentang penjajah kuffar.


 Antara ulama’ ini ialah Tuan Guru Haji Hassan Bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ustaz Abu Bakar al Bakir dan ratusan ulama’ lain. 

Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. 

Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor. Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini “Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. 

Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah. Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan u***** ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. 

Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanpa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih. Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi. 

Latar belakang keluarga Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Takdir ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. 

Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini telah memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam. Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga menjadikan beliau pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah. Pendidikan Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal.

Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel. Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962. 

Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa dari kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur bakti di tanahair. 

Perkahwinan Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Setelah berkahwin, isterinya menemani almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna ’Izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. 

Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf. Bakat Kepimpinan Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). 

Perkhidmatan Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978. Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan. Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS. 

PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia. Aktiviti Kemasyarakatan Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah. 

Beliau juga pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. 

Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami. Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. 

Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang rujukan dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO. Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. 

Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an. Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. 

Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin. Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi masyarakat. Penglibatan dalam Politik Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. 

Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985). 

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983. PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia. Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989. 

Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. 

Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu. Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995. 

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414. Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. 

Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen). Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. 

Kemenangan ini cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS. 

Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan , akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, al marhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya. 

Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh al marhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah. 

Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata merah berair kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am yang sarat dengan makna mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu. 

Oleh: Riduan Mohamad Nor (Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat)