Showing posts with label HUDUD. Show all posts
Showing posts with label HUDUD. Show all posts

Wednesday, September 5, 2012

Hudud oh hudud!



  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 4:16PM Ogos 30 2012
ULASAN Isu hudud dalam negara kita sering kali dipolitikkan atas pelbagai kepentingan. Umno dalam rekodnya tidak bersetuju cadangan hudud yang PAS bawa.

Ketidaksetujuan itu boleh ditafsirkan atas pelbagai alasan; ada yang munasabah dan ada yang tidak munasabah. Hari ini nampaknya Umno macam mula berubah.

PAS sejak dahulu menyebut tentang perlaksanaan hudud sehingga kelihatan pada mata umum PAS dan hudud bagaikan isi dan kulit. Seolah-olah matlamat utama kenegaraan PAS ialah menegakkan hudud.

Ini agak menarik, di kala kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia tidak lagi memperkatakan tentang undang-undang jenayah hudud, PAS masih.

Gerakan-gerakan Islam yang mendapat kerajaan di Mesir, HAMAS di Palestin, di Libya dan Tunisia meninggalkan tajuk hudud buat masa ini, tetapi PAS terus dengan slogannya.
Pertikai Hukum
Saya meyakini keikhlasan YAB TG Nik Abd Aziz Nik Mat. Saya banyak kali bersembang dengan beliau secara peribadi, ternyata hasrat Islam beliau begitu mendalam. Islam itu cuba dilahirkan dalam amalan peribadinya sehingga kepada usaha-usaha politiknya.

NONENamun, tidak semestinya hal yang sama ada dalam diri setiap pembicara atas nama hudud. Sebahagian kadang-kala mengelirukan pihak lain terutama non-Muslim dalam negara kita.

Saya mencadangkan pembaca yang membaca tulisan ini turut membaca artikel saya "Hudud dan Beberapa Gambaran Salah".

Kita tidak boleh mempertikaikan hukum Allah, tetapi kita boleh mempertikaikan cara perlaksanaan dan pentafsiran hukum berkenaan oleh manusia. Ini seperti kita tidak boleh mempertikaikan syariat haji, tetapi kita boleh mempertikaikan amalan haji individu tertentu jika ia tidak bertepatan.

Kita tidak boleh mempertikaikan sistem muamalat al-Quran dan Sunnah, tetapi kita boleh mempertikaikan bank, pajak gadai, syarikat, koperasi dan lain-lain yang menggunakan nama Islam dalam operasi mereka jika kita dapati ia tidak menepati semangat Islam yang sebenar.

Demikian kita tidak boleh mempertikaikan syariat hudud, tetapi kita boleh mempertikaikan perlaksanaan oleh pihak tertentu apabila kita dapati ia tidak memenuhi semangat keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasul-Nya.

Namun, tujuannya hendaklah untuk memelihara nama Islam agar tidak disalahgunakan atau disalahfahami.
Sukar

Sesuatu yang wajar diakui bahawa bukannya mudah untuk melaksanakan hudud di zaman kini, terutama di negara kita yang mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dibanding hari-hari awal hudud dilaksanakan.

Dalam masyarakat seperti kita, melaksanakan hudud tanpa penelitian bagaikan memasang pintu istana untuk sebuah rumah buruk. Ia bukan menambahkan kecantikan, sebaliknya mungkin merobohkan rumah yang buruk itu dan merosakkan pintu yang cantik dan berharga itu.

Tokoh ilmuwan Muslim yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya Punishment in Islamic Law menyatakan bahawa dari penelitian beliau bahawa belum sempat dua kurun selepas kewafatan Nabi SAW hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia Muslim.

NONESejak zaman Abbasiyah lagi penekanan perlaksanaan hudud sudah tiada. Ini disebabkan kerangka masyarakat seperti mana waktu hudud dilaksana pada awal sudah lagi.
Dalam The Oxford Encyclopedia of the Islamic World, John L Esposito menyebut bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang di beberapa negara tetapi tidak dilaksanakan, ini seperti di Libya dan Pakistan.

Sementara di Sudan dan Utara Nigeria hanya dilaksanakan beberap tahun selepas diperkenalkan, kemudian dihentikan. Pada zaman kini hanya Arab Saudi menjadi contoh dalam perlaksanaan hudud.

Ada pendapat menyebut bahawa penulisan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan hudud, ini seakan menunjukkan semacam ia terhenti. Sementara itu tokoh seperti Prof Tariq Ramadan dalam artikelnya "An International Call for Moratorium on Corporal Punishment" pula menyeru kepada moratorium (penangguhan) hudud disebabkan keadaan dunia yang berubah.

Demikian juga tokoh fikah yang terkenal as-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam Fatawa Mustafa al-Zarq meminta agar hukuman rejam tidak dilaksanakan di zaman kini kerana itu akan menjadi fitnah kepada Islam.
Tiga golongan
Maka, mereka yang enggan menerima perlaksanaan hudud itu ada tiga golongan; pertama, mereka yang membenci hudud itu sendiri dan menganggapnya zalim dan buruk. Maka golongan ini rosak akidahnya.

Kedua, mereka yang tidak menolak hudud tetapi menolak tafsiran perincian hudud yang dibuat oleh pihak tertentu. Ini kerana nas-nas hudud dalam al-Quran dan hadis umum, perinciannya adalah ijtihad ataupun tafsiran para pengkaji.

Sebagai contoh, Prof Dr Hashim Kamali seorang sarjana Muslim yang terkenal telah menulis mengkritik enakmen hudud Kelantan dan Terengganu. Sesiapa yang berminat boleh membaca tulisan beliau ‘Hukuman Dalam Undang-Undang Islam: Suatu Penelitian Terhadap Hukum Hudud Kelantan dan Terengganu".

Golongan ini tidak boleh dianggap mengkritik Islam sebaliknya mengkritik tafsiran pihak tertentu tentang hudud. Golongan ketiga, mereka tidak menolak hudud tetapi menyatakan keadaan hari ini ataupun masyarakat yang sedang ada tidak kondusif untuk dilaksanakan hudud.

Dalam erti kata lain, persekitaran yang membolehkan hudud itu berfungsi dengan adil tidak wujud. Maka hudud mestilah ditangguhkan sehingga suasana yang sesuai itu muncul. Ini seperti kita menyatakan haji itu wajib tetapi oleh kerana kewangan tidak cukup, ataupun perjalanan tidak aman, maka hendaklah ditangguhkan.

Jika hudud dilaksanakan juga ia tidak akan mencapai tujuan yang Allah kehendaki. Golongan ketiga tidak menolak hudud tetapi menyatakan bahawa dari segi maqasidnya ia tidak wajar dilaksanakan pada waktu ini sebelum suasana yang kondusif muncul.
Tujuan kenegaraan
Hakikatnya tujuan kenegaraan dalam Islam bukanlah untuk hudud. Tujuan kenegaraan lebih luas dari itu. Pemerintah menegak social justice ataupun keadilan masyarakat dalam segala aspek. Hudud hanyalah mekanisme dalam mengatasi jenayah tertentu. 

Bahkan perkataan ‘hudud Allah' dalam al-Quran tidaklah merujuk kepada undang-undang jenayah sebaliknya dalam Surah al-Baqarah ayat 187 merujuk kepada hukum-hakam puasa, Surah al-Baqarah ayat 229-230 merujuk kepada hukum-hakam talak, Surah an-Nisa ayat 13 tentang harta pusaka, Surah al-Mujadilah ayat 4 tentang hukum zihar, Surah at-Talaq ayat 1 tentang edah talak.

Ertinya perkataan hudud dalam al-Quran secara peraturan Allah bukan hanya tertumpu kepada hukum jenayah sahaja.
Menjadikan politik tertumpu kepada hudud bukan satu kebijaksanaan. Tidak dari segi maqasid agama, tidak juga dari segi kepentingan politik. Tujuan politik jauh lebih luas dari hanya membincang cara memotong tangan pencuri.

Sebelum pencuri dipotong tangan, politik sepatutnya membincang bagaimana memastikan tiada alasan untuk sesiapa pun mencuri disebabkan keadilan dan kebajikan negara. Hendak dipastikan semua warga sama di hadapan undang-undang.

Tidak boleh ada pihak yang boleh bermaharajalela yang jika mereka didakwa, yang membawa kes pula akan dikenakan di bawah akta hasutan.

Jangan sampai rakyat yang mencuri di pasar raya dipotong tangan, tapi pembesar yang mencuri hutan balak negara dibiarkan.
Akhirnya, saya ingin memetik apa yang al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar'iyyah:

"Berkata al-Shafi'i: Tiada siasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak. Kata Ibn ‘Aqil: Siasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya.

"Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu 'Tiada siasah melainkan apa yang menepati syarak' iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah.

"Apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan agama-Nya. Allah SWT lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk hanya membataskan jalan-jalan keadilan dan tanda-tanda serta alamat-alamatnya dengan sesuatu kemudian menafikan apa yang lebih jelas daripada itu, lebih kuat dalilnya, lebih nyata tandanya, lalu dia tidak menerima dan menilai kewujudannya dan menegakkan tuntutannya.

"Bahkan Allah SWT telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hamba-Nya dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya.

Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa siasah yang adil itu menyanggahi apa yang ungkapkan oleh syarak, sebaliknya ia menepatinya. Bahkan siasah yang adil itu satu juzuk dari syarak.

"Kita menamakannya siasah mengikut istilah mereka padahal sebenarnya ia adalah keadilan Allah dan rasul-Nya yang zahir menerusi tanda-tanda dan bukti-bukti tersebut."

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkang pendirian rasmi Malaysiakini.

Thursday, June 28, 2012

Guan Eng dihujani soalan hudud dalam wacana DAP


  • Abdul Rahim Sabri
  • 2:19PM Jun 28 2012
 
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng malam tadi 'dihujani' pelbagai persoalan berkaitan pendirian dan sikap parti itu terhadap isu hudud yang menjadi perjuangan parti rakannya PAS dalam Pakatan Rakyat.

Dalam program wacananya untuk mendekati Melayu di Shah Alam malam tadi, sesi soal jawab menjadi panas apabila peserta Melayu yang rata-rata muda bangkit bertanyakan isu itu kepadanya.

Lim mengulangi pendirian bahawa DAP "tidak bersetuju" dengan hudud kerana mereka "berpegang kepada perlembagaan dan tidak ada peruntukan untuk hudud" dalamnya.

Bagaimanapun tegasnya, perkara itu tidak menghalang DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR khususnya dalam perkara yang dipersetujui seperti menentang kemungkaran dan membanteras rasuah.

"Kita berbincang untuk berpegang kepada yang sedia ada. Kita mesti mengikut amalan dan konvensyen yang ditetapkan.

"PAS ada pendirian, DAP ada pendirian. Tetapi ia tidak menghalang kerjasama dalam isu yang lebih besar," katanya dalam wacana bertajuk "Benarkah DAP mengancam Islam" anjuran akhbar web berbahasa Melayu DAP Roketkini.

'Tak mungkin pujuk non-Muslim terima hudud'
Lim turut ditanya seorang anak muda bagaimana parti itu menerapkan kefahaman kepada bukan Islam mengenai hudud selepas ia didakwa ditakut-takutkan pemimpin BN.

"Tidak mungkin (DAP) memujuk orang bukan Islam untuk menerima hudud. Hakikatnya bukan DAP sahaja tidak terima hudud, tetapi kebanyakan orang bukan Islam, di Sabah dan Sarawak lebih ramai tidak bersetuju.

"Itulah hakikat yang kita kena terima. Pemimpin PAS perlu menerima hakikat, hudud tidak diterima oleh golongan bukan Islam. Tetapi mereka memberi keyakinan bahawa mereka tidak akan paksa. (Saya rasa) itu yang penting," katanya.

Sehubungan itu, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang mengajak semua pihak supaya tidak terperangkap dengan Umno yang didakwanya mahu menonjolkan isu hudud untuk memecahbelahkan Pakatan.

"Kita berdasarkan kerjasama atau prinsip musyawarah. Kalau kita bersetuju, mari kita cari kata putus. (Perkara) yang tidak boleh bersetuju, kita terima pandangan yang berbeza," katanya.

Sementara itu, Lim menegaskan salah faham rakyat khususnya orang Melayu-Islam terhadap parti itu disebabkan "persepsi palsu" yang didakwanya dibentuk oleh BN.

Lum juga menafikan dakwaan DAP anti-Islam, memandangkan parti yang ditubuhkan pada 1966 itu menerima perkara yang termaktub dalam perlembagaan termasuk Islam sebagai agama persekutuan.

"Ia (anti-Islam) tidak mungkin berlaku... Apa bukti DAP anti Islam? Sejak DAP jadi kerajaan di Pulau Pinang, halang maulud (nabi) ka? Fitnah yang berulang-ulang mungkin akan percaya.

Pensyarah: Aktivis Islam selesa dengan DAP dari Umno


Menurut ahli parlimen Bagan itu, DAP dan PAS sebenarnya mempunyai banyak persamaan dari sudut "mahu rakyat hidup dengan bermaruah, keadilan dan kebebasan".

Bahkan, beliau tidak mahu perbezaan antara kedua-dua parti memecahkan Pakatan Rakyat di samping saling hormat-menghormati dan menyifatkan perbezaan pandangan merupakan satu lumrah.

Sementara itu, pensyarah Univerisiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik berkata, berdasarkan tinjauannya, ramai aktivis Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) "lebih selesa" dengan DAP berbanding Umno.

Beliau membangkitkan beberapa isu sebelum ini berkaitan Islam antaranya menukar cuti hari Jumaat kepada Ahad di beberapa negeri, meroboh surau dan isu memecat mufti.

"Adakah DAP Pulau Pinang yang buat? Siapa yang anti-Islam?" soal Dr Maszlee yang diiringi jawapan "Umno" dari kira-kira 150 hadirin.

"Ini persepsi.... Persepsi selalu bersalahan dengan fakta. (Jadi) lihat fakta," katanya.

Di samping itu, Dr Maslee juga berkata beliau pelik, mengapa MCA tidak dikatakan sebagai anti-Islam sedangkan pemimpinnya didakwa menghina hudud, haji dan wanita bersalaman dengan lelaki.

Monday, October 3, 2011

Hudud: MCA jangan buat tuduhan liar

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5759-hudud-mca-jangan-buat-tuduhan-liar
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Resolusi persidangan MCA yang menyatakan hukum hudud menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu menunjukkan tahap kelemahan yang sangat ketara khususnya dari sudut maklumat dan pengetahuan asas tentang Islam dalam Umno Barisan Nasional.

Menurut Bernama, MCA telah meluluskan satu resolusi menolak pelaksanaan hukum hudud bukan sahaja atas sebab ia bercanggah dengan rukun asas Perlembagaan Persekutuan, malah dituduh mereka, hukum hudud ini menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu.

“Kejahilan ini mencerminkan kepada rakyat betapa MCA yang menjadi komponen penting dalam BN selepas Umno, gagal menjaga perasaan umat Islam, sehingga meluluskan satu resolusi yang memalukan tentang Islam.

"Tidak timbul soal Islam menyekat kebebasan agama lain, atau menyekat amalan dan penghayatan agama lain,” terang Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan pagi ini.

Tuan Ibrahim juga menerangkan sekali lagi bahawa isu hudud bukanlah isu politik, ia adalah satu isu tuntutan agama untuk umat Islam. Beliau juga berharap tiada kengkangan dan campur tangan untuk mengutuk dan menghalang umat Islam dalam menghayati keperluan wajib agama mereka.

“Sehubungan itu, di atas sifat saling hormat menghormati dan toleransi beragama, golongan bukan Islam boleh tidak menyokong hudud, akan tetapi janganlah seperti MCA yang menuduh liar bahawa hukum hudud ini menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu,” nasihat beliau.

Tuan Ibrahim juga berhujah bahawa “Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (1993) dan Terengganu (2003) yang telah diluluskan dalam kedua-dua Dewan Undangan Negeri harus diterima” kerana “ia telah melalui proses sistem demokrasi yang diperakui oleh perlembagaan negara.”

“Kedua- dua enakmen ini hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja, Manakala golongan bukan Islam dikecualikan dari perundangan syarak kerana mereka bukan Islam,” terang beliau lagi.

PAS, katanya melihat suasana saling hormat-menghormati, memahami dan tidak mencampuri urusan agama lain perlu dikekalkan demi keharmonian negara.

Tambah beliau, rakyat Malaysia mesti memahami bahawa di sisi umat Islam melaksanakan perundangan Islam adalah sebahagian dari ajaran Islam yang mesti dilaksanakan, sebagaimana kewajipan sembahyang, puasa dan lain-lainnya.

“Perundangan Islam bersifat kawalan dan pencegahan agar masyarakat selamat dari anasir yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat dan negara, di samping menjamin keselamatan nyawa, harta benda, maruah manusia, akal dan agama.

"Ia juga merupakan tujuan utama syariah Allah diturunkan. Kerana itu, melaksanakan peraturan Islam adalah tuntutan maqasid syariah, bukan sebalik sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian golongan yang kurang arif tentang Islam,” terang Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tambahnya, PAS juga menyeru dengan baik agar golongan yang tidak mengerti tentang perundangan Islam dan bukan ahlinya agar tidak membuat komentar yang bertentangan dengan realiti perundangan Islam itu.

“Jangan kelirukan lagi benda yang suci yang diturunkan Allah ini. Lihatlah MCA, umat Islam boleh menilai sendiri kesan pemerintahan Umno terhadap nama baik Islam,” kata beliau lagi.

PAS, katanya juga mengharapkan pakar perundangan dan mereka yang berautoriti dari sudut syarak tampil memberikan pandangan mereka, seperti para mufti, alim ulamak dan lainnya agar membantu masyarakat memahami sistem perundangan Islam ini.

Kepada yang tidak menyokong perundangan Islam, kata Tuan Ibrahim boleh terus tidak menyokong, namun ingin ditegaskan bahawa adalah amat tidak adil sekiranya golongan ini menyeru umat Islam melupakan hasrat ini selama-lamanya.

“Dalam konteks demokrasi negara, tugas melaksanakan syariat Allah kini bergantung pada keinginan – bak kata, nak seribu daya, tidak nak seribu alasan.

"Antara PAS dan Umno, umat Islam kini boleh melihat dengan jelas siapa yang seribu daya, dan siapa yang mempunyai seribu alasan dalam melaksanakan dan menerangkan syariat Allah secara dakwah kepada semua lapisan masyarakat,” kata beliau.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5736--wacana-abim-tegaskan-hudud-sesuai-dilaksanakan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Wacana Isu Semasa Hudud: Sesuaikah Dilaksanakan di Malaysia anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) semalam merumuskan bahawa undang-undang jenayah syariah tersebut sesuai dan wajar dilaksanakan di Malaysia.

Setiausaha Agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim (gambar) menekankan usaha ke arah merealisasikan undang-undang hudud boleh dilaksanakan melalui kehendak politik yang kuat dengan mengambil kita penafsiran dan pindaan semula terhadap sistem perundangan yang sedia ada sebelum ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan sejurus wacana tersebut yang membariskan tiga ahli panel terkemuka iaitu Prof Dr Aziz Bari (pakar perlembagaan), Dr. Abdul Halim El-Muhamadiy (Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia), serta Musa Awang (Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia).

Ketua Biro Syariah dan Kewangan Islam Abim, Dr Zulkifli Hassan pula bertindak sebagai moderator.

Wacana ini diadakan sebagai respon terhadap polemik pelaksanaan hukuman Hudud yang diketengahkan di media-media arus perdana.
Sepanjang tempoh semenjak polemik ini tercetus minggu lalu, beberapa pihak telah mengkritik cadangan perlaksanaan undang-undang Hudud yang diketengahkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat.

Selain bertentangan dengan perlembagaan Malaysia yang dikatakan bersifat sekular, Hudud juga di dakwa akan mengakibatkan diskriminasi


Perspektif syariah dan sejarah


Dr Abd Halim El-Muhammady menjelaskan secara umumnya, perlaksanaan hudud merupakan satu tuntutan syariat dan aqidah bagi umat Islam. “Perintah perlaksanaan hudud adalah bersifat qati’e atau mutlak iaitu kewajipan yang mesti dilaksanakan.

"Oleh itu proses dan usaha ke arah melaksanakan undang-undang hudud perlu diberikan perhatian serius,” jelas beliau sambil menambah walaupun tidak disepakati secara ijma’, perlaksanaan syariah Islam merupakan salah satu komponen atau ciri sebuah negara Islam.

Dari segi perspektif sejarah pula menurut Dr Ab Halim lagi, undang-undang hudud sebenarnya telah dilaksanakan sejak zaman Melaka.

Beliau merujuk kepada manuskrip undang-undang Pahang yang juga digunapakai di Perak dan Johor di sekitar abad ke-17 yang kini disimpan di London, ia telah membuktikan bahawa undang-undang hudud merupakan undang-undang yang telah dikuatkuasakan ratusan tahun dahulu.

Hudud dalam konteks perlembagaan


Prof Dr Abd Aziz Bari (gambar) mengatakan perlembagaan meletakkan Islam di tempat yang istimewa.

“Perlembagaan Malaysia tidak bersifat sekular. Perkara 3 yang menyatakan Islam adalah agama persekutuan perlu juga dibaca dengan Perkara 11, 12 dan beberapa peruntukan yang lain jelas menunjukkan kedudukan istimewa Islam di dalam perlembagaan. Pandangan mengatakan perlembagaan Malaysia adalah sekular adalah tersasar dari pentafsiran sebenar perlembagaan,” jelas pakar perlembagaan di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Abd Aziz menegaskan bahawa perlaksanaan hudud juga perlu melihat dari aspek kehendak masyarakat atau rakyat.

Dalam kes di Kelantan beliau berpandangan, sekiranya rakyat negeri tersebut telah bersedia dan bersetuju untuk perlaksanaan hudud, hasrat ini perlu disambut dan ditunaikan.

“Dalam soal perlembagaan, kita harus menyedari bahawa ia bukan sesuatu yang mutlak dan tidak boleh diubah. Ia boleh dipinda serta dimansuhkan. Namun begitu dalam masa yang sama, pindaan serta pemansuhan (perlembagaan) ini juga tidak perlu dilakukan kerana perlembagaan itu sendiri tertakluk kepada pelbagai tafsiran yang boleh menghasilkan perspektif-perspektif yang berbeza,” menurut beliau yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau juga mencadangkan agar satu referendum atau pungutan suara dilakukan untuk meninjau hasrat dan kehendak rakyat mengenai perlaksanaan hudud.

Sekiranya referendum itu positif, kerajaan Pusat seharusnya membantu kerajaan negeri ke arah perlaksanaannya dengan bersungguh-sungguh, tegas beliau lagi.

"Undang-undang jenayah Islam boleh dilaksanakan di dalam kerangka perlembagaan dan lunas perundangan yang ada sekarang. Persoalannya ialah mahu atau tidak? ” jelas Prof Dr Aziz Bari yang juga merupakan penulis Islam Dalam Perlembagaan Malaysia.

Aplikasi undang-undang

Pengamal undang-undang syariah, Musa Awang undang-undang tidak seharusnya dijadikan halangan dalam merealisasikan hukuman Hudud.

“Walaupun diakui terdapat beberapa halangan dari sudut undang-undang umpamanya Akta Bidangkuasa Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1988) yang menghadkan bidang kuasa mahkamah syariah kepada hanya boleh mengenakan hukuman sebanyak 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan, halangan seumpaman ini sebenarnya tidak boleh dijadikan alasan yang tidak membolehkan ianya dipinda atau dimansuhkan.

"Bahkan, pindaan undang-undang tersebut boleh dilaksanakan oleh eksekutif tanpa perlu melalui proses mendapatkan mandat 2/3 majoriti yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan,” jelas Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Beliau menambah, "Hatta perlembagaan pun pernah dipinda, undang-undang seumpama ini boleh sahaja dipinda atau dimansuhkan dengan adanya Political Will.”

Oleh itu menurut Musa Awang lagi, “Persediaan dari sudut yang lain, umpamanya kesediaan badan kehakiman, pengamal undang-undang, infrastruktur, badan penguatkuasa, badan pendakwa dan lain-lain juga perlu diambil perhatian sewajarnya dalam melaksanakan hukum hudud."

Dalam pada itu, Mohamad Raimi mengumumkan beberapa rumusan awal yang dicapai hasil daripada wacana ini yang meliputi:

1) Cadangan enubuhan Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Perlaksanaan Hudud secara serius di Malaysia

(2) Menggerakkan 'Road Show’ atau Program Penerangan Undang-undang Hudud yang Berterusan.

(3) Mencadangkan satu referendum atau pungutan suara diadakan untuk memahami persepsi dan kehendak rakyat terhadap perlaksanaan hudud.

“Wacana hudud yang dianjurkan kali ini merupakan salah satu dari usaha Abim ke arah mendidik masyarakat untuk membincangkan sebarang isu yang timbul secara ilmiah berdasarkan hujah.

"Isu hudud yang dibicarakan dari sudut perspektif yang perbagai sama ada perlembagaan, amalan undang-undang, sejarah, syariah dan demokrasi. Wacana kali ini juga telah mengetengahkan beberapa isu yang sangat signifikan untuk diambil perhatian oleh semua pihak.

"Pihak Abim akan memperhalusi cadangan dan saranan yang dirumuskan dalam wacana hari ini dalam masa terdekat dan mengenmukakannya kepada pihak berwajib.

"Justeru, adalah menjadi harapan kami agar segala cadangan dan saranan yang disyorkan dalam wacana ini disahut oleh pihak yang berwajib dan setiap usaha ke arah perlaksanaan hudud ini perlu dilaksanakan secara berhemah.

"Yang penting, langkah ke arahnya harus bermula, dan ia harus bermula sekarang,” tegas Mohamad Raimi lagi.

Thursday, September 29, 2011

Hak PAS laksana Enakmen Syariah tak dinafikan

http://www.malaysiakini.com/news/177258

Semalam, hampir empat jam Pakatan Rakyat membincangkan hasrat PAS mahu melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di negeri Kelantan berjalan dalam keadaan penuh harmoni dan semangat toleransi yang seimbang.

hudud, pakatan meetingSungguhpun mewakili anutan ideologi dan agama yang berbeza, namun disiplin muafakat dan keterbukaan sikap diserlahkan dalam setiap hujjah dan perbahasan bagi memastikan Pakatan Rakyat bukan sahaja berupaya merungkai masaalah yang sedang dihadapi tetapi juga terus mendada, mendepani segala cabaran dan halangan yang mahu menggagalkan Pakatan membuka ibupejabat pentadbiran kerajaannya di Putrajaya.

PAS menyatakan hasratnya yang murni dengan penuh tertib dan jelas membawa maksud mahu melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di Kelantan bersulamkan hujah yang bernas pula dari saff kepimpinannya yang diketuai oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara rakan – rakan parti kompenan Pakatan yang terdiri dari DAP dan PKR mengemukakan pandangan balas mereka, mengimbangi kepentingan semua pula melatari scenario politik semasa.

NONEAkhirnya, kata sepakat dicapai dengan semua parti kompenan Pakatan mempertegaskan untuk saling kukuh mengukuh dalam perkara yang dipersetujui bersama seperti objektif, agenda, dasar dan prinsip yang terkandung di dalam Buku Jingga.

Sementara dalam perkara yang berbeza seperti teras ideologi dan prinsip agama yang dianut meletakkan semua parti kompenan Pakatan untuk saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Dihormati sewaktu mati

Kenyataan ini adalah suatu yang telah didirikan di atas semangat muafakat yang luar biasa pula menepati ajaran Islam yang suci. Bagaimana Rasulullah saw pernah bangun berdiri tatkala dibawa lalu di hadapannya jenazah bukan Islam, lantas Baginda SAW ditegur ekoran tindakan baginda berdiri menghormati jenazah tersebut. Baginda menjawab, bukankah ia juga manusia, dihormati sewaktu hidupnya dan dihormati juga sewaktu matinya.

hududMenghormati tidak bermakna bersetuju. Sebagaimana Islam tidak pernah dan tidak boleh bersetuju dengan agama yang mensyirikkan Allah SWT. Namun Islam mengajar kita menghormati hak mereka untuk menunaikan ajaran agama yang mereka anut malah mereka tidak boleh sekali – kali dipaksa menerima Islam.

Justeru, Islam hanya sah dianut dengan yakin, sedar dan insaf. Demikianlah sebaliknya, mereka juga wajar menghormati hak orang Islam untuk mengamal atau melaksanakan tuntutan ajaran Islam meskipun mereka tidak bersetuju dengan ajaran Islam tersebut kerana menghormati tidak bermakna bersetuju.

Menghormati bermakna tidak menghalang. Sebagaimana Islam tidak boleh menghalang bukan Islam melaksanakan hak dan ajaran agama mereka justeru Islam dituntut menghormati mereka, demikianlah sebaliknya mereka juga tidak menghalang hak orang Islam untuk mengamal dan melaksanakan tuntutan ajaran Islam seperti undang-undang syariah Islam.

NONEInilah semangat dan ruh hormat – menghormati dalam perkara yang berbeza antara Islam dan bukan Islam.

Sangat jauh bezanya jika kita melihat bagaimana Umno dan BN melayan hasrat PAS untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di negeri Kelantan. Sejak awal dulu, pemimpin Umno biarpun mengaku muslim sangat konsisten untuk menolak perlaksanaan syariat Islam ini.

Bertindak biadap

Sudahlah mereka menolak syariat itu, mereka juga bertindak lebih nekad dan biadap apabila turut menghalang PAS yang mahu melaksanakannya. Umno gagal menjadi budak baik, apabila mereka tidak mampu melaksanakannya, dia halang dan marah pula orang lain yang mahu melaksanakannya.

Umno bukan sahaja gagal menjadi budak baik tetapi kelihatan sangat naïf dan gugup apabila tergesa-gesa presidennya mengeluarkan komitmen enggan melaksanakan hukum Hudud yang menjadi sebahagian dari syariat Allah SWT sebaik sahaja disergah MCA yang mengancam mahu keluar dari BN jika Umno melaksana hudud.

azlanPadahal MCA hanya acah – acah sahaja untuk meninggalkan BN kerana mereka terlebih awal tahu “perut pedal” Umno sangat “istiqamah” menentang dan enggan melaksanakan hudud.

PAS telah membuat pengisytiharan sejak 1993 (sebelum wujudnya Pakatan Rakyat) untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 apabila enakmen itu telah diluluskan di DUN Kelantan yang dikuasai oleh PAS pada waktu itu. Kemudiannya diperkukuhkan pula pengisytiharan itu pada tahun 2003 apabila Enakmen Jenayah Syariah tersebut dilulus dan digazetkan pula oleh DUN Terengganu apabila PAS menguasai negeri itu secara demokrasi.

Pengisytiharan dan hasrat tersebut tidak pernah dinasakhkan (dihapuskan) malah Kelantan terus membina semangat dan mendidik rakyatnya dengan menganjurkan siri wacana, diskusi, forum bagi menjelaskan hukum jenayah syariah (hudud) secara terperinci.

azlanTerbaru, Mursyidul Am PAS Datuk Abdul Aziz Nik Mat selaku menteri besar sekali lagi mempertegaskan hasrat untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 setelah sekian lama tertangguh kerana berhadapan dengan pelbagai kekangan.

Saya melihat penegasan itu bukan retorik atau gimik menghadapi pilihan raya justeru itulah yang diulang saban tahun, sama ada tahun pilihan raya atau tidak. Sebaliknya penegasan itu datang dari iman dan taqwa beliau selaku seorang Islam, pula berilmu dan memiliki kuasa memerintah kerajaan negeri.

Penulis adalah ketua pemuda PAS. Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.