Showing posts with label Kampung BARU. Show all posts
Showing posts with label Kampung BARU. Show all posts

Monday, September 3, 2012

Kg Baru: 'Sampai bila-bila ia akan kekal di rumah kami'

https://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/12875-kg-baru-sampai-bila-bila-ia-akan-kekal-di-rumah-kami
Hazayani Zakaria,
03 Sep 2012


(Kain rentang ini dipasang sejak sekian lama. Apabila lusuh, mereka akan gantikan dengan yang baru)

KUALA LUMPUR: Jika sesiapa pergi ke Kampung Baru, Kuala Lumpur, sudah tentu akan terlihat kain-kain rentang yang digantung di rumah-rumah penduduknya.

Bukan satu atau dua buah rumah berbuat demikian, tetapi banyak rumah yang mempunyai kain-kain rentang ini.

Bahkan, yang lebih menariknya bukan rumah-rumah kecil atau setinggan tetapi di rumah-rumah yang kelihatan moden dan besar di perkampungan Melayu tengah bandar ini.

Mereka terus berbuat demikain meskipun Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 sudah diluluskan di Dewan Negara pada Disember tahun lalu.

Yang pasti mereka tetap konsisten membantah akta tersebut.

Kain rentang ini digantung di hadapan rumah masing-masing yang dilakukan sejak cadangan pindaan akta tersebut mula diutarakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

(Bukan satu buah rumah yang memasangnya tetapi banyak buah rumah)

Sejak dari itu, penduduk yang membantah akta yang disifatkan membelakangkan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru mula menggantung kain rentang bagi menzahirkan bantahan mereka.

Jika melalui Jalan Raja Uda, Kampung Baru, dapat dilihat kain rentang bantahan masih lagi tergantung di di rumah-rumah mereka.

Malah, kain rentang yang sudah koyak dan luntur warna tulisannya ditukar dengan kain rentang yang baru. Untuk menurunkannya, tidak sama sekali.

Seorang pewaris tanah Kampung Baru, Yusuf Sukarman, 48, berkata, kain rentang di kediamannya tidak akan sesekali diturunkan selagi akta tersebut tidak ditarik balik.

Beliau yang merupakan antara orang paling awal menggantung kain rentang di hadapan rumah nekad meneruskan tindakan tersebut sehingga kerajaan melupakan hasrat untuk merampas tanah mereka untuk pembangunan.

Katanya, dengan berbuat demikian, orang yang lalu lalang dapat membaca apa yang dibantah mereka.

"Sampai bila-bila kain rentang itu akan kekal di rumah kami. Kalau Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya umum akan datang dan hapuskan akta yang ada sekarang, semua dah selesai, barulah kita turunkan kain rentang itu. Selagi tak selesai, selagi itulah kami tak akan turunkan," kata beliau ketika ditemui Harakahdaily baru-baru ini.

Ditanya sama ada tindakan tersebut ditegur pihak yang pro akta Kampung Baru atau tidak, Yusuf berkata, memang ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kain rentang yang mengutuk akta tersebut.

"Memang ada penduduk yang pro kerajaan tegur saya dan kata, 'cantik kain rentang' tapi saya balas balik, 'memanglah cantik dan saya boleh buat lagi cantik dan besar daripada ini'.

"Bila saya cakap macam itu, mereka diamlah dan tak berani tegur lagi sebab mereka tahu saya memang penduduk jati Kampung Baru.

"Tapi kalau mereka tengok orang yang naikkan kain rentang itu jenis yang tak bercampur dengan masyarakat tapi tiba-tiba bantah akta Kampung Baru, mereka lagi beranilah suruh turunkan," katanya yang merupakan ahli jawatankuasa Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB), badan yang giat menghalang usaha kerajaan mengambil tanah penduduk.

Yusuf juga berkata, rata-rata penduduk kampung Baru tidak bersetuju dengan akta tersebut termasuk orang Umno sendiri.

"Saya banyak juga berjumpa dengan penyokong Umno dan mereka pun tak setuju cara kerajaan nak ambil tanah Kampung baru cuma mereka tak berani nak tunjuk bantahan, masih takut-takut," katanya.

Sambil menafikan beliau menolak pembangunan, Yusuf berkata, tidak ada orang yang tidak mahukan pembangunan namun pembangunan yang akan dilakukan tidak harus mengenepikan nasib kaum Melayu.

"Kami bukan tak mahukan pembangunan tapi biarlah pembangunan yang mengekalkan ciri asal Kampung Melayu, tidak menyusahkan penduduk dan dilakukan secara telus," katanya.

Thursday, October 6, 2011

Kg Baru: BN rakus di sebalik 'pembangunan'

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5840-kg-baru-bn-rakus-di-sebalik-pembangunan
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Kerakusan Kerajaan BN sehingga sanggup meluluskan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (RUU PPKB 2011) malam tadi amat dikesali bukan sahaja oleh para pemilik tanah di kampung itu, tetapi juga di seluruh negara.

Tindakan tersebut jelas menunjukkan sikap rakus kerajaan dan pihak-pihak yang berselindung di sebaliknya untuk mengaut kekayaan melimpah-ruah hasil daripada 'pembangunan' Kampung Baru nanti.

Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampong Baru (SPKB), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, pihaknya amat kesal dengan sikap gelojoh dan tergesa-gesa kerajaan yang meluluskan Akta RUU PPKB 2011 malam tadi, tanpa memberi masa dan peluang langsung kepada pemilik dan pewaris tanah kampung itu untuk melihat sendiri kandungan akta tersebut.

Menurut beliau, Isnin lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar melalui menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah menarik balik RUU PPKB 2010, tetapi kemudiannya membentangkan pula rang undang-undang baru, RUU PPKB 2011dengan beberapa pindaan.

Katanya, belum pun sempat pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru berpeluang memegang, meneliti dan berbincang berkenaan undang-undang yang bakal menentukan masa depan mereka itu, Kerajaan telahpun secara tergesa-gesa sehingga lewat malam tadi meluluskan RUU PPKB 2011 di Parlimen.

"Apakah yang hendak dikejar sangat sehingga tidak ada ruang langsung untuk RUU PPKB 2011 tersebut dibincang dan diluluskan oleh orang-orang Kampung Baru sendiri terlebih dahulu, sedangkan merekalah pihak yang terlibat secara langsung dengan apa saja bentuk pembangunan yang hendak dicadangkan.

"Mereka adalah pemilik dan pewaris asal tanah Kampong Bharu sejak 111 tahun lalu dan kini segala pandangan dan hak mereka ke atas tanah mereka sendiri telah dirampas dalam masa hanya beberapa jam sahaja," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Kerajaan, menurut beliau, menggunakan mekanisme undang-undang dan Parlimen dijadikan “rubber stamp” untuk menafikan segala hak pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu yang merupakan satu-satunya warisan tanah orang Melayu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Katanya, SPKB turut mempersoalkan penglibatan empat badan berkaitan kerajaan (GLC) yang diumumkan menteri terbabit malam tadi yang terdiri daripada Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Putrajaya Holding dan Permodalan Hartanah Berhad yang dikatakan akan terlibat dalam pembangunan Kampong Bharu.

SPKB menegaskan bahawa penglibatan badan-badan itu tidak pernah langsung dibincang dan didedahkan kepada masyarakat Kampong Bharu, malah pemilik dan pewaris tanah sehingga sekarang masih lagi ragu dan sangsi tentang kaedah dan bentuk pembangunan yang hendak dijalankan.

Katanya, bagaimanakah ia hendak dimulakan dan adakah ia akan melibatkan perpindahan penduduk ke tempat lain sepanjang proses pembangunan itu dijalankan?

"Apakah status hak milik tanah mereka akan berubah dan adakah hartanah Kampong Bharu ini akan terbuka untuk diurusniagakan kepada semua orang?

"Apakah jaminan hak milik tanah akan kekal di tangan mereka dan mengapakah menteri mempunyai kuasa penuh dan mutlak ke atas tanah Kampong Bharu?" katanya.

Semua perkara itu, menurutnya, masih tidak dijelaskan kepada pemilik dan pewaris tanah dan secara tiba-tiba, kerajaan telahpun meluluskan RUU PPKB 2011 malam tadi dan meninggalkan tanda-tanya serta kemarahan kepada sebilangan besar masyarakat Kampong Bharu.

SPKB menegaskan bahawa pihaknya tidak menolak sebarang bentuk pembangunan di Kampong Bharu, tetapi biarlah ia dibuat secara tertib, beradab dan menghormati pandangan dan cadangan pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu.

"Merekalah tuan yang sebenarnya di Kampong Bharu ini, bukannya menteri, orang-orang politik atau badan-badan korporat," tegas beliau.

Kampung Baru kini hanya tinggal sejarah

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5816-kampung-baru-kini-hanya-tinggal-sejarah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) merasa kesal kerana Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 (RUU PPKB) akhirnya diluluskan juga malam tadi.

Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, hanya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sahaja yang bangun mempertahankan RUU itu dari diluluskan sementara majoriti Ahli Parlimen Barisan Nasional bersetuju ianya diluluskan.

“Tarikh 5 Oktober 2011 serta persidangan Parlimen kali ini mencatat sejarah hitam buat bangsa Melayu bahawa Kampung Baru yang menjadi warisan Orang Melayu Kuala Lumpur dan menjadi entiti penting kepada Orang Melayu akhirnya diperbadankan dan kini hanya tinggal sejarah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, beratus tahun lamanya tanah eksklusif milik Orang Melayu itu tidak terusik, namun pada tarikh 5 Oktober 2011 ia telah berpindah tangan.

“Apakah lagi kebanggaan yang tinggal pada Orang Melayu di Kuala Lumpur ini?” soalnya.

Katanya, sidang Parlimen itu juga menjadi saksi bahawa siapakah yang benar-benar berjuang demi bangsanya dan siapakah yang hanya ‘beretorik’ yang pada hakikatnya mereka tidak peduli terhadap apa yang terjadi kepada bangsanya sendiri.

“Di mana puak-puak yang selalu berkokok kononnya mereka ultra Melayu dan pejuang sejati bangsa Melayu?

“Tidak kelihatan untuk bangun mempertahankan isu ini sehingga akhir sidang Parlimen semalam,” katanya.

DPPKT juga, ujarnya merasa terkejut dengan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bahawa kerajaan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membangunkan Kampung Baru iaitu Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Putrajaya Holding dan Permodalan Hartanah Berhad.

Katanya, dalam keadaan Parlimen baru meluluskan Rang Undang-Undang itu, Menteri Wilayah Persekutuan tanpa sabar terus mahu mengadakan perjanjian dengan GLC tersebut.

Nampaknya, tambah beliau kerajaan telah melantik beberapa GLC dan persefahaman telah dibuat sebelum Rang Undang-Undang ini diluluskan lagi.

Beliau berkata, amat malang kerana pemilik Kampung Baru belum dimaklumkan lagi, harta mereka telah diagih-agihkan dengan tujuan ‘pembangunan’.

Kata beliau lagi, nampaknya sedikit masa lagi Kampung Baru akan menjadi sibuk dengan projek pembangunan dan pemiliknya pula menikmati ‘pembangunan’ yang mereka ‘selama ini idam-idamkan’.

“Biarlah kampung sendiri tergadai asalkan Orang Melayu menang sorak dan pastinya yang mendapat laba dan habuan lumayan adalah segelintir elit golongan yang berkepentingan,” katanya.

Justeru, tegasnya DPPKT mengharapkan agar penduduk Kampung Baru menjadikan perisitiwa 5 Oktober 2011 sebagai peristiwa penting dalam sejarah moden negara serta tidak lagi memberi kepercayaan kepada BN sebagai hukuman paling adil dalam PRU ke 13.