Showing posts with label Tun Mahathir. Show all posts
Showing posts with label Tun Mahathir. Show all posts

Wednesday, June 5, 2013

Mirzan Mahathir tidak miliki saham Petron Malaysia

 
Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (Petron Malaysia) hari ini memaklumkan kepada Bursa Malaysia yang Mirzan Mahathir tidak memiliki sebarang saham ataupun beliau mempunyai peranan dalam syarikat.
    
Petron Malaysia membuat kenyataan itu sebagai maklum balas kepada pertanyaan daripada seorang pemegang saham di mesyuarat agung tahunan berhubung pegangan saham Mirzan dalam Petron Malaysia dan syarikat induk, Petron Corporation, dan syarikat pegangan, San Miguel Corporation.
    
Syarikat itu mengesahkan yang Mirzan ialah ahli lembaga syarikat induknya, Petron Corporation Filipina.
    
Beliau telah dipilih sebagai pengarah Petron Corporation pada 13 Ogos 2010 dan memegang 1,000 saham,
    
Di bawah undang-undang kecil syarikat, seseorang itu harus menjadi pemegang saham untuk layak sebagai Pengarah.
    
Petron Corporation mempunyai 9.4 bilion saham yang disenaraikan di Bursa Saham Filipina.
    
Sebelum memegang jawatan pengarah dalam Petron Corporation, syarikat berkata yang Mirzan ialah pengarah San Miguel Corporation untuk tempoh singkat dari 1 September 2009 sehingga 15 April 2010.
    
Beliau masa ini menguasai 5,000 saham San Miguel. San Miguel Corporation mempunyai sejumlah 3.3 bilion saham yang disenaraikan di Bursa Saham Filipina.

"Kami berharap yang fakta ini akan mengakhiri segala spekulasi yang berkaitan Mirzan, yang sememangnya tidak adil untuk keluarga Dr Mahathir.
    
"Saham yang dipegang Mirzan dalam San Miguel Corporation dan Petron Corporation sememangnya saham yang melayakkan untuk jawatan pengarah," kata pengerusi dan ketua pegawai eksekutif, Ramon S Ang dalam satu kenyataan.
    
"San Miguel, Petron Corporation dan Petron Malaysia ialah syarikat penyenaraian awam, yang patuh kepada standard ketat tadbir urus," tambah Ang.

- Bernama

Monday, June 3, 2013

'Menang bukan kerana kuat, tapi ketakutan Melayu'

 
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata belum sampai masanya bagi Barisan Nasional (BN) untuk menjadi sebuah parti yang terbuka kepada rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Bekas perdana menteri itu berkata pendekatan terbaik pada masa ini ialah kerjasama antara parti-parti yang mewakili kaum dalam konsep perkongsian kuasa dan kekayaan negara.

"Kita tak boleh ketepikan parti-parti yang mewakili kaum mereka. Walaupun dalam BN terdapat parti-parti yang berbilang kaum, tetapi pada hakikatnya parti yang mendakwa dirinya sebagai berbilang kaum juga didominasi oleh satu kaum sahaja.

"Kalau kita lihat parti Gerakan sebagai sebuah parti berbilang kaum, tapi ia dikuasai oleh orang Cina, jadi belum sampai masa kita boleh ketepikan kaum dan kita adakan satu parti," katanya kepadaBernama di Yogyakarta Isnin.

"Kita lihat DAP umpamanya dikatakan berbilang kaum, tapi sebenarnya dikuasai oleh orang Cina. Demikian juga dengan PKR dikuasai oleh orang Melayu.

"Jadi biasanya, walaupun diadakan satu parti berbilang kaum, satu-satu kaum akan mendominasi dan ini tidak menjadikannya sebuah parti berbilang kaum," kata Dr Mahathir.

Beliau berada di Yogyakarta kerana memberi syarahan umum mengenai "Keamanan Global dan Penyelesaian Konflik" sempena perasmian Mahathir Global Peace School di Universiti Muhammadiyah Yogyakarta (UMY).

Dr Mahathir berkata BN tidak boleh tergesa-gesa menerima sesuatu cadangan tentang corak dan bentuk parti itu di masa depan, sebaliknya semua cadangan perlu dikaji dengan mendalam akan kesan baik dan buruknya.

Beliau ditanya mengenai sama ada BN boleh menerima kemasukan parti-parti pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagaimana Perikatan pada suatu masa lalu membawa masuk parti pembangkang ke dalam parti gabungan itu.

Dr Mahathir berkata BN terbuka kepada parti pembangkang, tetapi mereka mestilah membelakangkan prinsip mereka yang bertentangan dengan perjuangan BN.

Mengenai prestasi UMNO pada PRU13, Dr Mahathir berkata walaupun parti itu menjadi parti terbesar yang menang dalam pilihan raya itu, ia masih berdepan dengan banyak kelemahan.

"Kemenangan UMNO kali ini bukan kerana kekuatan UMNO ataupun perpaduan dalam UMNO, kemenangan UMNO kali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu, terutamanya kalau-kalau parti lawan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim bersama dengan DAP mendirikan kerajaan di Malaysia.

"Kalau mereka mendirikan kerajaan di Malaysia, sudah tentu nasib orang Melayu akan menjadi lebih buruk. Sebab itu mereka memberi sokongan kepada UMNO," kata Dr Mahathir.