Showing posts with label Hassan Ali. Show all posts
Showing posts with label Hassan Ali. Show all posts

Tuesday, February 28, 2012

Atas nama Tuhan & agama


Sepanjang sejarah manusia, nama Tuhan sering dijadikan alat dalam mencapai tujuan atau kepentingan peribadi ataupun puak. Sedangkan ia sepatutnya menjadi nama sakti dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan, malangnya digunakan untuk menegakkan kebatilan dan menghapuskan kebenaran.

Perlambangan agama yang sepatutnya membela kekudusan ajaran Tuhan, sering kali digunakan untuk membiakkan kehendak syaitan dan hasrat nafsu serakah manusia. Maka tidak hairan jika kita melihat nama Tuhan sering dipergunakan oleh orang politik, ahli perniagaan, bomoh, ustaz, penjenayah, perasuah dan segala jenis ‘manusia' yang berkepentingan.

Dalil-dalil diputar dan dipusing agar dapat menjelma dalam rupa reka kehendak yang berbicara. Ia bukan hanya berlaku dalam kalangan umat Islam, sebaliknya dalam semua agama. Dalam sejarah Yahudi dan Kristian berlaku dengan begitu dahsyat.

Martin Luther yang mengasaskan Mazhab Prostestan telah membangkitkan isu ini dalam Kristian. Beliau katanya ingin membela ajaran Tuhan. Malangnya, betapa ramai pengikutnya yang dibakar oleh gereja Katolik, juga atas nama Tuhan.

Sokong rejim


Hitler juga mendapat sokongan sebahagian gereja di Jerman. Kedua aliran yang bertentangan - Katolik dan Protestan - menyokong tindakan beliau terhadap Yahudi atas nama Tuhan. Demikian Assad di Syria yang membunuh rakyat sejak sekian lama. Begitulah juga regim-regim yang lain.

Pakaian dan bahasa agama juga digunakan untuk menghiasi amalan salah atau penyalahgunaan nama Tuhan. Jika orang seperti Hitler dan Assad mampu mendapat restu golongan agama, maka tidak pelik jika ada dalam dunia ini ada mufti atau syeikh yang sanggup memuja-memuji pemerintah atau raja atau sultan dalam khutbah Jumaat dengan perhiasaan kata yang berlebihan.

Doa bertujuan mengampu disusun khas untuk penguasa, sultan dan raja serta keturunannya sekalipun mereka itu perasuah, perembat harta rakyat, bermewahan dengan istana, kereta dan harta sedangkan rakyat bawahan menderita airmata. Doa untuk rakyat yang miskin hanya secebis.

Sebaliknya berlimpahan doa untuk penguasa, raja dan sultan dengan perhiasaan kata puja dan puji seakan mereka lebih tinggi dari para nabi. Khutbah Jumaat yang menjadi tempat umat memuja dan pemuji Tuhan, bertukar pada bahagian doanya sebagai ampuan memuja dan memuji kerajaan dan sultan.

Hal ini bukan sangat dengan pemintaan penguasa atau raja, tetapi ‘sang berjubah agama' yang mempunyai agenda hidupnya yang tersendiri. Inilah yang berlaku di seluruh dunia ‘berjubah agama' tapi bertujuan sebaliknya.

Orang-orang agama ini mendapat gaji dan berjubah yang jauh lebih hebat dari segala ulama yang terbilang dahulu, tetapi sekadar berperanan untuk membaca doa yang puitis untuk sang singgahsana dan mengeluarkan fatwa yang meredhakan penguasa dan raja.

Kegerunan mereka kepada hilang jawatan lebih hebat dari kegerunan mereka membohongi hukum Tuhan.

Sebab itu, ramai panguasa, raja dan sultan dalam dunia dan sepanjang sejarah sekalipun buruk tingkah laku dan ketamakan harta serta kezaliman mereka terhadap hak rakyat, terus merasa selesa kerana ada yang berlidah dan berjubah agama yang membodeknya.

Syurga seakan sudah tempah untuknya, neraka pula seakan sudah tertutup rapat baginya sekalipun dia tidak menunaikan hak rakyat dan memakan harta secara haram.

Pisahkan agama


Firman Allah: (maksudnya) "Dan apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah memerintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya? Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil, dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan wajah kamu (kepada Allah) pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan menyeru-Nya dengan mengikhlaskan agama kamu kepadaNYA semata-mata, sebagaimana DIA telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya). Sebahagian (manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan sebahagian lagi berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sSesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka bahawa mereka berada dalam petunjuk". (Surah al-A'raf, 28-30).

Seperti yang saya pernah catatkan bahawa saya tidak menyokong pemisahan agama dari politik, tetapi saya menyokong memisahkan agama dari penyalahgunaan golongan politik.

Lebih elok politik yang berpisah dari agama dibandingkan politik yang mempergunakan agama. Saya inshaAllah akan bahaskan tentangsecular state dalam tulisan yang akan datang.

Mimpi nabi


Sebab itu amatlah berbahaya apabila agama itu telah menjadi senjata mereka yang pandai berbicara untuk kepentingan kuasa dan diri. Hakikat Tuhan akan disalahertikan oleh manusia.

Ajaran kebenaran akan dipandang serong. Manusia akan kecewa dengan ajaran Tuhan yang dianggap tidak memenuhi panduan keadilan dan rahmat. Sebab itu agama Islam ini tertegak atas fakta dan hujah. Bukan khayalan dan mimpi.

Jika kita masih ingat bagaimana pengasas ajaran al-Arqam semasa masih hidup membuat pelbagai dakwaan. Ketika itu ada imam masjid tertentu mendakwa bahawa dia berjumpa Nabi SAW dalam mimpinya membenarkan ajaran Ashaari Muhammad. Ramai yang terpengaruh dengan mimpi tersebut.

Itu bukan kali pertama, bahkan sudah puluhan kisah setiap kali ada yang mendakwa menjadi Mahdi, ada sahaja orang yang bermimpi berjumpa Nabi SAW dan mengakuinya. Ini termasuk kisah Mahdi di Sudan yang jauh lebih berjaya dari Ashaari Arqam.

Ada pula yang mengeluarkan dalil bahawa Nabi s.a.w telah bersabda:

"Sesiapa yang melihatku dalam tidur sesungguhnya dia benar-benar melihatku, kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku." (Riwayat Muslim).

Ya, syaitan memang tidak boleh menyerupai Nabi s.a.w, namun syaitan boleh menyerupai orang lain dan seseorang yang tidak pernah melihat Nabi s.a.w menyangka itu Nabi s.a.w. Tipuan syaitan sangat licik.

Dalam kitab Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, apa yang disebut oleh tabi'in agung lagi pakar mimpi dalam sejarah Islam, al-Imam Muhammad bin Sirin (meninggal 110H) menafsirkan hadis ini bahawa ia bermaksud ‘jika seseorang melihat Nabi s.a.w dalam rupanya yang asal'.

Ertinya dia mesti mengenali hakikat rupa Nabi s.a.w. Apabila ada orang mendakwa bahawa dia melihat Nabi s.a.w, Muhammad bin Sirin meminta supaya dia menceritakan ciri-ciri Nabi s.a.w yang dia lihat dalam mimpinya.

Apabila dia menceritakannya, beliau menjawab: ‘engkau tidak melihatnya'. Ibn ‘Abbas juga menyelidiki seseorang yang mendakwa bahawa dia bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. Beliau bertanya sifatnya, orang itu menjawab seperti Saidina Hasan bin ‘Ali. Ibn ‘Abbas mengakuinya.

Itu jika orang tersebut tidak berbohong. Namun, bagaimana pula jika dia berbohong tentang apa yang dilihatnya? Maka mimpi tidak boleh menjadi hujah dalam agama ini. Ia boleh menjadi isyarat untuk urusan peribadi seseorang, namun bukan syariat yang diamalkan.

Saya masih ingat kisah Presiden sebuah negara ‘bernama agama' yang menceritakan beliau dilindungi cahaya suci seperti para imam mazhabnya ketika berada di PBB. Demikian juga saya masih ingat semasa Gulf Waryang pertama, ketika itu saya belajar di Jordan. Sokongan rakyat Jordan kepada Saddam Hussain begitu kuat.

Ramai juga tokoh agama yang membaca hadis-hadis Nabi SAW dan menyatakan bahawa Saddam Hussain itu penyelamat umat yang dimaksudkan oleh Nabi SAW Saya masih ingat guru-guru hadis yang saya hadiri kuliah mereka membantah penyalahgunaan hadis tersebut.

Baru-baru ini pun ada tokoh agama dalam parti politik tanah air yang mendakwa pemimpinnya sebagai lelaki yang dijanjikan Nabi SAW untuk membebaskan al-Aqsa. Demikianlah agama menjadi mainan mereka yang berkepentingan.

Sebab itu, agama mesti bebas dari ini semua. Semua kita wajar bimbang terhadap diri sendiri dan juga umat ini dengan amaran Nabi SAW: "Apa yang paling aku takut terhadap kamu ialah orang munafik yang petah lidahnya" (Riwayat Ahmad, sahih).

Saya juga lucu apabila ada seseorang berceramah tentang perjuangan murninya setelah dia dipecat ialah membela Islam, Melayu dan raja. Sedangkan Melayu tidak semestinya selari dengan Islam, demikian juga raja.

Jika Islam itu diyakini syumul, membela Islam bererti terbela segala bangsa, raja dan rakyat. Namun, apabila Islam dipergunakan, bahasa Islam dinodai untuk tujuan tersendiri, hanya satu bangsa diperjuangkan dan raja sahaja yang dibela. Bagaimana dengan rakyat bawahan seperti kita? Demikian agama sering menjadi mangsa.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.Penulis adalah bekas mufti Perlis dan kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford.

Wednesday, February 22, 2012

JATI, memperjuangkan Islam atau alat Umno, soal Husam

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mempersoalkan motif sebenar penubuhan NGO baru, Jalur Tiga (JATI), yang diketuai oleh bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat, Datuk Hasan Ali.

NONEMenurut Husam, jika JATI benar-benar ditubuhkan untuk memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja, maka ia sepatutnya berganding bahu dan bukannya memilih bergaduh dengan PAS.

“JATI diperalat Umno untuk menyerang PAS,” kecam Husam yang juga ahli exco kerajaan negeri Kelantan dalam satu kenyataan media, semalam.

Katnya, jika benar bahawa pergerakan itu dibentuk kononnya untuk melindungi agama Islam, maka ia perlu dipimpin oleh seorang ulama.

“Kenapa (Mufti Perak) Tan Sri Harussani tidak mengetui JATI sebagaimana PAS yang diketuai oleh ulama.

“Datuk Hasan Ali bukan ulama dan dia tinggalkan ulama (PAS). Malah menentang ulama PAS. Kontradiksi ini jelas,” katanya.

NONEHusam juga mempersoalkan mengapa JATI perlu menjaga orang Melayu sahaja sedangkan Islam melangkaui kaum dan tidak terhad kepada satu-satu bangsa sahaja.

Mengulas, ucapan yang dibuat oleh Harussani semasa pelancaran JATI bahawa Nabi Muhammad SAW juga anjur pertahankan Raja dan kaum, Husam berkata mufti itu telah mengambil pendekatan yang salah dan tidak sesuai untuk sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

“Tan Sri Harussani sepatutnya lebih brhati-hati dan telus. Islam atasi kaum dan tidak terhad kepada satu-satu kaum sahaja.

“Malaysia meliputi pelbagai kaum. Jika mahukan kaum lain menerima Islam, maka tidak boleh dihadkan hanya kepada Melayu sahaja,” katanya.

NONEMenurutnya, kenyataan seperti itu hanya membuktikan kegagalan Umno selama ini untuk membangunkan masyarakat Melayu.

Beliau turut memberikan contoh, mengenai beberapa institusi bagi membangunkan masyarkat Melayu pada zaman pemerintahan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang telah digugurkan.

Antaranya, Padiberas Nasional Berhad atau Bernas yang diswastakan dan tanah-tanah Perbadanan Pembangunan Bandar; atau UDA di tengah-tengah bandar, katanya telah dijual, manakala Majlis Amanah Rakyat atau MARA makin mati fungsinya.

“Pendekatan yang salah. Menggunakan agenda perkauman Melayu mengatasi Islam.

“Islam membawa agenda keadilan, perpaduan, kesaksamaan dan kebajikan mengatasi bangsa. Umno hanya menjadikan Islam sebagai alat. Dalam konteks itulah PAS dilihat berbeza dengan Umno,” katanya.

Harussani: Nabi anjur pertahan Raja, kaum

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini menyokong usaha untuk memperjuangkan Islam seperti yang dipromosikan pertubuhan pro-Melayu JATI yang disifatkannya sebagai satu jihad kepada orang Islam.

NONEKatanya jihad itu diwajibkan ke atas orang Islam, apatah lagi apabila serangan ke atas Islam kini "begitu hebat sehingga ramai di kalangan orang Islam menjadi murtad."

"Wajib kita pertahankan akidah kita daripada serangan ejekan atau diperhina. Namun hari ini kita lihat agama kita tidak diambil berat oleh orang Islam sendiri, malah ada yang mempertahankan perbuatan itu," katanya lagi.

Tambahnya, orang Islam juga wajib mempertahankan Raja-raja Melayu memandangkan golongan itulah yang mula-mula sekali menerima Islam di negara ini.

"Maka raja tidak boleh terpisah dengan kita," katanya lagi dalam ucapannya di majlis perasmian penubuhan NGO tersebut di Shah Alam hari ini.

NONETambahnya, perjuangan untuk mempertahankan raja juga dianjurkan oleh Nabi Muhammad melalui sabda baginda bahawa "raja itu adalah bayang Allah di bumi ini."

"Jadi kita pertahankan kerana itu disebut oleh Rasulullah. Bukan dalam satu riwayat saja tapi banyak riwayat," tambahnya.

Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak mengenai perjuangan kaum, Harussani berkata Nabi Muhammad sendiri telah menyeru kepada kaum Quraisy pada waktu itu supaya mempertahankan bangsa mereka.

"Ada orang kata kalau kita bercakap bangsa Melayu dikatakan kita ini orang yang nasionalis. Nabi juga bercakap tentang kaumnya.

"Kita pertahankan bangsa kita bukan bermakna taksub dan memang wajib pun kita pertahankan kerana negara ini adalah kepunyaan orang Melayu.

NONE"Salah satu wasiat raja-raja sebelum merdeka ialah selain gunung ganang, sungai atau lubuk-lubuk maka setengah daripada tanah Melayu itu mestilah hak orang Melayu, yang lain itu biarlah berebut sesama kamu," katanya lagi.

Wasiat berkenaan - dokumen yang sering didakwa sebagai asas perjanjian kepada raja-raja Melayu dalam pembentukan Persekutuan Malaysia - turut dinyatakan dalam tayangan video ketika majlis perasmian tersebut.

Thursday, February 9, 2012

Hasan Ali disaran berdakwah tanpa bayaran

YB Datuk Hasan Ali yang saya hormati,

Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Datuk merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Datuk juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Datuk sekeluarga.

NONESecara ikhlas, saya mula mengkagumi Datuk sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Datuk menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Datuk mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan.

Kesedaran bahawa apa yang telah Datuk lemparkan kepada mantan parti Datuk sendiri, iaitu PAS, di dalam kenyataan-kenyataan Datuk di media dan juga lewat ceramah-ceramah Datuk yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.

Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Datuk untuk menilai beberapa kenyataan Datuk dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya.

Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik.

Islam moderat

Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Datuk. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Datuk mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Datuk.

NONESaya kira Datuk mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring).

Kemenangan semua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan ‘perkongsian kuasa’ (power sharing); dan juga ‘pengaruh di kalangan rakyat’ melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.

Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka.

egypt revolution mubarak steps down huge crowd 1Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti. Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik ‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya.

Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka.

Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator.

Proses kematangan

Perkara ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).

Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip.

Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut.

pas middle east conflict protest demo 290607 womenWacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato pernah sertai dahulu.

Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).

Bapa parasit

Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan.

NONEMenurut kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep ‘Negara Berkebajikan’, PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Datuk merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Datuk tersilap.

Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Datuk dakwa, tetapi ia merupakan satu dinamisme tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang matang. Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit.

Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit? Apakah mungkin Datuk ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?

Ditakuti Umno

Yakinlah Datuk, sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut.

NONEInilah yang ditakuti oleh Umno dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji.

Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang.

Malang sekali apabila Datuk pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Datuk menjadi suara pihak lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak Umno dan BN.

NONESaya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan Datuk lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja.

Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato’ untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya. Melalui pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka.

Gelombang perubahaan

Seperkara yang perlu Datuk ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato’ tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.

Apabila melihat kepada isu ‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen ‘Negara Berkebajikan’ PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang telah berjaya di negara masing-masing.

NONESaya berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara Berkebajikan’ yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS.

Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Datuk, malah dipandang sinis.

Melihat kepada isu hudud yang Datuk anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud.

Memaksakan hudud

Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai.

NONEApa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang ‘discursive’ PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu.

Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong PAS’.

Akhirkata, jika Datuk benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Datuk lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Datuk.

Turun padang tanpa bayaran

Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Datuk untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Datuk miliki.

Mungkin juga Datuk boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran.

himpun rally hasan ali speaking 2Jika dulu mungkin Datuk sibuk dengan tugas exco, kini Datuk lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Datuk yang ingin menjaga aqidah itu.

Saya kira Datuk juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Datuk itu.

Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Datuk untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Datuk kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal.

Saya amat meyakini, jika Datuk berdakwah seperti itu, Datuk akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang sebenar!’.


Penulis adalah ahli akademik politik warga UIAM.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Tuesday, February 7, 2012

Hasan diminta telus sebab jumpa Umno pada 2008

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menggesa bekas pemimpin parti itu, Datuk Dr Hasan Ali untuk membersihkan dirinya daripada dakwaan bercita-cita untuk menjadi menteri besar Selangor.

Hasan yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan bekas exco kerajaan negeri itu, dipecat daripada parti itu baru-baru ini kerana menimbulkan masalah kepada parti.

NONEHusam (kiri) berkata Hasan harus telus mengenai peranannya dan sebab-sebab beliau bertemu dengan pemimpin Umno sejurus selepas pilihan raya umum 2008, dan bukan sebaliknya mencaci PAS dalam program jelajahnya.

Beliau mendedahkan bahawa Hasan telah menemui pemimpin Umno di Selangor pada 10 Mac - dua hari selepas Pakatan Rakyat memenangi lima negeri dalam pilihan raya umum tersebut, dalam percubaan untuk membentuk kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno.

"Tetapi pemimpin PAS telah menolak terus idea tersebut, maka beliau tidak berjaya dalam percubaannya untuk menjalin hubungan antara parti kita dan Umno," kata Husam ketika ditemui di Pulau Pinang.

Husam, yang juga ADUN Salor berkata, beliau berada di Kedah pada 9 Mac 2008 untuk membantu Kedah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Pada 10 Mac beliau berada di Perak, untuk membantu menubuhkan "kerajaan rakyat" sebelum negeri itu dirampas oleh BN pada bulan April, selepas tiga ADUN meninggalkan Pakatan.

pkr taman ehsan selayang ceramah 020810 hasan ali"Saya telah dimaklumkan mengenai rancangan Hasan (kanan) kerana pada hari yang sama, beliau telah mengatur mesyuarat dengan (pemimpin) Umno dan topik perbincangan ialah untuk menggabungkan PAS dan Umno.

"Jika rancangan itu berjaya, Hasan sepatutnya menjadi menteri besar Selangor.

"Tetapi kerana prinsip dan komitmen kami kepada Pakatan Rakyat, maka pemimpin PAS menolak cadangan tersebut," tegas Husam yang juga exco kerajaan negeri Kelantan.

Hasan, ADUN Gombak Setia, telah menafikan pernah mahu menyertai Umno, dan menegaskan beliau disingkir daripada PAS kerana pendirian tegasnya mempertahankan Islam dan kempen menentang kes murtad yang "berleluasa" di kalangan umat Islam.

Tetapi, tegas Husam lagi, Hasan masih bercita-cita untuk menjadi MB, dan ini, tambah naib presiden PAS itu, terbukti melalui kecaman berterusan (Hasan) terhadap pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Hassan Ali dan saya

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7953-hassan-ali-dan-saya

Ada yang berpandangan saya tidak perlu melayan segala dakwaan Hassan Ali terhadap diri saya. Mereka kata biarlah dia meroyan seorang diri, semakin dia meroyan, semakin terserlah keperibadiannya yang sebenar. Saya akui, ada kebenaran nasihat dari kalangan sahabat saya itu. Pada masa yang sama, saya dapati kali ini dakwaan beliau terlalu melampau, jauh melepasi batas‘adaabul ikhtilaf’ yang perlu dihayati oleh mereka yang takut kepada azab Allah. Walaubagaimanapun, bagi yang mempunyai maklumat, walaupun sedikit, dakwaannya pasti akan ditertawakan sahaja.

Namun, bagi yang tiada maklumat langsung dan mungkin ramai juga yang begini, mereka mungkin termakan dengan tuduhan liar yang dibuat olehnya. Oleh itu, pada pendapat saya, jawapan terhadap tuduhan liar tersebut, khususnya tuduhan beliau terhadap diri saya, perlu dikemukakan. Oleh yang demikian, bagi memahami dengan jelas persoalan ini, maka perlu disingkap sedikit sejarah saya bersama Hassan Ali.

Sebelum itu, ingin saya sebut bahawa saya pernah fikirkan kesesuaian perkataan dalam beberapa istilah bahasa Melayu, termasuk istilah ‘gila talaq’. Saya hairan mengapa nenek moyang kita memilih perkataan ‘gila’ dalam istilah berkenaan sedangkan beberapa perceraian pasangan suami isteri yang saya lihat sebelum ini tiada yang menzahirkan kelakuan yang boleh disifatkan sebagai ‘gila’. Namun dalam kes Hassan Ali ianya menjadi jelas dan adalah terbukti bahawa perkataan gila amat tepat untuk diguna-pakai. Memang ada yang apabila ‘ditalaq’ menjadi gila. Pendekata, Hassan Ali sudah ‘gila talaq’ dan dalam kegilaannya, meroyan dan meracau tidak ketentuan.

SEJARAH RINGKAS

Saya dan Hassan Ali bukan baru berkenalan. Sebenarnya saya diantara yang paling gembira dengan kemasukan beliau dalam PAS pada tahun 1998. Sebagai orang yang menyertai PAS lebih awal dari beliau, iaitu pada tahun 1983, saya telah sambut kemasukan beliau dan membantu beliau setakat mana yang saya mampu. Sebagai seorang ‘baru’ dalam PAS, penerimaan beliau oleh orang ‘lama’ seperti saya pasti memudahkan pergerakan beliau di kalangan ahli lama yang lain.

Saya sering berceramah bersama beliau dan pada tahun 2003, apabila beliau dilantik Pesuruh Jaya PAS Selangor buat kali pertamanya, saya dilantik beliau sebagai Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor. Hubungan dan kerjasama kita menjadi semakin rapat dan pada tahun 2005, apabila beliau dilantik kembali sebagai Pesuruh Jaya untuk sesi kedua, saya diminta untuk mengambil alih jawatan Bendahari yang dikosongkan oleh Tuan Haji Nasir. Pada tahun 2007, beliau dilantik sebagai Pesuruh Jaya untuk sesi ketiga, saya dilantiknya sebagai Timbalan Pesuruh Jaya 2.

Jelas sekali bahawa pada ketika itu saya tidak dianggap beliau sebagai parasittetapi sebaliknya sebagai orang kanan beliau.

DUGAAN JAWATAN MB SELANGOR

Pada tahun 2008 hubungan kita mula berubah. Perubahan bermula apabila setelah menang saya menolak usaha kerjasama dengan UMNO yang dikemukakan. Sekiranya kerjasama itu menjadi, Hassan Ali akan dilantik sebagai Menteri Besar dan itu adalah apa yang ditawarkan oleh UMNO.

Ketika usaha kerjasama dengan UMNO dijalankan, Hassan Ali pernah bertanya pada saya, “siapa patut menjadi MB Selangor?” Saya jawab sambil memandang terus ke muka beliau, “Tan Sri Abdul Khalid”. Beliau terdiam, perasaan kecewa jelas kelihatan terbayang di mukanya. Mungkin beliau merasakan saya mengkhianati dirinya. Mungkin beliau inginkan saya, sebagai orang kanannya memperjuangkan ‘haknya’ untuk menjadi MB. Mungkin bagi dirinya, itulah peranan seorang kanan. Saya tidak tahu, mungkin itulah yang difikirkannya. Beliau diam dan terus berpaling.

Pasti ada yang masih ingat bagaimana saya telah menggantinya dalam pertemuan dengan Pak Lah dan Khir Toyo. Kami berjaya menggagalkan usaha kerjasama bersama UMNO dan dengan itu cita-cita Hassan Ali untuk menjadi MB hancur berkecai.

Bermula dari saat itu saya merasakan hubungan kami sudah mula berubah dan Hassan Ali mula membawa agenda tersendiri.

MELAGA PAS DENGAN DAP & PK

Selepas Menteri Besar dilantik dan isu itu saya anggap telah selesai, saya melihat Hassan Ali berusaha untuk menimbulkan ketidak-stabilan dalam pentadbiran kerajaan PR Selangor. Beliau berusaha untuk mencari peluang untuk menunjukkan perbezaan di antara PAS dan DAP khususnya dan menimbulkan pergeseran di antara parti komponen PR. Saya beranggapan niatnya adalah untuk membuktikan kerjasama dengan DAP adalah sesuatu yang mustahil.

Saya sering menegurnya dan meminta supaya ditumpukan pada persamaan yang banyak di dalam PR. Saya ingatkan beliau akan keputusan muktamar PAS yang diadakan di Ipoh supaya PR dikukuhkan. Malangnya beliau terus dengan usahanya dengan mengatakan beliau mempunyai agenda tertentu tanpa menjelaskan apa agendanya itu.

SAYA DIPECAT SEBAGAI TPJ

Akhirnya, oleh kerana saya sering menegurnya, saya dipecat dari jawatan Timbalan Pesuruh Jaya 2 PAS Selangor pada pertengahan tahun 2008. YB Iskandar dinaikkan pangkat menjadi TPJ 2 dari TPJ 3 dan YB Dr Che Rosli dilantik menjadi TPJ 3. Itu semua saya tidak hairan, itu hak Hassan Ali sebagai PJ. Oleh itu saya tidak menjadikan pemecatan saya sebagai satu isu sepertinya sekarang. Tetapi saya telah sempat berpesan sambil saya keluar mesyuarat setelah dipecat, “ingat keputusan muktamar adalah untuk kukuhkan PR, bukan merosakkannya”.

Walaupun saya bukan lagi TPJ 2, saya tetap YDP PAS Kawasan Shah Alam. Saya tetap merupakan ahli mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Oleh itu saya hadir di mesyuarat Negeri dan setiap kali Hassan Ali menimbulkan isu melalui media untuk melaga-lagakan PAS dengan parti komponen PR yang lain, saya membantah dalam mesyuarat tersebut dan juga melalui media. Ini saya lakukan kerana saya sudah dapat membaca agenda dirinya. Pada masa yang sama, hubungan beliau dengan OKU UMNO semakin kukuh, termasuklah dengan Tan Sri Rozali Puncak Niaga (SYABAS).

TUDUHAN GOLONGAN ERDOGAN

Kumpulan yang menyokong beliau mula mempopularkan istilah ‘golongan Erdogan’. Istilah ini digunakan terhadap diri saya dan beberapa pimpinan Negeri dan Pusat yang lain dan kami dituduh tidak wala’ pada pimpinan dan terlalu kuat menyokong DSAI. Oleh itu, penggunaan istilah yang bertujuan untuk menghina dan menjadikan orang prejudis terhadap saya bukan perkara baru. Dulu Erdogan dan sekarang parasit. Penggunaan nama untuk tujuan menghina merupakan senjata kegemaran golongan seperti ini rupanya.

Kaedah ini membuktikan kerapuhan hujjah pihak yang cuba memburuk saya. Oleh kerana mereka tidak ada hujjah dan tidak mampu berhujjah, maka mereka menggunakan kaedah melabelkan orang atau ‘name calling’.

SAYA DAN HASSAN ALI DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN

Akhirnya perbalahan kami dirujuk kepada PAS Pusat pada tahun 2009. Saya digantung semua jawatan parti selama 6 bulan. Hassan Ali didapati bersalah dan diberi amaran keras supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar kerajaan PR melalui media massa. Kalau ada yang tidak dipersetujui, maka hendaklah dibawa berbincang bukan diheboh melalui media.

Berbeza dengan saya, hukumannya tiada tempoh masa. Ianya berkuat-kuasa selagimana PAS bersama PR.

SOKONGAN HASSAN MERUDUM

Walaupun saya yang dikenakan tindakan yang lebih keras oleh jawatan kuasa disiplin, ahli PAS melihat dan menilai apa yang sedang berlaku. Ramai beranggapan bahawa tindakan Hassan Ali menjejas kestabilan PR dan menguntungkan pihak lawan. Maka pada tahun 2011, semasa pemilihan AJK PAS Pusat dijalankan, sokongan Hassan Ali di kalangan ahli PAS terbukti merudum.

Pada 2009 Hassan Ali mendapat undi yang ke-empat tertinggi semasa pemilihan AJK PAS Pusat. Pada 2011, beliau mendapat undi yang ke 16 tertinggi.

Dalam kes saya pula adalah sebaliknya. Pada 2009 saya tidak terpilih apabila menduduki tempat ke 23 tertinggi sedangkan hanya 18 yang tertinggi akan dipilih. Pada tahun 2011, saya mendapat undi ke 8 tertinggi.

Peribahasa menyatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Inilah apa yang berlaku ke atas diri Hassan Ali pada tahun 2011. Setelah melihat popularitinya jatuh sedemikian rupa, beliau tidak pula dilantik untuk menjawat jawatan PJ Selangor oleh DS Presiden. Pemilihan PJ dilakukan semasa mesyuarat pertama selepas muktamar diadakan. Dalam mesyuarat itu Hassan Ali hadir dan selepas pemilihan dimuktamadkan, beliau terus keluar.

Sokongan beliau terjejas bukan sekadar di kalangan ahli, tetapi jelas, ianya juga terjejas di kalangan pimpinan.

Untuk melengkapkan kekecewaan beliau, pada penghujung tahun 2011, semasa senarai nama dikemukakan oleh cawangan untuk diturunkan sebagai calon dalam PRU ke 13, nama beliau tidak dinaikkan untuk DUN Gombak Setia. Walaupun telah dinyatakan bahawa keputusan belum muktamad dan sekiranya Gombak Setia tidak mahu, maka tempat lain bersedia, Hassan Ali tidak peduli.

Pada ketika itu, mungkin Hassan Ali melihat bahawa masa depannya bersama PAS tidak secerah dahulu. Oleh itu beliau terpaksa menyusun ‘exit strategy’atau ‘strategi untuk keluar PAS’. Inilah apa yang dapat saya rumuskan berhubung tindakan beliau semenjak peristiwa mutakhir tahun 2011 yang saya ceritakan di atas.

PEMECATAN HASSAN ALI

Bacaan saya berhubung Hassan Ali, persoalan yang paling utama baginya adalah untuk menjadi MB Selangor. Persoalan ini sering beliau sebutkan walaupun sudah bertahun-tahun selepas perlantikan Tan Sri Abdul Khalid sebagai MB Selangor.

Apabila beliau tidak lagi menjadi Pesuruh Jaya, beliau menganggap bahawa peluang beliau untuk menjadi MB melalui PAS sudah lenyap dengan begitu sahaja. Lebih-lebih lagi apabila tidak menjadi calon di kerusi yang sekuat Gombak Setia. Mungkin beliau menganggap beliau akan diletakkan di kerusi yang sukar untuk dimenangi kerana beliau bukan lagi pimpinan di Negeri Selangor.

Dengan dibekal sangkaan buruk sebegini, Hassan Ali memikirkan cara terbaik untuk beliau melepaskan diri dari berada bersama PAS tetapi dengan cara ‘terhormat’. Tiada cara lain melainkan dengan menyatakan bahawa PAS sudah tersasar dari matlamat asalnya. Ini bermakna bukan beliau yang terpesong tetapi sebaliknya PAS. Bukan beliau yang salah tetapi PAS.

Beliau terus melemparkan tuduhan bahawa PAS telah tersasar dari landasannya berkali-kali melalui media perdana dan walaupun dinasihati untuk berhenti oleh pimpinan tertinggi, beliau terus melakukannya. Oleh itu, tidaklah hairanlah apabila beliau dipecat. Beliau bukan sekadar melanggar amaran keras yang pernah diberi kepada beliau sebelum ini, beliau melampauinya.

Apabila dipecat, pada mulanya Hassan Ali mengatakan beliau tidak kisah. Selepas itu beliau kata mungkin beliau akan merayu. Selepas itu dikatakan tidak akan merayu. Begitu juga dengan pemecatan beliau sebagai exco. Pada mulanya dikatakan tidak mengapa. Kemudian ditulis surat kepada MB menyatakan tempoh rayuan belum habis. Selepas itu dikatakan tiada yang mampu melainkan dirinya. Akhirnya berkata tidak mengapa juga.

KENAPA SAYA YANG DISASARKAN

Dalam kemelut yang terhasil, Hassan Ali melihat saya sebagai punca kejatuhannya. Oleh itu saya disasarkan beliau. Dalam serangan beliau terhadap diri saya, Hassan Ali tidak kisah samada apa yang dikatakan adalah benar atau sebaliknya. Namanya roadshow untuk mempertahankan aqeedah tetapi saya dan pimpinan PAS menjadi sasaran. Mungkin beliau tidak tahu maksud perkataan ‘aqeedah’ itu dan dianggap apa sahaja yang keluar dari mulutnya adalah aqeedah. Itu saya tidak pasti.

Yang pasti beliau telah menunjukkan akhlak yang paling tercela dengan membuat tuduhan dan fitnah terhadap diri saya bahawa saya di antara yang merosakkan aqeedah ummat Islam. Dituduhnya juga saya sebagai orang yang menghalang pengharaman jualan arak, penutupan kedai judi dan rumah urut (pelacur) di Shah Alam. Amat jelas bagi saya Hassan Ali sudah gila talaq.

Bagaimanakah boleh saya menghalangnya? Kuasa apa yang ada pada saya? Saya PJ atau dia? Saya exco atau dia? Kalau benar saya ada kuasa untuk menghalang, kenapa tidak saya menghalang diri saya dari didakwa JAIS atas tuduhan mengajar tanpa tauliah?

Dalam soal pengharaman penjualan arak di kawasan ummat Islam dominan seperti di kawsan Shah Alam asal, ianya telahpun dilaksanakan tanpa kekecohan, dengan persetujuan pihak peniaga. Sebenarnya yang merampasnya dulu pun adalah pihak penguat-kuasa MBSA, bukan JAIS. MBSA bukan dibawah Hassan Ali tetapi beliau tumpang sekaki untuk dijadikannya isu.

Pada masa itu semua Ahli Majlis, termasuk yang dari DAP, telah bersetuju supaya penjualan minuman keras akan diharamkan di kawasan tersebut. Mereka hanya menunggu untuk menguatkuasakannya apabila lessen diperbaharui. Rancangannya ialah supaya disebut secara khusus larangan berkenaan dalam lessen baru. Tidak sempat lessen mati, pihak penguat-kuasa bertindak tanpa arahan dari pihak MBSA. Hanya atas arahan seorang ahli Majlis lama.

Hakikatnya kita berbeza dari segi pendekatan. Hassan Ali suka gunakan kuasanya dan suka memaksa sedangkan saya lebih cenderung kepada kaedah dakwah dan mendidik. Terhadap yang Islam dan yang bukan Islam.

KESIMPULAN

Melalui tulisan ringkas ini saya ingin memberitahu semua bahawa Hassan Ali sudah gila talaq. Maka jangan percaya apa yang dinyatakan beliau. Beliau sanggup berbohong dan memutar-belit semua perkara. Lagi beliau cakap lagi jelas kegilaannya.

Hadis Rasulullah (SAW);
Dari Abi Umaamah yang berkata, telah bersabda Rasulullah (SAW),
<“Terdapat pada orang beriman semua jenis kekurangan, kecuali khianat dan berdusta” (Dari Ahmad, Baihaqi dari Saad Bin Abi Waqas).

Hadis ini diketengahkan bukan untuk menafikan keimanan mana-mana pihak. Tetapi ianya adalah untuk menjelaskan betapa kejinya sifat khianat dan berdusta.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMA