Showing posts with label Operasi Lalang. Show all posts
Showing posts with label Operasi Lalang. Show all posts

Sunday, October 28, 2012

Merungkai kembali kesan Operasi Lalang '87


  • Lim Kit Siang
  • 3:55PM Okt 28 2012
 
ULASAN Semalam merupakan ulang tahun ke-25 Operasi Lalang yang menjadi titik hitam kepada sejarah demokrasi dan hak asasi manusia negara.

Ketika itu bukan sahaja penahanan 106 rakyat Malaysia, termasuklah pemimpin-pemimpin pembangkang - 16 orang daripada DAP, terdiri daripada ahli parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri - ahli kesatuan sekerja, aktivis sosial, kumpulan pencinta alam, pejuang pendidikan Cina dan pekerja bidang agama. 

Tetapi juga terdapat serangan besar-besaran ke atas kebebasan akhbar dengan penutupan tiga suratkhabar, serangan tanpa belas terhadap kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan hukum menyebabkan pemecatan ketua hakim negara dan dua hakim Mahkamah Agung.

Terdapat juga penggubalan beberapa undang-undang yang tidak demokratik hingga menyebabkan perubahan besar kepada landskap politik negara, meletakkan cabang kehakiman dan legislatif di bawah eksekutif atau lebih tepat dalam cengkaman seorang saja, perdana menteri pada waktu itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji melalui Program Transformasi Kerajaan akan menjadikan Malaysia "demokrasi terbaik dunia", tetapi selepas lebih 42 bulan, Malaysia masih ketinggalan daripada menjadi "demokrasi normal" apatah lagi "demokrasi terbaik dunia".

Perkara ini seperti digambarkan apabila beliau dan perikatan pemerintah Umno/BN menolak untuk menyatakan secara terbuka komitmen bahawa mereka akan menerima apa yang ditentukan pengundi pada pilihan raya umum ke-13 dan akan memastikan peralihan aman dan lancar pentadbiran Persekutuan kepada Pakatan Rakyat sekiranya itulah ketentuan pengundi Malaysia di peti undi.

Jelas pertukaran kerajaan di peringkat nasional untuk pertama kalinya dalam tempoh 55 tahun amatlah diperlukan untuk merungkai segala kemusnahan dan keburukan 25 tahun Operasi Lalang terhadap demokrasi, hak asasi manusia dan institusi negara.

Ia mesti dilakukan baik melalui pemulihan sistem kehakiman yang benar-benar bebas dan kedaulatan hukum yang adil; meleraikan rampasan oleh eksekutif terhadap kuasa parlimen dan badan kehakiman; berkembangnya media yang bebas dan bertanggungjawab serta hak-hak fundamental kebebasan bersuara, ekspresi dan maklumat; mekanisme semak dan imbang yang wajar untuk menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa; dan memulihkan kesaksamaan, kemandirian dan profesionalisme semua institusi negara.

Bersempena ulang tahun ke-25 Operasi Lalang, biarlah semua rakyat Malaysia menyatakan kembali secara tegas untuk merungkai kesemua kemusnahan berpunca daripada malapetaka Operasi Lalang pada 1987 dengan bersatu untuk memperkukuhkan demokrasi, hak asasi manusia dan institusi negara dengan memilih untuk perubahan pentadbiran peringkat nasional pada pilihan raya umum supaya tidak berulang lagi Operasi Lalang pada masa hadapan.


LIM KIT SIANG ketua parlimen DAP dan ahli parlimen Ipoh Timor. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Operasi Lalang jadi batu asas kerjasama DAP-PAS hari ini


  • Lim Guan Eng
  • 3:09PM Okt 27 2012
 
ULASAN Berikut adalah kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan sempena ulangtahun ke-25 Operasi Lalang hari ini:
DAP menyeru agar kerajaan Persekutuan meminta maaf kepada semua tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), segera melepaskan semua tahanan yang masih ditahan dan menjadikan Kem Tahanan Kamunting sebagai muzium sebagai peringatan kepada peripenting kebebasan dan hak asasi serta memulihkan negara daripada trauma penahanan tanpa bicara yang dilakukan secara rambang hanya atas sebab menentang BN.

25 tahun yang lalu pada 27 Oktober 1987, saya menjadi antara mangsa pertama Operasi Lalang yang ditahan di bawah ISA oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Saya ingat lagi bagaimana sebagai ahli Parlimen Kota Melaka yang baru dipilih, betapa terkejutnya saya apabila diberitahu bahawa saya merupakan ancaman kepada keselamatan negara yang bakal mencetus huru-hara dan rusuhan sekiranya saya tidak ditahan. 

Ekoran daripada itu, saya terpaksa bertahan dan mengatasi hari-hari gelap apabila dikurung sendiri, disoal siasat tanpa henti dan diintimidasi untuk memaksa saya untuk "bertaubat".

Seramai 106 pemimpin Malaysia telah ditahan pada tahun gelap 1987, termasuk pemimpin-pemimpin pembangkang - 16 daripada DAP termasuk ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri - ahli-ahli kesatuan sekerja, aktivis sosial, aktivis alam sekitar, pendidik bahasa Cina dan pekerja agama. 

Antara pemimpin-pemimpin yang terkemuka adalah Lim Kit Sang dan Karpal Singh daripada DAP, Mohamad Sabu dan Datuk Mahfuz Omar daripada PAS dan pendidik bahasa Cina Lim Fong Seng dan Sim Mow Yu. 

Serangan juga berlaku ke atas kebebasan akhbar dengan penutupan tiga suratkhabar, serangan bertubi-tubi ke atas badan kehakiman dan keluhuran undang-undang sehingga Ketua Hakim Negara dan dua hakim Mahkamah Agung telah dilucutkan jawatan. 

Semua serangan ini bertujuan untuk membentukkan negara diktator yang memusatkan kuasa di tangan perdana menteri. 

Namun demikian, ada juga hikmah di sebalik tahanan beramai-ramai yang berlaku, iaitu pemimpin-pemimpin PAS dan DAP telah mendapat peluang untuk saling kenal-mengenali lantas memecahkan fitnah yang ditaburkan Umno untuk memomokkan masyarakat bukan Melayu tentang PAS dan masyarakat Melayu tentang DAP. 

Hubungan yang dijalin dalam tahanan 25 tahun lalu telah menjadi batu asas kepada hubungan kerjasama antara dua parti itu pada hari ini. 

Ini membenarkan Pakatan Rakyat untuk bergabung dan memperkuatkan diri untuk mencabar kuasa BN menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Walaupun rakyat Malaysia telah berjaya memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memansuhan ISA, kita masih perlu menutup jilid gelap dalam sejarah negara kita. 

Pertama sekali, semua tahanan ISA yang masih lagi ditahan harus dilepaskan dengan segera dan kerajaan Persekutuan haruslah meminta maaf kepada semua tahanan ISA.

Kedua, Kem Tahanan Kamunting (KDC) harus dijadikan sebuah muzium, seperti kem tahanan Robbens Island di Afrika Selatan yang pernah menjadi rumah kediaman pejuang kemerdekaan Nelson Mandela selama 27 tahun. 

Dengan menjadikan KDC yang dibenci itu sebagai muzium, kita akan menukarkannya kepada simbol peringatan kepada peripenting kebebasan dan hak asasi serta memulihkan negara daripada trauma penahanan tanpa bicara yang dilakukan secara rambang hanya kerana menentang BN.

Akhirnya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), iaitu pengganti kepada ISA, harus dikaji semula untuk memansuhkan beberapa seksyen supaya ISA tidak akan kembali daripada kubur dan menghantui generasi-generasi rakyat Malaysia yang akan datang, sepertimana kita telah dihantui selama 54 tahun yang lalu.

LIM GUAN ENG adalah setiausaha agung DAP dan juga ahli Parlimen Bagan. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.