Showing posts with label Aziz Bari. Show all posts
Showing posts with label Aziz Bari. Show all posts

Monday, October 24, 2011

Aziz Bari jangkakan lebih buruk selepas ini



Abdul Aziz Bari

Walaupun penggantungannya sebagai pensyarah universiti ditarik balik, pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari menjangkakan insiden yang dihadapinya masih jauh daripada berakhir dan mungkin bertambah buruk.

NONE"Mereka (universiti) harapkan saya bekerja macam biasa, tetapi saya kekal sebagai suspek dan polis terus mengganggu saya," katanya kepadaMalaysiakini.

Menurutnya, walaupun siasatan UIA masih belum membuat sebarang keputusan, penarikan balik penggantungannya hanya bertujuan "menenangkan orang awam".

"Apa lagi selepas ini? Tindakan disiplin dariapda UIA?"

Atau, tambahnya, sama ada polis akan mencadangkan pendakawaan terhadapnya dibuat berdasarkan Akta Hasutan.

Aziz berkata, beliau terpaksa meneruskan kerjanya sebagai pensyarah undang-undang walaupun menghadapi pelbagai ketidaktentuan.

Abdul Aziz mencetuskan kontroversi apabila beliau mengulas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pemeriksaaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

NONEPakar perlembagaan negara itu dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Berikutan itu, beberapa pemimpin BN dan Umno serta media yang dikuasai mereka membidasnya sehingga pada Khamis lalu UIA bertindak mengantung tugasnya.

Jumaat lalu, hampir seribu mahasiswa berhimpun selepas solat bagi mengadakan bantahan dan mengancam mengadakan perhimpunan lebih besar jika kemelut itu tidak diselesaikan.

UIA tarik balik penggantungan Aziz Bari

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6168-uia-tarik-balik-penggantungan-aziz-bari| Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Penggantungan tugas terhadap pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Abdul Aziz Bari ditarik balik serta-merta hari ini.

Peguam beliau Dr Zulqarnain Lukman berkata, makluman penarikan balik itu diberitahu unit perundangan menerusi satu surat yang difakskan petang tadi.

Sehubungan itu juga Aziz Bari diarah melapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang kampus itu esok.

“Surat diterima petang sekitar 6.30 petang, selepas kami hantar respons kepada surat tujuk sebab petang tadi, ia ditandatangani oleh pegawai unit perundangan... UIA arah Prof Abdul Aziz Bari lapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang,” kata Zulqarnain dipetik The Malaysian Insider.

Bagaimanapun kata beliau, surat petang ini menyebut bahawa siasatan akan dijalankan tetapi hanya penggantungan tugas ditarik balik.

Zulqarnain memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh pegawai unit perundangan hari ini bahawa siasatan pihaknya sudah selesai dan akan meneliti penjelasan Aziz yang diserahkan petang tadi.

“Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh pegawai dari unit perundangan UIA, mereka akan meneliti penjelasan Prof Aziz dan akan memberikan jawapan... keputusan mereka sama ada akan mengambil tindakan susulan, meneruskan tindakan, berhenti di sini (setakat surat tunjuk sebab) atau sebaliknya,” kata Zulqarnain.

Beliau menghantar surat penjelasan Aziz, menjawab surat tunjuk sebab UIA, kira-kira 3 petang tadi.

Najib disabotaj isu Aziz?

Posted on Saturday, October 22 @ 19:36:31 PDT by Paktam
Minda Lutfi

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Semasa pemerintahan Najib Razak nampak terkial-kial menyusun program menagih sohttp://mstar.com.my/archives/2011/10/21/mstar_berita/aziz%20bari.jpgkongan rakyat, banyak pula insiden menimpa yang makin menyukarnya untuk memulihkan imej BN bagi berdepan pilihan raya umum ke-13.

Beberapa pengumuman transformasi politik, seperti janji untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada malam Hari Malaysia lalu, menjadi pudar apabila dalam masa sama ia disusuli tindakan-tindakan "keras, tidak demokratik, dan menutup ruang perbahasan secara sihat".



Misalnya, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di bawah Kanun Keseksaan kerana pandangannya berhubung peristiwa Bukit Kepong pada tahun 1950, ketika berceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Apakah hanya kerana mempunyai pandangan berbeda tentang sejarah perjuangan kemerdekaan negara, maka mahkamah terpaksa dipilih untuk mengadili Mat Sabu, dan bukannya melalui perdebatan, perbahasan atau dialog?

Terkini, tambah membebankan Najib apabila pakar undang-undang perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari, digantung tugas dan dilarang memasuki kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) disebabkan pandangan beliau terhadap isu yang berkaitan dengan bidangnya.

Gejala ini bukan perkara baru. Sebelum ini ramai tenaga akademik menerima surat amaran daripada pentadbiran universiti ekoran pandangan atau kenyataan akhbar yang dilihat menimbulkan "kegemparan", walaupun ia menyentuh bidang kepakaran atau hasil penyelidikan mereka.

Hanya kerana isu jerubu melanda negara atau masalah sosial generasi muda, yang ditimbulkan oleh pensyarah dalam bidang berkenaan, mereka boleh mendapat "surat cinta" dan terpaksa "menutup mulut" kemudiannya. Ada juga pensyarah sains politik yang ditegur kerana bercakap dengan pihak akhbar mengenai tuntutan bertindih dengan negara jiran.

Justeru, golongan cendekiawan kita semakin bersendirian, tinggi di menara gading, terpisah dengan realiti masyarakat, ibarat "mati di pucuk". Mereka seperti dilarang menyumbang idea dan menyalur pandangan bernas terhadap pergolakan atau konflik di persekitaran. Waduh ... bukan saja malang berganda tetapi juga membazirkan wang rakyat.

Ternyata, kebebasan akademik dan hak bersuara warga kampus dinafikan serta dicabuli pentadbiran (baru) UIAM. Reaksinya, seperti diduga, merata dan merebak dengan cepat. Suara simpati dan sokongan terhadap Aziz segera tumpah di mana-mana, terutama di laman sosial, facebook.

Dalam waktu singkat, selepas sehari Aziz digantung tugas, aksi protes melalui demonstrasi berjaya digembleng, di UIAM sendiri. Anak-anak muda, mungkin sebahagiannya anak murid beliau, bingkas bangun bersuara lantang. Selama ini kampus Gombak itu tidak pernah mengizinkan kelompok mahasiwa pro-Umno menerajui gerakan pelajarnya.

Ia juga difaktorkan oleh kewibawaan dan keberanian Aziz, yang diakui ramai. Malah beliau pernah membidas keras Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sehingga mencetuskan polemik dalam parti. Suatu bukti Aziz bersuara tanpa takut, tanpa segan.

Dalam mempertahankan Abdul Aziz, Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) yang juga prof madya undang-undang, Dr Azmi Sharom berkata, Akta Hasutan sendiri membenarkan kritikan membina terhadap pemerintah.

Baginya, Aziz semata-mata memberi pandangan bahawa seorang raja telah bertindak di luar batasan perlembagaan. Menurut Azmi, ia adalah komen yang sah dengan tiada kenyataan - secara langsung atau tersirat - yang dibuat untuk menimbulkan kebencian terhadap raja.

Setiausaha Agung Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Prof Madya Dr Rosli Mahat turut melahirkan rasa terkilan atas celaan berbentuk peribadi yang dikenakan terhadap Aziz.

"Aziz seorang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau. Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya menghujah balas secara rasional dan profesional tanpa sebarang ugutan atau celaan peribadi," ujarnya dalam satu kenyataan.

Dari Universiti Oxford, London, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengkritik keras: "Tindakan ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad. Ia tindakan mengampu dan paling tidak bertamadun dalam dunia akademik. UIA yang patut bertaraf pusat pendidikan dunia bertukar menjadi pejabat agama yang penuh kesempitan fikiran."

Secara peribadi Aziz mudah didekati, tidak lokek idea, dan sebagai pengamal media, saya begitu senang sekali dengan minat mendalamnya terhadap dunia penulisan dan penerbitan. Lebih 10 tahun lalu, semasa saya menerbitkan majalah Detik, Wasilah dan siri akhbar tidak berkala di Medan Idaman, tidak jauh daripada kampus UIAM Gombak, Aziz agak kerap mengunjungi pejabat Penerbitan Pemuda.

Selain bertukar-tukar fikiran dan cerita, Aziz cukup prihatin dengan mutu bahan penerbitan kami. Lebih mengujakan, ziarah beliau bersama-sama bahan yang kami boleh manfaatkan. Bukan sekadar kritikan membina, tetapi juga tulisan yang boleh dikongsi pembaca.

Lama sebelum komentarnya terhadap Sultan Selangor, bicara Aziz menampakkan beliau benar-benar independen. "Selepas Prof Jomo KS ke PBB, saya lihat satu-satunya tokoh pemberani di kalangan ahli akademik adalah Prof Aziz Bari. Hairan ya, dia seperti tidak takut langsung untuk bersuara," kata seorang sahabat lama dari Skudai, Johor.

Saya kira tekanan ke atas pentadbiran UIAM untuk mengambil tindakan ke atas Aziz bukan semata-mata disebabkan kenyataan terakhirnya itu. "Dendam" ini sudah lama meruap. Pihak tertentu hanya menunggu masa sesuai untuk "memerangkapnya".

Apa pun, yang pasti, episod gelita ini bukan sahaja meninggalkan kesukaran berpanjangan buat Najib tetapi telah menggagalkan usaha tungkus-lumusnya membina imej baru BN menjelang PRU13. Tokoh sehebat Aziz tidak rugi apa-apa jika disingkirkan. Peluangnya terbuka luas di tempat lain.

"Soalnya, apakah ini petanda jelas ada perancangan untuk sabotaj Najib daripada dalam? Generasi muda dan masyarakat kelas menengah terkesan dengan isu Aziz Bari ini," kata seorang editor kanan, yang mengakui hairan dengan tindakan drastik UIAM itu.

Thursday, October 20, 2011

Aizz Bari digantung UIA

http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/6105-aziz-bari-himpunan-bantah-dijangka-lebihi-sasaran
Aziz Bari: Himpunan bantah dijangka lebihi sasaran
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Melihat kepada sokongan pelbagai pihak, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tidak menolak kemungkinan himpunan membantah penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari ini melebihi sasaran.

Menurut Pengerusi NGO, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syukri Abd Razab, sehingga kini sudah tujuh buah pertubuhan mahasiswa menyatakan kesediaan mengerahkan ahli mereka menyertai himpunan di Masjid UIA, Gombak yang dijadual selepas solat Jumaat ini.

Selain mereka, difahamkan Angkatan Muda Keadilan juga turut memobilisasi anggota mereka untuk menyertai himpunan membantah tindakan UIA itu.

"Kita sasar 1,500 orang, tetapi melihat mood rakyat secara keseluruhan khususnya melalui laman Facebook, saya jangkakan ianya akan lebih," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun menurutnya, satu sidang media khas berhubung himpunan itu akan dibuat di Pejabat Sekretariat PKPIM Pusat, Jalan Gombak jam 12 hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu turut mendapat maklumat bahawa satu kumpulan yang menyokong tindakan UIA akan berhimpun ditempat sama hari ini.

Bagaimanapun, pihak mereka mengharapkan tiada sebarang pertembungan berlaku bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

"Kita dapat maklumat, Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) turut akan berhimpun menyokong tindakan UIA," katanya.

Tindakan terhadap Aziz dipercayai ekoran reaksinya sebelum ini terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Sementara itu, SMM antara yang mengecam keras tindakan UIA menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip 'kebebasan akademik'.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6100-aziz-bari-warga-uia-tuntut-penjelasan
Aziz Bari: Warga UIA tuntut penjelasan| Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (MPPUIAM) melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan penggantungan yang dikenakan terhadap seorang pakar perlembagaan di Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari(gambar).

Presidennya, Mohamad Iqbal Ab Wahab berkata, apatah lagi, Dr Aziz telah menyumbang bakti di bumi UIAM digantung tanpa diadili terlebih dahulu, kata

“Perkara ini jelas bertentangan dengan Fasal 10 Perlembagaan Malaysia yang menyentuh berkenaan kebebasan bersuara. Yang lebih menyedihkan, kebebasan akademik secara jelas telah dicabul,” katanya kepada Harakahdaily pagi ini.

Baginya, jenayah akademik dan intelektual sebegitu tidak dapat diterima oleh seluruh rakyat Malaysia secara amnya dan warga UIAM khususnya.

Tegasnya, yang nyata, isu yang dibangkitkan oleh ahli akademik ini perlu dijawab dengan secara ilmiah, bukan dengan cara politik murahan dan tidak bertamadun.

Tambahnya, tindakan penggantungan sebegitu serta layanan terhadap Dr Aziz sedikit sebanyak telah menjejaskan imej UIAM di mata dunia.

“Oleh hal yang demikian, kami mewakili seluruh warga UIAM menuntut penjelasan dari pihak tertinggi UIAM berkenaan isu ini kepada seluruh warga UIAM,” katanya.

Beliau menambah, MPPUIAM juga menuntut pihak universiti perlu menarik balik penggantungan terhadap Dr Aziz dan satu sesi public hearing (pengadilan di tempat terbuka) dijalankan di dalam UIAM bagi mendapatkan penjelasan kedua-dua belah pihak.

“Kami juga menolak sebarang campur tangan pihak luar terutama bagi mereka yang mempunyai kepentingan politik dan peribadi dalam menyelesaikan isu ini.

“Akhir kata, kami menyeru kepada semua pihak untuk menghormati kesucian taman ilmu dan budi , demi nusa, bangsa dan agama Islam yang tercinta,” ujarnya lagi.

Tambahan pula, ujarnya apabila membawa nama Universiti Islam Antarabangsa.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6098-aziz-bari-timbalan-menteri-turut-sedih
Aziz Bari: Timbalan menteri turut sedih
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, berasa terganggu dan sedih dengan tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menggantung pensyarah Fakulti Undang-Undangnya, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Mengulas melalui laman Twitternya, Saifudin berkata beliau telah mengarahkan UIA memberi laporan bertulis kepada beliau.

"Saya terganggu dan sedih. Saya sudah meminta UIA memberikan laporan bertulis," katanya.

Sementara itu, sekumpulan mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan tindakan UIA terhadap Aziz Bari akan mengadakan demonstrasi esok.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syukri Abdul Razab yang dipetik FMT berkata, demonstrasi itu akan diadakan dihadapan pintu masuk utama UIA pada pukul 9 pagi esok, selain bercadang menghantar memorandum kepada Rektor UIA, Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin menggesa agar penggantungan itu ditarik semula.

Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip ‘kebebasan akademik’, UIA sebagai institusi pendidikan tinggi seharusnya mempertahankan Aziz Bari atas dasar kebebasan berpendapat.

“Sebaliknya mereka tunduk kepada tekanan dan terus menghukumnya. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada Aziz Bari sahaja tetapi semua pengamal akademik,” katanya.

Selain SMM, demonstrasi itu akan turut disertai kumpulan mahasiswa lain termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiwa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pro-Mahasiswa (Pro-M), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), serta Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.

“Kami menjangkakan 500 mahasiswa hadir memberikan sokongan esok,” katanya.

Sementara itu, dua laman peminat Facebook dilancar bagi membantah tindakan terhadap Aziz Bari yang juga Pakar Perlembagaan itu.

Facebook "Kami Bantah Penggantungan Dr Aziz Bari" dan “10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari” setakat petang ini sudah mempunyai lebih 2,000 peminat.

Dipercayai mengulas sokongan mahasiswa itu, Saifudin juga melalui Twitternya berkata, terpulang kepada mahasiswa tersebut kerana itu hak mereka.

"Sekiranya rakyat dan pelajar mahu memberi sokongan kepada Aziz Bari, itu hak mereka," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6090-uia-patut-pertahan-aziz-bari-bukan-gantung
UIA patut pertahan Aziz Bari, bukan gantung
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung pakar perlembagaan terkemuka, Prof Dr Abdul Aziz Bari amat mendukacitakan.

Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong (gambar) berkata, UIA sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bertaraf antarabangsa, sepatutnya mempertahankan hak ahli akademik menyuarakan pendapat dan idea.

Malangnya, kata beliau universiti tersebut bukan sahaja gagal mempertahankan Dr Aziz apabila diserang oleh ahli politik dan media Umno, tetapi sebaliknya menggantung beliau pada hari ini.

“Dengan mengambil tindakan ini, UIA terbukti mementingkan agenda politik Umno. Transformasi yang sering dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jelas merupakan janji-janji kosong,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, universiti-universiti sepatutnya menggalakkan perkongsian pendapat dan debat untuk membuka minda masyarakat sejagat.

Beliau yang Adun Bukit Lanjan berkata, jika seorang ahli akademik yang dihormati dihukum kerana memberi ulasan dalam bidangnya, maka semua ahli akademik secara tidak langsung akan disunyikan.

Tambahnya, tindakan menggantung Dr Aziz merupakan bukti jelas mengapa tahap kecermelangan institusi pengajian tinggi di Malaysia tetap merudum.

“Saya menggesa UIA untuk menarik balik penggantungan ini dengan serta-merta. Hak kebebasan akademik mesti dipertahankan,” ujarnya.

http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=17154

Surat tunjuk sebab kepada Aziz Bari hina UIA| Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pensyarah undang-undang, Profesor Abdul Aziz Bari adalah tragedi baru serta satu penghinaan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) yang dihormati di negara ini.

"Saya berpendapat tindakan tersebut adalah satu tragedi dan juga penghinaan kepada institusi pengajian tinggi terutamanya UIAM, yang mana kita tahu universiti tersebut adalah sebuah universiti antarabangsa yang mendapat pengiktirafan dunia.

"Saya melihat seolah-olah ada tangan-tangan tentu yang mengarah agar dikeluarkan surat tunjuk sebab kepada Abdul Aziz," jelasnya ketika ditemui di parlimen.

Tambah Nizar lagi, pemberian surat tunjuk sebab itu sebenarnya telah menaikkan martabat Abdul Aziz sebagai seorang profesor.

Katanya, ia merupakan penghinaan kepada tokoh-tokoh akademik yang telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk berbincang serta membahas isu-isu yang ada di negara ini tetapi dikenakan tindakan jika tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya tekankan di sini seolah-olah ada satu arahan yang dibuat oleh pihak atasan barangkali ada pihak dalam Umno Barisan Nasional yang merasakan apa yang didedahkan oleh Abdul Aziz itu akan memberi kesedaran yang meluas kepada warga akademik dan juga rakyat.

"Sepatutnya yang dilakukan oleh kerajaan mahupun institusi pengajian tinggi adalah memberi kebebasan untuk mereka meluahkan pendapat kerana ia tidak melibatkan politik, malah beliau merupakan seorang profesor dan pakar dalam Perlembagaan Malaysia sudah tentu ia mempunyai sebab tertentu untuk berhujah jadi kenapa ia dihalang," sambungnya.

Nizar juga berpendapat tindakan itu merupakan satu sekatan untuk tokoh akademik bebas berpendapat serta merupakan satu sejarah baru dalam dunia akademik negara ini dan akan menyebabkan seluruh dunia memandang serong kepada institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Sebelum itu, Abdul Aziz mengundang kontroversi berhubung kenyataan mengenai perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.

Menurut sumber, Abdul Aziz diberikan surat tunjuk sebab itu petang tadi tetapi tidak jelas mengenai kandungan surat tersebut.

Abdul Aziz kini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan laporan polis Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.

Wednesday, October 19, 2011

Jangan ugut Aziz Bari, kemuka hujah balas

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6076-jangan-ugut-aziz-bari-kemuka-hujah-balas| Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) ingin menarik perhatian terhadap tohmahan dan tekanan di dalam media terhadap tokoh akademik Profesor Abdul Aziz Bari.

“Gerak merasa terkilan atas celaan berbentuk peribadi yang telah dikenakan terhadap beliau,” kata setiausaha agungnya, Rosli H Mahat kepada Harakahdaily.

Jelasnya, Abdul Aziz adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau.

Menurutnya lagi, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya menghujah balas secara rasional dan profesional tanpa sebarang ugutan atau celaan peribadi.

Tambahnya, sebagai seorang ahli akademik, Prof Abdul Aziz berhak menyatakan pendapat seperti yang telah dilakukannya.

Ini, ujarnya adalah sebahagian dari kebebasan akademik yang dipunyai oleh setiap ahli akademik.

Beliau menjelaskan, mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik.

“Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui satu dokumen bertajuk Recommedation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel,” ujarnya lagi.

Dokumen itu, terangnya telah diluluskan oleh perhimpunan agung UNESCO pada 11 November 1997.

Katanya, kebebasan akademik ada termaktub dalam artikel 26 dan 27 Recommendation tersebut.

Antara hak yang dinyatakan dalam Recommendation tersebut ialah: “hak untuk menyumbang kepada perubahan sosial melalui kebebasan menyatakan pendapat mereka terhadap dasar-dasar negara dan dasar-dasar yang memberi kesan kepada pendidikan tinggi. Mereka tidak seharusnya dikenakan apa-apa penalti semata-mata kerana mengguna hak tersebut”.

Justeru itu, ujarnya Gerak menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati kebebasan akademik.

Katanya, semua pihak hendaklah akur terhadap recommendation tersebut pada bila-bila masa.

“Keperihatinan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam perkara ini amat perlu untuk memertabatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi antarabangsa dengan universiti-universitinya bertaraf dunia,” katanya.