Showing posts with label Media. Show all posts
Showing posts with label Media. Show all posts

Monday, May 7, 2012

Imej polis makin buruk angkara media, blog Umno


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10117-imej-polis-makin-buruk-angkara-media-blog-umno

Abdul Aziz Mustafa,07 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan polis menjadikan Khalid Mohd Ismath sebagai orang yang disyaki hanya berdasarkan tuduhan blog-blog Umno memburukkan lagi imej pasukan keselamatan itu, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Pasukan polis mempunyai segala kelengkapan yang canggih untuk membuat penyiasatan bagi mengenal pasti siapakah lelaki berbaju belang yang menendang polis itu.

"Amat tidak professional dan zalim jika polis menjadikan Khalid sebagai orang yang disyaki hanya berdasarkan tuduhan blog-blog Umno yang sebelum itu memfitnahkan pelajar itu sebagai lelaki berkenaan.

"Dengan tindakan itu, polis meletakkan dirinya sama taraf dengan Utusan Malaysia dan memburukkan lagi imejnya," kata beliau.

Utusan Malaysia semalam menyiarkan di muka hadapan gambar Khalid dan gambar lelaki yang menendang polis itu untuk memberikan gambaran bahawa Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) itulah yang menendang polis ketika perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Malah, di bawah gambar lelaki yang menendang polis itu, akhbar tersebut dengan jelas menulis "Khalid Mohd. Ismath menendang anggota polis trafik sewaktu perhimpunan Bersih 3.0".

Mahfuz berkata, polis tidak sepatutnya meletakkan pihaknya sama taraf dengan Utusan dan blog-blog Umno yang sebelum itu menuduh Khalid adalah lelaki berkenaan.

"Polis tidak sepatutnya melakukan perbuatan yang menyebabkan masyarakat semakin hilang kepercayaan terhadapnya dan tidak lagi meyakininya.

"Tindakan polis menahan Khalid hanya berdasarkan gambar itu bukan sahaja menyebabkan masyarakat tidak mempercayainya malah ia dibimbangi boleh mengakibatkan polis menjadi bahan cacian dan ejekan yang dimaki-maki," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mengenai tindakan polis yang mahu menangkap lagi Khalid berikutan tulisannya di dalam laman Facebook, Mahfuz berkata perkara itu berlaku kerana Khalid sangat tertekan setelah ibunya, Faridah Abdul, cedera teruk akibat tindakan polis semasa perhimpunan Bersih 3.0  pada 28 April lalu.

"Perlu juga diambilkira apa yang menyebabkan Khalid menulis luahan kemarahan sedemikian.

"Jangan ketepikan hakikat bahawa ibunya sendiri cedera parah akibat tindakan polis menyerang mereka yang berhimpun," katanya.

Media rayakan kemungkaran media jahiliah


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10130-media-rayakan-kemungkaran-media-jahiliah

Salmiyah Harun,07 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 7 Mei: Media yang menganjurkan sikap merayakan kemungkaran dengan niat hiburan atau politik apatah dengan mengaibkan sesama Islam maka tentulah media tersebut menjadi media jahiliah, demikian tegas Pengasas Zentrum Future Studies Malaysia Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah (gambar).

Tambahnya, media jahilian tidak memiliki fikiran dan perasaan terhadap peradaban dan tidak mentaati sikap Islam sebagai agama syumul yang mencahayakan kebenaran dan kebaikan buat umat manusia.

"Islam adalah agama rasmi negara ini, maka segala perilaku, perbuatan, pemikiran dan tindakan baik secara individu, apatah lagi sebagai institusi hendaklah menempatkan sikap menghormati cara Islam menguruskan penghidupan manusia. Tentulah media juga tidak lepas dari posisi ini," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas sikap media arus perdana yang keterlaluan dalam laporan mereka akhir-akhir ini, katanya, fungsi media sebagai pemacu pembentukan jasmani yang bersih, dan rohani yang mulia adalah gerakan yang mengatasi segala kepentingan, politik atau budaya.

Malah katanya, takut pada tekanan autokrasi dengan menghalalkan rasuah, pecah amanah, penindasan, penipuan, dan pengkhianatan terhadap hak-hak manusia serta penderhakaan terhadap agama, atas alasan politik tentulah menempatkan media itu tidak lebih gerombolan munafik dan fasik.

"Yang menyamar dalam topeng yang baik walhal sebenarnya memiliki sifat dan sikap yang melampaui batas, yang menentang sistem yang telah ditetapkan oleh Islam," ujarnya.

Tegas Abu Hassan, media adalah sebuah medium intelektualisme yang sangat berpengaruh dan memainkan peranan sebagai pembentuk nilai dan identiti masyarakat, dan mempertahankan keadilan dan kesaksamaan, menganjurkan kemajuan dalam fikiran dan perasaan.

Justeru katanya, tidak ada demokrasi tanpa kebebasan media akan melemahkan kualiti media yang ada.

"Jika demokrasi sebuah kewajiban, maka penciptaan media yang bebas juga sebuah keharusan. Demikianlah setidaknya kita diberitahu tentang fungsi media, dan bagaimana mediawan, serta massa sebagai penerima mesej," katanya.

Media yang berada di bawah naugan kerajaan Islam, katanya harus mampu mempengaruhi khalayak agar menjauhi kemaksiatan, perilaku kepunahan moral dan akhlak yang lazim disebut menganjurkan perayaan hedonis sama ada secara sosial mahupun secara ekonomi dan politik.

"Media Islami tentu saja menghindari gambar-gambar ataupun ungkapan-ungkapan pornografis, menjauhkan promosi kemaksiatan, atau hal-hal yang bertentangan dengan syariat Islam, seperti fitnah, memutarbelitkan fakta, berita bohong, mendukung kemungkaran, dan bersikap melampaui batas dengan menafikan keadilan, kesaksamaan dan hak-hak kemanusiaan atas apapun alasan, kapitalisme maupun kekuasaan politik," katanya.