Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Sunday, October 28, 2012

Operasi Lalang jadi batu asas kerjasama DAP-PAS hari ini


  • Lim Guan Eng
  • 3:09PM Okt 27 2012
 
ULASAN Berikut adalah kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan sempena ulangtahun ke-25 Operasi Lalang hari ini:
DAP menyeru agar kerajaan Persekutuan meminta maaf kepada semua tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), segera melepaskan semua tahanan yang masih ditahan dan menjadikan Kem Tahanan Kamunting sebagai muzium sebagai peringatan kepada peripenting kebebasan dan hak asasi serta memulihkan negara daripada trauma penahanan tanpa bicara yang dilakukan secara rambang hanya atas sebab menentang BN.

25 tahun yang lalu pada 27 Oktober 1987, saya menjadi antara mangsa pertama Operasi Lalang yang ditahan di bawah ISA oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Saya ingat lagi bagaimana sebagai ahli Parlimen Kota Melaka yang baru dipilih, betapa terkejutnya saya apabila diberitahu bahawa saya merupakan ancaman kepada keselamatan negara yang bakal mencetus huru-hara dan rusuhan sekiranya saya tidak ditahan. 

Ekoran daripada itu, saya terpaksa bertahan dan mengatasi hari-hari gelap apabila dikurung sendiri, disoal siasat tanpa henti dan diintimidasi untuk memaksa saya untuk "bertaubat".

Seramai 106 pemimpin Malaysia telah ditahan pada tahun gelap 1987, termasuk pemimpin-pemimpin pembangkang - 16 daripada DAP termasuk ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri - ahli-ahli kesatuan sekerja, aktivis sosial, aktivis alam sekitar, pendidik bahasa Cina dan pekerja agama. 

Antara pemimpin-pemimpin yang terkemuka adalah Lim Kit Sang dan Karpal Singh daripada DAP, Mohamad Sabu dan Datuk Mahfuz Omar daripada PAS dan pendidik bahasa Cina Lim Fong Seng dan Sim Mow Yu. 

Serangan juga berlaku ke atas kebebasan akhbar dengan penutupan tiga suratkhabar, serangan bertubi-tubi ke atas badan kehakiman dan keluhuran undang-undang sehingga Ketua Hakim Negara dan dua hakim Mahkamah Agung telah dilucutkan jawatan. 

Semua serangan ini bertujuan untuk membentukkan negara diktator yang memusatkan kuasa di tangan perdana menteri. 

Namun demikian, ada juga hikmah di sebalik tahanan beramai-ramai yang berlaku, iaitu pemimpin-pemimpin PAS dan DAP telah mendapat peluang untuk saling kenal-mengenali lantas memecahkan fitnah yang ditaburkan Umno untuk memomokkan masyarakat bukan Melayu tentang PAS dan masyarakat Melayu tentang DAP. 

Hubungan yang dijalin dalam tahanan 25 tahun lalu telah menjadi batu asas kepada hubungan kerjasama antara dua parti itu pada hari ini. 

Ini membenarkan Pakatan Rakyat untuk bergabung dan memperkuatkan diri untuk mencabar kuasa BN menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Walaupun rakyat Malaysia telah berjaya memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memansuhan ISA, kita masih perlu menutup jilid gelap dalam sejarah negara kita. 

Pertama sekali, semua tahanan ISA yang masih lagi ditahan harus dilepaskan dengan segera dan kerajaan Persekutuan haruslah meminta maaf kepada semua tahanan ISA.

Kedua, Kem Tahanan Kamunting (KDC) harus dijadikan sebuah muzium, seperti kem tahanan Robbens Island di Afrika Selatan yang pernah menjadi rumah kediaman pejuang kemerdekaan Nelson Mandela selama 27 tahun. 

Dengan menjadikan KDC yang dibenci itu sebagai muzium, kita akan menukarkannya kepada simbol peringatan kepada peripenting kebebasan dan hak asasi serta memulihkan negara daripada trauma penahanan tanpa bicara yang dilakukan secara rambang hanya kerana menentang BN.

Akhirnya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), iaitu pengganti kepada ISA, harus dikaji semula untuk memansuhkan beberapa seksyen supaya ISA tidak akan kembali daripada kubur dan menghantui generasi-generasi rakyat Malaysia yang akan datang, sepertimana kita telah dihantui selama 54 tahun yang lalu.

LIM GUAN ENG adalah setiausaha agung DAP dan juga ahli Parlimen Bagan. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Wednesday, September 5, 2012

Dr Burhanuddin al-Helmy dan PAS – Bahagian II


https://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12920-dr-burhanuddin-al-helmy-dan-pas--bahagian-ii

Dr Ahmad Nabil Amir,05 Sep 2012
Perjuangan

Pada dekad awal 30-an, Dr Burhanuddin telah memimpin referendum membantah pendudukan Palestin yang menyebabkannya ditahan oleh British kerana mempelopori gerakan memprotes Deklarasi Balfour yang diisytiharkan pada 1917. Tempoh antara tahun 30-an ini merupakan dekad yang penting yang menyaksikan kebangkitan gerakan Islam di seluruh dunia, yang dicetuskan dengan penggembelingan angkatan pemuda, dengan penubuhan Partai Nasionalis Indonesia (PNI) oleh Soekarno pada 1927 dan Ikhwanu’l-Muslimin oleh Hassan al-Banna, pemimpin Islam Mesir pada 1928.

Natrah

Pak Doktor terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan keadilan. Ketika kes Natrah (Maria Hertogh) dibicarakan di Singapura pada tahun 1950, yang telah meributkan seluruh gelanggang perdebatan di tanah air. Beliau bertegas mempertahankan akidah Islam dan bersama-sama Abdul Muhammad menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Natrah. Beliau bangkit membantah keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang menyebabkannya ditahan kerana didakwa terlibat dalam rusuhan.

Beliau ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pada 28 Januari 1965 kerana dituduh bersengkongkol menjatuhkan kerajaan dan menentang pentadbiran yang sah dan terlibat mendirikan kerajaan buangan di Riau, Indonesia. Penahanan tanpa bicara dan pendakwaan kejam itu tidak mematahkan semangat perjuangannnya. Setelah beliau dibebaskan tanpa syarat pada Mac 1966, Pak Doktor enggan menandatangi surat pembebasan kerana mempertahankan kenyataan bahawa beliau tidak bersalah.

Pengalaman dalam sel itu dicatat dengan terperinci dalam bukunya Hari-Hari Aku Dizalimi, yang mengaitkan rencana jahat pemerintah dalam menuduhnya bersubahat dengan Dato’ Raja, Ishak Haji Mohamad dan Aziz Ishak. Turut dicatatkan tekanan dan layanan buruk serta fitnah yang dilemparkan dan direka-reka terhadapnya, dan dakwaan merancang kerajaan buangan dan memobilisasi gerakan subversif, yang menurutnya mencemarkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin dan tidak selayaknya dituduh kepadanya sebagai “seorang ahli politik yang telah lama di gelanggang politik dan berjuang cara Perlembagaan dari 1937 lagi”.

Hal ini seperti yang dilakarkan dalam bukunya: “Tidak pernah saya lakukan dan berniat melakukan perkara-perkara di luar Perlembagaan, peraturan kemanusiaan, hak-hak kemanusiaan dan piagam Bangsa-Bangsa Bersatu. Segala tuduhan itu saya jawab bahawa saya tidak tahu dan mana-mana yang patut saya nafikan saya nafikan… saya merasakan dan mengira bahawa tekanan ke atas saya dengan segala tuduhan yang tidak betul adalah direka-reka semata-mata… Perikatan dalam ketakutan dan kebimbangan disebabkan bangkangan oleh saya.”

Memimpin PAS

Sejarah penubuhan PAS bermula daripada gerakan Parti Golongan Muslimin Malaya (Hizbul Muslimin) yang diasaskan pada 17 Mac 1948 oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Hizbul Muslimin tertubuh hasil daripada konferens Islam se-Malaysia pertama yang diadakan pada Mac 1947, di Madrasah Ma‘ahad al-Ehya al-Sharif di Gunung Semanggol, Perak. Konferens ini ditaja oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di bawah pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy yang dianjurkan untuk membincangkan permasalahan ekonomi umat Melayu-Muslim, dan mendirikan pergerakan Islam yang progresif dan memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah British.

Dr Burhanuddin diangkat sebagai Presiden PAS yang ketiga pada tanggal 25 Disember 1956 menggantikan Dr Abbas Elias.

Menurut Zainal Abidin Abdul: “Sebenarnya sebelum PAS lahir, perjuangan menerusi parti politik yang menekankan soal agama Islam telahpun dimulakan oleh Hizbul Muslimin pada tahun 1948. Tetapi umur Hizbul Muslimin adalah pendek kerana kebanyakan pemimpinnya seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir, telah ditangkap oleh kerajaan British apabila darurat bermula. (Zainal Abidin Abdul 1978; “Semangat Perjuangan Melayu”. Seminar Sejarah Intelektual dan Perjuangan Kebangsaan Melayu, Universiti Malaya).

Perjuangan PAS ketika itu juga terikat dengan tuntutan politik Melayu, seperti dikemukakan dalam manifesto PAS pada pilihan raya 1959: “Mengembalikan hak kedaulatan Melayu dan memberi keutamaan kepada orang-orang Melayu dalam bidang kerajaan dan pentadbiran.”

Pembabitan Dr Burhanuddin dalam PAS bermula sejak awal dengan usahanya memimpin parti dan melakarkan garis perjuangan yang mendasar bagi mendukung cita-cita politik yang besar ke arah membebaskan watan daripada cengkaman penjajah. Menurut Dr Ismail bin Said dalam tesisnya bertajuk Parti Islam Sa-Malaysia: Kepimpinan dan Perjuangan dari Tahun 1951 hingga 1970: “Ketiga-tiga tokoh ini (Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, Dr Abbas Alias dan Dr Burhanuddin al-Helmy) bukan sahaja berjuang menuntut kemerdekaan dan membela nasib orang Melayu dan agama Islam, mereka juga menyuarakan kepentingan umat Islam sejagat terutamanya di Palestin, Selatan Thailand dan di Afrika Selatan… dengan kepimpinan yang diamalkan, mereka telah berjaya membangunkan PAS menjadi sebuah parti yang berjaya dalam tempoh dua dekad awal ini.”

Dr Burhanuddin diangkat sebagai Presiden PAS ketiga pada tanggal 25 Disember 1956 menggantikan Dr Abbas Elias. Kedudukannya yang kukuh dalam PAS telah memungkinkannya untuk melakarkan agenda perjuangan yang bermakna dalam menzahirkan gagasan mewujudkan sebuah negara yang makmur seperti diungkapkan dalam ucapannya: “Kita dari angkatan PAS akan melancarkan bahtera perjuangan kita menuju pelabuhan cita-cita Islam yang sangat jauh pelayarannya. Kita sama-sama bertolak beriringan aliran-aliran lain dan walaupun nasionalisme dan sosialisme telah sampai, tetapi Islamisme akan berlayar terus, menuju pelabuhan kita: Baldatun Taiyibatun Wa Rabbun Ghafur.”  (Burhanuddin al-Helmy 1957; Suara Islam)

Pucuk pimpinan PAS yang diterajui oleh Dr Burhanuddin sebagai yang Dipertua dan Prof Zulkifli Mohamad sebagai Timbalan yang Dipertua telah memperkasakan pimpinan, dan merobah corak perjuangan secara lebih agresif dengan kejayaan PAS merampas 14 buah kerusi parlimen di Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya tahun 1959. Antara tahun 1956-1969 di bawah tampuk kuasa presiden yang baru, PAS telah menunjukkan pencapaian politik yang terbaik dengan kemantapan dasar yang dizahirkan, dan sikap keterbukaan yang tinggi dan aspirasi perjuangan yang progresif. Dan Pak Doktor, pejuang demokrat yang Islamis, meneruskan aspirasinya yang radikal untuk memimpin dan mengemudi perjuangan yang dahsyat itu.

Sumbangannya dalam menggembling jentera parti dan memperkuat saf kader dan merobah struktur dan strategi perjuangan adalah pencapaian yang terbaik dicatat dalam sejarah politik PAS. Mengulas perkembangan ini, Dr Farish Noor menulis: “For those who have studied the historical development of PAS, the years of Dr Burhanuddin al-Helmy’s leadership appear as the period when the party was led by the most progressive Islamist intellectual in the country”. (Farish Noor, 2004. Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-2003).

Reformasi Kedua

Setelah berhasil menumpaskan penjajah dan meraih kemerdekaan pada 1957, maka perjuangan Pak Doktor diisi dengan gerakan membawa perubahan dan menegakkan cita-cita Islam dan menggarap idealisme dakwah, seperti yang diungkapkan oleh Prof Zulkifli Mohamad yang menggariskan khittah Islamiyah yang tuntas dalam pidatonya:

“Setelah mencapai kemerdekaan sampailah kita kepada peringkat perjuangan mengisi kemerdekaan, dari sini bermulalah peringkat kedua perjuangan kita, peringkat jangka panjang perjuangan PAS. Sebagai sebuah parti yang berideologi, kita berazam hendak mengisi kemerdekaan itu dengan ideologi kita sendiri, iaitu ideologi Islam atau Islamisme. Kita percaya dengan Islam sahajalah negara kita dan umat kita dapat dibawa ke arah keselamatan dan kebahagiaan yang sebenar-benarnya. Dengan lain-lain perkataan bahawa, tugas kita yang terpenting sesudah tercapainya kemerdekaan ialah berikhtiar supaya undang-undang dan peraturan yang diamalkan dalam masyarakat dan dalam pemerintahan negara, sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah. Dengan itu barulah ada nilainya Islam itu sebagai agama pembimbing hidup kemanusiaan.”
Perjuangan yang dipelopori Dr Burhanuddin menzahirkan ideologi perjuangan yang praktikal dan realistik. Sumbangannya yang penting adalah dalam merealisasikan cita-cita Islamisme dan nilai perjuangan yang pragmatik, seperti yang ditegaskan dalam pidatonya:

“Saya berpendapat bahawa sebarang ideologi hanyalah alat saja untuk memperjuangkan cita-cita nasional, cita-cita kebangsaan, iaitu cita-cita menegakkan suatu negara Malaya yang merdeka, demokratis dan berdaulat… Ideologi nasionalisme atau kebangsaan ialah [bertujuan untuk] mencapai kemerdekaan politik, ekonomi dan sosial, dan terdirinya kebebasan dan kemakmuran dan rakyat bersih daripada sebarang pengaruh penjajahan… semua isme ini timbul daripada pengalaman-pengalaman manusia yang telah berlaku dalam proses perkembangan masyarakatnya dari zaman kuno hingga ke zaman moden ini. [Tetapi] ideologi Islam (atau Islamisme) adalah berbeza dan berlainan daripada isme-isme yang lain. Keistimewaan Islamisme ialah datangnya sebagai hukum ketetapan yang diturunkan Tuhan yang menjadikan manusia seluruhnya dan menciptakan alam ini sekaliannya. Hukum ini tidak dapat di-ubah-ubahkan dan ditukar atau dipinda-pinda. Yang boleh berubah dan bertukar ialah hanya manusia itu sahaja. Islamisme tegasnya, adalah hukum Tuhan bagi seseorang dalam perhubungan dan masyarakat dan dalam perhubungan dengan Tuhan.” (Farish Noor, 2004. Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-2003).)

Perjuangan PAS adalah bersandar kepada tuntutan untuk menegakkan syari’at dan hukum. Inilah pijakan perjuangannya yang jelas, untuk mewujudkan “negara yang menghayati tuntutan Islam yang sebenar (al-din wa al-daulah) dalam segala bidang, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa… (yakni) sebuah negara kebajikan yang diasaskan atas prinsip syara‘” (PAS 2003; Negara Islam).
Inilah antara tasawwur perjuangan yang dilakarkan Dr Burhanuddin dalam harakah PAS, yang menetapkan iltizam dan kesediaan untuk mengharungi dan melompat ke tengah-tengah gelanggang dan tampil menuntut dan membela maruah agama dan bangsanya dan mempertahankannya habis-habisan. Merumuskan gerakan pembaharuan yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin, kita dapat menyimpulkan bahawa ketangkasan idenya telah mengangkat martabat perjuangan dengan sumbangan yang penting dalam

(1) memimpin perubahan
(2) mengangkat kedudukan PAS ke persada dunia
(3) menyiapkan golongan pelapis
(4) menggalakkan wacana demokratis dan terbuka, dan
(5) mencetak kader dakwah yang mendukung cita-cita keadilan dan islah.

Ketangkasannya mengatur aktiviti politik diperkukuh dengan kemantapan daya juang dan peranannya yang aktif dalam mengetengahkan agenda Islam dan mengangkat harakat bangsa, dan inisiatif yang strategik untuk mengemukakan isu-isu yang mustahak dan mendesak ke parlimen. Strategi perjuangannya direncana dengan tuntas. Beliau berhempas pulas memperjuangkan asas politik Islam berteraskan matlamat syari’ah yang menuntut “kekuasaan diselenggarakan dengan cara yang saksama”, menggembling masyarakat madani, dan membina kerangka pemerintahan berteraskan prinsip al-adl wa’l ihsan.

Setelah kewafatan Pak Doktor pada 10 Oktober 1969, kerusi presiden di ambil alih oleh Ustaz Mohd Asri Muda (1969-1982), Ustaz Yusof Rawa (1982-1988) dan Ustaz Fadhil Noor (1988-2002) yang telah menunjukkan daya kepimpinan yang luar biasa di kalangan pemimpin dan akar umbi PAS dan ABIM pada dekad-dekad 80-90 an. Kepimpinan Ustaz Fadhil (1937-2002) menyerlahkan kekuatan idealisme yang diasaskan oleh pejuang-pejuang PAS yang besar seperti Dr Burhanuddin al-Helmy dan Prof Zulkifli Muhammad dalam harakat politik. Kepimpinan PAS kini digalas oleh Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang, yang menerajui perjuangan sejak 2002.

Faham Islamis Nasionalis

Dr Burhanuddin berjuang mengembangkan faham kebangsaan Islam seperti yang digagaskan oleh Sang Maestro, M. Natsir di Indonesia. Tema politik yang diangkatnya adalah Kebangsaan Melayu, Hak Ketuanan Melayu dan Melayu Raya seperti dijelaskannya:

“Saya berpendapat bahawa sebarang ideologi hanyalah alat saja untuk memperjuangkan cita-cita nasional”

“Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci.” Dan dalam bukunya Falsafah Kebangsaan Melayu (1954), beliau mengetengahkan pandangannya tentang dasar kebangsaan Islam: “Islam memandang kebangsaan itu sebagai suatu alat, bukan tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai suatu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan tetapi hanya satu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat”.

Nilai asabiyyah sempit ditolak, ditempa dengan asabiyyah positif yang dibarengi oleh kesedaran, semangat persaudaraan dan solidaritas sosial yang tinggi seperti yang diungkapkan oleh Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah, yang menolak fanatisme dan faham perkauman sempit dan menekankan ikatan masyarakat dan budaya yang kuat, keselarasan sosial, keadilan dan kebenaran sebagai kunci bagi melahirkan sebuah negara yang teguh dan asas yang menopang kebangkitan, seperti dihuraikan oleh Ustaz Haji Yusuf Rawa dalam ucapan dasar Muktamar PAS pada 1984:

“Kita yakin walaupun manusia dijadikan Allah terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan keturunan, tetapi bangsa dan keturunan tidak boleh dijadikan teras pembentukan suatu ideologi yang menentukan nilai-nilai dan pegangan perjuangan yang benar… kecenderungan menolong orang-orang Melayu dari kalangan pemimpin yang berbangsa Melayu, tidak seharusnya melampaui batas-batas kebenaran dan keadilan. Kecenderungan itu tidak seharusnya dilayani sehingga membenarkan kezaliman, pembaziran, perlindungan ke atas jenayah dan rasuah. Begitu juga pembaziran, kezaliman, rasuah dan penyelewengan, tidak seharusnya dibiarkan menjadi rintangan dalam usaha-usaha untuk memperbaiki kehidupan orang-orang Melayu.” (Riduan Mohamad Nor 2008; Makkal Sakhti 2008: Analisis Pilihanraya Umum ke-12).

Menurut Ustaz Yusuf, faham asabiyyah ini telah mengasak dalam masyarakat yang tertindas dan merupakan warisan penjajah yang harus ditolak: “Orang-orang Melayu menjadi mundur kerana amalan sistem ‘asabiyyah yang zalim. Sistem yang zalim itu mestilah dihancur-musnahkan… kerana sistem ‘asabiyyah yang zalim itulah menjadi punca kemunduran dan penderitaan seluruh rakyat… fahaman nasionalisme asabiyyah di negara kita adalah warisan pemikiran penjajah yang dicorakkan mengikut acuan nasionalisme barat dan sikap permusuhan barat terhadap Islam. Perjuangan parti-parti asabiyyah ini tidak akan dapat mewujudkan pemikiran baru di kalangan rakyat Malaysia yang bebas dari pertentangan dan tanaqudat.”

Dalam artikelnya yang disiarkan oleh The Malaysian Insider bertajuk “Apa mesej PAS” Dr Mujahid Yusof Rawa menekankan: “Ketuanan Bangsa bagi PAS terpaksa tunduk kepada keadilan Islam, dengan cara itu orang Melayu akan selamat dan bukan Melayu akan terjamin. Inilah politik baru yang PAS cuba bawakan supaya negara ini tidak lagi terjerat dengan kitaran ketuanan bangsa yang UMNO perjuangkan selama ini.”

Penerus Perjuangan

Perjuangan Dr Burhanuddin ini akan terus dikenang oleh generasi PAS yang baru, yang terkesan dengan aspirasi yang dicetuskan dan digerakkannya, dan daya tahannya yang keras mengasak dan meniupkan idealisme pembaharuan. Tradisi perjuangan yang dimulakannya akan terus dinyalakan untuk menebus perjuangan bapa-bapa kemerdekaan yang cekal berjuang menuntut kebebasan. Harakat dan cita-cita perjuangannya yang keras akan terus dibakar dengan hasrat perjuangan yang lebih besar, seperti yang disingkap oleh sasterawan ulung A Samad Said dalam puisinya yang khusus dilakarkan untuk Dr Burhanuddin berjudul Tapak Yang Luhur:

“pagi ke malam berjuang tegap,
di tengah rakyat gigih bersikap…
menyala unggun zaman yang garang,
membakar tekad cekal berjuang.”

Dr Burhanuddin al-Helmy dan PAS – Bahagian I


http://harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12799-dr-burhanuddin-al-helmy-dan-pas-bahagian-i

Dr Ahmad Nabil Amir,30 Ogs 2012
“Seribu orang tua hanya dapat bermimpi, satu orang pemuda dapat mengubah dunia”. Presiden Soekarno.
Dalam sejarah politik dan struktur pemerintahan di Malaysia, Parti Islam se-Malaysia (PAS) memainkan peranan yang cukup penting dalam menentukan corak dan landas perjuangan politik di Tanah Melayu sejak ditubuhkan pada 4 April 1956.

Antara gagasan terpenting PAS yang dicerakinkan dalam perlembagaannya (pindaan 2001) adalah “memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah” dan “mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara”
Dan cita-cita ini jelas terungkap dalam pemasyhurannya: “Bahawa dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan al-amru bil ma‘ruf wan nahyu ‘anil munkar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan Parti Islam Se-Malaysia.”

Dalam bukunya Islam Embedded yang menganalisis sejarah perkembangan PAS sejak tahun 1951-2003, Dr Farish Noor menzahirkan pandangannya tentang PAS sebagai: “the most remarkable political party in the history of Malaysia”. Kebangkitan PAS antara tahun 1999-2003 telah meletakkannya ke posisi yang penting dalam arus politik tanah air: “the Pan-Malaysian Islamic Party (PAS) had become the biggest and most important opposition party in Malaysia”.

Dr Mujahid Yusof Rawa dalam bukunya Menuju PAS Baru berhujah bahawa perjuangan membina kekuatan parti harus diperkukuh dengan wacana baru yang dapat merumuskan pandangan politik Islam yang syumul dan dinamis.

Dr Siddiq Fadzil, dalam ucapannya yang noltalgik “Memahami Garis-Garis Besar Haluan Perjuangan” merumuskan bahawa perjuangan “Islam mempunyai misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan) yang bertujuan mengangkat harkat dan darjat manusia.”

Antara tiga garis besar yang membentuk fikrah dasar perjuangan PAS adalah menzahirkan cita-cita murni melaksanakan tuntutan syari’at, menyalakan obor nahdah, dan menegakkan syiar agama dan iltizam perjuangan ini terus dibakar dan dinyalakan dalam perjuangan menuntut pembaharuan dan reformasi Islam.

Pemimpin ulung yang telah berjasa membangun dan memperkasai perjuangan ini sejak mula ialah Dr Burhanuddin al-Helmy yang memimpin perjuangan daripada tahun 1956-1969, sang doktor yang telah menebus dan mewakafkan hidupnya untuk satu perjuangan yang tidak dapat dikompromi dan ditawar-tawar oleh sogokan dan ugutan penjajah.

Latar kehidupan

Nama asalnya ialah Amir Burhanuddin bin Ungku Mohammad Noor. Beliau dilahirkan pada 29 November 1911 di Kampung Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak. Pak Doktor ini berasal daripada keturunan ulama dan sufi dari Sumatra yang berhijrah ke Tanah Melayu. Bapanya, Haji Muhammad Noor, adalah seorang alim Minangkabau yang mengajar tasawuf dan mengusahakan ladang tani. Beliau pernah berguru dengan Sheikh Mohammad Khatib al-Minangkabawi dan beberapa pemuka agama di Mekah. Ibunya Sharifah Zahrah Habib Osman adalah wanita Melaka daripada suku peranakan Arab-Melayu. Mereka bertemu di Perak setelah Haji Muhammad Noor kembali dari menunaikan haji di Mekah.

Menurut Dr Burhanuddin dalam lakaran kisah hidupnya: “Ayahanda saya adalah seorang tasawwuf dan bertariqah Naqshabandi serta dengan lurus dan wara‘nya. Maka saya daripada kecilnya dilatih secara wara’nya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjemaah, membaca Qur’an dan [Maulid karya] al-Barzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main saya tidak.” (Simposium Tariqat dan Tasawuf, 1972)

Dr Buhanuddin digelar al-Hulaymi atau al-Helmy kerana karakternya yang tenang dan penyabar, seperti bapanya yang digelar Abi Halim, sebagaimana dilukiskan oleh Saliha Haji Hassan dalam tulisannya, Dr Burhanuddin Al-Helmy, A Political Biography: “Pilihan kata asal al-Hulaimi itu benar-benar melambangkan keperibadian Dr Burhanuddin yang lemah-lembut, santun, tenang, sabar… istilah al-Hulaimi menurut hukum tatabahasa Arab mempunyai makna yang sama dengan al-Helmy tetapi dalam bentuk yang merendah atau lebih kecil (Saliha Hj. Hassan 1997; Dr Burhanuddin Al-Helmy, A Political Biography). Beliau turut dikenal sebagai Pak Doktor dalam kalangan pengikut dan rakannya.

Pada tahun 1927, beliau merantau ke Pulau Pinang untuk menuntut di Madrasah al-Mashoor al-Islamiyyah dan berguru dengan pemikir dan reformis penting seperti Shaikh Abu Bakar al-Rafi‘i, Haji Arshad al-Bawayih, dan Ashiran Yaakob, yang menggerakkan perjuangan kaum muda yang telah dicetuskan oleh Syed Sheikh al-Hadi, dan Sheikh Mohamad Tahir Jalaluddin al-Azhari di Tanah Melayu. Beliau menamatkan pelajarannya dengan memperoleh thanawi (menengah atas) pada 1934.

Kemudian, dengan biasiswa yang ditawarkan oleh saudagar India Muslim, beliau melanjutkan pelajaran ke India dan mengambil kursus perubatan homeopatik di Madrasah al-‘Ulum Musalmanan (Anglo Indian College) di Aligarh. Madrasah yang ditubuhkan oleh Sir Sayyid Ahmad Khan pada tahun 1875 ini berhasrat untuk melahirkan para reformis Islam yang mahir dalam falsafah moden dan disiplin sains yang luas.

Dr Burhanuddin berhasil menyiapkan tesis kedoktorannya dalam bidang falsafah, dan sewaktu menyusun disertasinya beliau merujuk kepada karya-karya besar dalam bahasa Arab dan Eropah, dan menelusuri sejarah pemikiran dan peradaban dunia yang ditulis oleh kelompok sarjana dari timur dan barat, dan berhasil menggarap dan menguasai dengan baik lima bahasa besar.

Demikian dirakamkannya: “Maka saya di India, saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu kedoktoran homeopati asas Belanda, memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf (PhD) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam falsafah.”

Setelah pulang ke tanah air, berbekalkan pengalaman dan kelulusannya, beliau diterima mengajar di Madrasah al-Juneid, Singapura. Beliau turut menawarkan khidmat perubatan homeopati di dua cawangan kliniknya, di Johor Bharu dan di Jalan Picitan, Singapura yang dibina dengan bantuan seorang doktor India, Dr N. Rajah.

Pengaruh Tasawuf

Pak Doktor tertarik kepada tariqat Naqhshabandiyyah yang berkembang di India, yang mempunyai dasar dan hujah tasawwuf yang meyakinkan. Tariqat ini aktif mendakyahkan ajarannya di Asia Tenggara dengan pengaruh yang signifikan di kalangan pengikutnya yang terus berkembang dengan pantas. Ketika di India, beliau menghadiri halaqat-halaqat tasawuf ini dan mengutip pengalaman ma‘rifi, dhawqi dan tajribi melalui pembacaan yang substantif.

Perkara ini dikupas dalam tulisannya: “Saya pelajari sufi daripada bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa‘i, al-Rumi, al-Qushairi, Ibnu ‘Ata’illah dan lain-lain serta rujuk kitab-kitab Eropah itu kepada kitab Arab maka barulah saya mencari kitab-kitab Arabnya pula. Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam yang hanif ini terutamanya kesan-kesannya ialah daripada ulama-ulama’ Syafi’i dan ulama-ulama’ tasawwuf, sama ada ulama-ulama’ itu datang secara saudagar atau secara muballigh; bukan masuk melalui ulama-ulama’ fiqh. Islam masuk di Nusantara kita ini berkembang tidak dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jua yang dapat mengatasi agama Hindu dan Buddha sebagaimana yang diperjuangkan oleh wali songo di Jawa dan lain-lain kepulauan maka beransur-ansur nampaklah saya kesenian ilmu tasawwuf.”

Faham tasawuf yang dipintalnya turut merangkul tasawuf moden dan agresif yang mendakap semangat jihad. Dan perjuangannya terus digilap dan dipasak dengan lebih jelas setelah menghadam disiplin agama dan sosial yang penting seperti falsafah, perbandingan agama, tasawwuf dan ilmu tariqat.

Menurutnya pengajian tasawwuf harus dibarengi dengan pengetahuan falsafah dan perbandingan agama, sebagai asas keilmuan yang zahir, seperti dinyatakannya dalam buku Simposium Tariqat dan Tasawuf: “Bagi memudahkan mendekati ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya bagi mencari ilmu pada zaman kebendaan dan ilmiah ini, eloklah lebih dahulu mempelajari ilmu fizik kemudian pelajari ilmu metafizik atau maa wara’a al-taba’ah, ilmu falsafah dan ilmu perbezaan antara agama-agama.”

Kerangka Pemikiran

Dr Mujahid Yusof Rawa, dalam penulisannya yang kritis seperti Rejuvenasi PAS dan Menuju PAS Baru mengungkapkan bahawa langkah perjuangan yang digariskan Dr Burhanuddin harus diangkat dan dilontarkan dalam menuju PAS baru. Beliau menuntut supaya hierarki PAS berganjak ke arah perubahan, stereotaip dicabar dan pembaharuan dan kesedaran politik tentang esensi kebebasan, kesedaran watan, faham keadilan dan nafas perjuangan dan semangat kemerdekaan ditanam dan dipugar. Begitu juga strategi perjuangannya dalam politik tergambar daripada kegiatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) menentang pendudukan British dan Jepun, seperti diungkapkannya:

“Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil bahagian di hutan di rimba jadi anti-fasis, ada yang menjalankan gerakan rayap – semut api – harimau dan sebagainya.”

Dalam pergerakan politik, Pak Doktor memilih wadah Islam sebagai landas perjuangan. Beliau disifatkan sebagai sosok pemikir yang terbaik dilahirkan dalam dekadnya, dan penggagas siyasah syar‘iyyah dan fiqh awlawiyyat Islam, dan faqih besar dalam mazhab. Pendekatan politiknya adalah berteraskan amalan perlembagaan dan undang-undang, dengan memilih cara aman untuk menuntut perubahan.

Demikian seperti yang diungkapkan dalam pidatonya dalam Persidangan Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman pada Disember 1956. “Jalan kekerasan tidaklah lagi jalan yang sesuai untuk menyelesaikan segala soal hidup manusia. PAS menentang kekerasan kerana kekerasan adalah bertentangan dengan dasar dan ideologi PAS. Perjuangan kemerdekaan tanah air akan diteruskan oleh PAS dengan jalan aman dan damai, dengan jalan berperlembagaan.”

Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, perhitungan politiknya adalah bercorak situational politics (siyasah waqi‘) seperti yang dihuraikan oleh saudara Salahuddin Ayub ketika membahaskan sumbangan dan falsafah perjuangan dan pemikiran dakwah Pak Doktor: “Dalam konteks ini, saya ingin mengajak para pemuda semua untuk kita menghayati pemikiran dakwah yang digagaskan oleh Almarhum Prof Dr Burhanuddin al-Helmy. Beliau amat menekankan keterbukaan dalam pendekatan dakwah yang sesuai dengan naluri masyarakat sebagaimana berhikmahnya Wali Songo yang menggunakan saluran seni hiburan untuk mengajak masyarakat kepada Islam. Pendakwah tidak menghukum, tetapi memujuk dan menasihati. Perbezaan bukan asas kepada perpecahan, tetapi menzahirkan keterbukaan. Jangan kerana kita sukakan susu, lalu mengatakan kopi tidak baik, tetapi minumlah susu dan hargailah peminum kopi.”

Itulah keterbukaan yang ditunjukkan oleh Dr Burhanuddin. Beliau dikenali sebagai tokoh reformis, tetapi sangat disenangi oleh ulama kaum tua. Beliau terkenal sebagai ahli tasawuf, tetapi begitu rapat dengan ulama kaum muda. Beliau menyusun strategi dakwah dengan mendekati golongan sosialis-komunis, memulakan kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu tanpa rasa chauvinis, mendukung perjuangan nasionalis, tetapi kekal sebagai tokoh yang Islamis. Pengikut dan pengkagumnya bukan sekadar orang-orang politik, tetapi juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Inilah model pendakwah yang mesti dicontohi oleh Pemuda PAS pada masa akan datang.” (Seminar Pemikiran Dr Burhanuddin al-Helmy, 2009)

Ahmad Boestamam menulis tentang kekuatan pengaruh Dr Burhanuddin dan kecekalan perjuangannya: “Di atas segala-galanya, Dr. Burhanuddin al-Helmy adalah seorang patriot. Dan kalau kepada beliau hendak diberikan suatu gelaran yang tepat, layak dan sesuai dan hak sekali bagi beliau ialah Bapak Kebangsaan Melayu” (Ramlah Adam 1993; Dr. Burhanuddin al-Helmy: kajian mengenai kegiatannya dalam PKMM 1946-1948.).

Sewaktu menuntut di India, Pak Doktor telah mula bergelut dengan arus pemikiran Islam moden yang dicanang oleh Sayyid Ahmad Khan, Jamaluddin al-Afghani, Syed Ameer Ali (1849-1928), Aga Khan, Nehru dan Muhammad Ali Jinnah (pemimpin Islam Pakistan).

Pandangannya yang progresif turut dibentuk daripada pengalamannya menuntut di Indonesia, yang meraikan semangat ikhtilaf, mengangkat kekuatan akal dan ijtihad, mengembangkan faham budaya dan politik yang dinamis dan menggerakkan reformasi dan cita-cita pembaharuan yang kental untuk merobohkan benteng taqlid yang mengikat kebebasan fikrah yang diwarisi daripada pemikiran masyarakat yang jahil dan bobrok.

Hal ini dinyatakan dalam makalahnya Tasawuf dan Tariqah: “Bila saya lepas belajar ke luar di Indonesia, dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula ulama-ulama kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti al-Manar dan al-Fath. Saya pelajari ilmu-ilmu usul fiqh, usul al-ahkam, mazahib al-arba’ah (mazhab empat) dan membaca kitab-kitab Bidayah al-Mujtahid, Subul al-Salam, kitab-kitab [Syeikh al-Islam] Ibn Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim, asy-Syaukani, [Syeikh] Abdul Wahhab al-Wahhabi (yakni [Syeikh] Muhammad Abdul Wahhab), al-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Redha dan akhirnya Tantawi. Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot.”

Untuk mengejar cita-cita ini, beliau menggerakkan perjuangan menuntut perubahan dan reformasi dengan berkecimpung dalam politik marhaen dan gerakan rakyat. Selama lebih 30 tahun mengharungi perjuangan (1930-1960 an) beliau telah memimpin pertubuhan-pertubuhan penting seperti KMM (Kesatuan Melayu Muda), KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung), PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya), PUTERA-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat-All Malayan Council of Joint Action), dan Persatuan Islam Sa-Tanah Melayu atau Parti Islam se-Malaysia (PAS).

Pada tahun 1937, Pak Doktor menerbitkan majalah Taman Bahagia, sebagai tapak perjuangannya untuk memecahkan monopoli British di Tanah Melayu, seperti diungkapkannya: “apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah Taman Bahagia lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang ‘Malaya jadi Palestin kedua’ masih kedengaran diperkatakan orang.”

Kamaruddin Jaafar dalam artikelnya Perjuangan dan Pemikiran Politik Dr Burhanuddin al-Helmy merumuskan bahawa dalam tiga dekad perjuangannya, riwayat politik Dr Burhanuddin dapat dirangkum dalam tiga ciri utama: kemerdekaan, kebangsaan Melayu dan Islam. Nilai-nilai ini ditanam dalam perjuangannya menentang penjajah dengan semangat dan daya tahan yang kental, dengan usaha menyemarakkan nilai progresif dan ide radikal dalam ideologi dan aqidah perjuangan PAS, seperti diungkapkan oleh Ahmad Boestmam dalam bukunya Merintis Jalan ke Puncak: “Kalau PAS berjiwa kiri dan progresif juga untungnya kepada Partai Rakyat Malaya, demikian saya memperhitungkan. Setidak-tidaknya Partai Rakyat Malaya tidak akan menghadapi ‘lawan’ yang bertambah sebagaimana kalau kiranya PAS berjiwa kanan dan tidak progresif.”

Pak Doktor menggariskan strategi perjuangan dan matlamat politik yang ideal dan hala tuju yang jelas dalam harakat PAS, dengan merangka agenda yang praktis dan inklusif, yang menggabungkan tradisi pemikiran daripada semua aliran untuk mempertahankan kemerdekaan, seperti yang dilafazkannya dalam Muktamar tahunan pada 1956: “Tiap-tiap kita mengingini satu negara Malaya yang demokratis dan berdaulat dalam erti kata yang sebenarnya. Cita-cita ini belum tercapai sekarang dan tidak akan tercapai pada 31 Ogos 1957 ini. Ke arah cita-cita itulah PAS akan berjuang bahu membahu dan saling berbimbingan tangan dengan segala golongan dalam masyarakat.”

Dalam mengeratkan perpaduan ini beliau mengungkapkan kesediaan PAS bertahaluf siyasi (mengikat kerjasama politik):

“Dan PAS juga tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang mempunyai kesanggupan, yang mempunyai kelayakan, yang mempunyai tenaga dan kebijaksanaan untuk berjuang mencapai kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan tanah airnya. PAS tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang berkewajipan memikul tugas suci kemerdekaan bangsa dan tanah airnya kerana itu adalah tugas rakyat bersama.
Saya katakan bahawa penjajahan adalah bercorak internasional, satu gergasi yang pengaruh dan kekuatannya dirasakan di seluruh dunia. Kerana itu, penjajahan tidak boleh ditentang hanya dengan tenaga satu golongan saja, satu parti saja, tetapi sebaliknya hanya dengan tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh dunia, tenaga-tenaga anti-imperialisme seluruh masyarakat.
Oleh itu, PAS sanggup bekerjasama dengan apa sahaja golongan, apa saja parti, apa saja aliran dalam masyarakat atas dasar kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air… perjuangan itu sama besarnya dengan perjuangan yang telah kita pusakai daripada datuk-nenek kita menentang penjajahan semenjak kejatuhan empayar Melaka dahulu.
Sudah tentu perjuangan yang sebesar itu mengkehendaki tenaga yang sebulat-bulatnya dari seluruh rakyat negeri ini, menghendaki pengorbanan yang rela daripada segenap golongan progresif dalam masyarakat. Tenaga-tenaga nasionalisme, keagamaan dan sosialisme yang sihat dalam masyarakat harus kita gemblengkan, kita padukan mulai sekarang untuk merupakan satu tenaga besar demi tugas perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan tanahair kita.”

Kamarudin Jaffar dalam bukunya, Dr Burhanuddin al-Helmi: Politik Melayu dan Islam menzahirkan kekuatan idealisme perjuangan yang dicanangnya dan iktibar serta kesannya dalam pemberdayaan bangsa: “Adalah diakui umum bahawa Dr Burhanuddin al-Helmy merupakan seorang tokoh terkemuka di alam Melayu ini. Sumbangan beliau di bidang politik, perjuangan kemerdekaan dan ilmu perubatan serta peranan Islam yang diletakkan oleh beliau di bidang-bidang tersebut perlu sekali dipelajari oleh masyarakat kita hari ini”.

Lontarannya yang memukau:
“Di atas robohan kota Melaka,
kita dirikan jiwa merdeka,
bersatu-padulah segenap baka,
membela hak keadilan pusaka”

Yang diucapkan semasa kongres PKMM ke-2, tanggal Disember 1946 di Melaka cukup menzahirkan aspirasi dan cita-cita besarnya untuk mengangkat harakat bangsa dan agama, dan terserlah dalam perjuangannya mendirikan partai Islam dan memimpin harakah perjuangan yang terbesar di Malaysia.

Thursday, June 28, 2012

Guan Eng dihujani soalan hudud dalam wacana DAP


  • Abdul Rahim Sabri
  • 2:19PM Jun 28 2012
 
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng malam tadi 'dihujani' pelbagai persoalan berkaitan pendirian dan sikap parti itu terhadap isu hudud yang menjadi perjuangan parti rakannya PAS dalam Pakatan Rakyat.

Dalam program wacananya untuk mendekati Melayu di Shah Alam malam tadi, sesi soal jawab menjadi panas apabila peserta Melayu yang rata-rata muda bangkit bertanyakan isu itu kepadanya.

Lim mengulangi pendirian bahawa DAP "tidak bersetuju" dengan hudud kerana mereka "berpegang kepada perlembagaan dan tidak ada peruntukan untuk hudud" dalamnya.

Bagaimanapun tegasnya, perkara itu tidak menghalang DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR khususnya dalam perkara yang dipersetujui seperti menentang kemungkaran dan membanteras rasuah.

"Kita berbincang untuk berpegang kepada yang sedia ada. Kita mesti mengikut amalan dan konvensyen yang ditetapkan.

"PAS ada pendirian, DAP ada pendirian. Tetapi ia tidak menghalang kerjasama dalam isu yang lebih besar," katanya dalam wacana bertajuk "Benarkah DAP mengancam Islam" anjuran akhbar web berbahasa Melayu DAP Roketkini.

'Tak mungkin pujuk non-Muslim terima hudud'
Lim turut ditanya seorang anak muda bagaimana parti itu menerapkan kefahaman kepada bukan Islam mengenai hudud selepas ia didakwa ditakut-takutkan pemimpin BN.

"Tidak mungkin (DAP) memujuk orang bukan Islam untuk menerima hudud. Hakikatnya bukan DAP sahaja tidak terima hudud, tetapi kebanyakan orang bukan Islam, di Sabah dan Sarawak lebih ramai tidak bersetuju.

"Itulah hakikat yang kita kena terima. Pemimpin PAS perlu menerima hakikat, hudud tidak diterima oleh golongan bukan Islam. Tetapi mereka memberi keyakinan bahawa mereka tidak akan paksa. (Saya rasa) itu yang penting," katanya.

Sehubungan itu, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang mengajak semua pihak supaya tidak terperangkap dengan Umno yang didakwanya mahu menonjolkan isu hudud untuk memecahbelahkan Pakatan.

"Kita berdasarkan kerjasama atau prinsip musyawarah. Kalau kita bersetuju, mari kita cari kata putus. (Perkara) yang tidak boleh bersetuju, kita terima pandangan yang berbeza," katanya.

Sementara itu, Lim menegaskan salah faham rakyat khususnya orang Melayu-Islam terhadap parti itu disebabkan "persepsi palsu" yang didakwanya dibentuk oleh BN.

Lum juga menafikan dakwaan DAP anti-Islam, memandangkan parti yang ditubuhkan pada 1966 itu menerima perkara yang termaktub dalam perlembagaan termasuk Islam sebagai agama persekutuan.

"Ia (anti-Islam) tidak mungkin berlaku... Apa bukti DAP anti Islam? Sejak DAP jadi kerajaan di Pulau Pinang, halang maulud (nabi) ka? Fitnah yang berulang-ulang mungkin akan percaya.

Pensyarah: Aktivis Islam selesa dengan DAP dari Umno


Menurut ahli parlimen Bagan itu, DAP dan PAS sebenarnya mempunyai banyak persamaan dari sudut "mahu rakyat hidup dengan bermaruah, keadilan dan kebebasan".

Bahkan, beliau tidak mahu perbezaan antara kedua-dua parti memecahkan Pakatan Rakyat di samping saling hormat-menghormati dan menyifatkan perbezaan pandangan merupakan satu lumrah.

Sementara itu, pensyarah Univerisiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik berkata, berdasarkan tinjauannya, ramai aktivis Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) "lebih selesa" dengan DAP berbanding Umno.

Beliau membangkitkan beberapa isu sebelum ini berkaitan Islam antaranya menukar cuti hari Jumaat kepada Ahad di beberapa negeri, meroboh surau dan isu memecat mufti.

"Adakah DAP Pulau Pinang yang buat? Siapa yang anti-Islam?" soal Dr Maszlee yang diiringi jawapan "Umno" dari kira-kira 150 hadirin.

"Ini persepsi.... Persepsi selalu bersalahan dengan fakta. (Jadi) lihat fakta," katanya.

Di samping itu, Dr Maslee juga berkata beliau pelik, mengapa MCA tidak dikatakan sebagai anti-Islam sedangkan pemimpinnya didakwa menghina hudud, haji dan wanita bersalaman dengan lelaki.