Showing posts with label Ustaz Azhar Idrus. Show all posts
Showing posts with label Ustaz Azhar Idrus. Show all posts

Monday, February 27, 2012

Cerita Ustaz Azhar, rakan bantu mangsa sihir


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8408-cerita-ustaz-azhar-bertarung-dengan-jin

Aziz Muda,28 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 28 Feb: Meskpun sentiasa sibuk dengan aktiviti dakwah, pendakwah selebriti terkenal yang juga ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus (gambar) suatu ketika terpaksa bertarung dengan jin untuk membantu sebuah keluarga yang mengalami penderitaan akibat sihir.

Pertarungan tersebut terpaksa dihadapi ketika beliau berusaha membantu keluarga terbabit yang mengalami penderitaan sehingga 16 tahun dipercayai disihir jiran dengan menggunakan khidmat bomoh Siam.

Menurut Ustaz Azhar, punca tindakan sihir itu hanya disebabkan keengganan keluarga itu menjualkan tanah kepada jirannya.

Katanya, jika dilihat dari luaran memang tiada siapa yang menyangka lelaki tersebut tergamak menyihir jirannya itu kerana beliau sering mendirikan solat berjemaah di masjid, malah sering berada pada saf pertama di belakang imam.
"Tapi di luar pengetahuan orang ramai, pada dirinya terdapat perangai sebegitu buruk sehingga tergamak menzalimi jirannya sendiri sehingga sedemikian rupa," katanya pada satu majlis di sini.

Akibat perbuatan sihir itu, menurutnya, keliarga tersebut mengalami pelbagai kepayahan dalam hidup sehingga batuk berpanjangan dan tidak boleh masuk ke dalam rumah mereka sendiri.

"Bermacam-macam ikhtiar telah dilakukan oleh keluarga itu. Ketika tertentu ikhtiar mereka itu dapatlah mengurangkan sedikit penderitaan mereka, tapi jiran mereka itu pula sentiasa "update" sihirnya dengan bomoh Siam supaya keluarga itu terus menderita berpanjangan," jelasnya.

Disebabkan kebuntuan fikiran, tambah beliau, suatu hari ketua keluarga kepada keluarga itu datang menemuinya untuk mendapatkan bantuan daripada beliau bagi mengatasi masalah mereka.

"Pada hal saya bukan bomoh. Tak pasal-pasal saya pula yang kena bantunya. Terpaksalah saya ajak beberapa orang rakan untuk membantu saya untuk tolong selesaikan masalah mereka itu," ujarnya.

Antara langkah yang dilakukan oleh pendakwah tersebut untuk mengatasi masalah yang dialami oleh keluarga itu termasukah dengan mengajak rakan-rakannya berselawat di sekeliling rumah keluarga berkenaan sehingga mengelilingi rumah itu beberapa kali.

"Ketika itu terlihatlah beberapa lembaga hitam sebesar kerbau di sekeliling rumah itu. Saya yang berada di hadapan, memang takut juga, tapi terpaksa berpura-pura berani. Kalau saya yang cabut, yang lain pasti cabut sama," katanya merendah diri dengan disambut gelak ketawa orang ramai.

Untuk mengatasi sihir, beliau mengingatkan orang ramai supaya memperbanyakkan selawat kepada Nabi, manakala antara tanda orang yang terkena sihir termasuklah akan batuk berpanjangan jika seseorang itu berselawat.

Batuk tersebut, jelasnya, berlaku sebagai tindak balas makhluk halus yang berada di badan seseorang itu yang dijadikan alat bagi sihir yang dikenakan terhadapnya oleh manusia yang tidak berperikemanusiaan.

Beliau menegaskan, dalam Islam, sihir jelas haram hukumnya dan setiap umat Islam perlu mengelakkan diri dari terbabit dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.

Pemimpin ingkar perintah Allah perlu ditukar

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8396-pemimpin-ingkar-perintah-allah-perlu-ditukar-
Aziz Muda,27 Feb 2012

AMPANG, 27 Feb: Pemimpin yang ingkar kepada Allah dengan tidak melaksanakan perintah Allah ke atasnya dan terhadap sistem pemerintahannya, tidak perlu diberikan pertimbangan lebih jauh lagi, melainkan perlu ditukar dengan pemimpin lain yang lebih baik daripadanya.

Sekiranya pertukaran itu tidak dilakukan, ia pasti akan merosakkan sesebuah negara dan rakyatnya sehingga akan menyebabkan berlakunya pelbagai kepincangan dalam pelbagai aspek dalam negara terbabit.

Pendakwah selebriti terkenal yang juga ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus berkata, pemimpin yang ingkar kepada Allah berbeza kedudukannya dengan pemimpin yang lembap atau 'slow'.

Menurutnya, pemimpin yang lembap, kurang bijak, kurang kecekapan, bertindak perlahan untuk kemajuan dan kebaikan negara atau negeri, tidak perlu ditukar.

Katanya, sebaliknya bagi pemimpin lembap, mereka hanya perlu dibaiki agar berubah ke arah kebaikan bagi kepentingan agama, tanah air dan seluruh rakyatnya.

"Keadaan itu samalah juga dengan kedudukan seseorang imam. Makmum memang kena ikut imam. Kalau imam itu baca perlahan, baca surah panjang-panjang, sabar sajalah. Tak perlulah tukar imam itu.

"Kalau tak setuju dengan imam itu, pergi sajalah ke masjid atau surau lain," katanya ketika menjawab soalan peserta sama ada dalam konteks kepimpinan, perlu tukar pemimpin atau ubah pemimpin, pada program Bersama Ustaz Azhar Idrus anjuran Dewan Pemuda PAS Terengganu di De Palma Hotel Ampang, dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, sekiranya seseorang imam itu merosakkan rukun sembahyang, imam tersebut perlu ditukarkan dengan imam lain yang lebih baik daripadanya.

Katanya, begitu juga kedudukannya dengan imam yang sering melakukan maksiat, tidak melaksanakan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar, imam itu juga bukan lagi perlu diubah tetapi perlu ditukarkan dengan imam lain dengan segera.

"Perkara itu samalah juga dengan seseorang pemimpin yang sering melakukan maksiat, tidak melaksanakan perintah Allah dalam sistem pemerintahannya.

"Pemimpin seperti itu jika tidak ditukar dengan pemimpin lain yang lebih baik daripadanya pasti akan lebih merosakkan lagi negara dan rakyatnya sehingga akhirnya akan menyebabkan negara itu musnah," tegasnya.

Tugas menukar pemimpin yang tidak baik kepada yang lebih baik, tambahnya, tidak boleh dipandang ringan oleh setiap umat Islam kerana ia mempunyai kaitan secara langsung dengan tuntutan Allah ke atas setiap umat Islam agar sentiasa mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Selain dari itu, pemimpin seperti itu juga perlu dibantu oleh sesama umat Islam lain demi kepentingan pemimpin itu sendiri dengan diberikan nasihat dan teguran kepadanya agar insaf dan bertaubat kepada Allah.

"Cara untuk memberikan nasihat dan teguran kepada pemimpin yang seperti itu adalah dengan menukarkannya dengan pemimpin lain yang lebih baik daripadanya.

"Setelah kuasa tiada lagi di tangannya, barulah dia akan sedar dengan kesilapan dan kejahatannya sendiri selama ini. Dengan itu, barulah dia akan insaf dan bertaubat kepada Allah," tegasnya.

Begitu juga halnya dengan pemandu yang mabuk, tambahnya lagi, yang bukan sahaja perlu ditukar segera dengan pemandu lain yang lebih baik daripadanya bagi kepentingan nyawa orang lain, tetapi juga untuk menegurnya supaya sedar dengan kesilapannya sendiri.