Showing posts with label TERAS. Show all posts
Showing posts with label TERAS. Show all posts

Sunday, July 22, 2012

JI: Jangan sampai rakyat sangsi integriti polis


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/11847-ji-jangan-sampai-rakyat-sangsi-integriti-polis
Mohd Azmi Abdul Hamid,
23 Jul 2012
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) sangat kesal berulangnya lagi taktik kotor kerajaan yang memerintah untuk berhadapan pembangkang dan musuh politik bila menggunakan isu komunis dan JI menyerapi parti pembangkang.


Pengumuman transformasi politik oleh Perdana Menteri nampaknya hanya gimik dan sandiwara politik yang sangat memualkan.

Sebagai NGO, kami memerhatikan kerajaan yang memerintah kini mengambil langkah desperado untuk meyakinkan rakyat agar menolak pembangkang sebagai taktik usang dan sangat menghina minda rakyat.


Teras mempersoalkan kenapa polis bertindak tidak professional dengan membuat pengumuman yang kabur dan boleh menimbulkan kekeliruan malah mencetuskan  ketegangan awam. Pengumuman tanpa fakta dan boleh  membawa kepada implikasi undang-undang serta hak dari segi Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya dikeluarkan oleh sebuah institusi seperti pihak polis.

Teras ingin penjelasan siapa yang membenarkan kenyataan seperti itu dikeluarkan oleh Cawangan Khas Bukit Aman? Bukankah pengumuman isu seperti ini sepatutnya hanya dibuat oleh pihak paling tertinggi, itu pun setelah punya bukti dan fakta yang cukup, kerana tuduhan seperti ini amat serius.

Memang betapa hebat sekalipun  berita ini diputar oleh media pemerintah untuk tempoh yang ditetapkan dan kemudian mewujudkan suara yang menyambut isu ini dari kumpulan yang direkayasa untuk turut menjadi aktor politik pemerintah, rakyat akan akhirnya menilai secara objektif antara kebenaran dan kepalsuan.

Teras mengikuti pengumuman pihak Bukit Aman mengenai isu ini dengan sangat kritikal kerana demokrasi yang diwar-warkan ujud di negara ini kini berharga sangat rendah kerana dicemari oleh taktik kotor dari fitnah dan serangan peribadi sehinggalah kepada mengugut mengenai isu keselamatan negara dan penghinaan terhadap Raja Melayu.

Kini pembangkang dituduh diserapi komunis dan JI. Bukankah ini taktik kebanyakan diktator di seluruh dunia seperti Muammar Ghadafi, Hosni Mubarak, Mohammad Soleh, Bashar Assad dan ‘khalifah’ di negara-negara Asia Barat yang cepat mengguna isu pembangkang diserapi elemen pengganas Al Qaeda bila berhadapan dengan kebangkitan rakyat.


Merekayasa dengan taktik ujudnya elemen pengganas dalam pembangkang hanyalah salah satu resepi yang sedang diadun oleh media pemerintah agar mencapai impak yang dikehendaki iaitu menakut-nakutkan rakyat atau paling minimal mengujudkan kesangsian walaupun ianya adalah palsu.

Teras melihat demokrasi yang diolah oleh pihak pemerintah sekarang hanyalah suatu demokrasi manipulatif bersifat ofensif yang menyebarkan keraguan tanpa fakta. Inilah sandiwara politik yang pernah didedahkan di politik negara barat iaitu politik "wag the dog" iaitu ujudkan satu isu yang boleh mengalihkan minda rakyat kemudian terus suburkan kesangsian dan akhirnya berusaha mencetuskan isu keselamatan ke atas negara untuk rakyat kembali menyokong pemerintah.

Malang sekali ialah apabila aparatus awam seperti polis, pejabat awam dan media diperalat sepenuhnya untuk menyebar kepalsuan ini.


Teras membantah dengan keras bila polis diheret dalam kancah politik mempertahankan pemerintah dan bukan mempertahankan keselamatan awam.


Teras menuntut polis hendaklah bersikap professional supaya berhenti menjadi alat pemerintah untuk menyebar fitnah apatah lagi dibulan Ramadhan yang mulia ini.


Teras menyeru agar kepimpinan institusi polis negara hendaklah insaf betapa menjadi agen penyebar fitnah dan melindungi kezaliman adalah suatu keburukan yang harus dikikis sesuai dengan pendidikan ibadah puasa di bulan yang sepatutnya memurnikan semua jiwa dan pemikiran yang kotor.


Janganlah jentera keselamatan negara diperbudakkan sehingga menimbulkan kesangsiaan rakyat terhadap integriti dan profesional polis yang akan dipersoalkan sampai bila-bila.



Penulis ialah Presiden Teras.

Thursday, May 24, 2012

Teras gesa henti tunjuk berani cara samseng



Harakahdaily,25 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyeru semua pengundi Melayu melakukan transformasi politik besar-besaran untuk menyelamatkan negara daripada penyelewengan dan pengkhianatan yang sedang berleluasa sekarang.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar)berkata, kerajaan yang sudah diberi mandat selama 54 tahun sudah terlalu lama membiarkan orang Melayu berada dalam kepompong hidup feudal sehingga pemikiran dan sikap merdeka dalam erti kata sebenar tidak menjadi asas dalam menentukan kepimpinan negara.

Katanya, orang Melayu jelas dianggap sebagai pengundi yang lebih mudah dibeli oleh rasuah dan permainan politik fitnah.

“Lantaran itu sangat jelas tumpuan kepada orang Melayu dengan pelbagai suapan wang tunai menjadi strategi yang digunakan oleh kerajaan yang memegang kuasa sekarang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Lagi ceramah Pakatan jadi sasaran batu dan telur http://www.malaysiakini.com/news/198960

Tambahnya, strategi memanipulasi daftar pengundi serta melancarkan kempen psikologi dengan mengugut dan memfitnah kini jelas sedang diguna ke atas pengundi Melayu melalui taklimat khas atas nama kursus-kursus kerajaan.

Menurutnya, pegawai kerajaan yang majoritinya adalah orang Melayu kini diarah menghadiri kursus-kursus untuk memastikan mereka menjamin sokongan kepada kerajaan.

Demikian juga, ujarnya pemimpin-pemimpin akar umbi orang Melayu di pelbagai peringkat disogok dengan upah untuk memastikan pengikut mereka hanya menyokong kerajaan yang sedia ada.

“Politik murahan seperti ini tidak membantu orang Melayu malah meneruskan politik feudal yang sudah ditolak oleh bangsa lain,” ujarnya lagi.

Justeru, tegasnya Teras berpendirian sepatutnya orang Melayu yang menjadi tulang belakang kepada politik negara memahami betapa hanya bergantung kepada kerajaan yang mengguna politik tahap rendah tidak akan menjamin masa depan.

Beliau berkata, bangsa Melayu yang sudah menjalani proses sekularisasi yang sedemikian lama di bawah pemerintahan parti yang berteraskan nasionalisme sempit tidak membantu mematangkan orang Melayu dari sudut politik.

Malah, ujarnya orang Melayu yang dipisah dari faham politik berteraskan Islam akan dijadi alat untuk mengekalkan kuasa di kalangan golongan elit Melayu yang tidak mempunyai cita-cita mendaulatkan Islam di negara ini.

Tegasnya, orang Melayu tidak boleh membiarkan bangsanya diheret dalam kancah politik murahan yang memalukan.

Beliau menambah, budaya lucah yang dipaparkan oleh segelintir orang Melayu yang menunjukkan sindrom rendah akal, ditambah dengan budaya samseng yang dibenarkan oleh pihak berkuasa, kini sedang mencemar imej bangsa Melayu di mata dunia.

“Teras kesal dan menasihati pihak yang terus menunjukkan budaya songsang dalam berfikir dan bertindak agar menghentikan reaksi hodoh yang memualkan itu.

“Ia sama sekali tidak mengembalikan maruah bangsa malah menunjukkan kerendahan budi dan menghina agama di hadapan masyarakat lain,” ujarnya lagi.

Katanya, menunjukkan keberanian dengan cara samseng amat memalukan dan mesti segera dihentikan.

Azmi berkata, ketika masyarakat lain siap melakukan perubahan politik dari politik feudal kepada politik matang dan merdeka, terdapat orang Melayu yang menjatuhkan maruah bangsa ke gaung kehinaan.

“Pengundi Melayu perlu menunjukkan sikap politik yang tepat untuk memastikan PR13 kali ini akan merupakan batu tanda perubahan besar-besaran lanskap politik negara di mana pengundi Melayu akan menuntutkan masa depan negara,” ujarnya.

Menurutnya, orang Melayu perlu segera memberi keutamaan kepada persoalan yang lebih besar dan utama iaitu melonjakkan negara daripada kehinaan diperbudak oleh kuasa besar dan memerdekakan negara dari salah kelola negara oleh pemimpin yang rakus dan menyeleweng.

Tuesday, May 8, 2012

Antara Dataran Merdeka dengan Dataran Tahrir


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10167-antara-dataran-merdeka-dengan-dataran-tahrir

Mohd Azmi Abdul Hamid ,09 Mei 2012
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berpendiran bahawa tanggapan perhimpunan Bersih 3.0 adalah untuk menggulingkan kerajaan adalah suatu manipulasi fakta yang sangat menghina kematangan rakyat.


Adakah terdapat  perbezaan antara niat perhimpunan rakyat di Dataran Tahrir dan Dataran Merdeka?

Secara inti jelas tidak banyak beda. Iaitu intisarinya adalah untuk menuntut perubahan dari kezaliman regim yang menindas kebebasan rakyat kepada pemerintahan yang adil dari pemerintah yang terus mahu memegang kuasa dengan cara penipuan dan menekan rakyat secara mengguna kuasa polis dan tentera kepada sistem yang demokratik dari kepincangan salah guna kuasa untuk memperkayakan pemimpin dan kerabatnya kepada keadilan sosial untuk rakyat. Dari menyalahguna undang-undang untuk kelompok elit politik yang gila kuasa kepada mengembalikan kuasa rakyat untuk memileh pemimpin yang lebih beramanah.

Atas dasar itulah ulama di Mesir termasuk ulama berwibawa Dr Yusuf Qaradhawi menyertai perhimpunan. Adakah ulama tidak tahu bahawa mereka yang turun bersama jutaan rakyat di Dataran Tahrir bercambur baur antara pelbagai golongan yaitu yang Islamis yang sekular yang ateis yang kafir yang liberal ?

Kenapakah ulama-ulama di Mesir bergabung tenaga dan suara dengan pelbagai kelompok untuk bersatu menjatuhkan pemimpin yang didakwa dilantik sebagai pemimpin yang sah dalam sistem Mesir? Padahal pihak keselamatan di Mesir jauh lebih brutal dan mudharat yang akan dihadapi oleh rakyat juga sangat tinggi bila berhimpun di Dataran Tahrir.

Ketika ulama bersatu bersama Syeikh Yusuf Qaradhawi menyertai demonstrasi untuk revolusi Mesir, mereka bersepakat bahawa rakyat bukan setakat dibolehkan turun ke Datran Tahrir malah disemboyankan wajib bersama walaupun risiko untuk berlaku pertumpahan darah amat jelas. Pokoknya mereka mempunyai hadaf yang murni iaitu merubah regim yang zalim yang menindas dan menipu rakyat.

Di Dataran Merdeka hasrat rakyat adalah jauh lebih rasional iaitu untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Tidak ada siapapun yang menimbulkan agenda mengulingkan kerajaan hanya dengan cara duduk dan bantah di Dataran Merdeka. Pernyataan mengulingkan kerajaan hanya datang dari mulut PM yang kemudian turut di iyakan sahaja oleh politikus parti dan penjaga jawatan untuk menyelamatkan periuk nasi.

Sebenarnya tidak jelas siapa yang memberi pengarahan serta siapa yang memimpin perhimpunan untuk rakyat menyatakan hasrat yang sama seperti yang berlaku di Dataran Tahrir.

Sangat naif mereka yang terlalu obses untuk mengatakan perhimpunan itu dianjur oleh seorang atau dua pengerusi. Akan tetapi pada hakikatnya ia datang dari suatu gelombang dalam sanubari rakyat yang sudah muak dengan muslihat dan manipulasi pihak yang berkuasa yang menggunakan taktik kotor dalam pilhanraya untuk menjaminkan kemenangan.

Rakyat sebenarnya tidak perlu menunggu arahan dari sesiapa. Cukup dengan satu kesapakatan untuk berhimpun dan menjelaskan apa yang dituntut, gelombang untuk berhimpun pasti akan terbina dalam memontum yang tidak dapat dibendung.

Sememangnya dalam gelombang itu pihak yang mempunyai jentera organisasi akan menggunakan jenteranya untuk hadhir bagi memberi pengarahan ditengah- tengah lautan manusia. Ada yang patuh dan ada yang tidak. Akan tetapi untuk mengatakan ada pemimpin yang mengarah dan merencana untuk tujuan menguling kerajaan sangat berbau manipulasi fakta, malah cuba merendah-rendahkan kematangan rakyat untuk berhimpun.

Jadi kenapa tiba tiba setelah perhimpunan rakyat dikucar kacir dengan provokasi yang dimulakan oleh pihak keselamatan sendiri dan berlaku kekacauan dan menunjukkan keganasan lebih banyak digerakkan oleh polis yang berpakaian seragam dan berpkaian 'Bersih', dengan tidak semena-mena dikeluarkan pula sebuah fatwa.

Sementara kami menghormati fatwa yang dikeluarkan untuk memberi panduan kepada umat Islam, namun setelah jelas ramai rakyat awam yang tidak bersenjata dan wartawan yang hanya menjalankan tugas dibelasah dengan melampau oleh pihak polis, kami juga tertanya-tanya kenapa tiba-tiba sebuah fatwa dikeluarkan.

Padahal sebelum perhimpunan diadakan dan tuntutan rakyat dikumandangkan serta asas dan bukti dikeluarkan yang menunjukkan adanya penyelewengan berlaku dalam PRU, kenapa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak bersidang untuk mengeluarkan fatwa?

Kami menuntut agar keadaan tersepit yang kini dihadapi oleh kerajaan tidak terus dikelirukan lagi dengan menghasilkan fatwa yang tidak mengambilkira keseluruhan sumber demi menjaga kehormatan Majlis yang bertanggungjawab memandu umat kepada kebenaran dan keadilan.

Mengabsahkan tindakan kerajaan hanya kerana mahu menjaga kepentingan jawatan tidak membantu untuk memandu umat Islam dan memperkukuhkan kedudukan Islam.

Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Teras.