Showing posts with label JATI. Show all posts
Showing posts with label JATI. Show all posts

Tuesday, February 28, 2012

Atas nama Tuhan & agama


Sepanjang sejarah manusia, nama Tuhan sering dijadikan alat dalam mencapai tujuan atau kepentingan peribadi ataupun puak. Sedangkan ia sepatutnya menjadi nama sakti dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan, malangnya digunakan untuk menegakkan kebatilan dan menghapuskan kebenaran.

Perlambangan agama yang sepatutnya membela kekudusan ajaran Tuhan, sering kali digunakan untuk membiakkan kehendak syaitan dan hasrat nafsu serakah manusia. Maka tidak hairan jika kita melihat nama Tuhan sering dipergunakan oleh orang politik, ahli perniagaan, bomoh, ustaz, penjenayah, perasuah dan segala jenis ‘manusia' yang berkepentingan.

Dalil-dalil diputar dan dipusing agar dapat menjelma dalam rupa reka kehendak yang berbicara. Ia bukan hanya berlaku dalam kalangan umat Islam, sebaliknya dalam semua agama. Dalam sejarah Yahudi dan Kristian berlaku dengan begitu dahsyat.

Martin Luther yang mengasaskan Mazhab Prostestan telah membangkitkan isu ini dalam Kristian. Beliau katanya ingin membela ajaran Tuhan. Malangnya, betapa ramai pengikutnya yang dibakar oleh gereja Katolik, juga atas nama Tuhan.

Sokong rejim


Hitler juga mendapat sokongan sebahagian gereja di Jerman. Kedua aliran yang bertentangan - Katolik dan Protestan - menyokong tindakan beliau terhadap Yahudi atas nama Tuhan. Demikian Assad di Syria yang membunuh rakyat sejak sekian lama. Begitulah juga regim-regim yang lain.

Pakaian dan bahasa agama juga digunakan untuk menghiasi amalan salah atau penyalahgunaan nama Tuhan. Jika orang seperti Hitler dan Assad mampu mendapat restu golongan agama, maka tidak pelik jika ada dalam dunia ini ada mufti atau syeikh yang sanggup memuja-memuji pemerintah atau raja atau sultan dalam khutbah Jumaat dengan perhiasaan kata yang berlebihan.

Doa bertujuan mengampu disusun khas untuk penguasa, sultan dan raja serta keturunannya sekalipun mereka itu perasuah, perembat harta rakyat, bermewahan dengan istana, kereta dan harta sedangkan rakyat bawahan menderita airmata. Doa untuk rakyat yang miskin hanya secebis.

Sebaliknya berlimpahan doa untuk penguasa, raja dan sultan dengan perhiasaan kata puja dan puji seakan mereka lebih tinggi dari para nabi. Khutbah Jumaat yang menjadi tempat umat memuja dan pemuji Tuhan, bertukar pada bahagian doanya sebagai ampuan memuja dan memuji kerajaan dan sultan.

Hal ini bukan sangat dengan pemintaan penguasa atau raja, tetapi ‘sang berjubah agama' yang mempunyai agenda hidupnya yang tersendiri. Inilah yang berlaku di seluruh dunia ‘berjubah agama' tapi bertujuan sebaliknya.

Orang-orang agama ini mendapat gaji dan berjubah yang jauh lebih hebat dari segala ulama yang terbilang dahulu, tetapi sekadar berperanan untuk membaca doa yang puitis untuk sang singgahsana dan mengeluarkan fatwa yang meredhakan penguasa dan raja.

Kegerunan mereka kepada hilang jawatan lebih hebat dari kegerunan mereka membohongi hukum Tuhan.

Sebab itu, ramai panguasa, raja dan sultan dalam dunia dan sepanjang sejarah sekalipun buruk tingkah laku dan ketamakan harta serta kezaliman mereka terhadap hak rakyat, terus merasa selesa kerana ada yang berlidah dan berjubah agama yang membodeknya.

Syurga seakan sudah tempah untuknya, neraka pula seakan sudah tertutup rapat baginya sekalipun dia tidak menunaikan hak rakyat dan memakan harta secara haram.

Pisahkan agama


Firman Allah: (maksudnya) "Dan apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah memerintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya? Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil, dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan wajah kamu (kepada Allah) pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan menyeru-Nya dengan mengikhlaskan agama kamu kepadaNYA semata-mata, sebagaimana DIA telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya). Sebahagian (manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan sebahagian lagi berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sSesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka bahawa mereka berada dalam petunjuk". (Surah al-A'raf, 28-30).

Seperti yang saya pernah catatkan bahawa saya tidak menyokong pemisahan agama dari politik, tetapi saya menyokong memisahkan agama dari penyalahgunaan golongan politik.

Lebih elok politik yang berpisah dari agama dibandingkan politik yang mempergunakan agama. Saya inshaAllah akan bahaskan tentangsecular state dalam tulisan yang akan datang.

Mimpi nabi


Sebab itu amatlah berbahaya apabila agama itu telah menjadi senjata mereka yang pandai berbicara untuk kepentingan kuasa dan diri. Hakikat Tuhan akan disalahertikan oleh manusia.

Ajaran kebenaran akan dipandang serong. Manusia akan kecewa dengan ajaran Tuhan yang dianggap tidak memenuhi panduan keadilan dan rahmat. Sebab itu agama Islam ini tertegak atas fakta dan hujah. Bukan khayalan dan mimpi.

Jika kita masih ingat bagaimana pengasas ajaran al-Arqam semasa masih hidup membuat pelbagai dakwaan. Ketika itu ada imam masjid tertentu mendakwa bahawa dia berjumpa Nabi SAW dalam mimpinya membenarkan ajaran Ashaari Muhammad. Ramai yang terpengaruh dengan mimpi tersebut.

Itu bukan kali pertama, bahkan sudah puluhan kisah setiap kali ada yang mendakwa menjadi Mahdi, ada sahaja orang yang bermimpi berjumpa Nabi SAW dan mengakuinya. Ini termasuk kisah Mahdi di Sudan yang jauh lebih berjaya dari Ashaari Arqam.

Ada pula yang mengeluarkan dalil bahawa Nabi s.a.w telah bersabda:

"Sesiapa yang melihatku dalam tidur sesungguhnya dia benar-benar melihatku, kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku." (Riwayat Muslim).

Ya, syaitan memang tidak boleh menyerupai Nabi s.a.w, namun syaitan boleh menyerupai orang lain dan seseorang yang tidak pernah melihat Nabi s.a.w menyangka itu Nabi s.a.w. Tipuan syaitan sangat licik.

Dalam kitab Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, apa yang disebut oleh tabi'in agung lagi pakar mimpi dalam sejarah Islam, al-Imam Muhammad bin Sirin (meninggal 110H) menafsirkan hadis ini bahawa ia bermaksud ‘jika seseorang melihat Nabi s.a.w dalam rupanya yang asal'.

Ertinya dia mesti mengenali hakikat rupa Nabi s.a.w. Apabila ada orang mendakwa bahawa dia melihat Nabi s.a.w, Muhammad bin Sirin meminta supaya dia menceritakan ciri-ciri Nabi s.a.w yang dia lihat dalam mimpinya.

Apabila dia menceritakannya, beliau menjawab: ‘engkau tidak melihatnya'. Ibn ‘Abbas juga menyelidiki seseorang yang mendakwa bahawa dia bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. Beliau bertanya sifatnya, orang itu menjawab seperti Saidina Hasan bin ‘Ali. Ibn ‘Abbas mengakuinya.

Itu jika orang tersebut tidak berbohong. Namun, bagaimana pula jika dia berbohong tentang apa yang dilihatnya? Maka mimpi tidak boleh menjadi hujah dalam agama ini. Ia boleh menjadi isyarat untuk urusan peribadi seseorang, namun bukan syariat yang diamalkan.

Saya masih ingat kisah Presiden sebuah negara ‘bernama agama' yang menceritakan beliau dilindungi cahaya suci seperti para imam mazhabnya ketika berada di PBB. Demikian juga saya masih ingat semasa Gulf Waryang pertama, ketika itu saya belajar di Jordan. Sokongan rakyat Jordan kepada Saddam Hussain begitu kuat.

Ramai juga tokoh agama yang membaca hadis-hadis Nabi SAW dan menyatakan bahawa Saddam Hussain itu penyelamat umat yang dimaksudkan oleh Nabi SAW Saya masih ingat guru-guru hadis yang saya hadiri kuliah mereka membantah penyalahgunaan hadis tersebut.

Baru-baru ini pun ada tokoh agama dalam parti politik tanah air yang mendakwa pemimpinnya sebagai lelaki yang dijanjikan Nabi SAW untuk membebaskan al-Aqsa. Demikianlah agama menjadi mainan mereka yang berkepentingan.

Sebab itu, agama mesti bebas dari ini semua. Semua kita wajar bimbang terhadap diri sendiri dan juga umat ini dengan amaran Nabi SAW: "Apa yang paling aku takut terhadap kamu ialah orang munafik yang petah lidahnya" (Riwayat Ahmad, sahih).

Saya juga lucu apabila ada seseorang berceramah tentang perjuangan murninya setelah dia dipecat ialah membela Islam, Melayu dan raja. Sedangkan Melayu tidak semestinya selari dengan Islam, demikian juga raja.

Jika Islam itu diyakini syumul, membela Islam bererti terbela segala bangsa, raja dan rakyat. Namun, apabila Islam dipergunakan, bahasa Islam dinodai untuk tujuan tersendiri, hanya satu bangsa diperjuangkan dan raja sahaja yang dibela. Bagaimana dengan rakyat bawahan seperti kita? Demikian agama sering menjadi mangsa.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.Penulis adalah bekas mufti Perlis dan kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford.

Thursday, February 23, 2012

Bila pula Sultan jadi bayangan Allah?

Minggu ini saya kembali ke Oxford, United Kingdom setelah beberapa minggu berada di Malaysia. Di samping menyambut kedatangan ‘puteri baru’, banyak juga aktiviti yang sempat saya sertai.

Bahang pilihan raya semakin kuat sehingga segala perkara berbau politik. Semasa seminar Islam dan Eropah di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), baru-baru ini, pengarahnya Dr Farhan Nizami bersembang dengan kami. Beliau memberi pandangannya tentang Malaysia.

Katanya, betapa beliau tidak menyangka bahawa bangsa Melayu yang kelihatan sopan santun itu apabila tiba kepada bab politik, mereka berpolitik habis-habisan. Saya senyum sahaja mendengar ulasannya.

NONEBerkaitan fenomena pilihan raya juga, beberapa hari lalu saya menerima begitu banyak soalan berhubung dengan kenyataan “Raja adalah bayangan Allah di bumi”.

Hadis ini katanya telah diwar-warkan oleh pihak tertentu dalam menjustifikasikan perjuangan tertentu.

Saya dengar ada yang lebih lantang lagi dengan menyebut lafaz asal hadis itu – “al-Sultan adalah bayangan Allah di bumi – bagi merujuk sultan pilihannya. Ada pula yang seakan ingin menyuburkan feudalisme Melayu dengan hadis tersebut.

Saya bergurau dengan sesetengah pihak yang berminat menggunakan hadis itu dengan berkata: “Raja yang menjadi bayangan Allah itu Raja Jordan ke, atau Raja Saudi? Atau Raja Moroko? Oleh kerana terlalu umum, apakah boleh juga digunakan oleh Raja Siam?

thailand airport reopen flights king speech tourism 041208 03Sebenarnya, perkataan yang digunakan dalam hadis ‘al-Sultan, bukan al-Malik (Raja). Jika ia difaham secara bahasa Melayu, mungkin para sultan seperti Sultan Qabos di Oman atau Sultan Brunei tergambar semasa membaca hadis ini.

‘Negara Pasir Berdengung’

Sudah pasti bukan Sultan Damsyik Jani dari ‘Negara Pasir Berdengung’ dalam filem Do Re Mi arahan allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Sebenarnya hadis tersebut mempunyai banyak riwayat. Ada yang palsu, ada yang sangat daif (daif jiddan), ada yang daif dan ada yang hasan, ataupun mungkin boleh mendekati sahih.

Antara lafaz yang palsu atau sekurang-kurang teramat daif (bermaksud):

“Al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika mereka berbuat baik bagi mereka pahala dan wajib ke atas kamu syukur. Jika mereka jahat, mereka mendapat dosa, wajib ke atas kamu sabar. Janganlah kejahatannya itu menyebabkan kamu keluar dari ketaatan. Ini kerana, sesungguhnya kehinaan dalam mentaati Allah (dengan mentaati sultan yang jahat) lebih baik dari kekal dalam neraka (kerana menentang sultan). Jika tidak kerana mereka, manusia tidak akan aman”. (Hadis ini dihukum oleh al-Albani sebagai ‘terlalu daif’ dalam Silsilah al-Daifah/ no 1664.)

Namun secara kesimpulan penilaian hadis, setakat lafaz “al-Sultan bayangan Allah di bumi” adalah sahih disebabkan pelbagai riwayat.

Adapun tambahan selepas lafaz tersebut ada yang hasan, daif, sangat daif dan palsu.

Ada juga riwayat dalam al-Jami’ al-Saghir oleh al-Sayuti (meninggal 911H) yang menyebut (bermaksud):

“Al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu negeri yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya.”

azlanSaya bimbang menjelang musim berkempen ini akan ada yang menggunakan riwayat yang daif ini untuk melarang orang tinggal di negeri-negeri yang tiada sultan seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Kemudian, di negara Arab, hanyalah negara Oman yang boleh tinggal dalamnya sebab masih ada Sultan Qabos. Selainnya sudah tiada sultan. Indonesia pun tidak boleh tinggal dalamnya kerana sudah tiada sultan.

Hanya Brunei yang sesuai. Jangan sampai begitu pula tafsiran kita.

Apakah maksud al-Sultan?

Perkataan al-Sultan bukanlah bermaksud pemerintah yang memakai gelaran ‘sultan’. Jika tidak sudah pasti al-Khulafa al-Rasyidin menggunakan gelaran sultan. Sultan bermaksud pihak yang berkuasa.


Ertinya ia merangkumi semua mereka yang mempunyai kuasa pemerintahan tanpa mengira apa pun gelarannya. Abu Bakr al-Siddiq naik memerintah selepas Rasulullah memakai gelaran ‘Khalifah Rasulillah’.

NONEKemudian pada zaman ‘Umar mula diperkenalkan gelaran ‘Amir al-Mukminin. Selepas itu beberapa dinasti seperti Ayyubiah, Mamalik dan ‘Uthamaniyyah memakai gelaran sultan. Mereka itu kebanyakannya bukan arab. Ada juga yang memakai al-Malik iaitu ‘raja’ dan sebagainya.

Maka hendaklah jelas, perkataan sultan dalam hadis merujuk kepada ulul amri iaitu mereka yang berkuasa memerintah. Jangan putarkan hadis untuk pemainan politik.

Ertinya, secara literal dalam konteks Malaysia, perdana menteri juga zhillu Allah ataupun bayangan Allah di bumi. Demikian Presiden Mesir, Libya dan sebagainya.

Kini kita wajar bertanya apakah maksud bayangan Allah? Apakah kita memahami seperti golongan literalis yang akan melihat sultan atau raja atau penguasa atau presiden sebagai benar-benar bayangan Allah yang kemudian mungkin dijustifikasikan segala tindakannya.

NONEJika mereka itu berjudi di London ini sehingga tergadai balak dan minyak di negara mereka, apakah itu bayangan Allah? Jika mereka kejam seperti Assad di Syria, atau mereka rasuah dan bermewahan dengan harta rakyat jelata, apakah mereka tetap dimuliakan sebab mereka bayangan Allah?

Bayangan Allah

Jika kita faham makna khalifah, ia bermaksud pengganti ataupun wakil. Apabila kita menyebut manusia khalifah Allah bermaksud manusia mengganti Allah di bumi.

Ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah ayat 30 berhubung manusia sebagai khalifah Allah di bumi, al-Imam al-Baidawi berkata:

“Khalifah itu dari bermaksud (segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak yang lain atau menjadi penggantinya. Yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat ini adalah Adam AS kerana beliau merupakan khalifah Allah di bumiNya.

“Demikian sekelian nabi yang Allah utuskan mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan manusia, menyempurnakan keperluan mereka dan melaksanakan perintah Allah ke atas mereka.” (Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/64).

Makna yang sama merujuk kepada sultan ataupun penguasa itu bayangan Allah di bumi. Bukan bermaksud kesucian penguasa sehingga tidak boleh dibahas dan dipertikaikan. Sama sekali tidak!

NONESebab betapa ramai manusia ini yang Allah tabalkan menjadi khalifah telah melakukan kerja yang sebaliknya. Apakah kita tetap mempertahankannya atas nama khalifah Allah?

Justeru al-Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir ketika menafsir maksud: “al-Sultan bayangan Allah di bumi”, beliau berkata:

“Kerana dia memelihara manusia dari keburukan seperti bayang memelihara dari panas matahari”.

Ya! Demikianlah tugasan penguasa!

Kepentingan politik

Dalam masa yang sama kita hendaklah sedar, bahawa berlebihan dalam menggunakan agama untuk kepentingan politik telah mengorbankan agama itu sendiri. Inilah yang berlaku di Barat yang diistilahkan sebagai secularism ataupun lebih mudah difahami sebagai a movement towards the separation of religion and government.

Walaupun secularism itu mempunyai akar yang lama sejak zaman Greek dan Roman tetapi di Eropah ia subur dan diperjuangkan pada era Enlightenment akibat dari kesedaran rakyat tentang betapa buruk peranan agama dalam politik. Saya akan bahaskan nanti.

Islam memandu politik supaya harmoni dan kudus. Islam bukan alat politik tetapi cahaya yang menerangi jalan politik yang dibina atas maslahah rakyat.

NONESultan ataupun penguasa bayangan Tuhan boleh disalahtafsirkan seperti yang berlaku dalam sejarah politik pelbagai bangsa. Akibatnya, kerakusan penguasa mencengkam rakyat dan dihalalkan atas nama Tuhan.

Jika hendak memahami maksud penguasa bayangan Tuhan dalam Islam, fahamilah ucapan Abu Bakr al-Siddiq apabila menjadi khalifah:

"Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.

“Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan.

“Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku."(Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

Inilah insan yang paling faham maksud sultan itu bayangan Allah di bumi. Jangan kita gadaikan Islam untuk suatu pentafsiran nas yang akhirnya akan menimbulkan syak manusia terhadap Allah dan Rasul-Nya.


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis. Beliau kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Wednesday, February 22, 2012

JATI, memperjuangkan Islam atau alat Umno, soal Husam

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mempersoalkan motif sebenar penubuhan NGO baru, Jalur Tiga (JATI), yang diketuai oleh bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat, Datuk Hasan Ali.

NONEMenurut Husam, jika JATI benar-benar ditubuhkan untuk memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja, maka ia sepatutnya berganding bahu dan bukannya memilih bergaduh dengan PAS.

“JATI diperalat Umno untuk menyerang PAS,” kecam Husam yang juga ahli exco kerajaan negeri Kelantan dalam satu kenyataan media, semalam.

Katnya, jika benar bahawa pergerakan itu dibentuk kononnya untuk melindungi agama Islam, maka ia perlu dipimpin oleh seorang ulama.

“Kenapa (Mufti Perak) Tan Sri Harussani tidak mengetui JATI sebagaimana PAS yang diketuai oleh ulama.

“Datuk Hasan Ali bukan ulama dan dia tinggalkan ulama (PAS). Malah menentang ulama PAS. Kontradiksi ini jelas,” katanya.

NONEHusam juga mempersoalkan mengapa JATI perlu menjaga orang Melayu sahaja sedangkan Islam melangkaui kaum dan tidak terhad kepada satu-satu bangsa sahaja.

Mengulas, ucapan yang dibuat oleh Harussani semasa pelancaran JATI bahawa Nabi Muhammad SAW juga anjur pertahankan Raja dan kaum, Husam berkata mufti itu telah mengambil pendekatan yang salah dan tidak sesuai untuk sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

“Tan Sri Harussani sepatutnya lebih brhati-hati dan telus. Islam atasi kaum dan tidak terhad kepada satu-satu kaum sahaja.

“Malaysia meliputi pelbagai kaum. Jika mahukan kaum lain menerima Islam, maka tidak boleh dihadkan hanya kepada Melayu sahaja,” katanya.

NONEMenurutnya, kenyataan seperti itu hanya membuktikan kegagalan Umno selama ini untuk membangunkan masyarakat Melayu.

Beliau turut memberikan contoh, mengenai beberapa institusi bagi membangunkan masyarkat Melayu pada zaman pemerintahan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang telah digugurkan.

Antaranya, Padiberas Nasional Berhad atau Bernas yang diswastakan dan tanah-tanah Perbadanan Pembangunan Bandar; atau UDA di tengah-tengah bandar, katanya telah dijual, manakala Majlis Amanah Rakyat atau MARA makin mati fungsinya.

“Pendekatan yang salah. Menggunakan agenda perkauman Melayu mengatasi Islam.

“Islam membawa agenda keadilan, perpaduan, kesaksamaan dan kebajikan mengatasi bangsa. Umno hanya menjadikan Islam sebagai alat. Dalam konteks itulah PAS dilihat berbeza dengan Umno,” katanya.

Apakah Islam galakkan perjuangan perkauman?

Apakah Islam dan Nabi Islam Muhammad SAW menggalakkan perjuangan yang bersifat perkauman?

Islam agama universal ini wajarkah dikaitkan dengan ‘jihad perkauman’ yang telah mencetuskan pelbagai perbalahan sepanjang sejarah?

Wajarkah Islam dikaitkan dengan perjuangan perkauman?

Sehingga semasa saya di Malaysia baru-baru ini, dalam seminar bersama para penulis maya, seorang tokoh agama berjawatan tinggi dalam forum melahirkan rasa tidak puas hati kerana di Tanah Melayu ini ada masjid India, Benggali dan Cina.

Kelihatan, begitu sekali Islam itu diacuankan secara perkauman sehingga menafikan hak budaya muslim kaum lain. Untuk menjawab persoalan ini, saya ingin sebutkan beberapa noktah berikut;

Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi Arab, atau Melayu, atau Inggeris atau India atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang.

Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil.

Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu.

Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya) “dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).

Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua.

Sabda Nabi SAW:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Jika hal ini tidak dihayati, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah.

Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.

Maka, berdasar dua asas di atas, apa-apa sahaja tindakan atau pembahagian ekonomi dan sosial yang berasaskan bangsa terdedah kepada unsur-unsur ketidakadilan disebabkan faktor di atas. Hakikatnya, menilai berdasarkan agama lebih luas dari berasaskan bangsa. Kemudian, menilai keperluan kehidupan berdasarkan latar ekonomi seseorang lebih luas dari penilaian berdasarkan agama atau bangsa.

Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Firman Allah: (maksudnya) “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.(Surah al-Hujurat: 13).

Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan.

Kata Sayyid Qutb dalam menafsirkan ayat ini: “Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah.

Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).

Maka, apa-apa sahaja tindakan atau peraturan yang boleh membawa permusuhan kaum, atau permusuhan atas dasar bangsa dan etnik, maka ia menjurus kepada unsur ketidakadilan yang ditolak oleh prinsip asas Islam.

Tiada kaum yang boleh menganggap mereka ‘lebih tuan’ dalam ertikata racial supremacy. Adapun hadis Nabi: “Para pemimpin dari Quraish” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak.

Dalam masa yang sama Nabi bersabda:“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).

Hadis ini menafikan ketuanan kaum (racial supremacy) tertentu.

Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini.

Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya)“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam).

Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Menolong seseorang berdasarkan agama memberikan ruang yang lebih terbuka daripada menolong seseorang berdasarkan bangsa. Ini kerana seseorang boleh memilih agamanya, tetapi tidak boleh memilih bangsanya.

Menolong Kaum Dalam Islam

Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga.

Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya) “Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya." (Surah al-Rum, ayat 37)

Nabi juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.

Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanatik puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain.

Sabda Nabi: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.

Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi boleh menjadi keperluan sementara yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.

Ertinya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.

Namun, berjihad menentang kaum lain atas nama bangsa, bukan ajaran Islam.


Penulis bekas mufti Perlis dan kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Harussani: Nabi anjur pertahan Raja, kaum

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini menyokong usaha untuk memperjuangkan Islam seperti yang dipromosikan pertubuhan pro-Melayu JATI yang disifatkannya sebagai satu jihad kepada orang Islam.

NONEKatanya jihad itu diwajibkan ke atas orang Islam, apatah lagi apabila serangan ke atas Islam kini "begitu hebat sehingga ramai di kalangan orang Islam menjadi murtad."

"Wajib kita pertahankan akidah kita daripada serangan ejekan atau diperhina. Namun hari ini kita lihat agama kita tidak diambil berat oleh orang Islam sendiri, malah ada yang mempertahankan perbuatan itu," katanya lagi.

Tambahnya, orang Islam juga wajib mempertahankan Raja-raja Melayu memandangkan golongan itulah yang mula-mula sekali menerima Islam di negara ini.

"Maka raja tidak boleh terpisah dengan kita," katanya lagi dalam ucapannya di majlis perasmian penubuhan NGO tersebut di Shah Alam hari ini.

NONETambahnya, perjuangan untuk mempertahankan raja juga dianjurkan oleh Nabi Muhammad melalui sabda baginda bahawa "raja itu adalah bayang Allah di bumi ini."

"Jadi kita pertahankan kerana itu disebut oleh Rasulullah. Bukan dalam satu riwayat saja tapi banyak riwayat," tambahnya.

Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak mengenai perjuangan kaum, Harussani berkata Nabi Muhammad sendiri telah menyeru kepada kaum Quraisy pada waktu itu supaya mempertahankan bangsa mereka.

"Ada orang kata kalau kita bercakap bangsa Melayu dikatakan kita ini orang yang nasionalis. Nabi juga bercakap tentang kaumnya.

"Kita pertahankan bangsa kita bukan bermakna taksub dan memang wajib pun kita pertahankan kerana negara ini adalah kepunyaan orang Melayu.

NONE"Salah satu wasiat raja-raja sebelum merdeka ialah selain gunung ganang, sungai atau lubuk-lubuk maka setengah daripada tanah Melayu itu mestilah hak orang Melayu, yang lain itu biarlah berebut sesama kamu," katanya lagi.

Wasiat berkenaan - dokumen yang sering didakwa sebagai asas perjanjian kepada raja-raja Melayu dalam pembentukan Persekutuan Malaysia - turut dinyatakan dalam tayangan video ketika majlis perasmian tersebut.