Showing posts with label Akta Perhimpunan Aman. Show all posts
Showing posts with label Akta Perhimpunan Aman. Show all posts

Tuesday, May 22, 2012

Anwar: Ramai lagi di Pejabat AG akan sertai saya


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bekas peguam cara negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden tentu mempunyai alasan kuat untuk mewakili beliau dalam kes berhubung perhimpunan BERSIH 3.0.

Anwar berkata tindakan tersebut membawa makna besar kepadanya kerana Yusof merupakan bekas pegawai kanan di Pejabat Peguam Negara.

NONE"Tentu beliau ada alasan kuat dan kekuatan moral. Belum pernah dalam sejarah, ketua pendakwa selesai kes terus 'menyeberang'. Tentu ini memberi kekuatan kepada kes.

"Orang dalam kerajaan sedar bahawa kekotoran dalam kerajaan dia tidak ingin pertahan semua," kata Anwar ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Anwar juga berkata, ramai lagi rakan Yusof di Pejabat Peguam Negara yang mempunyai sikap yang sama.

Golongan berkenaan kini "menunggu masa untuk bersama saya," kata Anwar lagi.

NONEMohd Yusof hari ini mewakil Anwar yang didakwa mengikut mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa mengambil bahagian dalam yang perhimpunan BERSIH 3.0.

Tuduhan sama turut dibacakan ke atas dua lagi pemimpin PKR – timbalan presiden Azmin Ali dan bekas ahli majlis pimpinan pusat, Badrul Hisham Shaharin – atas dakwaan melanggar perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir, bertarikh 26 April yang melarang perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan yang bersempadan dengan Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April.

Mereka juga menghadapi satu lagi tuduhan di bawah Kanun Keseksaan, iaitu bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dengan Tangam a/l Raju, Rajesh Kumar a/l Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April.

Bersih 3.0: Bekas pendakwa kini peguam Anwar


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10482--bersih-30-bekas-pendakwa-kini-peguam-anwar

Muhammad Faizal,22 Mei 2012

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pendakwaraya bagi kes liwat II, Datuk Mohd Yusuf Zainal Abiden (gambar) kini menyertai pasukan peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Bersih 3.0.

Tindakan ini merupakan satu tamparan hebat kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam  Negeri dan Peguam Negara kerana orang terbaik mereka selama ini menyertai pasukan pembangkang.

Anwar bersama dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan bekas ahli majlis pimpinan pusat, Badrul Hisham Shaharin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mengambil bahagian dalam protes jalanan,  di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Menurut Setiausaha Lajnah Guaman PAS, Abang Ahmad Kerdee, Datuk Yusuf dianggap sebagai ensiclopedia undang-undang bergerak (Moveable Legal Ensiclopedia) bagi ramai timbalan pendakwa raya dan peguam di negara ini.

"Beliau amat pakar di dalam undang-undang dan kes jenayah," katanya.

Pendiriannya pula ramai yang diketahui para perguam termasuklah:-

"Awak boleh beri arahan tapi bukan ajar/ beritahu saya apa saya mesti buat (dalam satu-satu kes)."

Beliau meletakkan jawatan selepas kes Liwat II selesai iaitu pada 1 Februari lalu.

Yusof ketika ditemui selepas prosiding mahkamah hari ini berkata beliau tiada masalah peribadi dengan Peguam Negara Abdul Gani Patail dan beliau profesional sejak memilih bersara.

Beliau mengulas tanda tanya sama ada tindakannya melibatkan perkara peribadi dengan Abdul Gani.

"Saya profesional, mereka telefon saya malam tadi dan saya lapang," katanya.

"Saya tidak ada sebarang penglibatan politik," kata Yusof, orang ketiga alam Pejabat Peguam Negara sebelum bersara pada 1 Februari.


Kempen politik

(Anwar dibawa ke Mahkamah Majistret bersama Badrul Hisham)

Selepas dibacakan pertuduhan, Anwar memberitahu Hakim Mahmud Abdullah bahawa pertuduhan tersebut adalah satu lagi kempen "politik" terhadapnya, dan dia tidak mengaku bersalah."

Selain Mohd Yusof, Karpal Singh turut mewakili Anwar.

Hakim mengarahkan ikatjamin RM500 dan menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Sementara itu, Azmin yang diwakili oleh peguam Sivarasa Rasiah dan Gurcharan Singh, dan Badrul Hisham, yang diwakili oleh peguam Latheefa Koya, juga telah dikenakan ikatjamin RM500 jamin setiap.

Tuesday, May 8, 2012

BERSIH 3.0: Kebebasan dan musuhnya


ULASAN Minggu lalu berlangsung perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil untuk kali ketiga, dikenali sebagai BERSIH 3.0. Seperti perhimpunan pertama dan kedua, ia ditandai dengan sejumlah insiden yang cukup menyedihkan dalam proses demokrasi di Malaysia.

Kita dapat lihat melalui banyak rakaman dan laporan semasa perhimpunan ini yang menunjukkan bagaimana terjadinya keganasan serta halangan kepada media. Ini adalah musuh kebebasan.

Oleh kerana berada di luar negara, saya tidak menyertai perhimpunan ini. Justeru, saya mengikuti berita serta perdebatan awam mengenainya di ruang maya, khususnya Facebook. Terlihat banyak isu asas yang perlu dijelaskan kepada orang ramai.

Hak kebebasan berhimpun


Sebenarnya hak kebebasan berhimpun sedia termaktub dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Malaysia. Ia juga disebut dalam Artikel 20(1) Deklarasi Sejagat tentang Hak Asasi Manusia 1948 serta Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966.

Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang menggunakan ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1) apa-apa sekatan yang didapatinya perlu dan mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan.

Secara asasnya haruslah difahami di sini bahawa dalam mana-mana aspek perundangan akan sentiasa ada apa yang disebut pengecualian. Ini penting kerana manusia itu bersifat dinamik.

Justeru, secara umumnya satu ketetapan diperlukan di samping pengecualian yang boleh diambil atas faktor keadaan. Sebagai contoh, secara umumnya semua orang bebas bekerja dan melakukan pelbagai aktiviti.

Namun, Parlimen boleh membuat satu keputusan untuk tidak membenarkan sesiapa bekerja atau melakukan aktiviti lain dengan mengisytiharkan darurat atas faktor tertentu bersabit keselamatan negara misalnya ada ancaman serangan bersenjata oleh pihak tertentu.

Oleh yang demikian, peruntukan perlembagaan dalam hal ini perlu dibaca dengan jelas bahawa ketetapan umumnya ialah jaminan kebebasan sementara sekatan ke atasnya adalah berdasarkan situasi - yang dinyatakan sebagai kepentingan keselamatan Persekutuan.

Polis dan peranannya


Seksyen 27 Akta Polis 1967 juga digunakan untuk menjustifikasikan tindakan polis semasa perhimpunan berlaku. Akta ini mensyaratkan kelulusan pegawai polis daerah berkenaan jika perhimpunan mahu dibuat dan kelulusan adalah atas budi bicara pihak polis.

Ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim pernah berkata Seksyen 27 Akta Polis 1967 ini tidak wajar dipakai kerana ia boleh mengelirukan undang-undang itu sendiri.

Meskipun beliau tidak menjelaskan bagaimana ia boleh mengelirukan, saya fikir ini boleh dilihat dalam konteks bagaimana polis mempunyai lebihan kuasa berbanding Parlimen dalam isu kebebasan asasi dan pengecualiannya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dalam Laporan Tahunan bagi tahun 2010 telah mencadangkan sejumlah pemansuhan sub-seksyen dalam Akta Polis tersebut dan mengesyorkan polis menggunakan cara yang sederhana dan tanpa keganasan dalam menangani perhimpunan aman.

Dalam laporan yang sama SUHAKAM turut menegaskan hak berhimpun secara aman dan menekankan bahawa polis tidak patut bertindak secara syak wasangka, spekulasi, takut atau imaginasi. Perlu ada bukti jelas bahawa ketidakteraman awam dan kecenderungan ke arah keganasan berlaku.

Dalam kata lain bersabit dua perkara di atas, meskipun kerajaan mempunyai tugas memastikan keamanan dan keselamatan, kebebasan berhimpun tidak harus disekat secara arbitrari (ditentukan sewenang-wenangnya tanpa satu piawaian dan sebab yang munasabah, misalnya berlaku tindakan luar kawal yang memaksa sesuatu tindakan diambil).

Alternatif penyelesaian


Saya juga tidak mahu meremehkan hujah kemungkinan huru-hara berlaku dan satu situasi tidak aman yang boleh menjejaskan perniagaan.

Justeru, bagaimana perhimpunan ini boleh diteruskan dan persoalan ini dapat diselesaikan?

Saya fikir beberapa langkah boleh diambil iaitu:
(1) Pihak penganjur hanya perlu memaklumkan dan bertemu dengan pihak polis untuk berbincang tentang isu kawalan keselamatan untuk mencapai kedua-dua objektif - hak berhimpun dan memastikan keamanan. Kedua-dua pihak harus memberikan kerjasama untuk membolehkan ia berjalan dengan lancar.

(2) Satu keputusan boleh diambil misalnya perhimpunan boleh dibuat di Dataran Merdeka pada satu tempoh masa sehingga empat jam termasuk pergerakan secara tertib untuk ke lokasi dan beredar daripadanya.

(3) Tidak ada alasan menghalang penggunaan Dataran Merdeka sebagai lokasi berhimpun. Semasa Bersih 2.0, penggunaan Stadium Merdeka dihalang tetapi ia ditawarkan untuk BERSIH 3.0. Ini menunjukkan sikap tidak jelas kerajaan.

(4) Tidak sepatutnya ada kekangan daripada pihak polis untuk menghalang pergerakan masuk dan keluar Dataran Merdeka. Polis hanya perlu mengawasi jika ada limpahan peserta ke jalan raya. Jika ada, pihak polis boleh menutup jalan tersebut sebagaimana dilakukan untuk program-program hiburan dan sambutan yang lain.

(5) Pihak polis tidak perlu mengadakan sekatan trafik sejauh misalnya sekitar Perhentian Serdang untuk melambatkan pergerakan trafik.

Saya percaya dengan makluman laluan perhimpunan pada tempoh tertentu; orang ramai boleh membuat perancangan sendiri tentang kegiatan mereka, sama ada bersifat perniagaan atau tidak.

(6) Tangkapan dan tindakan kasar polis kepada mereka yang dianggap menyokong perhimpunan BERSIH 3.0 adalah cukup memalukan.

Ada rakaman menunjukkan ia berlaku selepas perhimpunan telah bersurai, termasuk di kedai makan. Malah banyak kekasaran pihak polis dibuat dalam situasi peserta perhimpunan tidak melawan atau menunjukkan sebarang tindakan ganas.

(7) Jika ada kekacauan timbul, pihak polis boleh menangkap individu atau kumpulan individu yang terbabit sahaja. Ini boleh dilakukan dengan bantuan peserta perhimpunan melalui rundingan awal tadi supaya disiplin perhimpunan dapat diwar-warkan.

Selepas proses awal itu dibuat dan masih terdapat peserta yang tidak berdisiplin, jelaslah bahawa individu terbabit mungkin hadir untuk membuat sabotaj.

Sepanjang pengalaman menyertai perhimpunan, saya berani katakan bahawa peserta perhimpunan cukup berdisiplin selagi tidak ada gangguan tidak munasabah seperti pancutan air kimia atau gas pemedih mata.

Saya sangat percaya bahawa secara umumnya rakyat Malaysia sangat cintakan keamanan. Namun, itu tidak bermakna keamanan mewajarkan rasuah dan salah guna kuasa dibiarkan.

Ketidaktenteraman awam juga boleh berlaku apabila rasuah dan salah guna kuasa berlaku tetapi didiamkan, malah suara yang menentang kebobrokan ini ditindas.

Banyak negara boleh terus maju dengan jaminan hak asasi rakyat untuk berhimpun dan juga bersuara terus dipelihara. Ada juga negara yang berdepan dengan tuntutan asasi untuk berhimpun dan juga bersuara kerana mereka kemunduran dan ketidaktentuan ekonomi dan politik di sana berlaku akibat rasuah dan salah guna kuasa.

Sebagaimana ungkapan Karl Popper: "Kita mesti merancang untuk kebebasan, bukan hanya untuk keselamatan, kerana hanya dengan kebebasan maka keselamatan menjadi lebih terjamin."

AMIN AHMAD, 30, Felo Penyelidik di IDEAS. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Wednesday, May 2, 2012

Aksi polis realisasi Akta Himpunan Aman 2011


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/10021--aksi-polis-realisasi-akta-himpunan-aman-2011

Salmiyah Harun,02 Mei 2012

(Gambar hiasan....di mana Hishamudin ketika Bersih 3.0 berjalan)

KUALA LUMPUR: Insiden keganasan polis di dalam perhimpunan aman Bersih 3.0 Sabtu lalu akhirnya merealisasikan apa yang terkandung dalam Akta Himpunan Aman 2011.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, apa yang berlaku dalam Himpunan Bersih 3.0 lalu membuktikan akta itu tidak memberi jaminan terhadap keselamatan awam.

"Hakikatnya, roh dan semangat keganasan polis dijelmakan dalam Akta Himpunan Aman itu," katanya kepada Harakahdaily.

Bahkan, katanya keganasan polis pada Bersih 3.0 ini berkali ganda daripada apa yang telah ditunjukkan dalam perhimpunan Bersih sebelum ini.

"Adalah sangat tepat tindakan kita sebelum ini, apabila kita lawan habis habisan terhadap pelaksanaan akta ini," kata Salahudin (gambar).

Katanya, apa yang berlaku di dalam himpunan itu cukup menyedihkan apabila keselamatan orang awam tidak lagi dilindungi sebaliknya orang awam menjadi mangsa kerakusan pihak polis.

"Di mana hak dan jaminan orang awam? Bukankah kerajaan memberi jaminan mengatakan orang awam akan dilindungi dalam akta itu. Tetapi sebaliknya pula terjadi dalam Bersih 3.0," katanya.

Justeru, katanya Akta Himpunan Aman yang kononnya mahu menjaga keamanan awam akhirnya memberi kredit kepada polis untuk bertindak.

"Ianya sekadar bersifat kosmetik sebaliknya pengisian itu tidak menyebelahi awam," katanya.

November 2011, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 bagi memberi hak kepada rakyat untuk menganjur dan menyertai perhimpunan secara aman tanpa senjata.

Akta ini juga memberi kuasa kepada polis untuk mengeluarkan arahan bersurai menggunakan kekerasan yang munasabah sekiranya sesuatu perhimpunan itu menyalahi peraturan.

Akta baru itu turut dengan tegas menyatakan seseorang penganjur akan didapati bersalah sekiranya menganjurkan perhimpunan di mana-mana kawasan larangan dalam jarak 50 meter had tempat larangan.