Showing posts with label PTPTN. Show all posts
Showing posts with label PTPTN. Show all posts

Tuesday, October 2, 2012

MP: Diskaun PTPTN hanya untungkan orang kaya



  • Nigel Aw
  • 5:02PM Okt 2 2012
 
Seorang MP PAS berkata, pengumuman kerajaan untuk memberi diskaun kepada peminjam yang melangsaikan sepenuhnya pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional hanya akan menguntungkan golongan kaya.
Khalid Samad (PAS-Shah Alam) berkata hanya golongan kaya yang mampu melangsaikan hutang tersebut sekali gus.

Katanya, kerajaan sepatutnya memberi diskaun berdasarkan merit seperti untuk pelajar yang mencapai keputusan baik dan bukannya untuk golongan yang memiliki wang yang banyak.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Hamim Samuri (BN-Ledang) yang mencadangkan supaya diskaun dan biasiswa diberikan kepada pelajar yang tamat pengajian dengan keputusan baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan belanjawan 2013 minggu lalu mengumumkan bahawa peminjam yang melangsaikan sepenuhnya hutang tersebut, antara 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2012, akan diberikan diskaun sebanyak 20 peratus.

Selain itu, peminjam yang membuat bayaran secara konsisten juga akan diberikan diskaun 10 peratus.

Sunday, June 10, 2012

PTPTN: Terbukti Selangor lulus ujian


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10857-ptptn-terbukti-selangor-lulus-ujian

Anis Nazri,10 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor terbukti lulus ujian apabila diuji dengan isu pembekuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekaligus menampakkan sikap kebudak-budakkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.
Biarpun Khaled mengatakan pembekuan PTPTN kepada pelajar Unisel dan Kuis hanya untuk 'sekadar menguji Selangor', ahli parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata terbukti kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bertanggungjawab dan lulus 'ujian' tersebut.
"Tapi, sebelum masa ujian tamat, BN menarik balik pembekuan tersebut. Mereka tahu kita mampu, sebab itu cepat-cepat mereka tarik balik. Saya percaya, jika BN masih membekukannya, kita (Pakatan Rakyat Selangor) mampu membantu para pelajar terbabit dan akan memberi impak maksima kepada Pakatan Rakyat,"tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.
Selain menyifatkan BN panik dengan kepercayaan dan keyakinan rakyat dengan program pendidikan percuma yang diprogramkan Pakatan Rakyat, Dr. Dzulkefly berkata kebanyakan program Pakatan Rakyat menepati sasaran, khususnya anak muda.
"Berbeza dengan BN, di saat rakyat menuju politik baru, BN mengamalkan politik lapuk yang penuh dengan dendam kesumat, khianat.
"Apabila kita meuar-uarkan pendidikan percuma, kita telah meuar-uarkan ia dilakukan bersekali dengan rombakan belanjawan secara keseluruhan, bukan secara runcit.  Kita merangka penyusunan belanjawan yang menepati pembangunan modal insan," tegas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat itu.
Semalam, Khaled berkata PTPTN hanya sekadar ingin menguji sama ada kerajaan negeri Selangor serius dalam menyediakan pendidikan percuma.
Namun, selepas itu kerajaan pusat mengumumkan cadangan membekukan pinjaman itu ditarik balik selepas beberapa hari sahaja.
Pembekuannya ditarik balik dipercayai selepas melihat Selangor mampu menyelesaikan bebanan yang cuba dihempaskan kerajaan pusat ke atas kerajaan negeri itu.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar atas) berkata, kerajaan negeri akan mencairkan aset kerajaan negeri bagi membantu pelajar yang disekat pinjaman PTPTN.
Khalid menjangka, Unisel akan mendapat RM30 juta hasil pencairan aset yang dimilikinya itu.
Jika ini berlaku, kerajaan negeri Selangor bakal dilihat sebagai kerajaan yang mampu dan menyusahkan imej kerajaan pusat yang akan dikira pendendam dan melepaskan kemarahannya kepada pelajar yang tidak bersalah.
Siri menarik balik keputusan yang dibuat kerajaan pusat ini sudah beberapa kali berlaku. Sebelum ini kerajaan Najib menarik balik Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) selepas diumumkan pelaksanaannya.

Friday, June 8, 2012

PTPTN tarik balik pembekuan pinjaman siswa Unisel, KUIS



  • Abdul Rahim Sabri
  • 12:17PM Jun 8 2012
 
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengambil keputusan untuk menarik balik pembekuan pemberian pinjamannya kepada siswa Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).
Sebelum ini, PTPTN telah membekukan pinjaman kepada Unisel dan KUIS - kedua-duanya di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor - sehingga mencetuskan pelbagai reaksi bantahan pelbagai pihak terhadap tindakan tersebut.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata tindakan pembekuan pinjaman PTPTN itu dibuat untuk memberi peluang kepada kerajaan Selangor yang mahu pendidikan di negara ini, termasuk di peringkat tinggi, diberi secara percuma.
Tindakan itu juga diambil ekoran kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pelajar supaya jangan membayar balik pinjaman PTPTN dan berjanji ianya akan dimansukan jika Pakatan menawan Putrajaya dalan pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, seorang pegawai tinggi PTPTN ketika menjawab SMS daripada wartawan Malaysiakini, mengesahkan keputusan menarik balik pembekuan pinjaman kepada Unisel dan KUIS.
"Pejabat menteri pagi ini telah mengeluarkan surat (supaya) pinjaman PTPTN diteruskan kepada Unisel dan KUIS," katanya yang tidak mahu namanya disebut.
"Eloknya hubungi pejabat YB menteri," katanya dalam SMS tersebut.
Khaled seterusnya mengesahkan tindakan menarik balik pembekuan pinjaman siswa Unisel.
Beliau dilaporkan Utusan Online sebagai berkata, tindakan terbaru itu diambil ekoran "rayuan dan penjelasan Unisel bahawa ia tidak berniat untuk memberi pendidikan percuma kepada pelajar."
"Unisel juga mengakui bahawa PTPTN penting untuk pelajar justeru mengambil kira penjelasan dan keseriusan Unisel mengenai perkara ini saya telah meminta PTPTN menarik balik pembekuan itu pagi ini,’’ katanya seperti dipetik laman itu.
 
Perkara itu turut disahkan seorang pegawai kanan kerajaan Selangor yang dihubungi Malaysiakini hari ini.
Pegawai yang enggan namanya didedahkan itu berkata siswa berkenaan boleh membuat permohonan pinjaman tersebut bermula malam ini.


Beku PTPTN: Ada rancang berhenti, ada pindah IPT
  • Zulaikha Zulkifli
  • 6:43AM Jun 8 2012
 
Tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa baru Universiti Industri Selangor (Unisel) milik kerajaan Selangor menyebabkan beberapa pelajar merancang dan terpaksa berhenti belajar kerana tidak mendapat pinjaman.

Tindakan itu juga menyebabkan pelajar baru di universiti tersebut terbeban dan terpaksa bergantung dengan keluarga untuk mendapatkan wang.

NONESeorang pelajar daripada Fakulti Seni dan Rekaan yang mahu dikenali sebagai Edy berkata, beliau mengalami kesukaran untuk menyiapkan tugasan apabila tidak mendapat bantuan kewangan.

Pelajar yang berasal daripada Kuala Terengganu, Terengganu itu juga melahirkan rasa kesal dan bercadang untuk pindah ke institusi pengajian tinggi lain sekiranya masih tidak mendapat pinjaman PTPTN.

"Ada dua tiga orang kawan saya yang dah pindah belajar tempat lain sebab tak dapat PTPTN. Sekarang ni pun ada kawan-kawan lain rancang nak tukar juga.

"Macam saya pun bukan daripada keluarga senang. Saya ada tujuh orang adik beradik. Bila tak dapat PTPTN ni saya bimbanglah. Saya pun ada fikir nak pindah tempat lain kalau masih tak dapat pinjaman," kata Edy, 18, ketika ditemui Malaysiakini semalam.
'Rasa memang susah'

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan PTPTN membekukan pinjaman kepada mahasiswa baru Unisel.

Pembekuan itu bertujuan untuk memberi peluang kepada Pakatan Rakyat membuktikan mereka mampu memberikan pendidikan percuma di negeri itu, lapor Utusan Malaysia.

NONESelain itu,menurut seorang pelajar semester pertama Fakulti Komunikasi dan media yang mahu dikenali sebagai Bob, ketika mula memasuki Unisel, mereka ada diberi taklimat mengenai prosedur memohon PTPTN.

Bagaimanapun, beliau yang merupakan anak kepada pekerja penyelenggaraan berkata, sehingga hari ini, beliau mendengar khabar bahawa pihak Unisel tidak tahu kenapa pinjaman mereka dibekukan.

"Rasa memang susah kalau tak dapat PTPTN. Rasa macam nak berhenti belajar pun ada.

"Kami diberitahu bahawa pihak atas tak tahu kenapa dibekukan pinjaman. Saya juga difahamkan pihak Unisel juga sekarang sedang berbincang dengan PTPTN. Apa pun, saya nak tunggu apa keputusan sebelum lihat pilihan lain," kata bob, 18, yang berasal dari Johor.

Bob turut merayu kepada pihak PTPTN agar memberikan pinjaman kepada pelajar baru yang dibekukan pinjaman.
'Saya dengan sebab politik'
"Saya harap PTPTN bagi je pada kita. Memang rasa susah. Tugasan semua gunakan duit. Banyak pelajar sini sewa rumah, ada yang sampai saya dengar cerita cari kerja (sambilan)," katanya lagi.

Sementara itu, bagi Aqila, 18, yang berasal daripada Rawang pula mendapat khabar bahawa pembekuan pinjaman adalah disebabkan politik.

NONEAnak sulung dari tiga beradik ini berkata lagi, dengan kehidupannya yang tidak mewah, beliau amat memerlukan wang daripada pinjaman PTPTN.

"Saya memang perlukannya untuk biaya pelajaran saya. Sebelum tak macam ni (beku pinjaman). Saya dengar semua ni sebab politik.

"Yuran nak kata murah pun tak boleh. Keluarga saya tak kaya sangat. Duit belanja pun tak banyak, tak cukup. Saya harap PTPTN tak jadi bekukan (pinjaman)," kata pelajar semester pertama Fakulti Seni dan Rekaan itu lagi.

Seorang pelajar daripada fakulti komunikasi dan media, Kabil, 19, berkata beliau memerlukan wang daripada pinjaman PTPTN untuk membayar yuran pengajian.

NONEKatanya lagi, beliau bersama rakan lain amat terkejut dengan tindakan PTPTN yang membekukan pinjaman kepada pelajar Unisel.
"Kami semua terkejut. Dalam kelas pun dah tak tumpu perhatian bila semua cakap mengenai PTPTN... Jika tak ada duit daripada PTPTN, kami terpaksa berhenti belajar.

"Ada juga senior yang kata suruh sabar dan kata jangan bimbang dan semuanya akan baik seperti biasa... Tapi tak ada duit bagaimana nak sambung belajar. 

"Dalam keluarga bapa saya seorang sahaja yang mencari nafkah dan dia bakal bersara tak lama lagi," kata Kabil yang merupakan anak  bongsu kepada seorang kakitangan TNB.
VIDEO l  5.09 min


Pinjaman PTPTN untuk siswa KUIS juga dibeku
  • Jonathan Yong
  • 11:50AM Jun 8 2012
 
Siswa di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) turut terjejas apabila permohonan pinjaman mereka dibekukan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut seorang siswa yang baru mendaftar di kolej tersebut, perkara itu diberitahu dalam satu taklimat kepada pelajar pada malam Rabu lalu.

Siswa yang enggan didedahkan namanya itu berkata hampir 500 orang pelajar dalam taklimat itu diberitahu bahawa pinjaman PTPTN itu dibekukan kerana KUIS berada di bawah kerajaan Selangor.

Satu lagi universiti bawah kerajaan negeri itu, Universiti Selagor turut dikenakan tindakan sama.

Menurut siswa tersebut, pelajar berkenaan terkejut dengan pengumuman itu kerana ramai di antara mereka memerlukan bantuan kewangan untuk pendidikan mereka.

Beku PTPTN: Unisel cair aset bantu pelajar terbabit
7:41PM Jun 7 2012 
Kerajaan Selangor memandang berat kesusahan yang dihadapi pelajar baru Universiti Selangor (Unisel) yang menurutnya teraniayai ekoran tindakan kerajaan persekutuan dan menteri pengajian tinggi membekukan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar di universiti tersebut.

"Sebagai tindakan jangka pendek, UNISEL akan menggunakan asetnya untuk membantu pelajar yang dalam kesukaran meneruskan pengajian. 

"Aset ini merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan petang ini.

Kerajaan Selangor, katanya, telah selesai menyusun semula hutang tersebut di mana tanah seluas 500 ekar itu telah menjadi aset Unisel.

Khalid berkata, kerajaan negeri akan membantu Unisel mengapungkan hartanah tersebut di pasaran untuk mendapatkan wang tunai. 

"Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil usaha ini. Sebahagian wang ini akan digunakan untuk membantu pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan BN membekukan PTPTN," katanya.

Bagaimanapun, katanya, bantuan kewangan ini hanyalah berbentuk sementara sehingga penyelesaian konkrit dicapai. 

"UNISEL akan memperincikan bantuan yang akan diberikan kepada pelajar-pelajar teraniayai ini dalam tempoh terdekat.

"Kerajaan Selangor sangat kecewa dengan tindakan Kerajaan Persekutuan khususnya menteri pengajian tinggi yang mengaku bertanggungjawab mengarahkan pembekuan PTPTN kepada Unisel.

"Tindakan tidak bertanggungjawab dan membelakangi semangat Federalisme ini bukan sahaja menganiayai pelajar-pelajar baru, malah telah mengecewakan ibu bapa yang menaruh harapan tinggi terhadap anak-anak mereka," katanya.

Khalid mendakwa Barisan Nasional telah menjadikan pelajar Unisel dan ibu bapa mereka yang sebahagian besarnya Melayu sebagai mangsa hanya kerana perbezaan dasar politik antara Kerajaan Selangor dan Pusat.
"Hal ini jelas menunjukkan BN sanggup melakukan apa sahaja untuk melaksanakan politik sempit mereka hatta menganiaya dan menggadai masa depan anak-anak muda di negara ini," dakwanya.


Menteri sahkan PTPTN beku pinjaman siswa Unisel
11:22AM Jun 7 2012 
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa baru Universiti Industri Selangor (Unisel) milik kerajaan Selangor.

NONEPembekuan itu bertujuan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat membuktikan mereka mampu memberikan pendidikan percuma di negeri itu, lapor Utusan Malaysia.

Mohamed Khaled (kiri) dipetik sebagai berkata, pihaknya beranggapan Unisel bersedia memberikan pendidikan percuma kepada para pelajar, sekali gus menolak PTPTN.

"Kita percaya kesungguhan kerajaan Selangor yang dikuasai PKR untuk melaksanakan pendidikan percuma, maka ia dilihat pinjaman PTPTN tidak diperlukan.

"Sehubungan itu, PTPTN menangguhkan buat sementara waktu kepada para pelajar baru Unisel. Bagaimanapun, ia tidak termasuk kepada pelajar yang sedang menuntut kerana masih terikat dengan perjanjian," beliau dipetik sebagai berkata kepada akhbar Umno itu.

Malaysiakini kelmarin melaporkan permohonan mahasiswa baru Unisel untuk mendapatkan pinjaman PTPTN dibekukan dan difahamkan ia dimaklumkan secara dalaman tanpa sebarang pekeliling.

Tinjauan Malaysiakini di laman forum PTPTN turut mendapati terdapat jawapan bahawa pinjaman itu "ditangguhkan buat sementara waktu".


Noh: PTPTN sambung jika PKR akui salah
  • Aidila Razak
  • 6:50PM Jun 7 2012
 
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar hari ini membayangkan mahasiswa baru Universiti Industri Selangor (Unisel) mungkin akan diberikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya PKR mengaku salah.

NONEKatanya, sekiranya PKR mengisytiharkan tidak mampu memberikan pendidikan percuma dan tidak membuat janji kosong, beliau yakin kerajaan persekutuan tidak kejam.

Ditanya sama ada masalah politik dalam isu itu hanya menyusahkan mahasiswa, Noh berkata, ia tidak akan berlaku sekiranya kerajaan negeri boleh memberikan pendidikan percuma yang dijanjikan.

Katanya, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim patut memberikan jawapan sama ada mereka mampu atau tidak.




PKR sedia bantu siswa saman PTPTN
  • Hazlan Zakaria
  • 5:41PM Jun 7 2012
 
PKR menyatakan kesediaan untuk membantu siswa baru Universiti Selangor (Unisel) yang berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atas tindakan membekukan pinjaman mereka.

Pengarah strategi parti itu, Rafizi Ramli berkata PKR akan mengkaji penjanjian pinjaman individu berkenaan untuk mengenalpasti sekiranya PTPTN berhak untuk mengambil tindakan menghentikan pinjaman dengan sewenang-wenangnya.

Sekiranya ada asas undang-undang, PKR akan mencari siswa yang sanggup tampil untuk menyaman PTPTN, katanya.

Beliau memberi alasan, hanya siswa berkenaan yang mempunyai locus standi dalam kes seperti itu kerana mereka merupakan pihak yang menandatangan pinjaman tersebut.

Tambahnya, golongan yang terjejas dalam tindakan bersifat politik seperti itu ialah siswa yang bergantung kepada pinjaman untuk melanjutkan pengajian.

Tindakan mengejut PTPTN itu juga menyebabkan kesukaran kepada pelajar baru di universiti milik kerajaan negeri Selangor, katanya.

Tuesday, May 22, 2012

Rafizi lawan KJ, Najib yang tertekan


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/10504-rafizi-lawan-kj-najib-yang-tertekan

Zulkifli Sulong,23 Mei 2012
(Debat Khairy dengan Rafizi malam tadi...tetapi Najib yang paling tertekan dengannya)

KUALA LUMPUR: Walaupun debat berlangsung antara Mohd Rafizi Ramli dengan Khairy Jamaludin namun yang paling tertekan dengan debat malam tadi adalah Datuk Seri Najib Razak.

Ini ekoran, kesimpulan yang dibuat oleh moderator debat itu, Dr Maszlee Malik yang mendesak debat diadakan pula antara Datuk Seri Najib dan datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Maszlee membuat kesimpulan itu di akhir debat dengan mendesak agar debat itu pula diadakan selepas debat semalam berjalan dengan baik dan penuh kematangan.

Anwar sejak sekian lama mengajak Najib berdebat namun pelbagai alasan diberikan oleh pimpinan BN dan Najib sendiri.

Debat antara Khairy dengan Rafizi semalam merupakan kali kedua berlangsung antara mereka.

Yang pertama kali dibuat di London di depan pelajar dan rakyat Malaysia di sana.

Debat malam tadi pula dianjurkan oleh akhbar Sinar Harian dengan  kerjasama Astro Awani yang membuat siaran langsung dalam medianya.

Bagi Dr Dzulkefly Ahmad, anggota Parlimen Kuala Selangor yang bersama-sama penonton untuk kedua-dua debat itu, Khairy lebih berjaya dalam pusingan pertama di London.

Namun malam tadi jelas Rafizi lebih berjaya dan mendapat sokongan umum ekoran pendekatan yang dibawanya.

"Saya berada di London ketika debat mereka. Saya mengaku ketika itu Khairy di depan. Tetapi malam tadi, hujjah Rafizi jauh lebih baik. Jadi 1-1 lah," kata Dr Dzul.

Ramai penonton debat malam tadi memberikan pujian kepada Rafizi kerana berjaya membawa hujjahnya dengan baik.

"Rafizi jauh lebih baik pada persepsi awam kerana Khairy terlalu defensif," kata salah seorang dari pengulas politik.

Bagi Astro Awani dalam berita mereka, debat semalam disifatkan pembukaan kepada sikap kematangan dalam politik negara.

Laporan sebegini memberikan tekanan yang lebih berat kepada Najib agar menerima cabaran berdebat dengan Anwar.

Tambahan lagi, kesimpulan yang dibuat oleh moderator malam tadi menyebabkan para penyokong Umno di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf benar-benar marah kepada kesimpulan Dr Maszlee itu.

Menurut penonton yang berada di dewan itu, sekumpulan penyokong Umno marah kepada pihak penganjur yang membenarkan Dr Maszlee menekan Najib sebegitu rupa.

Monday, May 14, 2012

Pendidikan percuma


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/presiden/10305-pendidikan-percuma

14 Mei 2012
Ibnu Khaldun ialah pemikir Islam bertaraf dunia sepanjang zaman. Beliau banyak membentangkan teori kemasyarakatan mendahului zamannya beberapa abad. Buku karangannya berjudul Muqaddimah yang bermaksud pendahuluan, diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa dunia di timur dan barat, walaupun ia adalah pendahuluan kepada buku sejarah karangannya. Akhirnya kitab Muqaddimah sahaja yang dikaji  kerana analisa ilmu kemasyarakatan yang menarik sehingga Ibn Khaldun diberi gelaran bapa ilmu kemasyarakatan.

Ibn Khaldun mengulas berkenaan pelajaran dan pendidikan dalam bab yang khusus, melibatkan ilmu secara menyeluruh mengikut perspektif Islam yang berbeza dengan teori Barat yang berteras dan berkonsepkan sekularisme yang memisahkan agama dengan dunia.

Paling menarik Ibn Khaldun meletakkan ilmu dan pendidikan ke dalam aspeksina’ah (industri). Bermakna aktiviti ilmu bukan sahaja keperluan ruh dan akal yang menjadi sebahagian daripada kejadian manusia, bahkan kegiatannya yang betul dan saksama menghasilkan kemajuan dalam aspek yang lain termasuk aspek ekonomi yang menambahkan hasil negara.

Lapangan ilmu dan pendidikan adalah peranan pembangunan manusia dalam segala aspek kejadian mereka secara fitrah, dan perkembangan percambahan ilmu keperluan mereka yang dicipta selepasnya secara pengalaman dan kajian mengikut keperluan semasa, realiti dan situasi yang sentiasa berubah di sepanjang zaman.

Peranan ilmu dan pendidikan mengikut Islam adalah selaras dengan naluri manusia dan peranan mereka. Manusia adalah makhluk berunsurkan jasad, ruh dan akal, individu, keluarga dan wajib bermasyarakat madani, mampu mengendalikan urusan makhluk sekelilingnya. Maka manusia adalah makhluk yang layak mentadbir urusan bumi sekiranya berilmu dan pendidikan yang merangkumi aspek naluri mereka.

Ilmu dan pendidikan adalah agenda pembangunan manusia bagi memakmurkan dunia. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan yang memenuhi kehidupan manusia tersebut dalam perkara wajib mengikut kedudukan ilmu itu. Semua bidangnya  tidak terkeluar daripada fardu ain dan fardu kifayah.

Ilmu dan pendidikan bagi membina peribadi manusia supaya beriman dan budiman  dimasukkan dalam fardu ain yang wajib bagi setiap individu, begitu juga alat dan kemudahan untuk menghasilkannya seperti mambaca, menulis dan alatnya serta pelajarannya secara sistematik mengikut zaman. Perkara ini termasuk dalam doruriyat kepada ruh dan akal, sama seperti keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada jasad. Maka menjadi kewajipan kepada ibu bapa atau ketua keluarga atau penjaga dan kerajaan yang memerintah negara  membantu kalangan yang tidak berkemampuan.

Ilmu dan pendidikan yang memberi kemudahan kepada masyarakat dalam segala aspeknya dimasukkan dalam fardu kifayah (wajib secara umum), menjadi fardu ain pula kepada mereka yang layak menunaikannya seperti para pemimpin kerajaan.

Dalam masa yang sama setiap anggota masyarakat digalakkan menunaikan kewajipan ini sehingga dimasukkan dalam amal kebajikan yang besar pahalanya dan fadilatnya berpanjangan walaupun pengamal dan penyumbangnya telah meninggal dunia. Sabda Rasulullah S.A.W:
إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاثٍ: صدقةٍ جاريةٍ، أو علمٍ ينتفع به، أو ولدٍ صالحٍ يدعو له
Maksudnya: Apabila matinya seseorang manusia, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sumbangan sedekah (harta ) yang berterusan kebaikannya,  ilmu yang memberi manfaat dan anak yang baik sentiasa berdoa untuknya(Riwayat Muslim)

Menunjukkan bahawa kewajipan pendidikan dan pelajaran dalam negara berkebajikan mengikut Islam menjadi tanggungjawab bersama yang tidak membebankan kerajaan sahaja, kerajaan dan masyarakat tidak boleh melarikan diri daripadanya.

Manusia yang dibangunkan insannya dengan sempurna menambahkan produktiviti negara, bukannya menjadi bebanan negara dengan gejala sosial seperti akhlak dan pengangguran. Apa yang berlaku hari ini adalah kesilapan dasar, konsep dan sistem yang memerlukan satu huraian yang lain. Dalam ruangan ini perlu dijelaskan dengan tegas bahawa agenda pendidikan dan pelajaran percuma yang betul meningkatkan hasil negara bukannya menjadikannya bankrap.

Ilmu dan pendidikan peribadi yang betul, melahirkan manusia beriman, budiman dan berilmu sehingga beramal dengan ikhlas, tidak menyeleweng, rasuah dan menyalahgunakan kerja, jawatan, serta tidak merosakkan hasil negara. Ilmu dan pendidikan pengurusan, kemahiran dan sebagainya untuk masyarakat  mendatangkan hasil  yang maju dan meningkat. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan bagi keperluan peribadi dan masyarakat tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain. Ilmu dan pendidikan fardu ain  bagi membentuk diri manusia adalah asas yang wajib bagi setiap individu lelaki dan wanita. Kemudian ditingkatkan secara fardu kifayah (wajib secara umum) mengikut kemampuan di bidang masing-masing, sehingga tidak ada yang tercicir dalam masyarakat, termasuk yang gila dan cacat menjadi kewajipan keluarga dahulu, kemudiannya masyarakat dan kerajaan.

Kalangan para ulama yang mendalami perkembangan semasa, menjadikan sebahagian peruntukan zakat  sumbangan kepada penuntut ilmu, kerana ia juga adalah medan perjuangan untuk meninggikan Islam dan umat. Kepada penganut Islam, zakat tetap wajib dibayar walaupun dibatalkan oleh kerajaan kerana sifat ibadatnya yang berbeza dengan cukai  yang di arah oleh kerajaan kerana zakat adalah perintah Allah.

Dalam masyarakat Islam yang lebih lama tamadunnya didirikan  institusi pendidikan percuma sehinggalah masuk ke zaman penjajah dan merdeka semula. Contohnya Universiti al-Azhar di Mesir, Deoband dan Aligarh di India, pengajiannya bukan sahaja jurusan Islam bahkan meluas ke bidang sains dalam segala aspeknya. Pelajarnya belajar percuma, universitinya hidup dengan harta wakaf dan zakat.

Ada juga kalangan negara Barat yang meniru tamadun awal Islam menganjurkan pendidikan percuma dengan mengenakan cukai daripada kalangan yang kaya raya tanpa membebankan kalangan miskin, walaupun negara itu tanpa mempunyai sumber bumi yang banyak tetapi pandai mengurusnya tanpa membebankan rakyat. Sedarlah kita betapa bumi yang berhasil daripada perutnya dan subur tanahnya. Mengapa tidak mampu dan takut apabila disebut pendidikan percuma. Sebabnya kerana hasil negara banyak masuk ke dalam perut para pemimpin dan konco-konconya.

Ibn Khaldun menegaskan lagi, bahawa pertambahan jumlah penduduk yang meningkat juga kalau diolah dengan baik boleh meningkatkan produktiviti bukannya pengangguran dan gejala sosial, sekiranya agenda pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Allah.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Wednesday, April 18, 2012

Samseng serang mahasiswa di Dataran Merdeka

http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/9679-80-samseng-serang-pukul-mahasiswa-di-dataran-merdeka
KeadilanDaily,19 Apr 2012

KUALA LUMPUR, 19 April: Sekumpulan antara 40 hingga 80 samseng berkelakuan biadap apabila menyerang perkhemahan mahasiswa di Dataran Merdeka, kira-kira jam 2.30 pagi, lapor KeadilanDaily.

Berpakaian serba hitam, samseng itu turut meroboh khemah, memukul mahasiwa dan orang ramai yang menyokong perkhemahan dengan menumpu sasaran terhadap mereka yang membawa kamera dan perakam video.

(Kanan: Mahasiswa dan orang ramai berkumpul menceritakan detik-detik cemas, namun semangat mereka tidak luntur.)

Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki terpaksa dihantar menaiki ambulans ke hospital manakala beberapa orang termasuk mahasiswa, ditendang, ditampar dan ditumbuk.

“Saya sedang tidur dalam khemah sebelum terjaga apabila muka saya ditendang dari luar,” kata penuntut sarjana Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Ruqayyah Abdul Rahman yang berpurdah itu kepada Keadilan Daily, awal pagi ini.

Beliau yang turut kehilangan telefon bimbit akibat insiden itu berkata demikian ketika berkongsi detik cemas itu bersama mahasiswa dan orang ramai.

Kebanyakan mereka kesal kerana kumpulan samseng itu dibiar bermaharaja lela walaupun balai polis bergerak terletak hanya 10 meter dari lokasi perkhemahan.

Seorang saksi lain kesal kerana polis enggan memberi bantuan walaupun beliau merayu bantuan tetapi anggota pihak berkuasa itu memberi alasan ‘bimbang keselamatan mereka terancam’.

(Kiri: Khemah mahasiswa yang dirosakkan kumpulan samseng.)

Dalam kejadian itu, samseng turut melontar kata-kata kesat dan mencampakkan cermin mata aktivis sosial, Fahmi Reza manakala rakannya, Boon Kia Meng, seorang pensyarah institusi pengajian tinggi swasta, ditumbuk.

“Sebaik saja keluar khemah akibat kekecohan itu, saya hanya duduk tanpa membalas cercaan mereka. Sebaliknya, mereka ambil dan campak cermin mata saya. Kia Meng di sebelah pula ditumbuk,” katanya.

Kamera Nurul Haniza Mohamad, 24, pula rosak selepas ia dirampas ketika dikerumuni lima atau enam samseng.

“Mereka tarik baju dan beg saya. Ada seorang tunjal kepala saya sambil menghambur kata-kata kesat,” katanya yang berasal dari Batu Arang, Selangor.

(Kanan: Kebiadapan samseng tidak mematahkan semangat mahasiswa untuk terus berkhemah sehingga 28 April ini.)

Seorang ahli Unit Amal PAS Batu, Mohd Kassim Abdullah, 24, pula ditampar dua kali, malah disiram air oleh sekumpulan samseng berkenaan.

Sungguhpun berdepan kekasaran samseng itu, semua mahasiswa dan kumpulan penyokong tetap bersemangat, malah membuat ketetapan untuk terus kekal berada di situ.