Showing posts with label Ikhwan Muslimin. Show all posts
Showing posts with label Ikhwan Muslimin. Show all posts

Monday, June 25, 2012

Implikasi politik dunia ekoran kemenangan Dr Morsi


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/11234-implikasi-politik-dunia-ekoran-kemenangan-dr-morsi

Dr. Syed Azman Syed Ahmad,25 Jun 2012

(Penulis [tengah] di dataran Tahrir bersama meraikan kemenangan Morsi dengan rakyat Mesir)

Peristiwa besar yang berlaku di luar negara adalah perkembangan politik yang sedang berlaku di Mesir. Setelah seminggu berada di bumi Mesir, saya dapat bersama menyaksikan satu era baru yang terukir dalam sejarah politik dan pemerintahan Mesir.

Bagi saya, sesungguhnya politik Mesir adalah ibarat permainan catur yang penuh dengan debaran kepada banyak kalangan.

Namun rakyat Mesir sekali lagi melakar sejarah apabila buat pertama kalinya dalam sejarah, mereka telah berjaya memilih seorang Presiden yang dipilih terus oleh rakyat setelah berpuluh-puluh tahun di bawah pemerintahan diktator dan ’kuku besi’.

Lebih manis lagi apabila yang terpilih adalah Dr. Mohamed Morsi calon dari Freedom and Justice Party (FJP) parti politik tajaan Ikhwan Muslimin Mesir.

(Rakyat Mesir meraikan kemenangan mereka di Dataran Tahrir)

Hanya setahun lalu, tidak siapa dapat menjangkakan rejim 'kuku besi’ Hosni Mubarak yang juga merupakan sekutu akrab Amerika Syarikat, Britain serta Kesatuan Eropah (EU) dalam menentang 'terroris Islam' serta 'menjamin keselamatan Israel’ berjaya digulingkan oleh rakyat Mesir dengan hanya bersenjatakan 'Kuasa Rakyat’ yang turun secara sukarela meluahkan perasaan, berdemonstrasi ke jalan-jalanraya di seluruh negara.

Dan pada minggu ini,  sekali lagi kita dapat menyaksikan sejarah terukir apabila ratusan ribu rakyat Mesir terutamanya dari kalangan golongan muda membanjiri Dataran Tahrir yang terletak ditengah-tengah kota Kaherah bagi meraikan kemenangan mutlak calon Ikhwan Muslimin itu walaupun ada percubaan awal dari pihak tentera SCAF bagi menafikan kemenangan itu.

Kemenangan rakyat ini adalah amat manis bagi Ikhwan Muslimin di Mesir. Apa tidaknya. Kalau setahun lalu Ikhwan Muslimin adalah dianggap sebagai sebuah 'pertubuhan haram’ dan sesiapa yang didapati menjadi ahli pertubuhan ini akan terus ditangkap.

Sepanjang pemerintahan 'kuku besi' Anwar Sadat dan Mubarak, Ikhwan Muslimin telah dinafikan hak bersuara, kebebasan dan keadilan.

Mereka diharamkan dari bergerak aktif di Mesir dan semua media massa di kawal ketat dengan tidak dibenarkan sebarang bentuk kritikan terhadapi rejim ini.

Kekejaman berpuluh-puluh tahun rejim ini sampai kepada kemuncaknya apabila mereka telah bertindak membunuh serta memenjara ribuan para ulama dan cendekiawan yang simpati dengan perjuangan Ikhwan Muslimin.

Namun kemenangan Dr. Morsi sebagai Presiden ini juga berhadapan dengan penuh cabaran besar yang terpaksa terus dihadapi.

Isu utama yang dianggap paling sensitif adalah hubungan beliau sebagai Presiden dengan pihak tentera SCAF yang sejak sekian lama telah mendominasi kuasa dan politik Mesir.

Pada proses pengundian Pilihanraya Presiden pusingan kedua, ia di cemari oleh keputusan Mahkamah Perlembagaan Mesir yang telah membatalkan semua keputusan pilihanraya Parlimen yang telah di adakan beberapa bulan lepas.

Pihak tentera SCAF serta-merta membubarkan Parlimen dan menghalang ahli-ahli Parlimen yang majoritinya dari parti FJP dan Parti Nour dari gerakan Salafi dari memasuki bangunan Parlimen.

Keputusan mahkamah ini telah menimbulkan kemarahan dari pelbagai pihak di seluruh Mesir. Ia di anggap sebagai suatu percubaan ‘rampasan kuasa’ dengan menggunakan keputusan Mahkamah dimana majoriti Hakim-Hakim masih dikuasai oleh mereka yang setia kepada bekas Preiden Mubarak.

Pimpinan FJP menggangap keputusan mahkamah ini sebagai satu malapetaka besar kepada seluruh rakyat Mesir dan adanya usaha untuk merampas kembali Revolusi rakyat yang di lakukan oleh setiap warga Mesir yang cintakan keadilan.

Lebih parah lagi dengan menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada calon FJP, pihak tentera SCAF telah melakukan 8 ‘pindaan kilat’ kepada perlembagaan Mesir yang dilihat adalah untuk menjamin kuasa yang ada pada pihak tentera.

(Penulis mengucapkan tahniah kepada jurucakap FJP)

Antara pindaan yang dilaksanakan adalah; memberi kuasa penuh kepada SCAF bagi menentukan pindaan perlembagaan yang baru, Presiden berkuasa mengistiharkan Perang hanya dengan ‘kelulusan’ dari SCAF dan sekiranya berlaku sebarang kekacauan dalam negara, Presiden boleh memanggil pihak tentera hanya dengan kebenaran SCAF.

Di peringkat antarabangsa pula, Dr. Morsi berhadapan dengan cabaran menunaikan janji ‘menilai semula perjanjian Camp David’ dengan Israel yang memberi banyak kelebihan dan perlindungan berat sebelah kepada rejim Zionis itu.

Persoalan ini jugalah yang banyak di tumpukan oleh pembuat polisi di ‘White House’ bagi menilai hubungan Amerika Syarikat dengan Mesir dibawah seorang Presiden yang berlatar-belakangkan Ikhwan muslimin yang menolak dasar kekejaman dan apartied negara Zionis Israel.

Perlu diingat bahawa Mesir adalah sekutu terpenting Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah sejak lebih 4 dekad yang lalu. Amerika Syarikat juga menyalurkan lebih US3 billion setiap tahun kepada rejim Mubarak terutamanya untuk persenjataan dan pertahanan.

Atas dasar inilah Mesir dianggap sebagai 'buffer' atau 'pintu penghalang' bagi menyekat sebarang ancaman serta menjamin keselamatan dan keamanan Israel.

Begitu juga dengan 'Terusan Suez’ yang merupakan nadi kepentingan ekonomi Amerika Syarikat serta sekutunya bagi menyalurkan minyak dan gas.

Sepanjang kempen pilihanraya Presiden yang dijalankan, Dr. Mohamed Morsi juga berhadapan dengan konspirasi media barat dan kebanyakan media utama Mesir bagi memastkan calon Ikhwan Muslimin ini kalah.

Pelbagai publisiti negatif telah di timbulkan dan beliau telah di serang habis-habisan dengan pelbagai tuduhan negatif serta kempen menakut-nakut pengundi terutamanya dari kalangan yang beragama Kristian akan ‘bahaya’ kemenangan parti Islam yang akan membawa Mesir kembali kepada zaman unta.

Manakala calon pilihan mereka, Ahmed Shafik pula telah diberikan  pelbagai publisiti positif oleh media barat terutamanya BBC dan CNN serta media utama di Mesir dan dianggap ‘sebagai calon penyelamat’ bagi membangun semula Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak.

Namun keputusan resmi  yang di umumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Mesir yang mengesahkan kemenangan berpihak kepada Dr. Mohamed Morsi adalah kemenangan ‘Kuasa rakyat’.

Seperti ungkapan awal beliau; ‘Saya adalah Presiden yang dipilih bagi seluruh rakyat Mesir. Semua rakyat termasuk penganut Kristian adalah rakyat di bawah saya bagi sama-sama membangunkan Mesir yang baru’.

Ya, apapun yang ada dihadapan dalam politik Mesir, catur politik antara Dr. Mohamed Morsi sebagai seorang Presiden dengan pihak tentera SCAF akan terus dibidak bagi menentu masa hadapan politik Mesir.

Sementara itu Amerika Syarikat dan sekutunya akan terus menjadi pemerhati yang ‘istemewa’. Ia juga akan menjadi inspirasi dan semangat baru selepas Arab Spring kepada seluruh dunia Islam termasuk di Malaysia.

Tahniah Dr. Morsi...

-------------------------

Kemenangan Ikhwan guna teknologi 1,400 tahun lalu


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/11238-kemenangan-ikhwan-guna-teknologi-1400-tahun-lalu

Mohd Yusof Hadhari,25 Jun 2012
Kita renungi bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hasan al-Banna di Mesir. Dalam keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu yang amat menyedihkan, ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.

Tambahan pula, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hasan al-Banna mengambil peranan untuk melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin. Tujuannya adalah untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad, dikerumuni musuh Islam dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka  untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.

Jika kita melihat antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu memperbaiki diri sebelum memperbaiki masyarakat. Mereka yang mampu memperbaiki dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu memperbaiki masyarakat di sekelilingnya. Untuk memperbaiki ummah kata Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Jum’ah Amin, seseorang perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah subhanahu wataala dengan membanyakkan amal yang mendekatkan diri dengan Allah subhanahu wataala.

“Jadilah kamu hamba (Allah) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesan Syeikh Jum’ah Amin.

Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah subhanahu wataala dengan membaca al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wataala. Mengambil kata-kata hikmah Saiyidina Abu Bakar radiallahuanhu kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah.”

Usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji  cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.

Kemenangan Presiden baru Mesir, Dr Mohammed Morsi yang mewakili Ikhwan Muslimin menjadi topik yang hangat di bicarakan seluruh dunia termasuk gerakan Islam di Malaysia. Kemenangan yang diperoleh Ikhwan Muslimin setelah 83 tahun memperjuangkannya perlu menjadi pencetus semangat buat seluruh gerakan Islam dunia yang lainnya.

Di sebalik kemenangan Ikhwan Muslimin, kita melihat kemenangan itu bukan diraih hanya disebabkan kepakaran strategi politik semata-mata, tetapi pimpinan serta ahlinya sangat pemurah masanya dengan Allah subhanahu wataala dalam perjuangan mereka.  Melihat kepada anggota Majlis Parlimen Mesir sekarang terhimpun di dalamnya, lebih dari 140 orang hafal al-Quran. Lebih dari 100 orang hafal dan menguasai 10,000 hadis. Lebih dari 180 orang hafal separuh al-Quran. Lebih dari 170 orang bergelar doktor pakar dari pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Lebih dari 50 orang tidak memiliki kereta peribadi. Lebih dari 350 orang adalah bekas tahanan politik berkisar 6-10 tahun penjara dan 4 orang wanita yang bertudung kemas.

Jadi, apakah kekuatan atau teknologi yang Ikhwan Muslimin gunakan? Coretan sejarah Salahudin al-Ayubi juga memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur musuh? Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata, “  Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat..” Teknologi ini telah wujud 1400 tahun yang lalu dan telah pun dibuktikan kemampuannya untuk menghasilkan superhuman yang mantap dari kaca mata Islam. Teknologi yang dimaksudkan ialah qiamullail.

Tahniah saya ucapkan di atas kemenangan calon Ikhwan Muslimin yang bertanding untuk Pilihanraya Presiden di Mesir. Semoga kemenangan Islam akan hadir di bumi Malaysia dengan kemenangan Parti Islam pada PRU-13 akan datang.

"Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah tidak memberi  agama  ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya."