Showing posts with label Subky Latif. Show all posts
Showing posts with label Subky Latif. Show all posts

Wednesday, June 27, 2012

Mufti dengan haji dan pilihan raya


Posted on Tuesday, June 26 @ 09:09:50 MYT by paktam
Fokus Isu
Oleh Subky Latif
SAMA ada Perdana Menteri Najib dapat petunjuk atau tidak dapat petunjuk rasanya dia tidak akan mengadakan pilihan raya dalam musim haji.
Jika dia hendak mengadakan pilihan raya berhampiran dengan musim haji, maka dia akan pastikan belum ada jamaah yang sudah berangkat ke Mekah dan sesudah semuanya balik baru Parlimen dibubarkan.



Kalau Dr. Mahathir yang lebih degil daripadanya tidak lagi mengganggu orang haji selepas PRU 1986 setelah kerajaan dikritik gara-gara PAS bercadang untuk menangguhkan haji, maka Najib juga tentu mengambil ikibar daripada kecaman dan ingatan PAS itu.
Simpati rakyat kepada PAS atas isu ini boleh menjejaskan peluang Najib bagi mengekalkan kuasa.
Tindakan Najib itu dibuat setelah mengambil kira hisab politik, bukan kerana mendengar alasan setegah mufti yang kebanyakan mahir dengan kitab kuning yang tidak memahami politik itu adalah satu juzuk penting dalam Islam.
Baik Mufti Selangor mahu pun Mufti Perak hanya tahu siapa yang cukup syarat menangguhkan haji kalau mati sebelum menunaikan haji wajib, maka matinya mati Yahudi, Nasrani dan mati jahiliyah. Tidak langsung ada mempelajar kitab ulama terbaru seperti Sheikh Yusof Qardawi, Hassan al-Banna, Abdul Karim Zaidan dan lain-lain.
Mungkin ulama PAS itu politik belaka. Tetapi pandangan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin yang mengajinya bukan sekadar di institusi pengajian tinggi Islam antarabangsa tetapi mengaji juga di Universiti Oxford ternyatalah tidak standardnya setengah mufti kita.
Dr. Maza berpendapat adalah satu kesalahan mengadakan pilihan raya pada waktu haji. Ia seperti mengadakan solat di tengah jalan, tempat orang lalu lintas. Kesalahan itu bukan terhadap orang yang lalu lalang di depan dan belakang orang yang solat, tetapi orang yang memilih solat di tempat seperti itu yang berdosa.
Padanya perkara ini pernah dibahaskan oleh ramai ulama termasuk Ibn Hajar yang menghasilkan kitab Fathul Bari.
Setakat ini pandangan Dr. Maza itu adalah lebih kuat dari pandangan beberapa mufti yang menyanggah amaran PAS tentang isu itu.
Dr. Maza adalah bekas mufti dan ada pengalaman sebagai pembuat fatwa. Dia tidak lagi jadi mufti bukan kerana dibuang atau pandangannya tidak disenangi oleh kerajaan Perlis. Dia berhenti sendiri dengan dia saja yang tahu sebabnya.
Semasa jadi mufti dulu ada juga pendapatnya disanggah orang. Tetapi Dr. Maza belajar lagi. Dia tidak terhenti dengan ilmu yang ada. Sekali pun pandangannya lebih menarik dari setengah mufti, tetapi merasai tidak memada dengan ilmu yang ada.
Pandangan bebas Dr. Maza dalam isu itu menyebabkan kenyataan beberapa mufti mengenainya dirasakan amat koman.
Adalah dipercayai Penasihat Agama Perdana Menteri dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dalam urusan agama Islam tentu boleh menasihatkan Perdana Menteri tentang pandangan Dr. Maza dalam perkara itu.
Kesimpulan Dr. Maza, berdosa mengadakan pilihan raya dalam musim haji. Najib mestilah mengelak perbuatan yang mendatangkan dosa.
Pandangan Dr. Maza dipercayai mempengaruhi Perdana Menteri mengelakkan pilihan raya musim haji.
Tetapi elok juga Penasihat Agama Perdana Menteri dan JAKIM mencadangkan supaya para mufti menghadiri kursus singat mengenai siasah syariyah supaya dapat membandingkan isu-isu politik. Dr. Maza boleh diberi slot bagi melengkapkan mufti dengan perkembangan semasa dan kepentingan ummah.
Dalam isu ini PAS dilihat menang. Ternyatalah ulama PAS bukanlah terdiri ulama haid dan nifas seperti yang al-Marhum Imam Khomeini pernah kata. Dengan pandangan setengah mufti itu seolah-olah mereka mahir hukum haid dan nifas saja.

Wednesday, February 22, 2012

Israel: Anwar, PAS setuju tak bersetuju

http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/8297-israel-anwar-pas-setuju-tak-bersetuju

Subky Latif,23 Feb 2012
KEDUA-dua PAS dan Anwar Ibrahim saling perlu memerlukan antara satu sama lain terutama dalam rangka melakukan perubahan politik dan mewujudkan sebuah negara dan masyarakat adil di Malaysia.
Kedua-duanya sedang berada sedang berada di peringkat yang begitu hampir bagi menyelamatkan Malaysia dari hancur dan muflis.
Tiba-tiba mereka berdepan dengan satu cabaran iaitu kewujudan Israel.
PAS memperaku lagi sikap menolak kewujudan entiti haram Israel dalam apa keadaan sekali pun ditakdirkan seluruh umat Palestin menerima kewujudan Israel itu.
Manakala Anwar pula dalam interbiu dengan Wall Street Journal mengambil sikap terbuka untuk mengakui kewujudan negara Yahudi itu dengan syarat regim itu memenuhi dulu semua tuntutan masyarakat antarabangsa.
Iaitu menerima kewujudan negara Palestin, menjamin kemerdekaan dan kedaulatannya serta mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu kota Palestin.
PAS tidak menyatakan persetujuannya atas kenyataan Anwar itu dan Anwar pula yang menghormati sikap tegas PAS, tidak bercadang untuk menarik balik kenyataannya itu dan dia juga tidak bercadang untuk minta PAS mengubah sikapnya.
Walau pun PAS tegas tidak setuju dengan kenyataan Anwar itu dan Anwar pula tidak setuju mengubah kenyataannya, tetapi kedua-duanya masih bersetuju untuk terus maju bersama dalam Pakatan Rakyat.
PAS tidak bercadang untuk membuang Anwar dari kedudukannya dalam Pakaatan Rakyat dan PAS tidak bercadang untuk meninggalkan Pakatan Rakyat sekali pun Anwar masih menjadi orang terpenting dalam Pakatan Rakyat.
Dengan sikap PAS itu Anwar juga tidak bercadang menyingkirkan PAS dari kumpulan yang dipimpinnya dan dia tidak bercadang untuk meninggalkan muafakat itu semata-mata kerana PAS tidak tertarik dengan kenyataannya.
Itulah yang dinamakan kedua-duanya bersetuju untuk tidak bersetuju dengan isu yang berbangkit itu.
Dan DAP jangan bimbang perbedaan antara PAS dan Awar itu. Ia tidak menyebabkan Pakatan Rakyat boleh berpecah dan ia tidak pula mengubah cita-cita bersama untuk mara ke Putrajaya.
Dan UMNO dan Barisan Nasional seronok sangat dengan percanggahan pandangan antara PAS dan Anwar atas perkara itu. Pakatan tidak akan pecah kerana perbezaan itu.
Betul isu itu besar tetapi PAS dan Anwar ada banyak perkara yang lebih besar yang mereka sepakat. Apabila yang disepakati lebih banyak dan lebih besar, maka yang mereka tidak setujui jadi kecil.
Bagi rakyat Malaysia pada masa ini menumbangkan Barisan Nasional dan mengganti Najib sebagai Perdana Menteri adalah lebih penting dan utama dari isu Israel. Apa yang berlaku di Palestin dalam jangka waktu yang dekat ini tidak banyak membawa perubahan.
Israel tidak mungkin dapat melenyapkan Gaza dan Tebing Barat dari tangan Palestin dalam masa sepuluh tahun akan datang dan Israel pun tidak mungkin boleh ditiadakan dalam masa itu.
Tetapi Malaysia boleh jadi menerima nasib seperti Greece dalam masa yang dekat kiranya Malaysia terus dipimpin Najib dan UMNO. Idris Jala mmberi amaran Malaysia akan muflis tahun 2019 jika sabsidi tidak dihapuskan. Kerajaan tidak pula mengurangkan pembaziran dan tidak juga menghentikan sikap boros setelah adanya amaran Idris Jala itu.
Tiada yang dapat menyekat Malaysia dari hancur dan muflis melainkan Najib dan UMNO dibuang dari Putrajaya. Selepas Putrajaya ditawan, maka baru kita bincang semula isu Israel.
Anwar tahu PAS tidak suka dan tidak setuju dengan kenyataannya. Tetapi dipercayai perlu berdiplomasi kepada dunia yang kebanyakan tidak menolak Israel.
Malaysia tidak memerlukan Israil sekarang. Tetapi yang memerlukan Malaysia ialah Israel. Sebabnya Malaysia antara negara Islam yang berperanan di peringkat antarabangsa. Peranan itu lebih ketara jika Pakatan yang berkuasa dan Anwar pula berperanan. Maka Israel yang mahukan Malaysia.
Kalau Israel merasakan Malaysia penting, kalau ia mahukan sesuatu dari Malaysia, maka ia kena buat apa yang Malaysia mahu. Israel mesti buat apa yang Anwar anjurkan. Terima Palestin yang bebas dan berdaulat. Akui hak Palestin dan Islam atas Baitul Maqdis.
Jika ia dipenuhi baru Malaysia dan Anwar akan timbangkan kehendak Israel itu. Tetapi Anwar juga tahu, yang dikatakan Israel itu mustahil ia mendengar syarat Anwar. Bila syarat Anwar itu ditolak, tidak berbangkit jaminan Malaysia atas keselamatan Israel.
Saya nampak Anwar menjanjikan suatu yang Israel tidak akan setuju.