Showing posts with label LGE. Show all posts
Showing posts with label LGE. Show all posts

Sunday, October 28, 2012

Operasi Lalang jadi batu asas kerjasama DAP-PAS hari ini


  • Lim Guan Eng
  • 3:09PM Okt 27 2012
 
ULASAN Berikut adalah kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan sempena ulangtahun ke-25 Operasi Lalang hari ini:
DAP menyeru agar kerajaan Persekutuan meminta maaf kepada semua tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), segera melepaskan semua tahanan yang masih ditahan dan menjadikan Kem Tahanan Kamunting sebagai muzium sebagai peringatan kepada peripenting kebebasan dan hak asasi serta memulihkan negara daripada trauma penahanan tanpa bicara yang dilakukan secara rambang hanya atas sebab menentang BN.

25 tahun yang lalu pada 27 Oktober 1987, saya menjadi antara mangsa pertama Operasi Lalang yang ditahan di bawah ISA oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Saya ingat lagi bagaimana sebagai ahli Parlimen Kota Melaka yang baru dipilih, betapa terkejutnya saya apabila diberitahu bahawa saya merupakan ancaman kepada keselamatan negara yang bakal mencetus huru-hara dan rusuhan sekiranya saya tidak ditahan. 

Ekoran daripada itu, saya terpaksa bertahan dan mengatasi hari-hari gelap apabila dikurung sendiri, disoal siasat tanpa henti dan diintimidasi untuk memaksa saya untuk "bertaubat".

Seramai 106 pemimpin Malaysia telah ditahan pada tahun gelap 1987, termasuk pemimpin-pemimpin pembangkang - 16 daripada DAP termasuk ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri - ahli-ahli kesatuan sekerja, aktivis sosial, aktivis alam sekitar, pendidik bahasa Cina dan pekerja agama. 

Antara pemimpin-pemimpin yang terkemuka adalah Lim Kit Sang dan Karpal Singh daripada DAP, Mohamad Sabu dan Datuk Mahfuz Omar daripada PAS dan pendidik bahasa Cina Lim Fong Seng dan Sim Mow Yu. 

Serangan juga berlaku ke atas kebebasan akhbar dengan penutupan tiga suratkhabar, serangan bertubi-tubi ke atas badan kehakiman dan keluhuran undang-undang sehingga Ketua Hakim Negara dan dua hakim Mahkamah Agung telah dilucutkan jawatan. 

Semua serangan ini bertujuan untuk membentukkan negara diktator yang memusatkan kuasa di tangan perdana menteri. 

Namun demikian, ada juga hikmah di sebalik tahanan beramai-ramai yang berlaku, iaitu pemimpin-pemimpin PAS dan DAP telah mendapat peluang untuk saling kenal-mengenali lantas memecahkan fitnah yang ditaburkan Umno untuk memomokkan masyarakat bukan Melayu tentang PAS dan masyarakat Melayu tentang DAP. 

Hubungan yang dijalin dalam tahanan 25 tahun lalu telah menjadi batu asas kepada hubungan kerjasama antara dua parti itu pada hari ini. 

Ini membenarkan Pakatan Rakyat untuk bergabung dan memperkuatkan diri untuk mencabar kuasa BN menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Walaupun rakyat Malaysia telah berjaya memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memansuhan ISA, kita masih perlu menutup jilid gelap dalam sejarah negara kita. 

Pertama sekali, semua tahanan ISA yang masih lagi ditahan harus dilepaskan dengan segera dan kerajaan Persekutuan haruslah meminta maaf kepada semua tahanan ISA.

Kedua, Kem Tahanan Kamunting (KDC) harus dijadikan sebuah muzium, seperti kem tahanan Robbens Island di Afrika Selatan yang pernah menjadi rumah kediaman pejuang kemerdekaan Nelson Mandela selama 27 tahun. 

Dengan menjadikan KDC yang dibenci itu sebagai muzium, kita akan menukarkannya kepada simbol peringatan kepada peripenting kebebasan dan hak asasi serta memulihkan negara daripada trauma penahanan tanpa bicara yang dilakukan secara rambang hanya kerana menentang BN.

Akhirnya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), iaitu pengganti kepada ISA, harus dikaji semula untuk memansuhkan beberapa seksyen supaya ISA tidak akan kembali daripada kubur dan menghantui generasi-generasi rakyat Malaysia yang akan datang, sepertimana kita telah dihantui selama 54 tahun yang lalu.

LIM GUAN ENG adalah setiausaha agung DAP dan juga ahli Parlimen Bagan. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Thursday, June 28, 2012

Guan Eng dihujani soalan hudud dalam wacana DAP


  • Abdul Rahim Sabri
  • 2:19PM Jun 28 2012
 
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng malam tadi 'dihujani' pelbagai persoalan berkaitan pendirian dan sikap parti itu terhadap isu hudud yang menjadi perjuangan parti rakannya PAS dalam Pakatan Rakyat.

Dalam program wacananya untuk mendekati Melayu di Shah Alam malam tadi, sesi soal jawab menjadi panas apabila peserta Melayu yang rata-rata muda bangkit bertanyakan isu itu kepadanya.

Lim mengulangi pendirian bahawa DAP "tidak bersetuju" dengan hudud kerana mereka "berpegang kepada perlembagaan dan tidak ada peruntukan untuk hudud" dalamnya.

Bagaimanapun tegasnya, perkara itu tidak menghalang DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR khususnya dalam perkara yang dipersetujui seperti menentang kemungkaran dan membanteras rasuah.

"Kita berbincang untuk berpegang kepada yang sedia ada. Kita mesti mengikut amalan dan konvensyen yang ditetapkan.

"PAS ada pendirian, DAP ada pendirian. Tetapi ia tidak menghalang kerjasama dalam isu yang lebih besar," katanya dalam wacana bertajuk "Benarkah DAP mengancam Islam" anjuran akhbar web berbahasa Melayu DAP Roketkini.

'Tak mungkin pujuk non-Muslim terima hudud'
Lim turut ditanya seorang anak muda bagaimana parti itu menerapkan kefahaman kepada bukan Islam mengenai hudud selepas ia didakwa ditakut-takutkan pemimpin BN.

"Tidak mungkin (DAP) memujuk orang bukan Islam untuk menerima hudud. Hakikatnya bukan DAP sahaja tidak terima hudud, tetapi kebanyakan orang bukan Islam, di Sabah dan Sarawak lebih ramai tidak bersetuju.

"Itulah hakikat yang kita kena terima. Pemimpin PAS perlu menerima hakikat, hudud tidak diterima oleh golongan bukan Islam. Tetapi mereka memberi keyakinan bahawa mereka tidak akan paksa. (Saya rasa) itu yang penting," katanya.

Sehubungan itu, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang mengajak semua pihak supaya tidak terperangkap dengan Umno yang didakwanya mahu menonjolkan isu hudud untuk memecahbelahkan Pakatan.

"Kita berdasarkan kerjasama atau prinsip musyawarah. Kalau kita bersetuju, mari kita cari kata putus. (Perkara) yang tidak boleh bersetuju, kita terima pandangan yang berbeza," katanya.

Sementara itu, Lim menegaskan salah faham rakyat khususnya orang Melayu-Islam terhadap parti itu disebabkan "persepsi palsu" yang didakwanya dibentuk oleh BN.

Lum juga menafikan dakwaan DAP anti-Islam, memandangkan parti yang ditubuhkan pada 1966 itu menerima perkara yang termaktub dalam perlembagaan termasuk Islam sebagai agama persekutuan.

"Ia (anti-Islam) tidak mungkin berlaku... Apa bukti DAP anti Islam? Sejak DAP jadi kerajaan di Pulau Pinang, halang maulud (nabi) ka? Fitnah yang berulang-ulang mungkin akan percaya.

Pensyarah: Aktivis Islam selesa dengan DAP dari Umno


Menurut ahli parlimen Bagan itu, DAP dan PAS sebenarnya mempunyai banyak persamaan dari sudut "mahu rakyat hidup dengan bermaruah, keadilan dan kebebasan".

Bahkan, beliau tidak mahu perbezaan antara kedua-dua parti memecahkan Pakatan Rakyat di samping saling hormat-menghormati dan menyifatkan perbezaan pandangan merupakan satu lumrah.

Sementara itu, pensyarah Univerisiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik berkata, berdasarkan tinjauannya, ramai aktivis Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) "lebih selesa" dengan DAP berbanding Umno.

Beliau membangkitkan beberapa isu sebelum ini berkaitan Islam antaranya menukar cuti hari Jumaat kepada Ahad di beberapa negeri, meroboh surau dan isu memecat mufti.

"Adakah DAP Pulau Pinang yang buat? Siapa yang anti-Islam?" soal Dr Maszlee yang diiringi jawapan "Umno" dari kira-kira 150 hadirin.

"Ini persepsi.... Persepsi selalu bersalahan dengan fakta. (Jadi) lihat fakta," katanya.

Di samping itu, Dr Maslee juga berkata beliau pelik, mengapa MCA tidak dikatakan sebagai anti-Islam sedangkan pemimpinnya didakwa menghina hudud, haji dan wanita bersalaman dengan lelaki.

Tuesday, March 13, 2012

P Pinang telus cadangan 4 projek infrastruktur


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8780-p-pinang-telus-cadangan-4-projek-infrastruktur
Lim Guan Eng,
13 Mac 2012
Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah memilih untuk menjadi telus dan bertanggungjawab dengan mendapat input dan rundingan awam berhubung cadangan pembinaan 4 projek infrastruktur untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memacu pembangunan ekonomi di negeri ini terutama di Seberang Perai Utara (SPU). Tiada rundingan awam dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini ketika membina Jambatan Pulau Pinang ke-2. Dan lagi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang dikritik lebih teruk kerana telus dan bertanggungjawab daripada Kerajaan Negeri BN sebelumnya, yang tidak pernah membuat input dan rundingan awal ke atas Jambatan Pulau Pinang ke-2.

Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang mengakui bahawa ia telah gagal untuk meyakinkan beberapa NGO seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tentang kepentingan 4 projek infrastruktur yang dicadangkan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memacu pembangunan ekonomi di SPU khususnya dan Pulau Pinang secara amnya. Projek yang menjadi persoalan kini adalah pembinaan bawah laut sepanjang 6.5 km dari Persiaran Gurney-Bagan Ajam (berhampiran Butterworth), 15 km jalan yang menghubungkan Tanjung Bungah dan Teluk Bahang,jalan pintasan sejauh 5 km dari Persiaran Gurney-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan pintasan sejauh 5 km dari Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ke Bandar Baru Air Itam.

CAP bukanlah satu-satunya organisasi yang menentang 4 projek infrastruktur tersebut. Bahkan BN dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menentang pembinaan terowong bawah laut dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam pada 17 November 2011. Walaupunbagaimanapun maklum balas awam daripada rakyat Pulau Pinang terutamanya di Persiaran Gurney dan SPU menunjukkan bahawa majoriti besar orang Melayu, India dan Cina menyokong dan mahu projek infrastruktur ini diteruskan.

Exco Negeri Pulau Pinang telah memutuskan untuk melaksanakan projek-projek ini melalui tender terbuka secara kompetitif pada 19 Oktober 2011 selepas rundingan awal dijalankan dari 29 April 2011. Oleh itu, adalah tidak benar untuk CAP mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mengadakan rundingan awam.

Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada 28 April 2011 antara Beijing Urban Construction Group (BUCG) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah dari segi undang- undang kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah dengan jelas menyatakan bahawa projek-projek ini mesti dijalankan melalui tender terbuka secara kompetitif. Majlis menandatangani MOU yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri China Wen Jiabao merupakan penanda aras yang positif tentang minat negara China dalam melaksanakan projek-projek di Pulau Pinang.

Berikutan majlis menandatangani MOU tersebut, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meminta mengadakan input awam bermula pada 29 April 2011. Dua sesi rundingan telah diadakan oleh saya secara langsung dengan NGO pada 16 Oktober 2011 dan 19 November 2011. Dalam kedua-dua sesi ini, CAP telah diwakili oleh Rudhrapathy Vijaya (Ravi). Saya tidak ingat Mr Ravi ada menyuarakan bantahan berhubung 4 projek infrastruktur pada akhir sesi tersebut.

Kerajaan Negeri PR kini menjalankan latihan pra-kelayakan melalui tender terbuka secara kompetitif untuk 4 projek infrastruktur dengan menyenarai pendek syarikat yang layak dengan kedudukan kewangan yang kukuh, kepakaran teknikal, berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi dalam menyiapkan projek- projek infrastruktur. Tiada wang akan dibayar kerana 4 projek tersebut akan dibiayai oleh pertukaran tanah dari tanah yang akan ditambak oleh Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TP).

Semasa sesi rundingan pada 19 November 2011 dengan NGO, saya telah menerangkan rasionalnya untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur bawah tanah dengan meminta Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TP) untuk menyerahkan seberapa banyak tanah yang ditambak kepada Kerajaan Negeri. Melalui 2 perjanjian yang ditandatangani dengan Kerajaan BN sebelum ini pada 1990 dan 1999, TP telah memberikan hak untuk menambak 980 ekar tanah.

Lebih 200 ekar telah pun ditebus guna oleh TP di mana projek Straits Quay dilaksanakan sekarang. TP mempunyai hak untuk menebus baki 700 ekar tersebut. Untuk Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau menghalang TP daripada menebusguna tanah memerlukan sejumlah bayaran wang pampasan yang besar kepada TP.

Satu-satunya jalan untuk Kerajaan Negeri PR adalah memohon projek-projek infrastruktur bawah tanah dan jalan raya sebagai pematuhan kepada kemahuan TP untuk menyerahkan seberapa tanah yang mungkin untuk ditebus guna kepada Kerajaan Negeri. CAP juga perlu ingat bahawa TP kini dimiliki oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Sime Darby Bhd.

Malangnya Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pengangkutan awam kerana ia merupakan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Banyak yang kita mahu lakukan pembaharuan untuk pengangkutan awam, tetapi Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak dapat membuat apa-apa tindakan kerana ia terletak sepenuhnya di bahawa Kerajaan Persekutuan. Semua perkhidmatan bas, teksi dan tram atau TLRT adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Malah apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu menyediakan perkhidmatan bas CAT yang akan melalui seluruh kawasan warisan George Town secara percuma yang akan dibayar oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan menolak inisiatif ini pada mulanya. Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia untuk membayar RM720,000 setahun untuk menyediakan perkhidmatan bas CAT secara percuma di mana sangat popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong. Hanya selepas rayuan oleh Kerajaan Negeri secara langsung kepada Menteri yang bertanggungjawab selama hampir setahun, barulah kelulusan untuk perkhidmatan bas CAT percuma yang akan dibayar oleh Kerajaan Negeri diberikan.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris telah berkata bahawa rundingan awam melibatkan penyertaan rakyat di peringkat awal proses membuat keputusan, menyediakan maklumat yang secukupnya mengenai projek- projek dan memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada perwakilan dan pandangan yang dibuat oleh individu dan organisasi- organisasi masyarakat sivil. Saya dengan rasa rendah diri ingin mengingatkan veteran Presiden CAP bahawa proses yang beliau telah gariskan telah diikut ketika memutuskan sama ada 4 projek infrastruktur ini diteruskan atau tidak.

Hanya selepas pertimbangan yang sewajarnya, barulah Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang membuat keputusan meluluskan 4 projek infrastruktur untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Batu Feringgi, dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Persiaran Gurney dan kawasan- kawasan padat penduduk iaitu di Paya Terubong dan Relau. Untuk terowong bawah laut, bukan sahaja ia memudahkan perhubungan antara pulau di Persiaran Gurney ke tanah besar di Bagan Ajam, ia juga akan merangsang pertumbuhan ekonomi di SPU. Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang mahu membawa pertumbuhan pembangunan di SPU bagi menghapuskan pembohongan liar bahawa orang Melayu dan penyokong BN di SPU yang dikuasai oleh BN diabaikan atau dipinggirkan.

Kerajaan Negeri PR sangat prihatin terhadap kesan alam sekitar di kawasan pembinaan terowong bawah laut. Kebimbangan alam sekitar ini akan dirunding semasa pusingan kedua rundingan awam apabila reka bentuk dan laluan dipilih pada akhir 2012. Walaupun NGO seperti CAP amat membantah projek- projek infrastruktur ini, Kerajaan Negeri masih akan menjemput mereka untuk melibatkan diri dalam rundingan awam selepas reka bentuk dan laluan dipilih. Sekiranya Kerajaan Negeri tidak berpuas hati, Kerajaan Negeri masih boleh menolak dan enggan meneruskan projek-projek infrastruktur tersebut.

Mengikut jadual untuk pembinaan projek-projek di bawah pelaksanaan pra-Q, tarikh terawal untuk memulakan kerja ke atas terowong akan dilakukan pada akhir 2015. Ini adalah untuk membenarkan semua kajian teknikal, reka bentuk dan alam sekitar dijalankan antara 2012 dan 2015. Jika kerajaan tidak berpuas hati, Exco akan menolak untuk menandatangani perjanjian pembinaan yang muktamad di mana ia merupakan keperluan akhir yang dijadualkan pada pertengahan 2015.

Lim Guan Eng ialah Ketua Menteri Pulau Pinang.