Thursday, May 24, 2012

Teras gesa henti tunjuk berani cara samseng



Harakahdaily,25 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyeru semua pengundi Melayu melakukan transformasi politik besar-besaran untuk menyelamatkan negara daripada penyelewengan dan pengkhianatan yang sedang berleluasa sekarang.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar)berkata, kerajaan yang sudah diberi mandat selama 54 tahun sudah terlalu lama membiarkan orang Melayu berada dalam kepompong hidup feudal sehingga pemikiran dan sikap merdeka dalam erti kata sebenar tidak menjadi asas dalam menentukan kepimpinan negara.

Katanya, orang Melayu jelas dianggap sebagai pengundi yang lebih mudah dibeli oleh rasuah dan permainan politik fitnah.

“Lantaran itu sangat jelas tumpuan kepada orang Melayu dengan pelbagai suapan wang tunai menjadi strategi yang digunakan oleh kerajaan yang memegang kuasa sekarang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Lagi ceramah Pakatan jadi sasaran batu dan telur http://www.malaysiakini.com/news/198960

Tambahnya, strategi memanipulasi daftar pengundi serta melancarkan kempen psikologi dengan mengugut dan memfitnah kini jelas sedang diguna ke atas pengundi Melayu melalui taklimat khas atas nama kursus-kursus kerajaan.

Menurutnya, pegawai kerajaan yang majoritinya adalah orang Melayu kini diarah menghadiri kursus-kursus untuk memastikan mereka menjamin sokongan kepada kerajaan.

Demikian juga, ujarnya pemimpin-pemimpin akar umbi orang Melayu di pelbagai peringkat disogok dengan upah untuk memastikan pengikut mereka hanya menyokong kerajaan yang sedia ada.

“Politik murahan seperti ini tidak membantu orang Melayu malah meneruskan politik feudal yang sudah ditolak oleh bangsa lain,” ujarnya lagi.

Justeru, tegasnya Teras berpendirian sepatutnya orang Melayu yang menjadi tulang belakang kepada politik negara memahami betapa hanya bergantung kepada kerajaan yang mengguna politik tahap rendah tidak akan menjamin masa depan.

Beliau berkata, bangsa Melayu yang sudah menjalani proses sekularisasi yang sedemikian lama di bawah pemerintahan parti yang berteraskan nasionalisme sempit tidak membantu mematangkan orang Melayu dari sudut politik.

Malah, ujarnya orang Melayu yang dipisah dari faham politik berteraskan Islam akan dijadi alat untuk mengekalkan kuasa di kalangan golongan elit Melayu yang tidak mempunyai cita-cita mendaulatkan Islam di negara ini.

Tegasnya, orang Melayu tidak boleh membiarkan bangsanya diheret dalam kancah politik murahan yang memalukan.

Beliau menambah, budaya lucah yang dipaparkan oleh segelintir orang Melayu yang menunjukkan sindrom rendah akal, ditambah dengan budaya samseng yang dibenarkan oleh pihak berkuasa, kini sedang mencemar imej bangsa Melayu di mata dunia.

“Teras kesal dan menasihati pihak yang terus menunjukkan budaya songsang dalam berfikir dan bertindak agar menghentikan reaksi hodoh yang memualkan itu.

“Ia sama sekali tidak mengembalikan maruah bangsa malah menunjukkan kerendahan budi dan menghina agama di hadapan masyarakat lain,” ujarnya lagi.

Katanya, menunjukkan keberanian dengan cara samseng amat memalukan dan mesti segera dihentikan.

Azmi berkata, ketika masyarakat lain siap melakukan perubahan politik dari politik feudal kepada politik matang dan merdeka, terdapat orang Melayu yang menjatuhkan maruah bangsa ke gaung kehinaan.

“Pengundi Melayu perlu menunjukkan sikap politik yang tepat untuk memastikan PR13 kali ini akan merupakan batu tanda perubahan besar-besaran lanskap politik negara di mana pengundi Melayu akan menuntutkan masa depan negara,” ujarnya.

Menurutnya, orang Melayu perlu segera memberi keutamaan kepada persoalan yang lebih besar dan utama iaitu melonjakkan negara daripada kehinaan diperbudak oleh kuasa besar dan memerdekakan negara dari salah kelola negara oleh pemimpin yang rakus dan menyeleweng.

No comments:

Post a Comment