ULASAN Polemik terbesar di Pulau Pinang pastinya persoalan kuasa politik dan ekonomi orang Melayu di negeri ini.

Sering kali kita mendengar atau membaca tajuk berita seperti ”Melayu Pulau Pinang terpinggir”, ”Melayu tiada suara di Pulau Pinang” dan banyak lagi ungkapan yang cuba menggambarkan bahawa kewujudan orang Melayu di Pulau Pinang benar-benar terancam.

Amat malang sekali, sejak Mac 2008 keadaan Melayu di negeri ini digambarkan seolah-olah lebih parah. terutamanya oleh media kawalan pembangkang di negeri ini iaitu, Umno dan BN.

Mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, untuk tahun 2010, jumlah penduduk Pulau Pinang 1,609,000 orang. Mengikut pecahan etnik, orang Melayu sudah mengatasi jumlah orang Cina di negeri ini sebanyak 676, 900 (42.06 peratus) dan Cina 658, 700 (40.93 peratus) dan selebihnya 155,600 India dan 118,700 etnik lain-lain.

Maka, label bahawa Pulau Pinang negeri majoriti Cina tidak lagi sesuai untuk digunapakai. Hakikatnya jumlah orang Melayu dan Cina hampir
seimbang tetapi secara geografinya terpisah di pulau dan tanah besar, Seberang Perai.

Mac 2008 menyaksikan tsunami politik terbesar berlaku di Pulau Pinang. Jika pada pilihan raya umum 2004, BN dengan selesa memenangi 38 kerusi DUN.

Tsunami politik 2008 menyaksikan Pakatan Rakyat, terdiri daripada DAP memenangi 19 kerusi, PKR sembilan kerusi dan PAS satu kerusi, manakala BN melalui Umno sekadar memenangi 11 kerusi.

Ini bukanlah kali pertama rakyat Pulau Pinang memilih untuk menukar kerajaan kerana sejarah menunjukkan rakyat negeri ini pernah menolak Perikatan pada pilihan raya umum 1969 dengan memilih parti Gerakan.

Masalah yang diwarisi

Saat Pakatan menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang, serangan retorik terkikisnya kuasa politik Melayu di negeri ini bermula. Stigma bahawa DAP sebuah parti cauvinis Cina diapi-apikan di kalangan orang Melayu.

Secara tiba-tiba rakyat disajikan dengan berbagai laporan kemiskinan orang Melayu, isu pemilikan tanah oleh orang Melayu yang kurang di Pulau Pinang dan pelbagai lagi bentuk serangan yang berasaskan politik perkauman sempit.

Walhal, kita semua sedia maklum, Umno pernah menerajui kerajaan negeri bukan hanya selepas merdeka, bahkan selepas 1969 pun, parti itu berada di tampuk kuasa.

Maka di manakah perwira dan pejuang bangsa Melayu yang merupakan pimpinan Umno ini berada ketika orang Melayu Pulau Pinang memerlukan pembelaan dan idea-idea baru dalam memajukan orang Melayu baik dari segi politik mahupun sosioekonomi?

Amat malang apabila masalah ekonomi dan kuasa pemilikan hartanah orang Melayu di negeri ini dipolitikkan seolah-olah ia bermula hanya selepas Pakatan memerintah. Sedangkan masalah ini diwarisi daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Umno dan BN.

Hakikatnya kerakusan Umno selama lebih 40 tahun memerintah Pulau Pinang menyebabkan banyak tanah milik orang Melayu, terutamanya di Tanjung tergadai, lantas kuasa ekonomi orang Melayu menguncup.

Krisis kepimpinan
Umno bukan saja gagal meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu, tetapi telah memilih untuk membenarkan mereka yang korup kekal berkuasa kononnya di atas agenda ketuanan Melayu.

Namun, sejak 2008, kerajaan Pakatan pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng melakukan beberapa reformasi penting di negeri ini.

Antaranya menghapuskan kemiskinan tegar, meningkatkan perbelanjaan hal ehwal agama Islam, memberi bantuan lebih banyak kepada rumah ibadat, khairat kematian yang lebih tinggi, hadiah untuk anak yang baru lahir, bantuan RM100 untuk warga emas dan lebih 70 peratus kontraktor Melayu memenangi projek kerajaan negeri hasil sistem tender terbuka.

Hakikat yang tidak dapat kita lari, nasib orang Melayu dan rakyat seluruhnya lebih terjamin semenjak Pakatan memerintah.

Program-program ekonomi yang disusun, kecekapan dan ketelusan pentadbiran kerajaan Pakatan bukan lagi rahsia atau retorik kosong semata-mata.

Laporan Audit Negara dan laporan pelabur asing menunjukkan negeri ini bebas dari amalan korup dan salahguna kuasa sejak Pakatan Rakyat memerintah.

Menjelang pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir, parti komponen BN - MCA dan Gerakan - masih lagi gagal untuk mengembalikan sokongan bukan Melayu di negeri ini.

Krisis kepimpinan yang dihadapi komponen BN nyata bakal merencatkan lagi usaha mereka untuk menawan kembali negeri ini. Usaha transformasi Datuk Seri Najib Razak yang indah khabar dari rupa juga disambut dingin oleh majoriti rakyat negeri ini.

Pencerahan buat segenap bangsa


Umno tidak mampu untuk membentuk kerajaan tanpa kemenangan parti komponen, MCA dan Gerakan, tanpa sokongan dari etnik lain selain Melayu di negeri ini.

Kenyataan pengerusi perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman bahawa mereka bersedia menjadi pembangkang untuk satu lagi penggal membuktikan Pakatan bakal mengekalkan kuasa pada pilihan raya depan.

Maka, realiti politik orang Melayu Pulau Pinang pada pilihan raya umum depan tidak lagi duduk sebagai majoriti pembangkang, tetapi menambah wakil rakyat Melayu dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sudah tiba masanya sokongan orang Melayu dialihkan kepada PKR dan PAS. Orang Melayu harus berani keluar dari dogma bahawa Umno saja mewakili orang Melayu.

Orang Melayu harus sedar bahawa parti politik untuk masa depan adalah parti politik yang mampu mendapat sokongan semua rakyat Malaysia tanpa kira ras dan agama.

Tiada guna lagi mengangkat pemimpin Melayu yang hebat melaungkan ketuanan tetapi sebenarnya korup dan pura-pura. Pemimpin Melayu yang progresif, berjiwa rakyat dan adil kepada semua adalah sosok pemimpin yang kita perlukan di saat ini.

Moga sosok pemimpin ini mampu membawa pencerahan kepada segenap bangsa di negeri ini untuk kita bina Pulau Pinang yang lebih gemilang untuk diwariskan pada anak- anak negeri.


DR AFIF BAHARDIN adalah naib ketua Pemuda PKR Pulau Pinang. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.