http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10151-durian-runtuh-rm1689-bilion-datang-dari-mana
Mazlan Aliman, | 08 Mei 2012 |
Meskipun jumlah 1.689 bilion yang diagihkan kepada 112,635 orang peneroka Felda adalah agak besar, tetapi tidaklah sampai 'peneroka tersandar dalam kejutan' seperti PM katakan sebelum ini di Felda Triang 3, Bera. Ia diberi dalam tiga fasa untuk Peneroka, Penerokawati dan Generasi Kedua. Bonus Khas dua bulan setengah gaji untuk 23 ribu kakitangan Felda sesuatu yang tidak berbaloi dengan pengorbanan mereka lebih 25 tahun berkhidmat dengan Felda.
ANAK tidak pernah menolak sebarang pemberian atau insentif yang mahu diberikan kepada para peneroka. Tetapi biarlah kita berhujah secara matang. Kenapa baru sekarang setelah lebih 55 tahun Felda ditubuhkan?
Adakah ini sandiwara politik kerana bimbang akan senario perubahan sikap warga Felda kepada Barisan Nasional?
Siri-siri saman di Kemahang 3, Gugusan Serting, Bera, Jengka, Maokil dan yang terkini di Gugusan Chini, kawasan Parlimen Pekan; tempat PM sendiri?
Gelombang kebangkitan anak-anak muda Felda dapat disaksikan melalui sokongan mereka bersama program-program ANAK dan ceramah Pakatan Rakyat. Saya yakin ini dalam makluman PM dan membimbangkan beliau. 54 Parlimen yang ada Felda adalah kubu terakhir BN.
Walau bagaimanapun, memandang kehadapan; adakah berbaloi gula-gula one off seperti ini?
Berapa lama lagi BN nak bermain politik dengan taktik lama untuk mendodoikan rakyat agar terus menyokong mereka?
Atau; ini dilakukan untuk 'menutup mulut' peneroka agar jangan mempersoalkan keghairahan Kerajaan menyenaraikan Felda Global Venture di Bursa Malaysia?
Penipuan mereka melalui 7 buah Bank iaitu CIMB,BIMB,Maybank, OCBC, Am Islamic Bank, Muamalat dan Affin Bank yang diperalat membiayai pinjaman tawaran saham FGVH sangat ketara. Borang pinjaman yang dikosongkan jumlah pinjaman, interest 5 peratus, borang dalam bahasa Inggeris, tidak ditaklimatkan isi kandungannya dan tidak dinyatakan risiko kerugian seperti 'Surat Tanggung Kerugian' adalah antara penipuan dan pengkhianatan kepada para peneroka!
125 peneroka Felda adalah sebahagian daripada ribuan lagi peneroka yang telah tertipu kerana menandatangani Borang Perjanjian Pinjaman yang mereka tidak tahu apa-apa. Mereka tidak dapat membezakan antara 'durian runtuh' dengan pinjaman saham FGVH. Mereka memfailkan Injunksi di Mahkamah Tinggi Seremban semalam kerana teramat bimbang daripada risiko pinjaman yang boleh sahaja TERGADAI aset mereka.
Perdana Menteri beri jaminan tanah peneroka tidak akan tergadai. Adakah PM tidak membaca hampir 70 mukasurat dalam Borang Pinjaman FGVH yang secara jelas dinyatakan dengan terperinci nasib peneroka jika harga saham merudum dan segala risiko di tanggung Peneroka?
Adakah PM tidak mengambil iktibar nasib Felda Cahaya Baru, Felda Sg Buaya, Felda Labu Johnson dan Sendayan yang hilang tanah mereka dan hidup menderita seperti pepatah ' menang sorak kampung tergadai'?
Mana pergi pemimpin BN tatkala Amanah Saham Negeri-negeri gulung tikar hingga menyebabkan rakyat hilang harta dan diisytiharkan muflis kerana meminjam bank untuk melabur?
Amanah Saham Johor adalah bukti yang amat jelas. Adakah PM, Ahmad Maslan dan Isa Samad boleh beri jaminan bertulis yang saham FGVH tidak rugi sepertimana nasib pelabur Amanah Saham Negeri-negeri dan juga saham-saham lain seperti KUB, BERNAS dsbnya?
PM tidak perlu sebut ' haram jadah' yang di ulang dua kali dalam ucapannya tadi kalau dia rasional. Datuk Ahmad Maslan tidak perlu hentam dan cabar saya seperti diungkapkannya tadi. Kenapa terlalu marah hingga tega memaki hamun di hadapan khalayak ribuan warga Felda.
Sebagai pemimpin biarlah ada wawasan. Peneroka Felda sudah ada tanah dan rumah. Untuk survive, telah memadai. Daripada 1.6 juta warga Felda, 65 peratus adalah generasi kedua. Ini tempoh peralihan yang sangat kritikal untuk mereka.
Mana dia halatuju anak muda Felda?
Perumahan mereka, pendapatan yang lebih stabil atau mereka cuma penonton yang melihat para kroni pemimpin BN memunggah kekayaan setiap hari?
Fikir dulu mana rumah Generasi Ke 2 daripada beri peruntukan RM5 ribu untuk orang lain.
Tidakkah kewujudan Techno Plant Sdn adalah untuk tembolok pemimpin Umno?
Sama juga wujudnya Felda Global Venture bagi tujuan memindahkan harta peneroka berbilion ringgit untuk digunakan UMNO/BN bagi PRU 13?
Saya cabar PM umum peruntukan RM1,689 bilion datang dari mana?
Berapa yang kroni bayar kepada Isa Samad, Sabri Ahmad, adik PM Nazir Razak(CIMB)para penasihat umpamanya Omar Ong (Ethos) dan lain-lain?
Mereka ini ibarat Sadeq Sigara dalam Filem 3 Abdul yang membuat untung dengan menipu peneroka... akhirnya peneroka dilelong dengan harga yang murah!
ANAK konsisten dengan perjuangan bagi kehidupan Generasi Kedua Felda. Para cendekiawan, intelektual dan umumnya anak-anak peneroka bersedia untuk menerajui perubahan di Felda. Seharusnya mereka di beri peluang merencana transformsi di Felda.
Kenapa Isa Samad dilantik PM sebagai Pengerusi Felda?
Mana perginya karisma puluhan ribu cerdik pandai anak-anak peneroka?
Tidak layakkah mereka jadi Pengerusi Felda dan memegang jawatan penting dalam Anak-anak Syarikat Felda?
Kenapa semuanya dibolot Isa Samad dan kroni-kroninya?
Seharusnya halatuju Felda diterajui oleh Anak Felda. Penambahbaikan Koperasi Felda, pengendalian kebun peneroka, aktiviti tanam semula, pembangunan infrastruktur, pengembangan Anak-anak Syarikat dll berilah kepercayaan dan amanah ini kepada mereka. Bukan diterajui oleh ' para lanun' yang tidak ada seinci tanah pun di Felda!
Pengumuman PM bukan suatu Transformasi. Sebenarnya beliau dan pemimpin BN lah 'jaguh kampung' yang tidak punya kreativiti strategik. ANAK dan Pakatan Rakyat menawarkan gagasan seperti Buku Jingga yang bersifat menyeluruh untuk tempoh yang panjang.
Pengagihan Tanah Felda Plantation, penubuhan Universiti Felda, Kouta penguasaan Anak Peneroka dalam Anak-anak Syarikat Felda; hakikatnya inilah pemikiran global yang menjanjikan kehidupan lebih meyakinkan untuk Anak-anak peneroka Felda.
Bagi saya, pengumuman PM tidak lebih untuk mengekalkan kuasa politik BN di Felda semata-mata. Ia mungkin menyukakan peneroka tetapi amat mengecewakan anak muda Felda. Generasi ke 2 dan ke 3 akan terus termenung panjang memikirkan nasib mereka pada hari-hari mendatang yang kian samar.
No comments:
Post a Comment