Friday, May 11, 2012

Madrasah Salihiah: Badan bertindak buat 3 laporan polis

Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) di Alor Setar membuat tiga laporan polis berhubung dengan kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mahu meneruskan usaha merobohkan madrasah itu sedangkan permohonan injunksi bagi menghalang perobohan itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar.
    
Pengerusinya Mansor Ahmad berkata kenyataan Azizan itu seolah-olah satu ugutan kerana beliau telah membelakangkan tindakan mahkamah.
    
"Saya amat kecewa dengan tindakan Azizan kerana kenyataannya itu bersifat provokasi. Walaupun beliau Menteri Besar, tetapi beliau juga terikat dengan undang-undang dan tidak dikecualikan tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar hari ini.
    
Beliau berkata apabila permohonan injunksi difailkan di mahkamah dan serahan telah dibuat kepada pihak defendan, maka sehingga kes itu diputuskan oleh mahkamah bermakna injunksi telah berlaku.

"Jadi tidak ada sebarang tindakan boleh diambil sama ada untuk merobohkan bangunan madrasah atau meminta plaintif mengosongkan tanah wakaf yang diduduki,"
katanya.

Sementara itu,  Fidel Firaidi Mustafa yang turut membuat laporan polis berkata sebagai waris, dia mahu pertahankan madrasah itu kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar telah mengelirukan rakyat.

"Ada orang tanya saya kenapa nak gaduh tentang perkara ini. Saya jelaskan kami bukannya nak gaduh tetapi kami tidak mahu madrasah itu dirobohkan dan dibuat dalam bangunan kerana susah untuk ahli kariah membuat majlis keagamaan di situ kelak," katanya.
    
Beliau berkata sehingga sekarang jawatankuasa madrasah tidak pernah dipanggil untuk melihat pelan yang mereka (kerajaan negeri) buat berhubung dengan pembinaan surau baru.
    
"Saya harap rakyat Kedah memberi sokongan terhadap kami kerana kami bukan mahukan duit berjuta-juta tetapi kami cuma nak pertahankn madrasah itu supaya tidak diroboh.
    
"Tetapi kami akan akur dengan arahan mahkamah sekiranya madrasah itu perlu dirobohkan dan saya juga berharap agar kerajaan negeri juga mematuhi arahan mahkamah jika keputusannya nanti berpihak kepada kami," katanya.
    
Rabu lepas, Azizan selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri berkata perobohan madrasah itu akan terus dilakukan kerana warisnya hanya
memfailkan injunksi yang mempertikai penjualan tanah wakaf berkenaan.

Beliau berkata Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) sebagai pemegang amanah wakaf telah menerima pampasan lebih RM1.4 juta, jadi pihaknya (kerajaan negeri) akan meneruskan rancangan merobohkan madrasah itu walaupun warisnya memfailkan semula injunksi.

- Bernama

No comments:

Post a Comment