Sebaliknya, kata A Samad (kiri), ancaman itu, antaranya 'senaman punggung' di hadapan rumah, tidak akan berlaku sekiranya beliau berada di tempat Ambiga.
"Ambiga memang sepatutnya (mengetuai). Beliau seorang peguam, beliau mempunyai pengalaman yang banyak, dia menerima pujian dan sebagainya.
"Malang, oleh kerana dia seorang India, dia bukan Islam, malang. Kalau Ambiga itu saya, tidak berlaku ancaman yang berlaku terhadapnya (seperti) menayangkan punggung," kata A Samad ketika ditanya perbezaan peranannya dalam BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0.
Samad, seorang lagi pengerusi bersama gabungan proreformasi sistem pilihan raya itu menegaskan bahawa "tiada perbezaan tetapi mempermudahkan" sesuatu perkara.
Ditanya sekiranya beliau dilihat lebih menonjol berbanding Ambiga, segala ancaman itu tidak akan timbul, Pak Samad menjawab:
"(Beliau) seorang wanita kerana itu mereka bersedia untuk melanggar (Ambiga). Kalau dari mula saya (pimpin), barangkali ada kewarasan-kewarasan yang lain," katanya.
Pak Samad berkata, beliau mungkin juga akan dituduh dipengaruhi fahaman komunisme disebabkan beliau membaca buku tokoh aliran itu seperti Mao Zedong dan karya-karya sasterawan kiri antaranya Fyodor Dostoyevsky dan Boris Pasternak.
'Sisa kuasa' hebohkan Melayu disanggah
Beliau bagaimanapun menegaskan membaca buku-buku jenis itu bukan untuk mengikuti fahamannya sebaliknya hanya mahu membandingkan karya pelbagai aliran.
"Jadi sebagai seorang penulis, (kita) ingin memahami. Kita membaca di pihak sana untuk mewaraskan pihak di sini. Ini (tidak), kita baca di pihak sana, tapi terus dicop (mengikuti) pihak sana (juga). Itu salah (menurut pandangan) otak orang-orang yang resah," katanya.
Tokoh yang mesra dipanggil "Pak Samad" berkata rakyat Malaysia mudah bertelagah disebabkan isu perkauman.
Malah, katanya, golongan yang disifatkannya sebagai "sisa kuasa" mula menghebohkan bahawa kuasa Melayu sedang disanggah atau kaum lain akan menyanggah ketuanan Melayu.
Pak Samad bagaimanapun mempersoalkan kewajaran perkara itu ditimbulkan dan membangkitkan apa yang dilakukan pihak yang membangkitkan perkara itu untuk melindungi ketuanan Melayu ketika berada di "takhta kuasa".
"Pada hal kita tidak mudah untuk mempercayainya. Oleh kerana kita merdeka sudah lama, kita mempunyai perdana menteri, semuanya Melayu. Timbalan perdana menteri, semua Melayu," katanya.
Ditanya sama ada golongan sastera mengambil peduli isu dibangkitkan BERSIH, Pak Samad mengakuinya tetapi menurutnya "bukan tugasnya untuk memobilisasi" kumpulan tersebut.
"Mereka perlu bertanyakan hati mereka, adakah mereka harus menyertainya. Tugas saya untuk memperjelaskan inilah situasi siasah negara kita.
"Adakah kita mahu berlanjutan atau kita mahu mengubahnya," katanya sambil menambah kumpulan sastera tidak terpisah dengan isu politik apabila menghasilkan karya atau mengadakan sesuatu perbincangan.
No comments:
Post a Comment