Monday, May 14, 2012

'Senaman punggung' depan kediaman Ambiga



Sekumpulan bekas tentera pagi mengadakan satu senaman aneh di depan kediaman Pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga di Bukit Damansara.

Kumpulan 15 orang daripada Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) itu melakukan gimik demonstrasi yang dinamakan mereka sebagai "senaman punggung" – dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah rumah Ambiga.

NONEKumpulan berkenaan diketuai presiden PVTM, Mohd Ali Baharom yang berkata mereka berhak mengadakan demonstrasi tersebut sebagai bantahan terhadap Ambiga.

Mohd Ali berkata, bantahan itu dibuat terhadap Ambiga yang disifatkannya sebagai "musuh negara yang cuba merosakkan nama negara" melalui perhimpunan BERSIH 3.0, 28 April lalu.

Senaman goyangan punggung itu juga sebagai bantahan ke atas Ambiga yang didakwa mereka sebagai penyokong gerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual, kata Mohd Ali lagi kepada pemberita.

"Kami beri amaran keras kepada Ambiga supaya segera minta maaf kepada rakyat Malaysia berkenaan BERSIH dan seks bebas," kata Mohd Ali sebelum sesi senaman itu bermula.

'Orang Islam, minum air suam'

Kumpulan itu kemudiannya menerima 'kejutan' apabila Ambiga sendiri muncul di pintu pagar rumahnya dan menjemput mereka minum minuman ringan yang disediakannya apabila gimik selama kira-kira 15 minit itu berakhir.

NONEMohd Ali bagaimanapun menolak jemputan Ambiga dan menyerahkan salah satu sepanduk yang dibawa mereka kepada Ambiga.

"Kami orang Melayu orang Islam, kami minum air suam. Saya mahu hadiah (kad manila) sama awak, awak serah pada Anwar. Saya beri amaran supaya awak jangan buat lagi masalah kepada negara.

"Kami akan bertindak jika kamu merosakkan nama negara," kata Mohd Ali, yang juga dikenali dengan gelaran 'Ali Tinju', ketika berdepan dengan peguam itu.

Bercakap kepada pemberita selepas kumpulan itu beredar, Ambiga berkata beliau sering menerima gangguan seperti itu selepas demonstrasi oleh sekumpulan peniaga burger di hadapan kediamannya pada 10 Mei lalu.

Menurutnya, beberapa individu dengan sinis singgah di hadapan rumah beliau dan meminta burger percuma daripadanya.

Katanya lagi, beliau turut kesal dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar yang menyatakan bahawa tindakan peniaga burger itu dibenarkan selagi tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Kenyataan itu tidak bertanggungjawab. Ia membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk berhimpun di luar rumah sesiapa sahaja," katanya.

Katanya lagi, gimik deminstrasi oleh PVTM pagi ini juga merupakan satu bentuk gangguan dan bukan himpunan aman.

Terdahulu, kumpulan tersebut berarak sejauh kira-kira 20 meter ke arah pintu pagar rumah Ambiga dan membawa sepanduk dengan slogan 'Tolak Ambiga Anwar perusuh haram BERSIH 3.0' dan 'Tolak Ambiga Anwar gila kuasa'.

Justeru, acara senaman PVTM pagi ini adalah demonstrasi kedua di hadapan rumah pengerusi bersama BERSIH itu dalam masa sebulan selepas demonstrasi oleh peniaga burger anjuran Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia pada 10 Mei.












No comments:

Post a Comment