Monday, May 14, 2012

Kembara Sepanyol: Sunah alam dalam persaingan


Apabila kita menyebut Sepanyol, ramai orang atau pun peminat bola akan teringatkan kelab-kelab bola sepak yang hebat dari negara tersebut.

Namun, bagi yang menyedari tentang kegemilangan sejarah lampau, mereka juga tidak akan lupa tentang sejarah kewujudan kerajaan umat Islam selama lebih 700 tahun di sana. Tamadun Muslim di Andalusia.

NONESatu tempoh yang sangat panjang. Tapi, telah jatuh dan gugur segala kegemilangan.

Seperti yang saya sebutkan dalam artikel yang lepas, Jawatankuasa Fatwa Perlis yang diketuai oleh Yang DiPertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) DYTM Raja Muda Perlis melawat beberapa tempat penting di United Kingdom (UK) dan Sepanyol dua minggu lepas.

Saya turut menyertai rombongan itu semasa di UK dan Sepanyol. Itulah kali pertama saya ke Sepanyol. Beberapa negara Eropah telah saya lawati, tetapi tidak Sepanyol. Kesempatan itu amat bermakna bagi saya. Kami melawat Madrid, Seville, Cordova, Granada dan Barcelona.

Islam bermula


Muslim masuk menguasai Sepanyol pada tahun 711m. Tentera Tariq bin Ziyad seramai 12,000 orang telah berjaya mengalah pasukan tentera Raja Roderic seramai 90,000 orang.

Dikatakan, asalnya Tariq bin Ziyad datang atas pemohonan bantuan Julian, Gabenor Ceuta kepada Gabenor Muslim di Utara Afrika Musa bin Nusair. Julian memohon bantuan disebabkan anak perempuannya yang dihantar belajar telah dirogol oleh Raja Roderic.

Setelah masuk, Tariq akhirnya meneruskan operasi sehingga menguasai Sepanyol keseluruhannya. Sebahagian pengkaji pula menyebut bahawa Muslim datang menawan Sepanyol disebabkan permohonan bantuan oleh orang-orang Yahudi atas kekejaman Kristian.

NONEDalam sejarah Muslim di Sepanyol, kerajaan umat Islam berjaya memperlihatkan sikap toleransi antara penganut agama yang sangat tinggi. Di bawah pemerintahan Muslim di Sepanyol, Yahudi dan Kristian dapat hidup dengan amat dan gemilang.

Bahkan zaman keemasan dalam sejarah Yahudi semasa pemerintahan Islam di Sepanyol. Sehingga tokoh ilmuwan Yahudi yang terkenal Musa bin Maimun atau Moses Maimonides menganggap pemerintahan Muslim di Sepanyol zaman kebebasan dan tolak ansur untuk penganut Yahudi.

Demikian juga penganut Kristian, mereka menikmati hak beragama dan bergaul dengan semua rakyat tanpa kezaliman dan penindasan. Ini hakikat sejarah.

Justeru itu, ramai penduduk Sepanyol menganut Islam tanpa sebarang paksaan, kerana memaksa seseorang menganut Islam menyanggahi asas arahan al-Quran. (lihat: Maryam Noor Beig, The Legacy of Andalus: Muslim Spain)
Di bawah pemerintahan kerajaan Muslim di Sepanyol, Yahudi dan Kristian bebas mengamal agama mereka. Sebahagian mereka menjadi tokoh-tokoh ilmuwan yang besar dan penting. Hubungan antara penganut agama amat baik.

Walaupun ada sebahagian penulis Barat cuba menafikan hal ini dengan menyatakan status ahlu zimmah yang dipakai ketika itu sebenarnya menjadikan bukan Muslim rakyat kelas kedua.

Padahal, ahlu zimmah bermaksud mereka dilindungi. Apa pun, jika dibandingkan dengan kerajaan Kristian yang menawan sebenarnya selepas kejatuhan Muslim, mereka jauh lebih kejam dan zalim.

Muslim dan Yahudi dipaksa menganut Kristian. Mereka dibunuh, bahkan dibakar hidup-hidup jika enggan. Sebahagian mereka dihalau keluar dari negara kerana perbezaan agama.

Agama selain Kristian tidak dibenarkan diamalkan sama sekali. Hal ini diakui oleh para pengkaji sejarah dari pelbagai agama. Sesiapa yang berminat mungkin dia boleh menonton documentary dalam Youtube: "The Rise And Fall of Islamic Spain".
Kegemilangan akademik
Sesiapa berada dalam pengajian Islam, pasti akan terbiasa dengan nama al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (meninggal 1064m) yang terkenal sebagai tokoh 'fikah zahiri'. Dia juga ilmuwan dalam pelbagai bidang termasuk falsafah, sastera, sejarah dan lain-lain.

Beliau kelahiran Cordova. Demikian juga al-Imam Abu Abdillah al-Qurtubi (meninggal 1273m) dalam tafsir yang terkenal dengan Tafsir al-Qurtubi (al-Jami' li Ahkam al-Quran). Qurtubi itu merujuk kepada Cardova.

Begitu juga tokoh ilmuwan al-Imam Abu Bakr ibn al-‘Arabi al-Ishbili (meninggal 1148m) yang merupakan kelahiran Isbilia ataupun sekarang dikenali dengan Seville.

NONEAl-Imam ash-Shatibi al-Gharnati yang terkenal dengan kitabnya al-Muwafaqat yang menjadi rujukan utama dalam Maqasid al-Shari'ah juga anak kelahiran Sepanyol.

Beliau lahir pada 1388M di Gharnatah yang sekarang dikenali dengan Granada. Ramailah lagi tokoh agamawan yang lahir dalam iklim Sepanyol. Antara keistimewaan sebahagian ilmuwan Sepanyol, mereka terbuka dalam banyak perkara.
Jangan lupa di Sepanyol umat Islam berjaya menghasilkan dan meneroka pelbagai ilmu pengetahuan. Lautan ilmu dalam perubatan dan astronomi telah dihasilkan. Demikian juga astrologi, psikologi, zoologi, biologi, fizik, kimia dan geometri.

Orang Muslim Sepanyol juga menghasilkan kain kapas, kertas, garam, sutera, satin, peta dan jam. Ilmuan Barat datang dan belajar semua ilmu ini dari umat Islam Sepanyol dalam bahasa Arab. Bahasa Arab dianggap bahasa ilmu dan sesiapa yang menguasainya dianggap ilmuwan.

Sastera Arab terutama puisi-puisi Arab di Sepanyol berkembang ke seluruh Eropah. Dengan ilmu atau pun tamadun yang diambil dari umat Islam ini juga akhirnya menyedarkan Eropah dari kegelapan dan mencetuskan Renaissance.

Seni bina
Seni bina yang amat halus, menarik dan mewah menjadikan bangunan-bangunan peninggalan umat Islam Sepanyol tiada tandingannya. Kota Alhamra di Granada menjadi saksi keindahan seni bina umat Islam Sepanyol.

Ketika di Alhamra saya sempat bertanya pemandu pelancong, namanya Abu Bakr. Beliau nampak sebegitu tinggi dengan semangat Islamnya dan memuja keagungan Islam di Sepanyol.

Saya bertanya kepadanya: "Segala kemewahan ini, lambang keagungan dan kehebatan, ataupun lambang kezaliman dan pembaziran?"

NONEBeliau menjawab: "Jika saya mahu bercakap benar, saya menganggap ia pembaziran dan kezaliman."

Saya bertanya soalan yang sama kepada seorang tokoh ilmuwan Muslim di Granada, namanya Abd al-Ghani. Beliau menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Sepanyol.

Beliau jawab: "Ia sunah alam dalam persaingan. Semasa itu Muslim bersaing untuk menunjukkan kehebatan mereka."

Saya pula berpendapat, jika pembinaan dibuat dalam keadaan kekayaan cukup dan bukan hasil perahan harta rakyat, ia amat terpuji dalam dunia persaingan tamadun.

Jika diambil dari kesusahan rakyat, maka itu kezaliman. Namun, masyarakat Muslim ketika itu kelihatan kaya dan mewah.
Hanya kenangan
Namun, itu semua telah menjadi sejarah. Kerajaan Muslim Sepanyol jatuh dan tamadun mereka dihancurkan oleh Kristian, hanya tinggal saki baki yang sedikit.

Masjid Cardova yang indah dan agung bertukar menjadi gereja. Islam dihalau, dan sebahagian besar dipaksa menganut Kristian. Kesan-kesan Islam semampu mungkin cuba dihakiskan.

Semua itu bermula dari pengkhianatan dan permusuhan sesama sendiri atas kerakusan kuasa. Mereka berpecah dan bermusuhan. Rakyat dan umat menjadi mangsa. Ratusan tahun tamadun yang dibina, akhirnya gugur dan tidak bangkit lagi.

NONEBagaimanapun, hari ini dunia menikmati hasil peninggalan Andalusia. Ilmu yang diwariskan diciplak dan dikembangkan oleh orang Eropah. Umat Islam hanya mampu menyebutnya, tanpa meneruskannya lagi.

Memalukan. Namun, Sepanyol menjadi saksi bahawa sikap toleransi antara antara agama khususnya Islam, Yahudi dan Kristian dibuktikan bawah pentadbiran umat Islam.

Ajaran Islam, menentang penindasan agama. Kehancuran toleransi di Sepanyol selepas berlaku kejatuhan Islam ke tangan tentera Kristian. Mereka tidak mengamalkan apa yang diajar oleh Jesus.

Saya juga tidak mengatakan bahawa pemerintah umat Islam Sepanyol ataupun Andalusia itu benar-benar Islamik. Ada perbuatan mereka yang betul, dan ada yang salah. Ya, kerana dosa juga mereka jatuh.

Namun, asas toleransi telah mereka amalkan, kerana itu dasar ajaran Islam dalam politik. Malangnya, dasar itu tidak dipegang oleh tentera Kristian yang menawan Andalusia.

Saya bayangkan, jika Barat hari ini masih kuat Kristian, dan menjadikannya dasar pemerintahan, tentu agama lain sukar untuk hidup di Barat. Namun, pemisahan agama dan politik di Barat menyelamatkan banyak keadaan.

Demikian dunia Muslim. Jika hendak amalkan Islam, amalkan Islam yang sebenar, yang akan memberikan keadilan dan kerahmatan kepada semua manusia.

Jika Islam sekadar topeng dan permainan politik, lebih baik dipisahkan agama dari politik. Dengan itu, Allah dan Nabi tidak akan dicerca oleh yang salah faham. Kembara ke Sepanyol banyak memberi inspirasi.

NONEPROF MADYA DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis dan zamil di Universiti Oxford. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment