http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/10620-fgv-bakal-lenyapkan-105382-ekar-tanah-rezab-melayu-
Harakahdaily, | 28 Mei 2012 |
Sejumlah 847,362 ekar tanah yang kini diuruskan oleh Felda Plantations Sdn Bhd terlibat di dalam urusan pajakan ini, yang menjadi syarat utama proses penyenaraian FGV ke Bursa.
Tanpa tanah-tanah ini, penyenaraian tersebut akan gagal, kata Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR.
"PKR boleh mengesahkan bahawa kami telah mendapat salinan penuh perjanjian dan senarai tanah-tanah yang terlibat," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.
Semakan mereka menunjukkan bahawa dari sejumlah 847,362 ekar tanah yang dipajakkan ini, sejumlah 105,382 ekar adalah tanah-tanah yang telah diwartakan sebagai Tanah Rezab Melayu di seluruh negara.
"Ini menimbulkan persoalan serius mengenai status tanah-tanah ini kerana tindakan memajakkan tanah-tanah ini kepada FGV boleh melanggar matlamat pewartaan Tanah Rezab Melayu," katanya.
Bagi Rafizi, kedudukan FGV selepas ini tidaklah boleh dikira sebagai sebuah syarikat yang berstatus Bumiputra kerana jumlah pegangan saham Bumiputra tidak dapat disahkan.
Oleh yang demikian, katanya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad wajar menjelaskan kepada rakyat kenapakah tanah-tanah berstatus rezab Melayu ini turut dipajakkan ke FGV yang disenaraikan di pasaran saham?
"Apakah jaminan bahawa tanah-tanah ini akhirnya tidak bertukar tangan atau pembangunannya tidak bertentangan dengan semangat pewartaan Tanah Rezab Melayu yang digubal hampir 100 tahun yang lalu?" soalnya.
PKR juga menyeru supaya setiap Kerajaan Negeri di Semenanjung yang terbabit menolak sebarang usaha untuk membatalkan status Tanah Rezab Melayu yang melibatkan tanah 105,382 ekar ini.
"Kami menunggu maklumbalas Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad sebelum memberikan lebih banyak maklumat mengenai Tanah Rezab Melayu seluas 105,382 ekar ini," katanya.
No comments:
Post a Comment