KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menuntut supaya sebuah fatwa dikeluarkan dalam isu penyenaraian FGVH yang bakal melibatkan lebih 105,000 ekar Tanah Rizab Melayu (TRM) dalam Felda.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid(gambar) berkata, kehilangan tanah milik orang Islam yang berlaku di negara ini adalah mirip kehilangan tanah orang Palestin yang berpindah tangan kepada orang Yahudi.
“Pihak Majlis Fatwa Kebangsaan wajar bersidang untuk membincangkan isu ini dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Teras mendapati kuasa yang dimandatkan kepada kerajaan sekarang untuk menjamin status TRM sudah lama disalahguna.
Tambahnya, bukan sahaja TRM banyak dibatalkan pewartaannya secara tidak telus, malah saiz dan lokasi TRM yang diganti tidak pernah didedahkan kepada awam.
Sehubungan itu, tegasnya Teras membantah dengan keras penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) yang bakal melibatkan lebih 105,000 ekar TRM dalam Felda.
“Jika penyenaraian ini diteruskan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan, orang Melayu akan kehilangan TRM yang sangat luas tanpa jaminan bahawa ia akan diganti sepertimana yang diperundangkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Teras, kata beliau melihat tindakan itu sebagai suatu pengkhianatan yang jelas terhadap masa depan orang Melayu.
Katanya, penyenaraian hartanah dalam bursa saham yang menjadi aset penting kepada orang Melayu bakal melihat tanah milik orang Melayu dengan mudah berganti tangan kepada bukan sahaja orang bukan Melayu dalam negara malah orang dari luar negara.
“Ini adalah suatu tindakan yang tidak boleh dibenarkan.
“Kami menuntut supaya kerajaan menjelaskan dengan terperinci status TRM dalam penyenaraian yang akan dilaksanakan walaupun bantahan terus diketengahkan oleh peneroka,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment