Showing posts with label harakahdaily.net News. Show all posts
Showing posts with label harakahdaily.net News. Show all posts

Thursday, May 3, 2012

Laporan lucah: Mana suara ulama Umno


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10022-laporan-lucah-mana-suara-ulama-umno

Harakahdaily,02 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) mempersoal sikap membisu ulama Umno yang seolah-olah membiarkan sahaja media milik parti itu khususnya Utusan Malaysia membuat laporan berunsur lucah.

Terbaru laporan yang dipaparkan di muka hadapan akhbar itu menyiarkan fitnah gambar aksi lucah lelaki yang didakwa mirip Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

"DPPM mempersoalkan ke manakah perginya suara para ulamak dalam Umno dan para mufti yang hanya diam membatu melihat media melakukan kemungkaran secara terang-terangan?

"Mereka sepatutnya bangkit membantah tindakan keji seperti ini. Sudahlah menayangkan video lucah di hadapan rakyat, membuat pula fitnah yang mengaitkan pemimpin Pakatan Rakyat," tegas Ketua Penerangan DPMM Riduan Mohd Nor.

Menurut Riduan, media Umno menjadi hilang pedoman dan integriti apabila sanggup menjadi ‘lembu yang dicucuk hidung’ dengan menyiarkan babak lucah ini tanpa sedar ia ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia pelbagai peringkat umur.

Mereka juga kata Riduan sanggup menghalalkan perkara yang haram oleh agama demi kepentingan politik pihak mereka.

"Pengedaran gambar lucah yang terbaru menunjukkan bahawa Umno sudah ketandusan isu dan kontang idea dalam menghadapi kemaraan rakyat, khususnya pasca Bersih 3.0 yang memperlihatkan ratusan ribu rakyat berhimpun di ibu kota.

"Tindakan jijik ini menandakan akan berakhirnya riwayat politik Umno yang terpaksa berpaut pada apa sahaja demi memastikan survival hidup mereka, hatta terpaksa mengorbankan nilai kemanusiaan dan kehormatan diri," katanya.

Wednesday, May 2, 2012

Aksi polis realisasi Akta Himpunan Aman 2011


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/10021--aksi-polis-realisasi-akta-himpunan-aman-2011

Salmiyah Harun,02 Mei 2012

(Gambar hiasan....di mana Hishamudin ketika Bersih 3.0 berjalan)

KUALA LUMPUR: Insiden keganasan polis di dalam perhimpunan aman Bersih 3.0 Sabtu lalu akhirnya merealisasikan apa yang terkandung dalam Akta Himpunan Aman 2011.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, apa yang berlaku dalam Himpunan Bersih 3.0 lalu membuktikan akta itu tidak memberi jaminan terhadap keselamatan awam.

"Hakikatnya, roh dan semangat keganasan polis dijelmakan dalam Akta Himpunan Aman itu," katanya kepada Harakahdaily.

Bahkan, katanya keganasan polis pada Bersih 3.0 ini berkali ganda daripada apa yang telah ditunjukkan dalam perhimpunan Bersih sebelum ini.

"Adalah sangat tepat tindakan kita sebelum ini, apabila kita lawan habis habisan terhadap pelaksanaan akta ini," kata Salahudin (gambar).

Katanya, apa yang berlaku di dalam himpunan itu cukup menyedihkan apabila keselamatan orang awam tidak lagi dilindungi sebaliknya orang awam menjadi mangsa kerakusan pihak polis.

"Di mana hak dan jaminan orang awam? Bukankah kerajaan memberi jaminan mengatakan orang awam akan dilindungi dalam akta itu. Tetapi sebaliknya pula terjadi dalam Bersih 3.0," katanya.

Justeru, katanya Akta Himpunan Aman yang kononnya mahu menjaga keamanan awam akhirnya memberi kredit kepada polis untuk bertindak.

"Ianya sekadar bersifat kosmetik sebaliknya pengisian itu tidak menyebelahi awam," katanya.

November 2011, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 bagi memberi hak kepada rakyat untuk menganjur dan menyertai perhimpunan secara aman tanpa senjata.

Akta ini juga memberi kuasa kepada polis untuk mengeluarkan arahan bersurai menggunakan kekerasan yang munasabah sekiranya sesuatu perhimpunan itu menyalahi peraturan.

Akta baru itu turut dengan tegas menyatakan seseorang penganjur akan didapati bersalah sekiranya menganjurkan perhimpunan di mana-mana kawasan larangan dalam jarak 50 meter had tempat larangan.

Sunday, April 29, 2012

Tengahari tendang polis, petang tangkap peserta himpunan


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/9969--tengahari-tendang-polis-petang-tangkap-peserta-himpunan

Harakahdaily,30 Apr 2012

(Dua suasana yang berbeza antara tengahari dan petang....sekarang ramai tertanya-tanya siapakah sebenarnya agen provokasi ini)

KUALA LUMPUR: Ketika pimpinan PAS mempertegaskan ahlinya bersih dan berdisiplin, tulisan bekas Setiausaha Umno Bahagian, Zahrin Mohd Yasin bahawa sekurang-kurangnya 2,000 anggota polis memakai baju Bersih Sabtu lalu menarik perhatian ramai.

Dalam tulisannya Sabtu lalu, Zaharin atau Sang Kelembai itu menulis, "polis dah lebih cerdik dari dulu... dia bahagikan anggotanya dua pasukan, satu pakai uniform polis, satu pasukan lagi pakai baju Bersih, tergelak saya jumpa seorang kawan yang masih polis, pegawai lagi dari Pahang, pakai baju kuning dan terpekik ayat reformasi."

"Saya tak tegur dia pun. Tapi bila tengok kat lengan dia ada getah warna kuning.

"Dan, saya jumpa banyak yang pakai getah yang sama... saya rasa terjaminlah dalam kumpulan pencacai yang tidak tahu apa benda ini," kata beliau.

Apabila seorang pengunjung menjawab tulisan asal itu dengan berkata, "ramai itu."

Zaharin terus menulis, "Jika berapa pun dia kata... kena tolak tak kurang dua ribu adalah polis dalam kumpulan Bersih."

"Yang menafikan mereka pun puak pakai kemeja-T Bersih untuk rempuh sekatan polis, yang baling objek pun saya rasa polis, macam mereka buat latihan demonstrasi kat polis depoh. Hehehe, puak-puak Pas bodoh ini iut nyer," tambah Zaharin dalam tulisan itu.

Gambar-gambar mula tersebar kini tentang polis yang dikatakan menyamar itu.

Misalnya aksi seorang peserta perhimpunan membuat 'flying kit' ke atas seorang polis trafik.

Beliau juga didapati kemudiannya yang menangkap para peserta demonstrasi yang lain.

(Siapa yang menendang polis ini dengan gelang kuning di tangannya pula kini tersebar luar dan media baru)

Ada dua tempat peranan agen 'provokasi' ini dikesan oleh orang ramai.

Pertama, siapa yang memulakan tindakan melempar kereta polis dengan botol air sehingga pemandunya hilang pertimbangan dan merempuh tiga orang di perkarangan pasaraya Sogo.

Yang kedua adalah tindakan memecahkan tembok penghalang yang dibina oleh DBKL mengelilingi Dataran Merdeka.

Saiapakah mereka sehingga kini masih belum dapat dikesan dengan nyata.

Pihak penganjur Bersih 3.0 pula menuntut kerajaan membuat siasatan menyeluruh terhadap perhimpunan kali ini.

Peranan media tradisional yang dikuasai Umno dan BN juga mendapat kecaman dari pemerhati antarabangsa yang datang untuk membuat pemerhatian mereka terhadap perhimpunan kali ini.

Bercakap dalam sidang media mereka  semalam, Senator Nick Xenophon dari Australia berkata, "perhimpunan ini aman sehinggalah mereka diprovok."

Beliau juga mengkritik laporan dari TV yang jelas melaporkan secara sebelah pihak.

“Mainstream media berat sebelah dan tidak adil. Kami lihat lebih laporan Perdana Menteri Najib (Tun Razak) di Sabah dalam TV dari peristiwa yang lebih besar tentang rakyat Malaysia,” kata Xenophon.

Seorang lagi ahli dari pasukan 7-anggota itu,  India Times editor MJ Akbar, berkata peserta sebenanarnya dalam mood berpesta.

“Orang ramai mempunyai masa yang cukup kalau mereka mahu bertindak ganas. Tetapi mereka berpesta sehinggalah berlakunya provokasi,” kata Akbar.

Saksi lihat kereta polis langgar peserta Bersih


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9950-saksi-lihat-kereta-polis-langgar-peserta-bersih

Aslani M,29 Apr 2012
KOTA BHARU: Ketika Bersih 2.0 pada Julai tahun lepas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dilanggar sebuah kereta polis semasa membonceng motosikal menuju ke Masjid Negara.

Pada kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, sebuah kereta polis didakwa dengan sengaja melanggar motosikal untuk menahan Mohamad.

Dan semalam kejadian hampir serupa berulang kembali apabila beberapa peserta himpunan Bersih 3.0 juga dilanggar kenderaan polis.

Banyak saksi bergambar dimuat turun dalam internet mengenai insiden tersebut.

Malangnya gambaran sebenar mengenai insiden berkenaan tidak diberitakan dalam media arus perdana, sebaliknya secara total menyalahkan peserta Bersih, kononnya bertindak ganas.

Shamsuddin Mat Daud dari Berek 12 dekat sini, yang melihat kejadian tersebut berkata, sebuah kereta polis melintasi kawasan orang ramai tidak jauh dari pusat membeli belah Sogo.

“Ketika itu kereta Waja tersebut bergerak perlahan-lahan. Kemungkinan selepas itu berlaku provokasi di mana saya lihat ada peserta yang melontarkan botol minuman ke arah kenderaan polis.

“Selepas melepasi kawasan yang sesak dengan orang ramai, kereta itu memecut laju. Saya tengok tiba-tiba merempuh beberapa lelaki yang berada tidak jauh dari Sogo.

“Seorang lelaki terpelanting ke atas bonet kereta. Ekoran itu kereta tersebut terbabas dan merempuh tembok di tepi Sogo,” katanya yang berada di atas tembok di tepi Sogo ketika kejadian semalam.

Ekoran itu peserta Bersih yang berada di kawasan berhampiran marah kerana ada yang menganggap lelaki yang dirempuh berada di bawah kereta berkenaan.

Menurutnya beberapa peserta menembalikkan kenderaan tersebut bagi memastikan lelaki yang dilanggar ada di bawah kereta atau sebaliknya.

Kata beliau juga peserta yang marah bertindak memukul lelaki yang keluar daripada kereta polis terbabit.

Shamsuddin bersama isterinya menyaksikan kejadian berkenaan memberitahu selepas itu datang ambulans membawa kedua-dua anggota polis yang cedera ke hospital.

Beliau juga melihat dua Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub berada di belakang Sogo selepas terkena gas pemedih mata.

Seorang lagi saksi, Nik Azman Nik Mahmood dari Tumpat berkata, ketika kereta polis melanggar peserta Bersih beliau berada berhampiran Medan Mara.

Katanya, selepas itu beliau bergegas ke tempat kejadian dan melihat kereta Waja diterbalikkan.

Menurut beliau orang ramai mulai bertindak kasar selepas mereka terkena tembakan gas pemedih mata dan dibasahi water canon.

Seorang veteran PAS dari Cheras, Ali Abdullah, 63 berkata, sekiranya tidak berlaku provokasi sudah tentu perhimpunan semalam berlangsung dengan aman.

Beliau juga bimbang ada pihak luar yang menyelinap masuk dalam kumpulan peserta Bersih dengan melakukan provokasi sehingga mencetus beberapa kekasaran.

Cara polis semalam tidak berlaku di bawah Pakatan


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9940--cara-polis-semalam-tidak-berlaku-di-bawah-pakatan

Harakahdaily,29 Apr 2012


KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, di bawah Pakatan Rakyat kelak peristiwa seperti himpunan di Pulau Pinang dan Kuantan (perhimpunan Lynas) tempoh hari akan diterima sebagai KPI polis.

Peristiwa seperti di Kuala Lumpur akan dilihat sebagai kegagalan mereka, kata Khalid melalui twitternya hari ini.

Beliau merujuk kepada kekecohan yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0 semalam di Kuala Lumpur.

Perhimpunan yang asalnya berjalan dengan aman bertukar kecoh apabila polis bertindak menembak gas pemedih mata di tengah-tengah orang ramai.

Orang ramai juga mula marah apabila melihat sebuah kereta polis masuk ke kawasan mereka dalam keadaan pemandu kereta itu memakai topi kledar.

Akibatnya orang ramai melempar botol air dan sebagainya ke kereta itu.

Kereta itu kemudiannya melanggar orang ramai dan berhenti di tembok komplek Sogo.

Tiga orang dikatakan cedera manakala seorang disahkan cedera parah serta mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Sebagai reaksinya, pemnadu kereta bertopi keledar itu di belasah oleh orang ramai.

Bagi Khalid (gambar kanan), Walaupun dikatakan ada yang cuba merempuh pagar berduri di Dataran Merdeka, menembak gas ke arah ribuan orang yang sedang berkumpul secara aman hanya menjanjikan kekecohan.

"Polis yang pro tidak bertindak begitu, sebaliknya berusaha mengawal keadaan, menjaga keselamatan orang ramai, termasuk pendemonstran kerana polis bersenjata, rakyat tidak," katanya.

Oleh kerana hanya polis bersenjata, tindakan polis mesti lebih terkawal, lebih profesional. Mereka sepatutnya dilatih untuk jaga rakyat bukan memukul rakyat, tambah Khalid yang juga AJK PAS Pusat.

"Bawah PR kelak, polis akan dilatih menjadi pelindung/pembela rakyat. Perubahan ini wajib dilakukan demi masa depan hubungan rakyat dan institusi polis," tegas Khalid lagi.

Seorang lagi rakan beliau, Dr Syed Azman Syed Ahmad dalam kenyataannya pula mempertikaikan laporan media tradisional yang dikawal oleh Umno dan Barisan Nasional hari ini.

"Meneliti berita Bersih dalam akhbar New Straits Times, The Star, BHarian dan Mingguan Malaysia sambil sarapan.

"Takada yang baik dari himpunan aman Bersih..akhbar jijik," tulis beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

Salah satu tuntutan Bersih 3.0 adalah liputan media yang adil.

Bagaimana kereta peronda polis diterbalik


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9936-bagaimana-kereta-peronda-polis-diterbalik

Harakahdaily,28 Apr 2012

(AJK Bersih, Wong Chin Huat [memegang pembesar suara] meminta orang ramai bertenang dan bersurai selepas sebuah kereta peronda polis diterbalikkan bagi menyelamat seorang gadis yang terperangkap di bawahnya)

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memaklumkan, tindakan penunjuk perasaan terbalikkan kereta peronda polis adalah untuk menyelamatkan orang yang terperangkap di bawah kereta itu selepas dilanggar.

Ia berlaku selepas kereta peronda itu semacam hilang kawalan dan melanggar tiga orang termasuk seorang gadis Cina sehingga gadis malang itu terperosok di bawah kereta itu.

Untuk menyelamatkan orang yang terperangkap di bawah kereta itu, mereka beramai-ramai memterbalikkan kereta peronda polis.

(Kereta peronda polis yang remuk teruk di hadapan selepas melanggar tembok Sogo dan tiga peserta perhimpunan. Ia menunjukkan ia dipandu dengan laju sebelum melanggar peserta perhimpunan.)

Menurut seorang aktivis dari Terengganu yang menyertai perhimpunan hari ini, kejadian itu berlaku di depan mata beliau berhampiran pasaraya Sogo.

"Ambe (maksudnya saya) petang (tadi) jadi saksi kejadian polis rempuh pendemo. YA! Memang ade provokasi tapi setelah check-check, rupanya yang start lempar botol air mineral kat kereta polis tu adalah Sahabat Bodoh (SB)...!

"Mana tak mengamuk polis tu sampaikan sanggup rempuh dengan laju orang awam di hadapan SOGO.

"Berita yang menyatakan ada meninggal tidak benar sama sekali, tiga yang dilanggar parah, seorang wanita cina terperosok bawah kereta polis, sebab tu orang ramai terbalikkan kereta polis, sebab nak selamatkan wanita tu.

(Salah seorang mangsa yang dirempuh kereta peronda polis, Su Kwang Hong, masih di rawat di Hospital Kuala Lumpur)

"Polis pun tak dak yang meninggal, walaupun dibelasah dengan agak teruk orang ramai yang tidak puas hati mereka langgar pendemo.

"Persoalannya sekarang kenapa polis tu sanggup rempuh orang ramai dengan laju, sampai retak dinding tangga SOGO tu.

"Suasana pilu, tangisan kedengaran melihat insiden itu.

"Ya, memang ada yang mulakan provokasi, dah kejar orang tu tapi tak sempat sebab dia naik motor lari," cerita saksi itu dalam facebooknya.

Cerita yang beliau tulis itu amat sepadan sekali dengan video yang disiarkan oleh Malaysiakini di bawah ini.

(Print screen dari video Malaysiakini yang menunjukkan seorang lelaki menundukkan kepala melihat ke bawah kereta sementara rakan-rakannya yang lain menterbalikkan kereta peronda polis itu)


Ia dapat disahkan apabila seorang wanita yang bersuara nyaring dalam video ini berkata, "Astaghfirullah...angkat-angkat" sementara seorang lagi peserta demonstrasi melihat ke bawah kereta peronda polis itu.
Melalui video yang lain pula, pemandu kereta polis itu dilihat memandu secara laju.
Kereta itu kemudiannya merempuh orang ramai yang berada di sekitar Sogo itu dan kemudiannya merempuh tembok.
Orang ramai membelasah pemandu yang bertopi keledar itu tetapi membawa keluar dengan baik anggota polis yang turut berada dalam kereta itu. Kereta itu kemudiannya diterbalikkan kerana menganggap masih ada orang yang terperangkap di bawah kereta itu.

Saksikan video-video di bawah:


Klik untuk saksi video kejadian berdasarkan video Malaysiakini

Langsung Himpunan Duduk Bantah Bersih 3.0


http://www.malaysiakini.com/news/196436

Harakahdaily,28 Apr 2012
Sila refresh untuk mendapatkan laporan terkini.

MAKLUMAN: Seorang kanak2 berumur 3tahun nama timangan "Bad" hilang ketika polis melepaskan gas pemedih mata. Bantu kesan kanak2 ini.. Sebarkan...

4.48 pm: Anggota FRU mula berkumpul di hadapan bangunan Maju Junction bagi  menghalang orang ramai terus berhimpun di sepanjang Jalan TAR. Ketika ini ramai peserta berhimpun di persimpangan Jalan Sultan Ismail yang terhalang untuk bergerak ke tempat lain kerana stesen LRT ditutup.

4.30 pm: Polis mula membuat tangkapan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman. Mereka mengkhususkan kepada mereka yang memakai baju berwarna kuning.

4.25 pm: Hampir 30 orang yg ditahan di Jalan Tunku Abdul Rahman sedang dikumpulkan dihadapan pintu masuk ke bangunan DBKL.

4.10 pm: Sebahagian kumpulan peserta yang terpecah kini berkumpul berhampiran stesen KTM Bandaraya.

4.05 pm: Lagi tembakan gas pemedih mata di Jalan Tunku Abdul Rahman di hadapan bangunan KWSP. 6 buah trak FRU termasuk water canon ditempatkan di sini.

3.59 pm: Berpuluh orang ditangkap. Ada peserta yang sesak nafas dan pengsan, dibawa dengan ambulan untuk rawatan.
Sebuah kenderaan pacuan empat roda milik DBKL pecah cermin belakang selepas terkena canister gas pemedih mata yang dilepaskan polis.

3.40 pm: Polis mula menyembur gas pemedih mata ke arah Puduraya.
Peserta himpunan dari Jalan Tun Perak lari bertempiaran ke Jalan Raja Chulan selepas ditembak FRU.

3.05 pm: Peserta yang tersekat di Jalan Tun Perak berpatah balik ke Dataran Maybank setelah FRU menembak gas pemedih mata.

3 pm: Loceng amaran FRU dibunyikan. Sebahagian orang ramai merempuh masuk ke Dataran. Water cannon sudah mula ditembak dan gas pemedih mata dilepaskan. Orang ramai berlari ke bangunan DBKL. Difahamkan ketika itu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru  memulakan ucapan.

2.58 pm: Arahan bersurai kali kedua dikeluarkan pihak polis

2.30 pm: Para pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sedang berucap di tengah-tengah jalan Tun Perak menghala ke Jalan Pudu di depan Wisma Permim. Sambil melaungkan "Hidup Rakyat".
2.24 pm: Peserta yang berkumpul di jalan berdekatan Dataran Merdeka melaungkan "We Want Dataran", diselangi laungan "Buka, buka, buka Dataran".

2.15 pm: Lokasi Dataran Maybank - Peserta perarakan Bersih berhenti di Dataran Maybank, menanti kumpulan perarakan yg lain. Jumlah peserta kini mencecah angka ratusan ribu.

2 pm: Para peserta Bersih dari CM sedang berarak menuju Dataran, bagaimanapun perarakan agak perlahan di depan Bangkok Bank kerana sekatan polis di hadapan BAR Council.

1.48 pm: Lokasi Masjid Negara - perarakan bermula dan peserta seramai 10 ribu orang.

1.45 pm: Karpal Singh dibenar melepasi sekatan pihak polis selepas perbincangan antara mereka.

Dua jenis senapang dilihat digunakan pihak polis. Senapang biasa untuk gas pemedih mata dan juga senapang peluru getah. Bagaimanapun polis masih belum melepaskan sebarang tembakan, hanya bersedia.

Seorang lelaki cuba menghadiahkan jambangan bunga kepada anggota polis yang sedang berbaris, tetapi tidak dilayan.

1.43 pm: Kumpulan peserta di Central Market mula bergerak ke Dataran sambil melaungkan "Bersih, bersih , bersih". Kumpulan ini bertambah ramai dengan kehadiran peserta dari Brickfields. Dianggarkan jumlah peserta kumpulan ini kira-kira 10 ribu orang.


1.37 pm: Lokasi Masjid Negara - Presiden PAS TG Abdul Hadi tiba di lokasi dan akan bersama-sama berarak ke Dataran.

1.34 pm: Peguam Karpal Singh yang berkerusi roda cuba memohon untuk melepasi sekatan pihak polis. Perbincangan sedang berlaku.

1.30 pm: Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam berpendapat perhimpunan hari ini berlangsung dengan aman. Beliau berharap semua pihak memberikan kerjasama selaras dengan semangat Perlembagaan Malaysia yang menjamin hak rakyat untuk berkumpul dan berhimpun.

Suhakam meletakkan 15 orang wakilnya bagi memantau himpunan ini.
Unit Amal bersiap sedia untuk berarak dari Masjid Negara.

1.20 pm: Polis dalam keadaan bersedia melepaskan tembakan gas pemedih mata.


1.15 pm: Sebahagian besar masih tetap di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Dataran.

1.05 pm: Lokasi Masjid Negara -  pihak polis membuat sekatan ketat dilaluan menghala ke Dataran Merdeka dengan anggota melebihi 200 orang bagi tujuan menghalang kemaraan pemimpin PR dan peserta Bersih di Masjid Negara dianggar melebihi 10 ribu orang.

1.04 pm: Peserta di Dataran Merdeka mula berundur ke jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak berhampiran Masjid Jamek.

1.02 pm: Pasukan FRU bersedia melepaskan tembakan.

12.59 pm: Amaran bersurai diumumkan pihak polis.

12.55 pm: Pemimpin-pemimpin utama, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa orang lagi memulakan ucapan semangat sementara menunggu masuknya waktu Zuhur di Masjid Negara.



12.52 pm: Lokasi KLCC - Polis mula menganas dengan menangkap 3 pemuda  peserta himpunan sebaik sahaja semua peserta himpunan dari KLCC bergerak menuju Dataran Merdeka.

Mereka ditangkap, ditendang dan diheret ke dalam van polis. Peserta lain yang melihat kejadian mengecam tindakan ganas polis.

Antara peserta yang lihat kejadian berkata, "Sekiranya mengapa-apakan peserta yang ditangkap, PRU 13 kita tolak Umno. Najib tak layak jadi PM."

Tinjauan di tempat kejadian di KLCC. Didapati hampir 20 ribu mula bergerak ke dataran merdeka namun Jalan Pudu ditutup.

12.50 pm: Dataran - Pasukan polis sudah bersedia untuk lepaskan gas pemedih mata.

12.45 pm: Lebih 500 anggota polis dihat bergerak menuju ke persimpangan hadapan Bank rakyat. Mereka berkumpul di bawah jejantas berhampiran medan selera D' Tebing.
Pasukan LSF mula membuat sekatan di persimpangan jalan di hadapan medan selera D' Tebing. Di sini dipercayai laluan kumpulan dari Masjid Negara untuk bergabung dengan kumpulan Dataran Merdeka

Dianggarkan hampir 1,000 anggota LSF dan polis berhimpun menutup jalan di sini

12.40 pm: Wakil Juham, Abang Mohd Kerdee Abang Masagos berkata, pihak polis enggan berunding. Ketibaan peguam Juham disambut dengan sorakan peserta yang menunggu di Dataran.

12.37 pm: Trak water canon fru kini mula memasuki kawasan dataran merdeka. Dianggarkan lebih 20 buah.

Naib Presiden PAS mula bergerak dari Pejabat Agung Pas menuju ke Dataran Merdeka. Jumlah peserta di dataran merdeka kini dianggarkan mencecah 10,000 orang. Turut kedengaran laungan 'Duduk bantah, berdiri Umno'

12.35 pm: Kereta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat melalui Masjid Negara menuju ke Dataran Merdeka. Bagaimanapun masih belum diketahui beliau akan turun di mana.

12.31 pm: Peserta dari Sogo mula bergerak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman. Perarakan diketuai oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli sambil diiringin laungan kata-kata semangat.

Polis mula bergerak menghampiri Dataran Merdeka, dipercayai bagi menyekat kemaraan peserta.

12.30 pm: Pasukan Unit Amal mula mengawal ketat keselamatan pemimpin utama di Masjid Negara.

12.10 pm: Dataran - Peserta beramai-ramai melaungkan lagu negaraku.

12.08 pm: Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir tiba di perkarangan Masjid Negara.

12.06 pm: 16 belas trak FRU termasuk 1 trak water canon dilihat mula bergerak masuk dari jalan parlimen menuju ke Masjid Negara.

12.05 pm: Kumpulan dari KLCC tiba di hadapan kompleks Pertama. Kelihatan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Dr Hatta ramli dan Dr Syed Azman berada dalam kumpulan tersebut.

12.04 pm: Seorang peniaga di kompleks Pertama melahirkan rasa kesal dengan melaungkan kata-kata kekesalan terhadap peserta yang berkumpul. Pihak polis sebelum ini cuba mententeramkan beliau. Ramai peserta menganggap ia sebagai satu provokasi.

12.02 pm: Zunar yang baru tiba di perkarangan CM meminta semua peserta Bersih tunggu di situ sementara menunggu arahan daripada pimpinan Bersih. Menurut zunar para peserta akan bergerak ke Dataran Merdeka jam 1.30 petang.
Para peserta Bersih kelihatan bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk ke Dataran Merdeka. Ketika ini suasana di depan CM bertambah meriah dengan iringan sajak yang disampaika oleh salah seorang peserta bersih. Sebelum itu, para peserta turut menyanyikan lagu Negaraku.

12.00 pm: Lebih 5,000 berkumpul di perkarangan Masjid Negara. Sebahagiannya menyanyikan lagu Negaraku.

11.59 am: Kumpulan di Masjid negara melaungkan "Bangkit Melayu, Bangkit Cina, Bangkit India, Kita Sama, Sokong Bersih"

11.57 am: Hampir 1000 orang menghampiri Sogo sambil melaungkan takbir, reformasi dan pelbagai kata-kata semangat. Terdapat beberapa provokasi kecil, bagaimanapun tiada sebarang kekacauan berlaku.

11.55 am: Dianggarkan jumlah peserta di Dataran Merdeka kini mencecah 7,000 orang. Kumpulan dari Masjid Jamek turut bergabung di sini. Sepanjang jalan dari persimpangan Bank Rakyat ke stesen masjid jamek penuh dengan peserta.
Mereka kini mula memenuhi simpang Jalan Tunku Abdul Rahman pula.
11.52 am: 2 buah helikopter polis berlegar rendah di perkarangan masjid Negara.

11.50 am: Azmin Ali memberikan ucapan dihadapan ribuan peserta.

Lokasi Dataran - Alat yang didakwa LARD yg dipasang di tiang lampu isyarat jalan raja berhadapan mahkamah







11.46 am: Kira-kira 300 peserta dari Kajang berarak dari stesen KTM Kuala Lumpur ke Masjid Negara.

11.45 am: Kumpulan dari Masjid Jamek dipimpin Azmin Ali tiba di dataran dengan laungan reformasi.

11.42 am: Kumpulan dari Masjid Jamek kini mula beransur-ansur bergabung dengan kumpulan yang berkumpul di dataran merdeka.

11.40 am: Lebih 1,000 peserta Duduk Bantah berkumpul di perkarangan Masjid Negara sementara menunggu jam 2 petang.

11.37 am: Sebahagian peserta kini mula bergerak dari dataran ke masjid negara. Difahamkan pimpinan Bersih dan Pakatan Rakyat akan berada di sana.
Hampir 4,000 peserta sudah berada di sini memenuhi jalan bersebelahan dataran merdeka yang dipagar.Dianggarkan lebih separuh dari peserta di sini sedang bergerak ke masjid negara

11.35 am: Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam mengharap pihak berkuasa memberi ruang kepada peserta berhimpun secara aman sehingga selesai.
Perhimpunan aman dijamin perlembagaan. Kedua dua pihak sama ada pihak keselamatan mahupun peserta diharap bersabar dan menahan diri dari melakukan tindakan yang tidak wajar.
"Saya lihat semua peserta berhimpun secara aman, dan saya rasa tiada sebab untuk mana-mana pihak bertindak diluar batasan," katanya

11.32 am: Kira-kira lebih 2000 peserta Bersih memenuhi ruang letak kereta di depan Central Market (CM). Beberapa kedai di dalam CM ditutup bagaimanapun orang ramai boleh memasuki bagunan itu tetapi tidak di benarkan bersantai disitu.
Kelihatan beberapa anggota RELA mengawal pintu masuk CM. Kira-kira 200 orang anggota Unit Amal Malaysia sedang bersiap sedia untuk mengawal peserta himpunan, mereka kini berkumpul di astaka di hadapan CM.

Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga dan beberapa anggota Bersih turut berada bersama anggota unit amal.

11.30 am Kira-kira 4,000 orang berkumpul di pekarangan Masjid Negara dan stesen KTM Kuala Lumpur. Jumlah dilihat semakin bertambah.

11.25 am 9 trak polis dengan 6 daripadanya dipenuhi anggota tiba di Dataran Merdeka.

11.23 am: Dataran - Seorang pemuda menarik perhatian orang ramai apabila berjalan dihadapan barisan kawalan polis sambil menayangkan kertas bertulis 'Semoga Allah lembutkan hati abg polis'.

11.20 am: Lokasi SOGO - Timb Presiden PKR, Azmin Ali tiba dan bertemu dengan peserta Bersih.

11.12 am: PDRM akan guna LRAD = Long Range Acoustic Device, alat yg akan buat demonstran sakit telinga & hilang imbangan. Bawa earplug/kapas.

11.10 am: Polis terus berkawal di sekitar KLCC.

11.05 am: Jumlah yg tiba di dataran semakin bertambah. Laungan "Bersih, Bersih!, Reformasi, hidup rakyat" kedengaran sejak tadi. Sebahagian peserta ada yang duduk dan berehat sementara menunggu jam 2 petang.

Turut dilaungan 'kuning-kuning Najib pening' disamping beberapa ucapan bersemangat dikalangan peserta.

11 am: Dataran Merdeka: Lebih 2,000 peserta sudah berkumpul di sini. Ada yang bermalam dari malam tadi di sini.

10.57 am: Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS "Kita minta semua peserta bersih 3.0, disamping duduk bantah, boleh lah berbelanja RM10 seorang untuk menyemarakkan lagi himpunan pada hari ini."

10.54 am: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tiba di Masjid Negara diiringi dengan laungan "duduk"

10.50 am: Sekita Sogo - Laungan "reformasi" mula kedengaran dari kumpulan orang ramai yang dianggarkan seramai 200 orang di hadapan kompleks Pertama.

10.41 am: Meskipun kawasan Dataran Merdeka ditutup dan dikawal polis, peserta Duduk Bantah duduk santai di kawasan sekitar dengan berpakaian kuning.Laungan "reformasi" dan "bersih bersih" turut kedengaran. Lebih 500 orang di sini.
Peserta berehat menunggu detik 2 petang.
10.35 am: Lokasi Dataran Merdeka - dianggarkan melebihi 6 ribu orang berkumpul diatas jalan raya.

10.30 am: Lokasi Masjid India - peserta Bersih memenuhi sekitar masjid india dianggarkan mencecah 3 ribu orang.

10.22 am: Orang ramai beratur untuk membeli tiket di Stesen LRT Titiwangsa

10.20 am: Sekitar Sogo - Pihak polis memperkemas barisan bagi menghadapi sekumpulan peserta di hadapan premis KFC. Beberapa individu yang berjalan dalam kelompok kecil dimita kembali ke kompleks Pertama.

10 am: Pusat Membeli Belah Sogo mula membuka premis perniagaan, bagaimanapun pihak polis meletakkan pita yang dikenali 'tali merah' di kalangan pihak polis di hadapan pintu masuk Sogo. Hanya satu pintu di bahagian tepi kompleks Sogo dibuka.


9.57 am: Sekitar pasaraya Sogo - Sebuah helikopter kelihatan berlegar-legar di udara.

9.35 am: Di pusat membeli -belah Sogo, puluhan polis menghalang laluan masuk ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan mendirikan 'pagar manusia' yang terdiri daripada anggota polis.

Kelihatan sekumpulan orang yang dipercayai peserta himpunan Bersih 3.0 berkumpul di hadapan Kompleks Pertama. Bilangan mereka bertambah dari semasa ke semasa.

9.15am: Jalan Tun Razak sesak apabila polis trafik telah menutup susur jalan ke Tabung Haji menghala ke KLCC.

9.10am: Orang ramai mula tiba di stesen LRT KLCC dan kelihatan pihak polis berkawal.

9.05am: Trafik dari Kajang sehingga tol Sungai Besi berjalan lancar setakat ini. Tidak ada sebarang sekatan dibuat.

Bagaimanapun trafik mulai sesak di Lapangan Terbang Sungai Besi dan kelihatan tidak bergerak kerana beberapa jalan telah ditutup.

9 am: Laluan ke Kg Baru dari Jalan Semarak ditutup kepada semua pengguna jalan raya. Beberapa pengguna jalan raya dilihat turun dari kenderaan masing2 untuk berbincang dengan pihak polis. Semua kenderaan diarahkan melalui jalan Tun Razak.

Laporan lanjut menyusul.

Sunday, April 22, 2012

10 resolusi konvensyen hala tuju Felda


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/9762-10-resolusi-konvensyen-hala-tuju-felda-
Muhammad Faizal,
23 Apr 2012

SHAH ALAM: Konvesyen hala tuju Felda yang berlangsung di Universiti Industri Selangor semalam membuat 10 resolusi khas bagi menentukan kedudukan Felda pada masa hadapan.

Presiden Anak, Mazlan Aliman menjelaskan resolusi yang diperolehi ini adalah hasil kesepakatan semua yang hadir sama ada melalui perbentangan kertas kerja oleh panel, ulasan mahupun soal jawab peneroka yang hadir.

"Hari ini lahirlah satu resolusi khas untuk kita membawa menentukan hala tuju Felda pada masa hadapan apatah lagi setelah Pakatan Rakyat diberi mandat untuk memerintah negara ini.

"Melalui resolusi ini juga kita dapat menaikan martabat Felda pada tahap yang sepatutnya bukannya menjadikan Felda sebagai satu gadaian untuk memperolehi wang secara segera," jelasnya sewaktu membaca resolusi hala tuju Felda.

10 resolusi yang dicapai semalam adalah:

1. Menentang penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) di atas tiga perkara utama;

a. Penglibatan syarikat yahudi yang merangkumi 20%;

b. Melibatkan tanah Felda Plantation yang sepatutunya diagihkan kepada generasi kedua; dan

c. Melibatkan Koperasi Permodalan Felda (KPF).

2. Tanah Felda Plantation mesti diagihkan kepada generasi kedua Felda dan rakyat yang layak;

3. Koperasi Felda di peringkat rancangan diberi peranan utama mengendalikan kebun-kebun peneroka dan bukannya Felda Technoplant;

4. Membuka peluang pekerjaan kepada generasi kedua dalam perladangan, perniagaan dan seluruh pengurusan Felda;

5. Jawatan pengerusi Felda hendaklah diberikan kepada anak peneroka;

6. Memperuntukkan kuota ahli lembaga pengarah Felda dan 47 anak-anak syarikat Felda kepada generasi kedua Felda sebanyak 50%;

7. Mewujudkan Universiti Felda untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan dan pakar-pakar dalam bidang perladangan, bioteknologi dan sebagainya dari anak-anak peneroka;

8. Mewujudkan perumahan generasi kedua Felda melalui projek Bandar baru Felda;

9. Memberi pembiayaan mudah melalui institusi-institusi kewangan kepada peneroka, generasi kedua dan kakitangan Felda untuk menambah caruman saham dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF); dan

10. Menghapuskan hutang-hutang peneroka yang tidak munasabah.

Dalam pada itu, resolusi tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak selewat-lewatnya Mei depan untuk diambil tindakan.

Penyenaraian: Felda jerat leher sendiri


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9750-penyenaraian-felda-jerat-leher-sendiri

Muhammad Faizal,22 Apr 2012
SHAH ALAM: Bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menyifatkan tindakan kerajaan mahu menyenaraikan Felda Global Ventures Ventures Holding Berhad (FGVH) ke Busrsa Malaysia sebagai cuba menjerat leher Felda sendiri.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang banyak syarikat gergasi yang sedang cuba keluar dari penyenaraian untuk lebih bebas, namun Felda pula mengambil sikap sebaliknya.

"Ini perlu diperjelaskan kenapa," katanya yang merupakan bekas menteri penerangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvesyen Halatuju Felda anjuran gabungan NGO Selamatkan Felda di Dewan Serbaguna, Universiti Industri Selangor pagi tadi.

Selain itu beliau turut melemparkan persoalan, sekiranya benar kedudukan kewangan Felda kukuh, kenapa FGVH perlu disenaraikan dan sanggup berdepan resiko begitu besar.

"Syarikat bertindak melakukan penyenaraian adalah untuk mendapatkan duit tunai bagi mengembangkan perniagaan tetapi Felda sudah mempunyai jumlah aliran tunai yang banyak serta aset yang besar kenapa perlu disenaraikan.

"Kalau ingin mengembangkan perniagaan, Felda boleh menggunakan wang tunai yang dimiliki oleh mereka (Felda) dan tidak perlu berada dalam Bursa Saham bagi tujuan mendapatkan modal," katanya.

Konvesyen Halatuju Felda hari ini dihadiri hampir 1,000 peneroka dari seluruh negara.

Selain Kadir, turut akan membentangkan kertas kerja adalah Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dan bekas Adun Pulau Manis Datuk Ariff Sabri Abd Aziz.

Resiko tandatangan borang pentadbir tanah


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9752-resiko-tandatangan-borang-pentadbir-tanah

Anis Nazri,22 Apr 2012
SHAH ALAM: Peneroka Felda berhadapan risiko besar sekiranya menandatangani Borang Pentadbir Tanah, yang kini telah diserahkan kepada penama sebelum tindakan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) dilakukan kerajaan.

Risiko tersebut membabitkan segala kemungkinan yang timbul ekoran penyenaraian FGVH ke Bursa Kuala Lumpur.

Perkara tersebut didedahkan Presiden Anak, Mazlan Aliman (gambar), ketika sidang media, di Konvensyen Halatuju Felda, di Dewan Unisel, di sini, hari ini.

Mazlan menjelaskan, borang yang ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah itu terdapat terma-terma yang mengundang risiko amat besar terhadap para peneroka kerana mereka tidak boleh menuntut atau mengambil apa-apa tindakan sekiranya berlaku apa-apa perkara berbangkit selepas penyenaraian dilakukan.

"Saya bacakan di sini, tertera kenyataan di dalam borang tersebut 'bahawa saya membuat surat akuan ini secara suci hati, dengan kehendak dan kerelaan saya sendiri tanpa paksaan dan ugutan daripada mana-mana pihak', juga terma 'saya tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang yang boleh menjejaskan nama baik Felda pada masa akan datang atau menyebabkan sebarang tindakan diambil terhadap pihak Felda berhubung dengan 'Blue Form' tersebut.

"Ini menjelaskan setiap pentadbir yang menandatangani surat tersebut tidak boleh menuntut apa-apa sekiranya berlaku selepas penyenaraian tersebut.  Saya dimaklumkan, ada yang menandatangani surat tersebut tidak memahaminya sebelum menandatanganinya.  Jadi saya minta mereka berjumpa kembali pesuruhjaya sumpah itu untuk menarik balik (surat perjanjian)," jelas beliau.

Sementara itu, bekas Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, berkata penyenaraian sesebuah syarikat kebiasaannya dilakukan bagi mendapatkan dana, sedangkan FGVH tidak memerlukannya.

(Gambar: Antara peserta yang hadir ke Konvensyen Halatuju Felda)
"Saya pelik kerana sepatutnya penyenaraian untuk syarikat untuk mendapatkan wang, sedangkan Felda tiada masalah untuk itu.  Felda setiap tahun mencatat untung dari syarikat-syarikat tidak kurang RM2.4 bilion dengan membelanjakan hanya RM1.9 bilion.  Saya fikir ia (penyenaraian) tidak perlu untuk Felda," kata beliau pada sidang media yang sama.

Konvensyen anjuran Gerakan Selamatkan Felda (GSF) ini dihadiri kira-kira 1000 peserta dari seluruh pelusuk negara, termasuk dari Sabah, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada peneroka asal, anak peneroka dan individu yang prihatin dengan perjuangan Felda.

Program, Nasaie Ismail, program ini memberi ruang kepada peserta, khususnya peneroka untuk mengetahui agenda pihak-pihak tertentu berkaitan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Kuala Lumpur.