Menjejaki langkah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang semakin hampir, suasana politik dalam negara ini juga semakin panas. Sejak awal tahun ini, bertambahnya insiden ganas dan provokasi khususnya ketika pihak oposisi atau badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan aktiviti di seluruh pelosok negara, memberikan gambaran bahawa tahun 2012 yang bakal membentuk Malaysia ala- zaman perubahan sedang berdepan dengan tentangan hebat pihak berkepentingan.
Sikap ketidakacuhan daripada pemimpin kerajaan dan pihak polis seolah-olah menggalakkan budaya samseng dalam arena politik negara dan dalam masyarakat tempatan. Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus membisu di samping membenarkan kejadian seperti ini terus berlaku. Apakah ini satu petunjuk siapa dalang di belakang kejadian-kejadian ganas tersebut kerana sehingga kini, tiada sesiapa telah didakwa di mahkamah atas kejadian seumpama?
Jadual 1 menunjukkan bahawa pencerobohan atau perbuatan provokasi yang bersifat ganas berlaku setiap bulan sejak awal tahun; kini telah menjadi satu trend samseng sengaja menimbulkan suasana kecoh ketika Pakatan Rakyat (Pakatan) atau NGO mengadakan ceramah atau aktiviti. Tujuan pencerobohan atau provokasi bukan sahaja untuk mencetuskan huru-hara, tetapi juga menyebabkan penderitaan psikologi kepada para hadirin yang menjadi mangsa kepada keganasan samseng-samseng tersebut. Kini sikap kerajaan BN membenarkan kewujudan keganasan samseng menimbulkan persoalan, apakah semua ini untuk mempertahankan rejim pemerintah yang sedang berdepan dengan krisis kelangsungan hayat?
Jadual 1: Kronologi Insiden Keganasan (Jan 2012-Mei 2012)
Tarikh
|
Acara/Tempat
|
Insiden
|
25 Mei
|
Lembah Pantai
|
v Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah melaporkan beberapa biji telur dilempar di tangga pejabatnya.
|
24 Mei
|
Ceramah Pakatan/ Lembah Pantai
|
v Beberapa individu membaling batu, telur dan botol air ke arah para hadirin mengakibatkan seorang penonton ceramah cedera selepas terkena batu yang dilemparkan dari arah yang tidak diketahui dan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nurul Balqis turut terkena lontaran batu sebesar kira-kira penumbuk tangan.
|
24 Mei
|
Ceramah Pakatan/ Kuala Kangsar
|
v Terdapat 11 kereta disimbah cat biru semasa majlis ceramah dilangsungkan, termasuk kereta Bekas Menteri Besar Perak yang digulingkan dari kuasanya, Nizar Jamaluddin. Cat itu kebanyakannya disimbah di bahagian lampu depan.
|
24 Mei
|
Ceramah Pakatan/ Bangi
|
v Sekira-kira 30 orang melakukan provokasi termasuk membaling batu dan melontar kata-kata kesat ketika Mat Sabu memberi ceramah di pentas.[1]
|
20 Mei
|
Minum Petang bersama Amiga/
Merlimau, Melaka
|
v Dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menjadi mangsa apabila acara minum petang bersama Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga. Salah satu daripada tayar kenderaan ADUN Bandar Hilir Tey Kok Kiew dipancitkan, cermin sisi pecah dan badannya kemik teruk dihentam kumpulan itu.
|
11 Mei
|
Pulau Pinang
|
v Kira-kira 30 anggota kumpulan pendesak Melayu PERKASA melangsungkan "upacara pengebumian" di depan rumah Ketua Menteri Lim Guan Eng di Pulau Pinang bagi menyatakan perasan tidak puas hati terhadap pentadbirannnya sejak 2008.
|
6 Mei
|
Pahang
|
v Ibu Pejabat Keadilan Pahang diceroboh. Pengerusi Majlis Pimpinannya, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata bahawa pecereboh itu bukan berniat mencuri tapi fail, komputer habis dimusnahkan.[2]
|
2 Mei
|
Hantar memorandum pada Perdana Menteri/
Putrajaya
|
v Tiga orang ahli Keadilan iaitu K. Gunasekaran, S. Murali dan Gobalakrishnan telah tercedera akibat serangan yang didakwa diketuai oleh Ketua Pemuda MIC, T. Mohan semasa mereka melawat Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri berkenaan isu kad pengenalan bangsa India di Malaysia.[3]
|
19 April
|
Demonstrasi Mansuhkan PTPTN/ Dataran Mederka
|
v Sekumpulan antara 40 hingga 80 samseng berkelakuan biadap apabila menyerang perkhemahan mahasiswa di Dataran Merdeka, kira-kira jam 2.30 pagi. Mereka berpakaian serba hitam, samseng itu turut meroboh khemah, memukul mahasiwa dan orang ramai yang menyokong perkhemahan di samping mensasari terhadap mereka yang membawa kamera dan alat perakam video.
|
3 April
|
Pertikaian rumah pangsa Kampung kerinchi/ Lembah Pantai
|
v Protes aman melibatkan seramai 433 bekas penduduk rumah pangsa Kampung Kerinchi, bertukar kecoh apabila sebahagian penduduk enggan mengosongkan rumah mereka. Kekecohan ini juga menyaksikan pelajar kontroversi Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Adam Adli ditumbuk.
|
26 Mac
|
Majlis Sambutan Sempena Empat Tahun Pemerintahan Pakatan Rakyat Selangor/ Stadium Kuala Selangor
|
v Seramai kira-kira 20 samseng bermotor berkumpul di pagar stadium dan melakukan provokasi kepada hadirin, termasuk membaling objek seperti batu dan botol air ke dalam stadium.[4]
|
26 Febuari
|
Ceramah Pakatan/
Felda Lepar Hilir, Gambang, Pahang
|
v Seorang samseng Umno mengacu penumbuk, beberapa inci sahaja dari wajah Nurul Izzah, sebelum sempat dihalang penyokong Pakatan.[5]
|
26 Febuari
|
Perhimpunan Hijau, Pulau Pinang
|
v Sekumpulan samseng Umno menaiki pentas acara Himpunan Hijau di Pulau Pinang dan menghambur kata-kata kesat terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Pecerobon tersebut mengakibatkan seorang wartawan dan seorang jurugambar sebuah akhbar bahasa Cina cedera dipukul dengan topi keledar.
|
19 Febuari
|
Ceramah Pakatan/ Sembrong, Johor
|
v Lebih 100 orang, kebanyakannya remaja belasan tahun, telah melakukan gangguan di sebuah program ceramah DSAI. Mereka turut melempar mercun, telur, botol dan kayu di samping melontar kata-kata kesat ketika DSAI berucap.
v Di samping itu, sekumpulan samseng yang membawa bendera Umno dan BN itu turut memecahkan cermin kereta DSAI dan bertindak ganas menendang bahagian keretanya sehingga kemek.
|
13 Febuari
|
Ceramah Pakatan / Alor Gajah
|
v Sekira-kira 20 hingga 30 samseng bermotosikal serta puluhan lagi kereta bagi mengganggu ceramah tersebut. Malah, sejurus sebelum ceramah bermula, mereka telah menampar seorang lelaki ahli Keadilan yang cuba meletakkan bendera parti sebagai persiapan ceramah.
|
12 Febuari
|
Kebebasan Akademik/ Klang
|
v Satu ceramah mengenai kebebasan akademik terpaksa dibatalkan selepas sekumpulan remaja mengganggu majlis itu dan mengepung lokasi sebelum ceramah bermula.
|
21 Jan
|
Ceramah ABU/ Shah Alam
|
v Penyokong Umno dipercayai bertindak ganas apabila menyerang orang ramai pada satu aktiviti ceramah ABU (Asal Bukan Umno)-Hindraf, mereka menggunakan kerusi dan juga menggunakan kayu bendera sebagai senjata memukul orang India yang berada di dalam serta di luar dewan. Insiden ini mengakibatkan seorang ahli Kelab Penyokong PAS, Krishnan cedera parah apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.
|
Pada perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan perlakuan ganas sesetengah pegawai polis yang bertugas. Sesetengah wartawan tidak terlepas daripada menjadi mangsa keganasan sesetengah pegawai polis yang bukan sahaja, merampas dan menghancurkan kamera wartawan, tetapi juga membelasah mereka.
Pada tahun 2009, Perdana Menteri melancarkan konsep 1Malaysia di mana antara konsepnya adalah menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta menjadi asas kepada prinsip keadilan untuk semua kaum.[6] Menerusi konsep 1Malaysia, nilai murni didokongi oleh nilai hormat-menghormati antara semua kaum. Pada 16 April 2012[7], Perdana Menteri juga mengumumkan transformasi negara melalui inisiatif Transformasi Politk Negara (PTP) yang melibatkan pembatalan 3 Proklamasi Darurat, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, Penggubalan Akta Perhimpunan Aman termasuklah pemindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dan akhirnya pemindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti. Akan tetapi, transformasi yang didambakan oleh kerajaan BN di bawah naungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah berbaur retorik berikutan peristiwa-peristiwa semasa.
Transformasi Hak Asasi, Angan-angan Siang?
Transformasi yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri bersifatkan retorik apabila diingatkan semula kepada insiden keganasan polis terhadap bukan sahaja peserta perhimpunan aman Bersih 3.0, malah kepada para wartawan yang meliputi perhimpunan tersebut. Kerajaan BN dilihat menghalalkan perlakuan melampau sekelompok polis semasa menjalankan tugas.
Polis pula pasca perhimpunan Bersih 3.0 telah mengeluarkan gambar-gambar para peserta yang dipercayai bertindak ganas seperti memukul polis dan orang awam serta merosakkan harta benda ketika berlangsungnya perhimpunan tersebut.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menafikan bahawa tindakan polis merampas kamera dan rakaman wartawan yang meliputi perhimpunan Bersih 3.0 sebagai sebahagian daripada garis panduan operasi polis (SOP). Ironinya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein menyatakan sebaliknya.[8]
Ini telah menanam perasaan tidak puas hati dan marah di kalangan rakyat yang merasai Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara tidak berada dalam muka surat yang sama mengenai apa itu SOP polis menangani perhimpunan aman. Lantas, ketidakpercayaan terletak pada polis untuk menjalankan tugas mereka sebagai penjaga keamanan dalam negara. Pelepasan tembakan ke arah peserta perhimpunan Bersih 3.0 merupakan kesalahan polis kerana ini mengakibatkan tindak balas rantai yang memburukkan lagi keadaan sewaktu perhimpunan Bersih 3.0. Sementara itu, apakah Menteri Dalam Negeri dengan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan, cuba menghalalkan budaya keganasan selagi rejim UMNO dapat dipertahan?
Walaupun dengan kemajuan sosio-ekonomi yang dinikmati oleh negara bertahun lamanya, semua itu hanyalah sebuah retorik apabila demokrasi rakyat dilanyak oleh kerajaan yang rakus dalam memegang kuasa yang dinikmatinya melebihi setengah abad lamanya. Pemodenan bukan sahaja dari segi pembangunan ekonomi dan industrialisasi, ia seiringinan dengan kebebasan rakyat menikmati hak-hak sebagai rakyat negara ini. Fahamkah pemimpin UMNO erti sebenar pembangunan dan pemodenan?
Penghalalan Kekejaman Polis di bawah Akta Perhimpunan Aman
Peruntukan seperti Seksyen 20 Akta Perhimpunan Aman memberikan kuasa budi bicara terlampau kepada polis untuk menangani perhimpunan aman, terutamanya perhimpunan Bersih 3.0, di mana, kelakuan melampau sesetengah pegawai polis dihalalkan oleh seksyen ini. Lantas, peruntukan seperti Seksyen 20 tidak mencerminkan masyarakat bertamadun mahupun masyarakat yang berwawasan 2020 ataupun bercirikan semangat 1Malaysia. Mengapa Perdana Menteri 1Malaysia terus membisu dalam hal ini?
Akibat keganasan polis yang tidak mengenali bangsa, agama, umur dan jantina, 113 orang menerima rawatan hospital di Hospital Kuala Lumpur. Mereka terdiri daripada 40 orang lelaki dan 25 orang wanita. Seorang daripadanya terpaksa menjalani pembedahan akibat kecederaan yang dialami oleh polis.[9] Di antara yang tercedera termasuklah wartawan. Lantas, mencemari lagi nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja dalam negara, malah di luar negara juga.
Kesan kekejaman sesetengah pegawai polis ke atas rakyat Malaysia yang tidak berdosa hanya menambah minyak ke dalam api yang sedang membara. Rakyat kini tidak dapat meletakkan kepercayaan kepada institusi polis untuk mengekalkan keamanan dalam negara selagi rejim yang menghalalkan budaya keganasan terus berkuasa. Malah, insititusi polis kini dilihat sebagai hamba kerakusan kerajaan BN. Rakyat menghormati institusi polis yang profesional dan cintakan rakyat, bukan institusi yang dihambakan oleh rejim yang sedang kehilangan kuasa akibat kekejamannya menekan rakyat.
Transformasi atau slogan 1Malaysia yang begitu didahagakan oleh rakyat bukanlah hanya sebuah retorik. Akan tetapi, kehendak rakyat tidak perlu kekal sebagai retorik. Perubahan rejim dapat menangani masalah integriti dan kepercayaan rakyat kepada polis semula, antara cabarannya adalah untuk mereformasikan institusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.
Sebuah kajian oleh Transparency International bagi tahun 2012 menerbitkan sebuah laporan di mana di antara semua institusi di Malaysia, institusi polis merupakan di antara institusi negara yang paling tidak bersih. (sila lihat Jadual 2)
Jadual 2: Pendapat Orang Awam mengenai Institusi Dalam Negara Terkotor[10]
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar, polis tidak akan mngambil tindakan terhadap para peniaga yang membuka gerai menjual burger di hadapan rumah Datuk Ambiga Sreenevasan kerana menurut beliau, tindakan peniaga-peniaga tersebut bukan suatu tindakan pencerobohan privasi Ambiga. Beliau bersambung bahawa pembukaan gerai tersebut dilakukan di kawasan orang awam lantas tidak mengganggu privasi Ambiga.[11]
Sikap pihak atasan polis bertindak prejudis terhadap Ambiga mencerminkan bahawa institusi polis berada dalam poket kerajaan BN yang sering menyalahkan Ambiga ke atas perhimpunan Bersih 3.0. Berlakunya perlakuan ”double standard” apabila polis sehingga kini gigih mencari dan menghukum peserta perhimpunan Bersih 3.0 tapi pada masa yang sama gagal menghukum pegawai polis yang berlaku ganas sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 dan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap demonstrasi ”punggung” oleh veteran tentera, gangguan-gangguan oleh pihak-pihak tertentu dan peniaga-peniaga kecil-kecilan yang melakukan pencerobohan privasi ke atas Ambiga dan keluarga beliau.
Pendeknya, di mana integriti institusi polis apabila mereka yang terlibat dengan budaya samseng dibiarkan tetapi yang cintakan negara dan mahukan pembaharuan yang lebik baik dihukum?
Prejudis ”double standard” ini juga berlaku apabila baru-baru ini pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan terhadap para pengganggu[12] yang bukan sahaja mengakibatkan kacau bilau di sebuah acara Parti Keadilan Rakyat (KEADLAN) di Lembah Klang yang melibatkan lontaran bata yang mencederakan dua orang yang hadir di acara KEADILAN tersebut dan lontaran telur oleh penyokong UMNO.
Pada April 19 yang lalu[13], aktivis mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka telah diserang oleh sekumpulan samseng di mana pihak polis yang hanya berada beberapa meter dari tempat kejadian bergerak perlahan sambil melihat keganasan oleh kumpulan samseng ke atas mahasiswa tersebut. Serangan oleh kumpulan samseng itu menyebabkan seorang mahasiswa terpaksa dikejarkan ke hospital akibat dibelasah oleh kumpulan samseng tersebut.
Nyata sekali Perkara 8 Perlembagaaan Persekutuan tidak dihormati oleh sesetengah pegawai polis dan apakah wujud tangan ghaib di belakang institusi polis yang membenarkan serangan ke atas kesucian undang-undang negara ini dan demi memegang kuasa sebagai kuasa politik memerintah negara ini?
Integriti institusi polis haruslah dipelihara dengan cara bukan sahaja membasmi gejala rasuah, tetapi dengan memisahkan kuasa politik dan tugas utama polis; iaitu menjaga keamanan negara dan rakyat negara. Tugas polis bukan untuk menjaga kepentingan rejim tetapi kepentingan rakyat dan negara. Demi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi polis, pembersihan dari virus rasuah adalah perlu untuk membawa kepada pemisahan campur tangan politik ke dalam institusi polis.
Walaupun Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berpendapat bahawa Majlis Peguam ’menghukum’[14] institusi polis kerana membantah sekeras-kerasnya kekejaman polis sewaktu perhimpunan aman Bersih 3.0; ia adalah tugas institusi polis untuk menjaga keamanan dan keselamatan rakyat dan bukannya menyerang rakyat yang berhimpun dengan aman dengan tujuan yang jujur. Dan untuk menghadapi PRU-13, pihak polis perlu mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat dengan serta memupuk politik dan budaya samseng.
Tindakan polis berikutan peristiwa-peristiwa semasa menggambarkan tangan ghaib di belakang institusi polis begitu dambakan kuasa sehingga melupai dan tidak mengendahkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
Penghormatan kepada Perkara 8 yang sewajarnya adalah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap institusi polis negara. Ia tidak mustahil untuk dilakukan. Ia cuma persoalaan sama ada institusi polis negara atau PDRM ingin memikul tanggungjawab dan melakukan apa yang betul untuk mencari dan menghukum sekelompok samseng yang sering membuat kacau bilau seperti yang disenaraikan dalam Jadual 1 di atas lantas memberi ketelusan peluang kembali kepada integriti institusi polis negara.
IPCMC Harapan Transformasi Polis?
Bagi memisahkan kuasa politik daripada institusi polis, kini tiba masanya dibicarakan semula pembentukan Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) pasca perhimpunan Bersih 3.0. Suruhanjaya ini merupakan suatu keperluan sebelum PRU-13 untuk mengembalikan kepercayaan institusi polis. IPCMC merupakan suatu badan yang bebas[15], adil dan tegas menyiasat segala perbuatan yang melanggar undang-undang oleh pihak polis dan mana-mana agensi yang berkenaan dan kadangkala, jika merupakan suatu keperluan; memerintahkan hukuman bagi perbuatan yang melanggar undang-undang ini. Rakyat amat memerlukan suatu proses diinstitusikan untuk menangani penyelewengan oleh agensi-agensi pihak berkuasa, khususnya yang melibatkan kuasa politik. Akan tetapi, sehingga kini, harapan ini masih tidak diendahkan oleh kerajaan BN.
Transformasi yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kelihatan sebagai hanya sebuah slogan yang retorik apabila Datuk Seri Tengku Adnan B. Tengku Mansor, Setiausaha Agong UMNO dalam memberi pendapat mengenai pembangunan politik di negara jiran, Indonesia mengeluarkan kenyataan bahawa ’...salah satu masalah dengan Indonesia adalah terdapat kebebasan yang terlalu banyak.’[16] Ini merupakan suatu fakta yang merisaukan apabila seorang ahli politk berpendapat terdapatnya terlalu kebebasan dalam sebuah negara apabila ia sudah dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan hak-hak asasi rakyat Malaysia seperti kebebasan untuk berhimpun secara aman dan tanpa bersenjata serta kebebasan bersuara merupakan hak setiap rakyat Malaysia. Jenis kenyataan ini oleh seseorang yang berpengaruh yang memberi ruang kepada pihak polis untuk bertindak sebegitu prejudis dan bersifat politik.
Tangan Ghaib Di Sebalik Institusi Polis?
Apabila kita membicarakan kuasa polis, kita membicarakan SOP polis dalam menangani situasi berkenaan keamanan dan keselamatan rakyat dan negara. Ketua Polis Ismail Omar[17] sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan polis merampas kamera dan rakaman wartawan yang membuat liputan perhimpunan Bersih 3.0 bukan sebahagian daripada SOP.
Apabila institusi polis tidak menghormati Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, tidak memberikan perlindungan yang sama rata kepada semua rakyat negara tidak kira agama, kaum, dan pemahaman politik, ”mesra, cekap dan beramanah”, tangan ghaib di belakang tadbir tindakan polis menjadi persoalan. Ia adalah tangan ghaib yang menghalalkan sekumpulan samseng membelasah kumpulan mahasiswa yang mendirikan khemah di Dataran Merdeka. Ia juga merupakan tangan ghaib yang menghalalkan sekelompok samseng yang sering membuat kacau bilau semasa ceramah.
Bicara kembali ke atas serangan ganas kumpulan samseng ke atas mahasiswa Occupy Dataran mendatangkan persoalan samada hak-hak asasi mahasiswa tersebut tidak dilindungi oleh undang-undang apabila pihak polis mengambil tindakan lambat justeru membenarkan serangan ganas tersebut. Pihak polis telah menjalankan siasatan efektif dan pantas ke atas Irene Fernandez berikutan kenyataan beliau bahawa Malaysia tidak selamat untuk pekerja asing yang memasuki Malaysia untuk bekerja, akan tetapi ketiadaan tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang tidak putus mengganggu acara-acara pihak oposisi dan NGO serta perhimpunan-perhimpunan aman rakyat mempersoalkan di manakah terletaknya kuasa melindungi keamanan dan keselamatan rakyat dalam negara.
Permainan politk yang jijik telah melihatkan kuasa polis dipermainkan oleh Kerajaan BN untuk menghukum rakyat yang menyuarakan ketidakpuashatian mereka ke atas pentadbiran dan pada masa yang sama melindungi pihak-pihak yang jelasnya melanggari kesucian perundangan negara yang sedia ada. Tangan ghaib di sebalik institusi polis telah mencemari integriti institusi polis apabila Kementerian Dalam Negeri dan institusi polis tidak berada dalam pemahaman yang sama mengenai perundangan. Tangan ghaib ini juga yang bertanggungjawab ke atas kegagalan polis menjaga keselamatan rakyat negara dari budaya samseng yang menyerap ke dalam permainan politik kotor. Apabila keselamatan rakyat terancam dan pihak polis mengutamakan gangguan terhadap tokoh politik pembangkang, nilai integriti institusi polis sudah hilang maknanya.
Campur tangan politik ke dalam polis sudah lama berlaku dalam negara untuk memastikan kuasa pemerintah dilindungi. Campur tangan politik dan polis tidak hanya berlaku dalam negara. Malah, ia sudah lama dilaporkan perkara yang sama berlaku di luar negara. Akan tetapi, perkara seumpama tidak sepatutnya dibiarkan berlaku. Dalam sebuah laporan luar negara, Suruhanjaya Wickersham 1931[18], campur tangan politik dan institusi polis telah di ringkaskan seperti berikut:
”...tidak syak lagi ini pengaruh politik tidak dapat dielakkan dalam apa-apa berhubing di mana jumlah wang yang sangat besar yang akan dibuat oleh kawalan manipulasi pentadbiran, dan di mana naungan dan melaluinya gangguan atau tidak campur tangan dengan aktiviti yang sangat menguntungkan boleh dibuat untuk menghasilkan dana yang besar bagi organisasi politik dan sebagai bermakna kepada kuasa politik. Dalam penguatkuasaan politik larangan campur tangan tegas dari awal, kedua-dua dalam pemilihan kakitangan organisasi menguatkuasakan dan dalam butir-butir operasi.”
Petikan asal berbunyi seperti berikut: -
”...no doubt this influence of politics is inevitable in any connection where very large sums of money are to be made by manipulation of administration, and where control of patronage and through it of interference or noninterference with highly profitable activities may be made to yield huge funds for political organizations and as means to political power. In the enforcement of prohibition politics intervened decisively from the beginning, both in the selection of the personnel of the enforcing organization and in the details of operation.”
Kenyataan tersebut memberitahu bahawa campur tangan politik dan institusi polis merupakan perkara semula jadi kerana menurut Aristotle, ”manusia adalah haiwan berpolitik”. Petikan tersebut juga menyatakan bahawa akibat campur tangan politik ke dalam institusi polis tidak dapat diselami atau difahami oleh pihak yang memanipulasi institusi polis demi menjaga kuasa politik mereka kerana pada akhir hari, yang akan merasai akibatnya adalah rakyat dan negara secara keseluruhan.
Selepas semua telah dikatakan dan dilakukan, manipulasi politik ke dalam institusi polis sendiri yang bertindak sebagai ancaman kepada keamanan dan keselamatan rakyat dalam negara. Transformasi Perdana Menteri melalui slogan 1Malaysia serta penggubalan undang-undang seperti Akta Perhimpunan Aman 2012 dan pemindaan Atka Mesin Cetak dan Penerbitan, pembatalan 3 Proklamasi Darurat, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri akhirnya menjadi transformasi kosong.
Penutup Kata
Campur tangan politik telah meninggalkan institusi polis tidak berkesan untuk menangani apa-apa ancaman dan menjaga keamanan serta keselamatan rakyat dalam negara. Institusi polis sudah hilang kredibiliti mereka apabila mereka gagal untuk mengekalkan pendirian politik neutral dan tidak berpolitik. Bagi mengembalikan kredibiliti mereka sebagai institusi polis negara, maka perlu adanya pemisahan kuasa yang nyata dari campur tangan politik dan polis. Perkara ini tidak boleh dirundingkan kerana pengabaian pelanggaran hak asasi rakyat oleh institusi polis menghala ke suatu keadan yang kritikal di mana rakyat sudah tidak boleh ditipu dan kebenaran sudah tidak boleh dimanipulasikan sejak adanya perkhidmatan internet yang bebas dan media alternatif.
Perbincangan atas mengutarakan langkah-langkah polis untuk menebus profesionalisme polis dan PDRM mempunyai tanggungjawab menghormati kehendak rakyat. Tidak mengendahkan kehendak rakyat hanya merugikan PDRM kerana pasca pilihanraya umum, rakyat mempunyai kuasa untuk menukar mana-mana pihak atasan PDRM yang bersekongkol dengan kuasa politik yang korup kerana ia sudah dilupai oleh PDRM, PDRM merupakan penjawat awam yang berkhidmat untuk rakyat dan bukannya mana-mana pihak politik.
Kalau tidak wujud tangan ghaib, pihak polis sewajarnya mengambil tindakan segera berhubung insiden keganasan politik bersifatkan budaya samseng. Maka penghormatan diberikan kepada institusi polis yang berpegang teguh kepada integriti, profesionalisme dan pengasingan kuasa polis dengan kuasa politik. Polis cintakan rakyat. Rakyat sanjung polis.
**
Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU – Political Studies for Change,æ”¿æ”¹ç ”ç©¶æ‰€) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada rakyat Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.
KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.
KPRU merupakan institusi pertama yang melibatkan diri dalam kajian parlimen dan menyokong reformasi parlimen. KPRU mengutamakan isu belanjawan tahunan negara, rancangan jangka panjang, demokrasi parlimen dan lain-lain. Untuk mencapai matlamat tersebut, KPRU bekerjasama secara rapat dengan agensi kerajaan, parti politik, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan khidmat nasihat strategik, program pengunjungan spesifik dan menghasilkan dasar yang berasaskan fakta.