Wednesday, June 27, 2012

Ustaz Fadzil Noor:10 Tahun Perginya Sebutir Permata (130337-230602)


Posted on Sunday, June 24 @ 09:53:08 MYT by paktam
Artikel
Oleh Zaini Ab Rahman
Petang 22 Jun 2002, Negara dikejutkan oleh pengumuman perletakan jawatan Dr.Mahathir Muhamed sebagaiPresiden UMNO. Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan penggulungan di Mesyuarat Agong UMNO di PWTC, Kuala Lumpur.



Walaupun DS Abdullah Ahmad Badawi membuat pengumuman Dr. Mahathir menarik balik perletakan jawatan tersebut, rakyat masih ragui akan penarikan tersebut, kecualilah penarikan itu keluar dari mulut Dr. Mahathir sendiri. Selagi tidak ada penarikan itu, rakyat beranggapan jawatan presiden UMNO itu tidak ada penyandangnya
Pada 23 Jun 2002, lebih kurang jam 11.00 pagi, saya menerima sms dari saudara Azizi Abdullah dari Kedah. Beliau memaklumkan Ustaz Fadzil Noor (UFN) telah meninggal dunia di HUKM. Kematian UFN menjadikan pada 23 Jun 2002, parti UMNO (Parti Kebangsaan Melayu - ahlinya terdiri dari orang-orang Melayu, Siam, Kadazan, Dusun, Melanau dan lain-lain dari berbagai bangsa dan agama) dan parti PAS (Parti Islam SeMalaysia-ahli-ahlinya semua beragama Islam) kehilangan presiden parti masing-masing. Satu meletakkan jawatan dan satu lagi meninggal dunia. Ketika itu saya sedang menemani anak saya Ahmad Nazif Zulfi yang memasuki peraduan syair di SRA Sg. Sekamat, Kajang. Mengetahui berita itu, terasa lunglai anggota saya. Sekejap itu juga saya memaklumkan berita tersebut kepada isteri saya yang berada di dewan SRA tersebut.
Kemudian berita sayu itu saya smskan kepada kawan-kawan saya yang berada di KL, Selangor, Kelantan, Brunei, Hong Kong dan Johor. Saya memohon mereka sedekahkan al-fatihah dan sekaligus mendoakan UFN ditempatkan bersama ahli-ahli syurga. Sms tersebut ada yang return balik kepada saya bertanyakan kepastian dan kesahihan berita dan ada yang tidak memberi respon apa-apa. Ketika acara di SRA belum selesai, saya bersama isteri dan anak-anak menuju ke HUKM. Di HUKM saya dimaklumkan jenazah UFN telah dibawa ke surau al-Mustaqimah Taman Jaya Bandar Tun Razak. Bersama anak-anak, Ahmad Naquish Zihni dan Ahmad Nazif Zulfi saya bergegas ke surau al-Mustaqimah. Di situ jenazah selesai dimandikan dan sedang diziarahi oleh orang ramai. Kemudian Sultan Kedah menziarahi sama jenazah.
Disekitar jam 1.00 tengahari, solat jenazah dimulakan dengan diimamkan oleh Us. Abd Gahani Ab. Rahman, bekas pensyarah UTM yang juga ajk PAS pusat. Kemudian solat-solat berikut diimamkan oleh anak UFN, Nasaruddin Mat Isa (SUA PAS) Mufti Wilayah Pesekutuan Datuk Hashim Yahya, Datuk Dr. Harun Din dan YB Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Saya sembahyang dua kali iaitu dengan imam pertama dan imam kedua.
Semasa solat jenazah saya terasa sangat sebak. Dan sebenarnya saya tidak pernah menangis begitu perlahan tetapi lama ketika saya berdepan dengan jenazah-jenazah sebelum ini. Pemergian UFN saya merasakan satu kehilangan yang amat besar kepada satu perjuangan. Hilangnya sebutir permata yang sukar dicari ganti. Selepas solat zohor dan selepas makan tengahari, saya dan keluarga menuju ke TUDM Subang, di sana sudah sedia menunggu para jemaah termasuk beberapa orang menteri Kerajaan Pusat.
Dalam panas terik mentari, ramainya saya dapati orang yang menghantar jenazah. Dan saya bersama saudara Azizi di kedah bertukar-tukar sms. Sehingga jam 3.39 petang, dengan diiringi oleh kawan-kawan dari parti seperjuangan, jenazah diterbangkan ke Alor Setar. Ketika itu sdr Azizi memaklumkan puluhan ribu orang yang sedang menunggu kepulangan jenazah al-Marhum.Ada orang besar yang terpaksa dibawa dengan motorsikal ke Muassasah Pokok Sena kerana tidak ada laluan yang boleh dilalui oleh motokar.
Saya kurang pasti bagaimana sambutan terhadap jenazah-jenazah lain sebelum ini, tetapi inilah kali pertama saya dimaklumkan jenazah seorang pemimpin Parti Islam disambut dengan banjiran manusia puluhan ribu orang. Bagaimana agaknya kalau manusia ini masih hidup dan pulang ke tanah airnya bersama gelaran Perdana Menteri!
PUTIK 31 MEI 2002
Ketika pulang bercuti di kampung Chepa, Kubang Kerian, Kota Baharu, Kelantan pada akhir Mei 2002 bersama anak-anak, saya bercadang untuk pulang ke KL pada 31 Mei 2002. Atas desakan Ahmad Naquish takut terbabas Jumaat kerana kebetulan 31 Mei jatuh pada hari Jumaat, saya terpaksa menangguhkan kepulangan saya ke KL pada 1 Jun 2002. Jadi pada 31 Mei saya bersama anak-anak ke PUTIK (Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan), Pengkalan Chepa.
Hari itu rupa-rupanya hari terakhir saya mendengar ucapan UFN. Sebelah pagi ketika saya menerima bermacam-macam soalan melalui sms yang saya belum pernah di tanya soalan-soalan sebegitu oleh mana-mana kawan-kawan saya, sebenarnya pada masa itu saya gunakan indera saya kepada dua subjek, telinga mendengar ucapan UFN di PUTIK dan pada masa yang sama, tangan, dengan hati-hati menjawab soalan-soalan melalui sms. Agaknya jika saya pulang ke KL pada 31 Mei itu, tidak daptlah saya ke PUTIK dan tidak dapatlah saya mendengar ucapan terakhir UFN.
Sebenarnya kisah perjuangan UFN dalam harakah Islamiah saya mulai ketahui pada tahun 1973 / 74. Saya mulai mendengar ucapan beliau dalam forum di kuliah F, Fakulti Ekonomi UM. Setelah beliau memberi pendapat pada malam itu, esoknya keluar di muka depan surat khabar sebagai berita utama Kenapa Melenting. Berita itu mengulas komentar UFN terhadap beberapa isu semasa yang amat tidak disukai oleh pihak-pihak tertentu jika diketengahkan.
Selepas itu keluar dalam akhbar ulasan seorang pensyarah UM atas komentar UFN dan beliau mengatakan teguran UFN tidak spesifik dan terlalu umum. Apa yang saya lihat secara tersirat, pensyarah itu sebenarnya faham apa yang dikehendaki oleh UFN. Namun atas sifatnya sebagai seorang pensyarah, beliau perlu mengemukakan pendapat alternatif kepada pendapat UFN. Tetapi ulasan pensyarah itu tidak menjadi polemik yang berpanjangan.
Pandangan Idris Jauzi 1977
Pada tahun 1977, saya pernah bertanya Datuk Idris Jusi (Jauzi) - Orang Rengit Johor- di Johor Baharu tentang kualiti UFN dan masa depan kepimpinannya dalam harakah Islamiah kerana saya sebenarnya masih samar-samar atas perkara ini. Beliau meyakinkan saya UFN mempunyai masa depan yang amat cerah dalam harakah Islamiah. Beliau perlu didampingi anak-anak muda kerana beliau merupakan aset kepada perjuangan Islam terutama dalam negara kita.
Ketika itu saya melihat Idris Jusi telah memberi ulasan yang berterus terang atas sifat UFN sebagai pensyarah Universiti dan saya sebenarnya masih belum membaca dan melihat apa-apa keistimewaan yang terdapat pada UFN. Namun begitu, beberapa orang kawan yang pernah belajar di Yayasan Anda memaklumkan UFNlah orang pertama yang menceritakan siapakah sebenarnya Mustafa Kamal Attaturk. Bagaimana beliau telah menghancurkan Kerajaan Othmaniah Turki dan menukar Turki dari sebuah negara khilafah kepada negara secular. Pandangan dan pengaruh UFN ini menukar kedudukan Mustafa Kamal yang sebelum ini diagongkan oleh orang kita dan dianggap sebagai bapa pembangunan Turki kepada pengkhianat Turki. Pandangan UFN ini disokong dan diperkukuhkan oleh rakan-rakanya seperti Sidik Fadil, Razali Nawawi dan lain-lain.
Pendapat Prof. Khoo Kay Kim
Secara personal saya tidak mengenali UFN. Tetapi atas sifatnya sebagai orang yang boleh membuka mata masyarakat dan merubah senario pandangan umum terhadap satu-satu isu menjadikan saya amat tertarik dengannya. Pada 26 Feb 1981 semasa bertugas di Jabatan Perpaduan Negara, saya berkesempatan mengurusetiakan Kursus Pegawai-Pegawai Rukun Tetangga seMalaysia di Port Dickson Negeri Sembilan. Antara tokoh yang saya cari sendiri untuk mengisi slot-slot kursus ialah Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan (UIA), Prof. Khoo Kay Kim (KKK) (UM) dan Dr.Ting Chew Peh (UKM).
Dalam perbincangan ketika minum setelah Prof. KKK selesai memberi ceramah bertajuk Nilai dan Etika Masyarakat Malaysia., Prof. KKK secara jelas dan berani mengemukakan analisis politiknya dalam kepimpinan politik Melayu. Dari analisis beliau, Datuk Asri ialah orang UMNO. Perbezaan beliau dengan kepimpinan UMNO ialah pemimpin UMNO menggunakan wadah kebangsaan sementara Datuk Asri menggunakan wadah Islam. Sekiranya Pas menang dan memerintah Malaysia, Datuk Asri tidak akan berbuat apa-apa yang boleh mencorakkan politik Malaysia kepada satu bentuk baru. Tetapi mengikut Prof. KKK, sekiranya Pas diketuai oleh orang seperti UFN, senario politik Malaysia akan berubah dan UFN akan memberi input Islam kepada politik Malaysia kerana beliau ialah seorang pemimpin Islam.
Ketika itu, saya tidak boleh menyetujui pandangan Prof. KKK dan saya cuba hujjahkan bagaimana Datuk Asri yang pernah menjadi murid kepada Us. Abu Bakar al-Bakir dan bekas orang kuat Hizbul Muslimin (parti politik Islam yang diharamkan oleh British pada tahun 1948, tetapi UMNO pimpinan Dato’ Onn tidak diharamkan) tidak boleh diklasifikasikan sebagai pemimpin Islam. Prof KKK memaklumkan, begitulah analisisnya dari ucapan dan tulisan Datuk Asri, Datuk Asri ialah tokoh nasionalis Melayu, dan tidak ada bezanya beliau dengan tokoh UMNO. Saya tidak ada hujjah substantif untuk menolak analisis KKK. Cuma apa yang saya ingat, Asri tidak pernah disentuh oleh ISA dan tidak pernah disusahkan oleh apa undang-undang pun. Tidak seperti Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Dr. Abbas Alias dan beberapa pemimpin Pas yang lain.
Mata saya menjadi terbuka bila Asri meletakkan jawatannya sebagai YDP PAS setelah ucapan dasarnya ditolak oleh Muktamar Agong PAS dan beliau menyertai UMNO pada tahun 1983. Dan sejak itu saya meletakkan KKK sebagai tokoh sejarah yang tidak ada tolak bandingnya.
Perpisahan Dengan Anwar
UFN rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bukan kerana panjangnya zaman bujang DSAI tetapi kerana banyaknya persamaan dalam perjuangan mereka. Ketika majlis syura ABIM menolak hasrat DSAI yang ingin menyertai UMNO, UFN membiarkan pemergian DSAI walau pun hatinya terhiris. Keakraban UFN-DSAI dapat dilihat betapa UFN antara orang yang mengiringi perkahwinan DSAI-Azizah, membelah mulut dan mencukur rambut anak sulung DSAI-Azizah, Nurul ‘Izzah.
Permergian DSAI menjadikan perjuangan Islam berpecah, kepimpinan belia dan tokoh-tokoh Islam berkecamuk dan kesatuan fikrah islamiah hampir berkecai. Pada bacaan umum perjuangan DSAI mirip kepada PAS bukan kepada UMNO. Ramai orang yang mencaci DSAI, tetapi ada orang yang mencaci itu kemudiannya mengikut jejak DSAI. Namun UFN tenang sahaja.
Antara ulasan UFN terhadap DSAI ialah ada orang baru nak pandai agama, tiba-tiba pergi ke tempat lain. Bilalah ia akan pandai agama. Dengan merenung masa depan DSAI dalam UMNO, berulang-ulang kali UFN menasihati DSAI: “Pimpinan UMNO rakus dan akan mengkhianati saudara sebaik sahaja kedudukan saudara kukuh”. Kerana itu bila pertama kali DSAI mencuba nasib dalam pertandingan Naib Presiden UMNO, soalan pertama yang ditanya oleh UFN ialah Anwar menang atau tidak. Dan sebagai seorang pejuang saya tidak tahu apa strategi perjuangan dua tokoh ini dalam wadah yang berbeza. Apa yang saya nampak UFN tetap bersama DSAI ketika senang dan ketika susah. Amat berbeza dengan tokoh-tokoh UMNO, pokok akan didekati ketika ranumnya dan pokok itu akan dijauhi ketika keringnya!
Masjid Ar-Rahman, Univesiti Malaya
Program UFN dengan Masjid ar-Rahman (MAR), Universiti Malaya yang terletak di Jalan Pantai Baru, Lembah Pantai, Kuala Lumpur sudah lama berjalan. Sekali dalam sebulan, iaitu ketika beliau turun ke KL, beliau akan ke MAR untuk memberi satu ceramah umum yang biasanya relevan dengan peristiwa semasa. Uniknya UFN ketika memberi ceramah agama di Masjid, beliau tidak mengambil kesempatan memasukkan elemen politik walaupun secara sinikal. Ini menjadikan beliau di hormati oleh orang yang cintakan kebenaran.
Empat (4) tahun ketika menjadi Pengerusi MAR, program bulanan UFN di masjid diteruskan. Ketika menjadi Pengerusi MAR saya berpeluang mendekati beliau. Saya perhatikan ketika makan, baik semasa di Masjid atau semasa di luar, beliau sangat suka kepada kambing, ayam dan lain-lain jenis lauk yang pada pendapat saya beliau perlu berhati-hati. Sekiranya beliau meneruskan tabiat makannya tanpa menghitung kandungan yang terdapat pada jenis makanan yang beliau sukai, beliau akan berdepan dengan masalah kesihatannya.
Satu hal yang istimewa pada beliau, saya dapati beliau langsung tidak cuba mengindoktrinate orang lain dengan fahaman politiknya. Kalau orang tidak mengenalinya, orang tidak tahu akan kedudukannya dalam politik Malaysia. Beliau hanya akan menceritakan satu-satu isu bila ditanya secara spesifik. Kalau tidak beliau akan mendiamkan diri dan tidak akan memberi komentar apa-apa atas satu-satu isu. Istimewanya UFN, beliau akan mengenali kebanyakan nama-nama AJK masjid. Saya pernah bertanyakan beliau mengenai bekas pengerusi masjid yang sudah meninggal dunia dan beliau boleh menceritakan dengan teratur siapa orang itu dan bagaimana beliau boleh meninggal.
Sebelum ditukar ke Kedah pada tahun 1997, saya telah melepaskan jawatan Pengerusi MAR. Sebelum melepaskan jawatan, saya mencadangkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Pesekutuan (JAWI) orang yang layak mengganti saya hanya Prof. Madya Dr. Fadzin Othman, pensyarah Fakulti Ekonomi UM, kawan baik YAB Abd Ghani Othman (MB Johor sekarang) sebagai pengerusi masjid. Cadangan saya diterima dan Dr. Fadzin mengambil alih tempat saya. Semasa di Kedah saya tidak moniter lagi bagaimana UFN dengan MAR.
Perjuangan UFN
Berbintang Pisces, Ustaz Fadzil Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Bandar Alor Setar, Kedah (Tun Razak dilahirkan pada 11 Mac dan ramai pemimpin dunia berbintang pisces-mempunyai asas perjuangan yang kuat dan memerlukan kasih sayang dan ingin selalu didekati oleh orang yang bernama isteri). 1963, beliau berkahwin dengan Siti Khadijah, iaitu sepupunya. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan 8 orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’ Izzah, Faiz, Salwa, Fauwaz dan Anas. Anak-anak ini diharap menjadi anak-anak yang soleh yang akan mendoakan pemergian bapanya!
Penglibatan dalam politik
Pada tahun 1963 Ustaz Fadzil Noor menyambung pelajaran di Universiti Azhar dengan biasiswa Kerajaan Negeri Kedah setelah menamatkan pengajian menengahnya di negeri Kedah. Pada tahun 1967, UFN pulang dari Universiti Azhar, mengajar di Maktab Mahmud dan terus aktif dalam PAS. Namun penglibatannya dalam PAS mula dikesan seawal tahun 1959, iaitu ketika menuntut di Maktab Mahmud Alor Setar lagi.
1973 beliau mula mengajar di UTM, Jalan Semarak, KL dan terus mengajar sehingga tahun 1977 bila beliau bertanding dalam pilihanraya di DUN Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Penglibatanya dalam PAS secara aktif ialah pada tahun 1977, iaitu ketika PAS dipecat dari Barisan Nasional. Ketika itu PAS seperti rumah ranap yang menunggu masa untuk runtuh akibat pengistiharan darurat di Kelantan oleh kerajaan Barisan Nasional ekoran konspirasi politik UMNO setelah gagal mengalahkan PAS secara demokratik atau secara anak jantan. Dalam pilihanraya Umum itu, di Kelantan, PAS menang dua kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen iaitu Parlimen Pengkalan Chepa dengan Nik Abdullah Arshad sebagai MP tunggal PAS.
Kemasukan secara aktif UFN dalam PAS ialah untuk membaiki rumah yang runtuh itu. Rumah itu perlu diberi tiang baru, atap baru dan lantai baru. Dan kemasukan secara aktif ini ialah kerana keyakinan atas wadah perjuangan. Bukan kerana menunggu gugur buah yang ranum. Dalam PAS beliau tidak disambut dengan permaidani. Tetapi beliau berusaha membaiki dan membetulkan rumah yang kelihatan akan runtuh itu dengan semangat cintakan agama, kasihkan bangsa Melayu dan pastikan demokrasi di Malaysia terpelihara.
Dalam era kepimpinan ulamak, setelah Asri melarikan diri, kedudukan UFN dalam PAS semakin nyata. Tahun 1981 sehingga 1983 UFN menjadi Naib Presiden PAS. Di bawah kepimpinan Yusuf Rawa dari 1983 hingga 1989 beliau menjadi Timbalan Presiden PAS dan mulai 1989 sehingga 23 Jun 2002 beliau menjadi Presiden PAS.
Sebagai ketua penbangkang dalam parlimen, UFN telah memainkan peranan amat berkesan. Bagi menegakkan demokrasi beliau bersungguh-sungguh menghalang deposit pilihan raya berlebihan dikenakan ke atas calon yang mahu bertanding. Beliau bertegas mahu ISA dihapuskan dan beliau mengetuai protes mogok lapar kepada SUHAKAM. Selain dari itu terdapat banyak lagi jasa beliau kepada rakyat Malaysia dalam menegakkan sistem demokrasi di Malaysia.
Kenapa Saya Kagumi Ustaz Fadzil Noor (UFN)
Terdapat banyak sebab kenapa saya kagumi Ustaz Fadzil Noor, antaranya ialah:
(1) Yakin kepada wadah perjuangan
UMNO (1946) dan PAS (1951) adalah dua buah parti politik Melayu yang kekal dan servive hingga sekarang. Pertempuran UMNO-PAS bermula dari tahun 1955 hingga 1974. Atas kebijaksanaan Tun Razak, Asri telah dapat dijinakkan dan akhirnya BN telah dapat dibentuk. BN telah dapat berfungsi dengan berkesan di peringkat persekutuan dan negeri. Di peringkat Pusat beberapa pemimpin PAS telah dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan setiausaha Parlimen.
Demikian juga di peringkat negeri, beberapa orang pemimpin telah di lantik sebagai ahli MMK (EXCO). Demikian juga di Kelantan, jawatan Timbalan Menteri Besar telah diserahkan kepada wakil UMNO. Hanya di negeri Johor, gagasan BN tidak berjalan. MB Johor pada masa itu telah menolak dengan keras kehadiran PAS sebagai rakan kongsi dalam kerajaan Negeri Johor. Wakil PAS tidak dibenarkan bertanding atas tiket BN di negeri Johor. Melihat kepada dua wadah yang ada, antara idealisme dan pragmatisme perjuangan, UFN dengan rela hati telah memilih PAS sebagai wadah perjuangan walaupun beliau tahu wadah itu memerlukan pengorbanan, panjang perjalanan dan laluannya pun amat sukar. Atas kejelasan wadah yang di pilih setelah melalui proses perbandingan, dengan penuh keyakinan UFN telah memilih PAS sebagai wadah tempat beliau menyerahkan jasad, fikiran dan hati nuraninya bagi mencapai keredaan Allah.
(2) Istiqamah dalam perjuangan
Liku-liku perjuangan yang dilaluinya tidak sesenang seperti diharapkan oleh sesetengah pemimpin. Beliau memulakan karier dalam politik dengan kekalahan dalam pertandingan. Walaupun ramai tokoh-tokoh PAS datang dari Kedah yang mengalahkan tokoh-tokoh UMNO dalam pilihanraya pada tahun 1969 seperti Dr. Mahathir Muhamed, Tun Zahir Ismail (speaker parlimen sekarang), Datuk Senu Abd Rahman dan lain-lain, namun kemenangan itu tidak kekal lama. Kekalahan PAS ternyata bila PAS dikeluarkan dari BN pada tahun 1977.
Suasana kalah dan kalah dalam pertandingan tidak menyebabkan UFN tawar hati. Beliau tetap istiqamah dalam PAS. Beliau terpaksa berdepan dengan kumpulan Asri yang keluar dari PAS dan membentuk Hizbul Muslimin dan beliau antara pengasas era kepimpinan ulamak dalam PAS. Ketika mengemukakan gagasan tersebut, beliau bersama rakan-rakannya banyak menumpukan perhatian kepada kerja-kerja tarbiah yang dilakukan oleh ahli-ahli PAS. Bagi sesetengah ahli PAS, proses penterbihan dikalangan ahli merupakan satu kejutan kerana di zaman Asri, kerja tarbiah tidak menjadi keutamaan parti.
(3) Tidak banyak wajah
Ustaz Fadzil Noor tetap berwajah satu. Dengan sesiapa pun beliau berdepan, beliau membawa wajah UFN. Di zaman beliau, kepimpinan ABIM dipelopori oleh dua kumpulan tokoh iaitu pendidikan Arab (UFN) dan Inggeris (DSAI). Di peringkat Pusat, tokoh berpendidikan Arab seperti Sidik Fadil, Mohd Nor Monuty, Ramli Ibrahim, Abd Ghani Shamsuddin, Abd Ghani Abd Rahman dan beberapa orang lagi. Sementara yang berpendidikan Inggeris Kamaruddin Jaafar, Idris Jusi, Zakaria Hashim, Anuar Hashim dan beberapa orang lagi dapat bergerak dalam satu pasukan. Bila beliau cergas bergerak dalam PAS, beliau kekal dengan idealogi yang dipegangnya ketika dalam ABIM. Sementara rakan-rakannya yang bersama DSAI telah mulai memilih pendekatan dan wajah lain sebagai langkah penyesuaian denga rumah baru.
(4) Tidak Akomodatif dan Tidak Apologetik
Ustaz Fadzil Noor seorang individu yang mesra Insan, tanpa melihat kepada martabat insan itu. Beliau tidak menumpang sesiapa dan beliau tidak mahu menjadi tempat tumpangan individu lain. Beliau boleh menyanggah pendapat tokoh terkenal tanpa mengira siapa individu terssebut. Di peringkat awal namanya mengambil ruang dalam akhbar-akhbar tempatan pada peringkat awal dan pertengahan tahun 70-an, beliau banyak menyanggah pendapat popular dengan mengenepikan dirinya sebagai pensyarah Universiti. Mengenali VC universiti tempat beliau mengajar sehingga kini masih bersifat akomodatif kepada pihak tertentu, beliau tidak ikut berbuat demikian walaupun diketahui langkah yang diambilnya tidak memberi keselesaan kepada diri dan keluarganya.
Beliau juga tidak bersifat Apologetik tidak menentu hanya kerana ingin mengambil hati pihak-pihak tertentu samaada kawan atau lawan. Walaupun beliau tidak popular dengan memegang sifat tersebut, tetapi beliau yakin peganganya itu menyebabkan beliau tidak boleh dipandang remeh oleh orang lain.
(5) Boleh Berbeza Pendapat dan Berfikiran Terbuka
Sesuatu organisai yang disertai oleh ahli-ahli yang datang dari latar belakang pendidikan yang berbeza, terdapat banyak perbezaan pendapat. Lebih-lebih lagi dalam konteks Barisan Alternatif yang disertai oleh PAS, Keadilan, DAP dan Parti Rakyat. DAP walaupun disertai oleh orang Melayu, ia tetap dikenali sebagai sebuah parti China. Ia dicanai sebagai tidak inginkan bauan berbau Islam termasuk negara Islam gagasan PAS, sedangkan tujuan utama PAS ialah mahu menegakkan Negara Islam, walau dalam bentuk apa sekalipun. DAP akan memperjuangkan penubuhan SR(J)K China dimana wujudnya komuniti China. Bagaimana PAS boleh servive ketika bersahabat dengan parti seperti DAP.
Dalam kepimpinan PAS, beliau kelihatan lebih toleran berbanding dengan sesetengah pemimpin-pemimpin lain. Beliau berpendapat, kita tidak boleh memaksa pendapat kita keatas orang lain tetapi melalui beberapa kali perjumpaan dan pertemuan, beliau mengharapkan orang lain akan berubah pendapat lama dan dapat menerima pendapat baru setelah menilai keikhlasan kita.
Ketika membuat lawatan ke kawasannya kerana melihat keperluan projek pembangunan bersama pegawai kerajaan di negeri Kedah, beliau mengetahui kecenderongan pegawai-pegawai berkenaan. Namun atas sifatnya sebagi wakil rakyat beliau tetap mengatakan pegawai kerajaan ialah orangnya sekalipun beliau tahu orang itu menentangnya di belakang. Bila beliau mengambil keputusan menghadiri ceramah perdana bersama PM dalam isu Palestin, beliau banyak menerima kritikan dari dalam parti
. Namun atas sifatnya yang beranggapan semua pihak boleh mengeluar pendapat berbeza, beliau biarkan serangan tersebut menikam dirinya. Dan terbukti serangan itu akhirnya hilang begitu sahaja.
(6) Wajah serius yang lawak
Beliau antara pemimpin PAS yang sedikit ketawa, kezahiran ketawanya hanya disekitar 30% sahaja. Yang lain beliau simpan di dalam. Tetapi berbanding dengan Haji Hadi Awang, beliau kelihatan peramah. Namun begitu dalam keseriousan mukanya, beliau dapat memberi ucapan-ucapan lawak yang memukul terutama bila beliau mengkritik sahabat-sahabat lama yang memilih wadah lain. Dengan lawaknya itu, beliau lebih berani didekati oleh orang awam berbanding timbalannya.
(7) Berbaik sangka dengan sahabat
Satu sifat yang jarang ada pada orang lain ialah UFN amat berbaik sangka dengan sahabat walaupun sahabat itu memilih wadah lain. Beliau tidak mengindahkan apa pendapat orang lain mengenai seseorang asalkan beliau yakin dengan pegangan beliau. Kepada DSAI dan Datuk Kamaruddin Jaafar (MP Tumpat, Kelantan) pandangan beliau tidak berubah. Beliau berbaik dengan keluarga DSAI sehingga ke akhir hayat dan Kamaruddin Jaafar (KJ), tetap diberi peluang bertanding di Tumpat walaupun KJ menjadi ketua UMNO bahagian sebelum itu. Tetapi dengan Nakhie Haji Ahmad, nampaknya beliau perhati dengan penuh sinikal atas perubahan arah perjuangannya.
(8) Pemimpin Islam Malaysia
Secara De Jure, bagi mewakili Malaysia, dunia sekular menamakan orang tertentu sebagai pemimpin Islam Malaysia. Tetapi de Facto, secara syarie, dunia Islam melihat UFN adalah pemimpin umat Islam Malaysia. Nama beliau diletakkan setanding nama-nama besar seperti Mustafa Mashor (Mesir), Qadzi Hussain (Pakistan), Hassan Turabi (Sudan), Hamzah Has (Indonesia), Najamuddin Irbakan (Turki), dan Hashim Selamat (Filipina). Dengan namanya diletak setanding pemimpin-pemimpin Islam lain itu, UFN jelas kelihatan mewakili Umat Islam Malaysia dalam urusan Islam. Kerana itu beliau terus di jemput mewakili Malaysia oleh pertubuhan-pertubuhan Islam antarabangsa yang mewakili kumpulan-kumpulan Islam dari seluruh dunia.
(9) Ada anchor sendiri
Sejak beliau terjun secara aktif dalam politik UFN tidak bergantung kepada orang lain. Dalam PAS, beliau bukan penumpang. Walaupun beliau terjun ke dalam PAS semasa kapal PAS hampir karam, beliau tidak bertenggek kepada pemimpin lain, tidak kepada Asri dan tidak kepada Yusuf Rawa. Dengan kerektor sendiri beliau servive dalam parti dan dalam politik Malaysia.
Dari segi ilmu, beliau lah antara orang yang membawa gagasan kepimpinan Ulamak dalam PAS. Dengan gagasan ini, orang yang ingin melihat PAS sebagai wadah perjuangan Islam melihat umat Islam di Malaysia tidak ada wadah lain untuk memperjuangkan Islam, kecuali PAS. Bila beliau memegang jawatan sebagai presiden PAS, ramai tokoh profesional memasuki PAS, termasuk yang bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Anak Bukit dan DR Pendang baru-baru ini.
Dengan anchor yang ada, beliau nampaknya lebih ikhlas dalam perjuangan, berbanding dengan beberapa orang pemimpin lain. Keikhlasan merupakan tonggak untuk membolehkan seseorang mendapat pahala dalam perjuangannya.
(10) Tidak ada kepentingan diri
Orang-orang politik selalu dikatakan terlalu selfish. Bila ada kepentingan ia akan mencari pegawai kerajaan atau sesiapa sahaja untuk menjadi vehicalnya sampai ke lubang cacing. Bila tidak ada kepentingan atau bila maksud sudah tercapai atau bila kepentingan sudah terlaksana, bila berjumpa atau tersentuh bahu pun, mereka buat-buat tak kenal. Ramai pegawai kerajaan mempunyai pengalaman khusus dalam hal ini, terutama ketika mereka bertugas di Suruhanjaya Pilihanraya atau di Pejabat SDO atau di JPJ atau JKR, Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara atau mana-mana agensi kerajaan yang secara langsung terlibat dengan kepentingan umum. Dari pengamatan saya dan dari perbualan saya dengan kawan-kawan yang bermacam-macam warna, perangai ini tidak ada pada UFN.
Perangai seperti ini mungkin ada pada orang-orang politik lain, sama ada yang berada dalam kerajaan atau yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan. Sebenarnya sudah menjadi metos dikalangan pegawai kerajaan, kalau ingin bersahabat dengan orang politik, persahabatan di peringkat mana pun, mereka perlu beringat. Perangai lembut, cakap berlapik dan tradisi ingin berkhidmat yang sudah sebati dengan pegawai kerajaan mesti diketepikan. Bila ingin berkawan dengan orang politik, mereka mesti bertukar perangai dan sanggup memilih wajah baru. Mereka mesti sanggup memakan orang dan jangan sekali-kali biarkan diri dimakan orang. Mereka perlu mengamalkan sikap 3 K iaitu Keras Kering Kasar (Jiwa Keras, Hati Kering dan Perangai Kasar). Mereka sanggup membuat apa sahaja tanpa ada kasihan belas, asalkan tujuannya tercapai.
PENUTUP
Orang-orang yang berhati kering melihat pemergian UFN sebagai satu rahmat kepada kestabilan politik Malaysia. Tetapi sebenarnya pemergian UFN bukan sahaja satu tragedi kepada PAS malah kepada dunia Islam seluruhnya. Kepulangan beliau ibarat perginya sebutir permata dan lenyapnya satu sinar yang menyuluhi alam. Seluruh perjuangannya, dari mudanya, dewasanya dan hari-hari tuanya diharap dapat diterima sebagai satu jihad, ibadat dan amal salih yang akan di saksikan balasannya di akhirat. Amin Ya Rabbal ‘Aalamin!

No comments:

Post a Comment