Majlis Syura Ulama PAS menolak pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang dilihat bersikap negatif terhadap perhimpunan BERSIH pada 28 April lalu.

Badan tertinggi parti Islam itu berpendapat, perhimpunan pimpinan Datuk S Ambiga itu bukan saja tidak bercanggah dengan syariat, malah paling sesuai menentang "kezaliman dan kemungkaran" pemerintah.

azlan"Ia amat selari dengan syariat bagi menegakkan amar makruf dan nahi mungkar," menurut kenyataan majlis yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik itu.

"Bahkan ia menjadi wajib apabila tiada cara lain yang lebih berkesan bagi menyekat kemungkaran dan tindakan Umno dan BN, yang membahayakan keselamatan negara dan terus menerus dengan cara kezaliman dan penipuan yang licik, bukan sahaja kepada PAS tetapi kepada orang Umno itu sendiri."

Majlis Syura Ulama PAS juga berkata, amalan demonstrasi mempunyai asas kuat menurut sunah dan sejarah Islam.

Justeru, jelasnya, perkara "teknikal", seperti isu bergabung dengan bukan Islam bukan isu selagi tidak menghakis dasar Islam.

Demonstrasi 70 wanita dalam hadis
"Selain demonstrasi jalanan, apakah instrumen terbaik dalam realiti Malaysia yang mengamalkan demokrasi bagi memberitahu mereka yang tidak tahu, menyedarkan mereka yang masih tidur, menakutkan mereka yang berkepentingan, menyedarkan semua rakyat supaya bergerak membantah tindakan Umno dan BN?"

"Justeru, di manakah kezaliman pihak BERSIH dan di manakah salahnya?" soal majlis syura. 

azlanBadan penggubal dasar PAS itu juga menegaskan, demonstrasi pada asasnya "tidak mempunyai hukum" kerana ia bergantung kepada sebab diadakan.

"Hukum boleh jadi sunat atau wajib jika tujuannya untuk baik dan penting," jelas majlis itu sambil mengemukakan beberapa hujah al-Quran, antaranya yang menyeru menasihati pemimpin dan menentang kezaliman.

Menurut majlis syura, amalan itu turut berlaku dan dirakam dalam hadis, seperti diriwayatkan Ibnu Umar, antaranya peristiwa kedatangan 70 wanita ke rumah nabi mengadu dipukul suami.

"Justeru itu, nabi mengeluarkan sabda dan arahan supaya jangan memukul isteri dan nabi menceritakan kepada sahabat lain tentang peristiwa isteri-isteri yang datang berdemonstrasi meminta pembelaan," kata kenyataan itu lagi.