Monday, June 18, 2012

Nota dari Kamunting: Doktor saksi utama



  • Aidila Razak
  • 11:41AM Jun 19 2012
 
Tahanan ISA yang mendakwa diseksa ketika siasatan polis menamakan seorang doktor kerajaan yang merawat mereka sebagai saksi utama dalam kejadian yang didakwa.

Menurut nota yang diperolehi Malaysiakini, doktor berkenaan telah merawat pelbagai kecederaan yang dialami tahanan berkenaan dalam lawatan mingguannya ke pusat tahanan reman, sebelum tahanan berkenaan dihantar ke kem Kamunting di Taiping.

Doktor berkenaan dinamakan di dalam nota berkenaan namunMalaysiakini masih merahsiakan identitinya sehingga disahkan.

Doktor tersebut didakwa telah campur tangan bagi pihak tahanan berkenaan yang didakwa telah diserang dengan "teruk."

“(Nama dirahsiakan) adalah individu penting. Ada khabar angin mengatakan dia telah bersara. Dahulu khabar angin mengatakan dia bekerja di HKL (Hospital Kuala Lumpur)... Dia tahu lebih banyak rahsia berbanding siapa pun," nota tersebut dipetik.

Nota itu didakwa diseludup keluar daripada kem Kamunting oleh seorang kakitangan,

Semakan dengan unit di hospital yang dinamakan dalam nota berkenaan mendedahkan bahawa doktor berkenaan, yang dipercayai berusia lebih daripada had persaraan, tidak berkhidmat di situ.

Setakat ini, belum jelas sekiranya doktor berkenaan, yang didakwa turut dikaitkan dengan hosptal dalam dokumen rasmi lain, kini berkhidmat di unit lain atau telah bersara.

Malaysiakini telah menghubungi individu yang dipercayai sebagai doktor berkenaan melaui emel dan media sosial, namun belum mendapat maklum balas.

Nota mengharukan dari Kamunting
  • Aidila Razak
  • 11:31AM Jun 18 2012
 
EKSKLUSIF “Nota penyeksaan” yang didakwa diseludup keluar dari kem tahanan ISA di Kamunting, menimbulkan persoalan berhubung kaedah soal siasat yang digunakan pihak berkuasa.

Nota berkenaan, didakwa diseludup keluar oleh kakitangan kem dan diserahkan kepada Malaysiakini, menyatakan dengan terperinci penyeksaan ala Guantanamo yang didakwa dialami oleh 45 orang tahanan yang masih dikurung di pusat tahanan di Taiping, Perak.

Tiada tarikh dinyatakan dalam nota berkenaan, namun insiden berkenaan didakwa berlaku ketika proses soal siasat ketika individu berkenaan ditahan di satu pusat tahanan reman, sebelum dipindahkan ke Kamunting.

Kandungan nota berkenaan tidak dapat disahkan secara bebas, namun dakwaan itu termasuk:
  • Dipaksa menanggalkan pakaian sehingga hanya memakai pakaian dalam, dan "digantung terbalik"  daripada satu "mesin" yang bergerak mengelilingi satu "bilik penyeksaan khas yang disyaki terletak di Bukit Aman".
  • "Tiba-tiba mesin pun berhenti. Lantas, bertubi-tubi seluruh tubuhnya dipukul dengan objek tumpul (mungkin cota)".
  • "Apabila pukulan dihentikan, mesin itu pun kembali bergerak. Tidak berapa lama mesin itu dihentikan semula dan dia kembali dipukul teruk".
  • Minyak panas dilumurkan ke kemaluan.
  • Mencabut bulu di badan, termasuk bulu kemaluan.
  • Melumur "cili boh" ke badan, terutama ke kemaluan, dan "dipaksa membiarkan cili itu mengering pada badannya" untuk tempoh dua hingga tiga hari.
  • Mencucuh kemaluan dengan api rokok.
  • Dipaksa berbogel dan melakukan ketuk ketampi selama beberapa jam untuk tempoh sehingga 60 hari.
Difahamkan, pasukan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ketika melawat kem berkenaan untuk memeriksa tahanan berkenaan, yang menjalankan mogok lapar, turut menerima set nota yang sama.

Pesuruhjaya Muhammad Sha'ani Abdullah berkata Suhakam kini sedang "membincangkan" kandungannya.

No comments:

Post a Comment