Tuesday, June 12, 2012

Gerakan rakyat bantu Tok Guru Nik Aziz jayakan Lebuh Raya Rakyat


http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=21305
Posted on Monday, June 11 @ 06:16:30 MYT by paklang
Fokus IsuOleh DINSMAN
Di luar jangkaan saya rupa-rupanya sahabat-sahabat dalam Paksi (Seniman Paksi Rakyat) pun begitu teruja dengan projek Lebuh Raya Rakyat (LRR) yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan TG Nik Aziz di Kelantan itu.
Razali Endun dalam SMSnya kepada saya berkata: “Aku terfikir projek Lebuh Raya Rakyat yang diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan harus disambut oleh Paksi


Projek itu satu projek ikhlas, kerana tak dapat bantuan kerajaan pusat. Aku cadangkan Paksi mengadakan kutipan derma untuk projek ini dengan mengadakan perhimpunan di markas Taman Melewar. Dengan kerjasama Cikgu Ishak Surin.”
Katanya lagi dalam SMS itu, “Kita adakan aktiviti seni, libatkan penulis, sasterawan, budayawan, artis seperti Aishah dan Bob Lokman, juga kartunis Zunar dan kawan-kawan. Juga Pak Samad sebagai jemputan khas.”
Dan seterusnya dia langsung mencadangkan: “Kalau setuju kita boleh adakan rundingan dan bentuk jawatankuasa kerja bagi menjayakan program ini.”
Seorang lagi sahabat Paksi, Nasser Mohamad, menulis dalam blognya Kakisakat, menyatakan dia sangat teruja dengan projek rakyat tajaan kerajaan negeri Kelantan itu. Manakala dari utara, Cikgu Khairuddin pengerusi Masjid Batu di Permatang Pauh, menulis begini dalam SMSnya:
“Saya cadangkan kerajaan Kelantan bina billboard yang besar pada setiap pintu masuk ke Kelantan, lengkap dengan nombor akaun pembinaan Lebuh Raya Rakyat – supaya kami, selain daripada rakyat Kelantan, dapat menyumbang. Iklankan juga dalam Harakah. Insya Allah Masjid Batu akan membantu.”
Saya sangat setuju dengan rancangan Razali itu. “Kita adakan aktiviti seni, libatkan penulis, sasterawan, budayawan, artis….” Dia mencadangkan dibuat himpunan di markas Taman Melewar, tempat yang selalu dianjurkan ceramah oleh Cikgu Ishak Surin dan anak buahnya. Maksudnya himpunan penulis, sasterawan, budayawan dan artis, mengadakan persembahan, dengan tujuan mengutip sumbangan daripada rakyat untuk disumbangkan kepada projek LRR itu.
Bagus cadangannya. Namun otak kreatif dan aktivis saya tidak mahu berhenti setakat di situ. Otak saya menyambung terus lagi daripada situ – kita buat aktiviti seni di tapak projek itu sendiri, di Machang atau di Kuala Krai. Kita berkumpul di sana – para budayawan, sasterawan, seniman yang berjiwa rakyat – kita pernah berkumpul di Kuala Pahang dulu, menyatakan solidariti dengan nelayan perahu kecil; dan kita pernah berkumpul di Kuala Terengganu, baca puisi memulakan kempen bantah PPSMI.
Kemudian kita berkumpul di Kampung Banda Dalam, membantah cadangan pihak Dewan Bandaraya hendak menceroboh khazanah warisan kampung itu untuk digantikan dengan projek kapitalis. Kemudian kita berkumpul pula di Felda Sungai Tengi, menyokong warga Felda mempertahankan hak mereka ke atas tanah ratusan ribu hektar yang hendak diperniagakan oleh Najib dan Isa melalui penyenaraian FGVH itu, dan sekarang…
Sekarang mari kita berkumpul pula di Machang atau di Kuala Krai – semarakkan seni ke dalam semangat rakyat bagi menyatakan yang hak dan benar. Yang hak ialah rakyat Kelantan yang berhak untuk mendapat kemudahan prasarana lebuh raya bagi memudahkan perjalanan antara Kuala Krai dan Kota Bharu sejauh 73 kilometer itu. Tetapi mereka dinafikan hak itu oleh kerajaan pusat yang dikuasai oleh Umno-BN.
Faktanya begitu mudah. Tetapi hairannya masih ramai golongan budayawan, sasterawan dan ilmuan yang tidak menyedari hakikat ini, kerana sebab-sebab yang agak memalukan untuk diulang-ulangi selalu. Mereka terlena dalam kesenangan dan kepentingan tertentu. Ah, biarkanlah! Kita yang mengerti dan memahami – kitalah yang melakukannya.
Saya percaya dengan semangat dan pengertian yang dinyatakan oleh Razali, Nasser dan Cikgu Khairuddin itu. Saya percaya di sana ada ramai lagi yang seperti mereka, yang akan menyambutnya dan menyemarakkannya ke seluruh pelusuk negara. Cikgu Ishak Surin dengan Madrasah Tarbiyah dan Madsrasah Seninya. Cikgu Azmi dengan Teras Pengupayaan Melayunya. Dan ramai lagi, yang bersedia untuk menyumbang, dan bersedia untuk membantu melalui pelbagai cara masing-masing.
Harakah sendiri pun, tentunya bersedia untuk berjalan seiring dengan gerakan ini, melakukan apa-apa yang bagi memudahkan mengalirnya semangat rakyat yang sedang bangkit merata. Inilah harapan kita. Dan saya sekadar merakamkan cetusan dari semangat ini.
Bentuknya agak berbeza. Yang ini memerlukan kesediaan untuk menyumbang (sodaqah). Dan jumlahnya kali ini adalah satu jumlah yang cukup besar. Tetapi ternyata Tok Guru Nik Aziz dan saf pimpinan di Kelantan sedikit pun tidak gentar dengan jumlah sebesar RM1.8 bilion itu. Mereka nampaknya begitu yakin dengan kemampuan rakyat untuk membuat sumbangan sebesar itu.
Barangkali kita akan bermula dengan kumpulan Cikgu Ishak di Taman Melewar. Kemudian barangkali Cikgu Khairuddin dengan gerakan di Masjid Batunya. Dan sambil itu Paksi pun akan menampilkan peranan seni-budayanya, dengan mengharapkan masyarakat Malaysia akan mengubah sikap mereka sedikit demi sedikit, termasuklah golongan penulis dan sasterawan.
Saya juga membayangkan – kalaulah boleh diusahakan sebuah kumpulan puisi yang sesuai dengan persoalan yang dihadapi ini – sepertimana himpunan di Kampung Banda Dalam dulu telah melahirkan antologi puisi 56 penyair itu. Atau lebih berkesan kalau diadakan sayembara menulis puisi Lebuh Raya Rakyat?

No comments:

Post a Comment