Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) merancang untuk menghimpunkan 20,000 orang di Kuala Lumpur untuk membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.
Pengerusi ANAK Mazlan Aliman berkata persatuan itu tiada pilihan selain menjalankan kempen radikal seperti itu memandangkan pengapungan FGVH yang bakal dimuktamadkan pada 28 Jun itu diteruskan tanpa mendengar pandangan mereka.

Surat dan memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menteri bertanggungjawab ke atas Felda Datuk Ahmad Maslan dan juga pengerusi lembaga tersebut Tan Sri Isa Samad sebelum ini juga tidak dilayan.

"Sebelum ini kita ikut saluran undang-undang tapi mereka ini angkuh, tidak mahu dengar pandangan kami," katanya lagi dalam satu sidang media hari ini.

Katanya lagi, tarikh dan lokasi perhimpunan, dijangka disertai sehingga 50 NGO itu akan diumumkan pada minggu depan.
Sehubungan itu juga, ANAK juga akan menyerahkan satu notis kepada Najib berhubung satu ucapan perdana menteri itu yang "bersangka jahat, jijik dan memalukan" peneroka, kata Mazlan.
Katanya ucapan Najib yang menyifatkan segolongan peneroka sebagai "haram zadah" itu tidak boleh dimaafkan.
Notis yang akan dihantar pada 15 Jun di kediaman rasmi perdana menteri itu juga menuntut supaya perdana menteri menarik balik kata-katanya itu.
"(Peneroka) akan kemuka saman malu jika (Najib) tidak minta maaf dan tarik balik kenyataan," katanya lagi.