Polis sehingga kini telah merakamkan 22 kenyataan berhubung kejadian anggota polis trafik cedera parah di kepala selepas dirempuh sebuah motosikal dinaiki dua lelaki di Jalan Bunga Raya, Taman Gembira, di Klang Ahad lepas.
    
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata kenyataan itu dirakamkan daripada individu berumur antara 16 dan 20 tahun yang terlibat dalam perlumbaan motosikal.  
    
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu,  Koperal Mustaghni Tabri, 48, yang sedang menjalankan operasi mencegah lumba haram, dirempuh serta dilibas dengan topi keledar oleh pembonceng motosikal terbabit menyebabkan beliau cedera di bahagian belakang kepala akibat hentakan kuat.  
    
"Gerakan memburu suspek sedang dipergiat dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan cedera parah," kata Mohamad kepada pemberita.
    
Terdahulu, beliau mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop melawat Mustaghni yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang hari ini. 

Anak sulung mangsa, Muhd Hafiz, 21, berkata keadaan ayahnya masih kritikal namun telah mula menggerakkan kepala ke kiri dan kanan sejak tengah malam semalam.
    
"Ayah saya masih lagi dalam koma dan boleh menerima minuman susu melalui tiub dalam keadaan mata tertutup," katanya. 
     
Dalam pada itu, Abu Seman, yang kesal dengan insiden itu, berkata polis sedang menjalankan siasatan rapi untuk menangkap suspek.
     
Beliau berkata kegiatan Mat Rempit di negara ini perlu dikawal kerana ia bukan sahaja mengancam nyawa mereka yang 'merempit' tetapi juga anggota masyarakat. 
    
"Polis tidak akan berkompromi dalam hal ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka terlibat," katanya.

- Bernama