http://www.malaysiakini.com/news/178185
PAS menjangkakan beberapa kaedah pencukaian baru akan dikenakan ke atas rakyat manakala subsidi yang dinikmati sekarang akan ditarik balik selepas pilihan raya umum ke-13 nanti.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata segala apa yang diberi pada bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kononya atas nama ‘negara berkebajikan ala Umno BN’ hanya bertujuan untuk melalaikan rakyat.
“Apa yang diberi akan ditelan kembali selepas PRU-13 jika mereka terus berkuasa selepas PRU-13, kerana suka ataupun duka, rakyat terpaksa duduk di bawah kerajaan BN untuk lima tahun lagi sebelum ada peluang untuk mengundi mereka keluar,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Tuan Ibrahim, beliau yakin sistem pencukaian baru akan diperkenalkan manakala subsidi yang dinikmati oleh rakyat sekarang akan ditarik selepas pilihan raya umum akan datang.
Lebih-lebih lagi, pada pembentangan bajet Jumaat lalu, kerajaan BN, dakwanya menyembunyikan langkah-langkah drastik untuk mendapatkan dana dengan membentangkan bajet defisit 4.7 peratus bagi tahun depan.
“Yang pasti sistem percukaian baru GST akan diperkenalkan – kemudian kemungkinan besar beban 6 peratus cukai telefon pra-bayar akan ditolak ke bahu rakyat selepas PRU-13 dan lebih banyak subsidi akan ditarik balik sekiranya BN kekal berkuasa selepas PRU-13,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata ‘bajet morfin’ BN itu bersifat kesenangan sementara, manakala kesakitan dan keperitan sebenar akan kembali sejurus selepas kesan morphine hilang.
Lebih parah
“Kali ini keadaan dijangka lebih parah lagi kerana bajet kali ini tidak disertakan dengan langkah-langkah kerajaan untuk menaikkan pendapatannya untuk menampung perbelanjaan sebegitu banyak.
“Lebih-lebih lagi, dalam bajet kali ini PM juga tidak mengumumkan apa-apa cara untuk mengurangkan ketirisan, gejala rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan kronisme yang selama ini hanya menambah keperitan rakyat bawahan,” katanya.
Menurut Tuan Ibrahim, dari sudut yang lain, rakyat perlu melihat pembentangan bajet itu juga adalah sebahagian daripada kejayaan rakyat mengenakan tekanan kepada kerajaan BN pada pilihan raya umum lalu.
“Kini, Umno BN cuba mendapatkan kembali sokongan rakyat melalui bajet yang kelihatan mengutamakan rakyat; setelah mengabaikan rakyat dengan mementingkan projek mega bagi kroni-kroni berpuluh tahun.
“Kejayaan mengenakan tekanan politik kepada BN mesti diteruskan, kerana seandainya mereka berjaya mengekalkan kuasa selepas PRU-13, segala berita gembira yang ditabur dalam belanjawan akan ditarik balik dalam bentuk cukai GST yang telah diumumkan dan bakal dilaksanakan tatkala majoriti rakyat masih tidak bersedia untuk menghadapinya,” katanya.
Gunakan kuasa
Menurut Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang, untuk mengelakkan kemarahan rakyat menjelang pilihan raya kali ini, Najib juga tidak mengumumkan sebarang peruntukan untuk PERMATA yang diketuai isterinya.
“Akan tetapi, rakyat tidak perlu bergembira, yang pasti sekiranya mereka menang PRU-13, peruntukan untuk PERMATA akan diumumkan semula dengan nilai yang lebih besar di dalam bajet susulan.
“Namun, semua langkah ‘menelan’ ini tidak akan diumum sekarang kerana yang penting rakyat dapat ditipu terlebih dahulu untuk mengekalkan mereka di tampuk pemerintahan.
"Yang lain boleh diumum sedikit demi sedikit, kerana selepas itu, rakyat hanya boleh merungut tapi kuasa mereka tidak akan tergugat untuk lima tahun akan datang,” katanya.
Menurut Tuan Ibrahim, rakyat patut menjadikan pengalaman lampau sebagai iktibar kerana pada setiap kali selesai pilihan raya umum, kerajaan BN akan segera mengisytiharkan kenaikan harga barangan keperluan rakyat.
“Walau apapun tema belanjawan diberi, rakyat yang telah mengenal tipu muslihat Umno/BN diharap jangan terlalai dalam suntikan morfin ini.
"Terus gunakan kuasa dan peluang yang ada pada PRU-13 bagi membuat perubahan untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya lagi.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5885-bn-sembunyi-dapat-dana-sehingga-pru13
BN sembunyi dapat dana sehingga PRU13? |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 10 Okt: Duit tidak mungkin jatuh dari langit, dan dengan ekonomi dunia yang sedang meleset, adakah kerajaan BN sedang menyembunyikan langkah-langkah drastik untuk mendapatkan dana sehingga selepas Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13)? |
No comments:
Post a Comment