Thursday, October 20, 2011

Aizz Bari digantung UIA

http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/6105-aziz-bari-himpunan-bantah-dijangka-lebihi-sasaran
Aziz Bari: Himpunan bantah dijangka lebihi sasaran
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Melihat kepada sokongan pelbagai pihak, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tidak menolak kemungkinan himpunan membantah penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari ini melebihi sasaran.

Menurut Pengerusi NGO, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syukri Abd Razab, sehingga kini sudah tujuh buah pertubuhan mahasiswa menyatakan kesediaan mengerahkan ahli mereka menyertai himpunan di Masjid UIA, Gombak yang dijadual selepas solat Jumaat ini.

Selain mereka, difahamkan Angkatan Muda Keadilan juga turut memobilisasi anggota mereka untuk menyertai himpunan membantah tindakan UIA itu.

"Kita sasar 1,500 orang, tetapi melihat mood rakyat secara keseluruhan khususnya melalui laman Facebook, saya jangkakan ianya akan lebih," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun menurutnya, satu sidang media khas berhubung himpunan itu akan dibuat di Pejabat Sekretariat PKPIM Pusat, Jalan Gombak jam 12 hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu turut mendapat maklumat bahawa satu kumpulan yang menyokong tindakan UIA akan berhimpun ditempat sama hari ini.

Bagaimanapun, pihak mereka mengharapkan tiada sebarang pertembungan berlaku bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

"Kita dapat maklumat, Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) turut akan berhimpun menyokong tindakan UIA," katanya.

Tindakan terhadap Aziz dipercayai ekoran reaksinya sebelum ini terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Sementara itu, SMM antara yang mengecam keras tindakan UIA menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip 'kebebasan akademik'.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6100-aziz-bari-warga-uia-tuntut-penjelasan
Aziz Bari: Warga UIA tuntut penjelasan| Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (MPPUIAM) melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan penggantungan yang dikenakan terhadap seorang pakar perlembagaan di Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari(gambar).

Presidennya, Mohamad Iqbal Ab Wahab berkata, apatah lagi, Dr Aziz telah menyumbang bakti di bumi UIAM digantung tanpa diadili terlebih dahulu, kata

“Perkara ini jelas bertentangan dengan Fasal 10 Perlembagaan Malaysia yang menyentuh berkenaan kebebasan bersuara. Yang lebih menyedihkan, kebebasan akademik secara jelas telah dicabul,” katanya kepada Harakahdaily pagi ini.

Baginya, jenayah akademik dan intelektual sebegitu tidak dapat diterima oleh seluruh rakyat Malaysia secara amnya dan warga UIAM khususnya.

Tegasnya, yang nyata, isu yang dibangkitkan oleh ahli akademik ini perlu dijawab dengan secara ilmiah, bukan dengan cara politik murahan dan tidak bertamadun.

Tambahnya, tindakan penggantungan sebegitu serta layanan terhadap Dr Aziz sedikit sebanyak telah menjejaskan imej UIAM di mata dunia.

“Oleh hal yang demikian, kami mewakili seluruh warga UIAM menuntut penjelasan dari pihak tertinggi UIAM berkenaan isu ini kepada seluruh warga UIAM,” katanya.

Beliau menambah, MPPUIAM juga menuntut pihak universiti perlu menarik balik penggantungan terhadap Dr Aziz dan satu sesi public hearing (pengadilan di tempat terbuka) dijalankan di dalam UIAM bagi mendapatkan penjelasan kedua-dua belah pihak.

“Kami juga menolak sebarang campur tangan pihak luar terutama bagi mereka yang mempunyai kepentingan politik dan peribadi dalam menyelesaikan isu ini.

“Akhir kata, kami menyeru kepada semua pihak untuk menghormati kesucian taman ilmu dan budi , demi nusa, bangsa dan agama Islam yang tercinta,” ujarnya lagi.

Tambahan pula, ujarnya apabila membawa nama Universiti Islam Antarabangsa.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6098-aziz-bari-timbalan-menteri-turut-sedih
Aziz Bari: Timbalan menteri turut sedih
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, berasa terganggu dan sedih dengan tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menggantung pensyarah Fakulti Undang-Undangnya, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Mengulas melalui laman Twitternya, Saifudin berkata beliau telah mengarahkan UIA memberi laporan bertulis kepada beliau.

"Saya terganggu dan sedih. Saya sudah meminta UIA memberikan laporan bertulis," katanya.

Sementara itu, sekumpulan mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan tindakan UIA terhadap Aziz Bari akan mengadakan demonstrasi esok.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syukri Abdul Razab yang dipetik FMT berkata, demonstrasi itu akan diadakan dihadapan pintu masuk utama UIA pada pukul 9 pagi esok, selain bercadang menghantar memorandum kepada Rektor UIA, Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin menggesa agar penggantungan itu ditarik semula.

Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip ‘kebebasan akademik’, UIA sebagai institusi pendidikan tinggi seharusnya mempertahankan Aziz Bari atas dasar kebebasan berpendapat.

“Sebaliknya mereka tunduk kepada tekanan dan terus menghukumnya. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada Aziz Bari sahaja tetapi semua pengamal akademik,” katanya.

Selain SMM, demonstrasi itu akan turut disertai kumpulan mahasiswa lain termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiwa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pro-Mahasiswa (Pro-M), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), serta Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.

“Kami menjangkakan 500 mahasiswa hadir memberikan sokongan esok,” katanya.

Sementara itu, dua laman peminat Facebook dilancar bagi membantah tindakan terhadap Aziz Bari yang juga Pakar Perlembagaan itu.

Facebook "Kami Bantah Penggantungan Dr Aziz Bari" dan “10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari” setakat petang ini sudah mempunyai lebih 2,000 peminat.

Dipercayai mengulas sokongan mahasiswa itu, Saifudin juga melalui Twitternya berkata, terpulang kepada mahasiswa tersebut kerana itu hak mereka.

"Sekiranya rakyat dan pelajar mahu memberi sokongan kepada Aziz Bari, itu hak mereka," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6090-uia-patut-pertahan-aziz-bari-bukan-gantung
UIA patut pertahan Aziz Bari, bukan gantung
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung pakar perlembagaan terkemuka, Prof Dr Abdul Aziz Bari amat mendukacitakan.

Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong (gambar) berkata, UIA sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bertaraf antarabangsa, sepatutnya mempertahankan hak ahli akademik menyuarakan pendapat dan idea.

Malangnya, kata beliau universiti tersebut bukan sahaja gagal mempertahankan Dr Aziz apabila diserang oleh ahli politik dan media Umno, tetapi sebaliknya menggantung beliau pada hari ini.

“Dengan mengambil tindakan ini, UIA terbukti mementingkan agenda politik Umno. Transformasi yang sering dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jelas merupakan janji-janji kosong,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, universiti-universiti sepatutnya menggalakkan perkongsian pendapat dan debat untuk membuka minda masyarakat sejagat.

Beliau yang Adun Bukit Lanjan berkata, jika seorang ahli akademik yang dihormati dihukum kerana memberi ulasan dalam bidangnya, maka semua ahli akademik secara tidak langsung akan disunyikan.

Tambahnya, tindakan menggantung Dr Aziz merupakan bukti jelas mengapa tahap kecermelangan institusi pengajian tinggi di Malaysia tetap merudum.

“Saya menggesa UIA untuk menarik balik penggantungan ini dengan serta-merta. Hak kebebasan akademik mesti dipertahankan,” ujarnya.

http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=17154

Surat tunjuk sebab kepada Aziz Bari hina UIA| Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pensyarah undang-undang, Profesor Abdul Aziz Bari adalah tragedi baru serta satu penghinaan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) yang dihormati di negara ini.

"Saya berpendapat tindakan tersebut adalah satu tragedi dan juga penghinaan kepada institusi pengajian tinggi terutamanya UIAM, yang mana kita tahu universiti tersebut adalah sebuah universiti antarabangsa yang mendapat pengiktirafan dunia.

"Saya melihat seolah-olah ada tangan-tangan tentu yang mengarah agar dikeluarkan surat tunjuk sebab kepada Abdul Aziz," jelasnya ketika ditemui di parlimen.

Tambah Nizar lagi, pemberian surat tunjuk sebab itu sebenarnya telah menaikkan martabat Abdul Aziz sebagai seorang profesor.

Katanya, ia merupakan penghinaan kepada tokoh-tokoh akademik yang telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk berbincang serta membahas isu-isu yang ada di negara ini tetapi dikenakan tindakan jika tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya tekankan di sini seolah-olah ada satu arahan yang dibuat oleh pihak atasan barangkali ada pihak dalam Umno Barisan Nasional yang merasakan apa yang didedahkan oleh Abdul Aziz itu akan memberi kesedaran yang meluas kepada warga akademik dan juga rakyat.

"Sepatutnya yang dilakukan oleh kerajaan mahupun institusi pengajian tinggi adalah memberi kebebasan untuk mereka meluahkan pendapat kerana ia tidak melibatkan politik, malah beliau merupakan seorang profesor dan pakar dalam Perlembagaan Malaysia sudah tentu ia mempunyai sebab tertentu untuk berhujah jadi kenapa ia dihalang," sambungnya.

Nizar juga berpendapat tindakan itu merupakan satu sekatan untuk tokoh akademik bebas berpendapat serta merupakan satu sejarah baru dalam dunia akademik negara ini dan akan menyebabkan seluruh dunia memandang serong kepada institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Sebelum itu, Abdul Aziz mengundang kontroversi berhubung kenyataan mengenai perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.

Menurut sumber, Abdul Aziz diberikan surat tunjuk sebab itu petang tadi tetapi tidak jelas mengenai kandungan surat tersebut.

Abdul Aziz kini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan laporan polis Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.

No comments:

Post a Comment