Monday, October 10, 2011

Mat Poyo ingin dilihat 'cool'

http://www.malaysiakini.com/columns/177131
Hishamuddin Rais
5:59PM Sep 28

Ramai politikus tidak tahu apa itu cool. Mak Cik Felda pun tak tahu apa itu cool. Malah ramai juga anak muda yang tidak tahu apa itu cool. Mereka yang tidak tahu apa itu cool tidak juga tahu apa itu skema dan apa itu 'poyo'. Inilah masalah, apabila telah menjadi poyo mereka tidak lagi cool.

Cool dan poyo adalah pengistilahan hari ini yang terkini. Cool dan poyo muncul dari lingo terkini - dari lingo anak muda. Tidak ada anak muda yang waras fikrah ingin dilihat poyo dan skema. Sayangnya bukan satu kerja enteng untuk dilihat cool.

Kadangkala dalam percubaan untuk dilihat cool ramai yang dilihat bangang. Mustahil seorang Siti Nur Haliza tahu siapa dia Holden Caulfeild atau apa itu Winnie the Pooh.

Berita terkini telah tersebar bahawa Najib dikatakan melanggan satu lagi syarikat iklan antarabangsa untuk memperlihatkan dirinya cool. Lawan cool ialah poyo. Ertinya Najib tidak mahu lagi dilihat sebagai 'Mamat Poyo'.

Sebenarnya tidak ada sesiapa ingin dilihat poyo. Mereka yang poyo biasanya hidup dengan tekanan jiwa yang amat sangat. Sayangnya ramai yang tidak sedar bahawa mereka itu adalah sosok poyo.

Untuk memahami pengistilahan ini saya akan cuba paparkan ciri-ciri cool dan apa itu poyo. Ini dengan harapan para pembaca sekalian akan memahami intipati cool dan poyo.

Mungkin ada yang bertanya apakah cool dan poyo ini penting untuk difahami? Ini bukti utama: Sesiapa yang mengeluarkan soalan ini adalah seorang yang poyo.

Cool ini adalah gaya hidup. Cool juga adalah lenggok bahasa badan. Cool juga adalah fesyen pakaian. Cool juga ialah sikap terhadap kehidupan. Cool juga adalah kafeteria yang dilawati, rokok yang dihisap, musik yang didengar.

Cool juga adalah buku yang dibaca. Cool wajib berupaya mengikuti mahzab falsafah al- Farabi dan Michel Foucault. Cool juga ialah tenang dengan gesekan biola Hamzah Dol Mat dan alunan suara Saloma.

Kenapa agaknya Najib bersedia mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk dilihat cool? Adalah difahamkan syarikat yang dikatakan dilanggan oleh Najib ini juga bertanggung jawab menjenamakan Tony Blair yang poyo untuk dilihat cool.

Jawabnya: Najib ingin memenangi hati dan sanubari anak anak muda. Najib sedar bahawa suara dan tindakan anak anak muda ini akan mengubah lanskap dan rupa bentuk politik Malaysia baru.

Berjuta juta ringgit ini hanyalah secawan kopi jika dibandingkan dengan harta negara yang boleh dirembat.

Mari kita lihat latar belakang langkah yang diambil oleh Mat Poyo ini. Umum mengetahui bahawa Najib sedang menghadapi hari-hari akhir.

Kumpulan-kumpulan yang menentang Najib dalam United Malay National Organisation bukan sahaja dikatakn telah berkumpul dalam gelap malah mereka telah mula bersuara secara terbuka.

Kumpulan ini merasa tidak senang dengan pimpinan Najib ini. Mereka ini terdiri dari pencari kontrak, penjual kontrak, orang tengah yang makan komisen, contract jungkies - mereka merasakan Najib ini banyak berdolak-dalik - kluk klek kata orang Teranganu.

Najib bercakap berbilion bilion tapi tak ada satu sen pun yang masuk ke saku mereka. Ada juga yang merasa diri mereka telah dipinggir.

Ada pula yang merasa Najib bukan sahaja menutup karier politik mereka - lebih dari ini - Najib ingin membunuh karier mereka.

Dibelakang semua ini ialah Ibrahim Ali. Ops, maaf .. dibelakang gerakan anti-Najib ini dikatakan Mahathir Muhamad. Pasti pembaca akan bertanya, sahih ke maklumat ini? Orang yang bertanya ini adalah contoh terbaik orang yang poyo politik.

Si Poyo politik ini tidak memahami jalur dan pemikiran politik terkini. Mereka selalu meraban tak tentu hala dalam pemahaman politik.

Biar saya terangkan di sini: Mahathir Muhamad melihat bahawa Najib ini tidak memiliki keterampilan pimpinan. Mengikut pandangan Mahathir, ini amat bahaya.

Bahaya ini akan membawa keruntuhan United Malay National Organisation - gerombolan politik yang ditubuhkan oleh Mahathir sendiri pada tahun 1988 dahulu.

Keruntuhan United Malay National Organsiation ini akan membawa malapetaka yang besar terhadap para kroni dan kaum pemodal yang telah ditelurkan oleh Mahathir.

Buktinya, lebih dari tiga kali Mahathir secara terbuka menerangkan kepada umum bahawa ada kekeliruan terhadap dasar satu Malaysia yang dianjurkan oleh Najib.

Kenyatan Mahathir ini kalau kita halusi jelas satu kenyatan kurang ajar. Ini samalah seperti Najib menolak konsep Wawasan 2020 atau memperlekeh secara terbuka Islam Hadari.

Yang kita dengar kenyataan Mahathir secara terbuka. Dari haji desas bin lebai desus kita juga ada mendengar bagaimana dalam perjumpaan tertutup Mahathir telah ‘menibai' Najib.

Jadi, Najib pada ketika ini bukan sahaja nyawa-nyawa ikan malah sedang dikepong oleh ahli-ahli parti United Malay National Organisation sendiri. Perangkap-perangkap sedang dipasang untuk menjerut leher Najib. Bila-bila masa perangkap ini akan bingkas menjerut Najib.

Tok Kipas dan Tok Bodek yang mengelilingi Najib menyedari kebencian orang ramai terhadap si poyo ini. Najib melihat anak-anak muda akan dapat menyelamatkan dirinya. Najib telah diberitahu bahawa ramai pengundi baru - anak-anak muda - kelihatan berkiblat kepada Pakatan Rakyat.

Anak-anak muda melihat Pakatan sebagai pentabiran yang boleh diyakini. Justeru Najib memerlukan jenama yang baru. Najib yang poyo mahu dilihat cool oleh pengundi muda.

Maka Najib atas nasihat secara berahsia dari kabinetnya telah merancang untuk mengeluarkan kenyataan bahawa Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan. Sila baca sekali lagi. Akan dimansuhkan. Kunci perkataan disini ialah AKAN. ISA hanya AKAN dimansuhkan jika Najib dapat terus berkuasa.

Kenapa ISA dan tidak undang-undang lain? Ini kerana menentang ISA adalah trend anak anak muda yang cool hari ini. Anak-anak muda yang mula mendampingi aktiviti NGO atau politik tidak dapat tidak akan menentang ISA.

Menentang ISA adalah langkah yang paling cool. Menentang ISA ialah trendy dan chic macam memakai Levis 501 yang sudah kotai dan koyak dilutut.

Najib mahu anak-anak muda melihat dirinya demokratik. Najib ke pesta futsal. Najib ke konsert rock. Najib ke stesen radio. Niat untuk dilihat cool ini bukan satu kesalahan jenayah tetapi untuk Najib diterima sebagai warga cool adalah mustahil.

Lihat sahaja muka Najib. Apakah muka ini cool? Dalam budaya cool gerak dan bahasa badan cukup penting. Najib tidak memiliki gerak badan yang cool. Ini kerana Najib seperti ramai politikus - berperut gendut. Perut gendut ini dihodohkan lagi dengan kepala yang botak.

Najib yang botak adalah imej yang paling tidak cool. Berkepala botak bukan anti-cool kerana ahli falsafah yang terunggul di Paris, Michel Foucault juga berkepala botak. Micheal Foucault dilihat cool dengan botaknya.

Ini kerana Foucault seorang pemikir maka rambutnya gugur kerana berfikir. Walhal Najib tidak pernah mengelurakan ide dan pandangan. Jauh sekali menulis sebuah buku. Lihat pula, Yul Brynner juga botak tapi dilihat cool sebagai pemimpin kaum Gipsi.

Najib masa ini sedang bekerja keras untuk dilihat cool. Mamat Poyo ini ada Facebook, ada Twitter, ada laman - sayangnya masih lagi dilihat poyo dan skema. Mereka boleh berusaha tetapi mereka akan gagal. Kenapa gagal?

Di Malaysia seperti di Paris, London dan Carlifornia pada tahun 60-an dahulu - untuk dilihat cool wajib berambut panjang. Pada masa itu, tidak cukup hanya dengan berambut panjang dan menghisap ganja tetapi wajib ke jalan raya menentang Perang Vietnam. Lihat kota Paris tahun 1968 - ini adalah era yang diangap paling cool hingga ke hari ini, bukan sahaja di Paris malah di seluruh Eropah.

Anak muda pasti ditakrif cool jika mereka menentang kerajaan. Kalau anak muda anti-establishment inilah tanda anak muda cool. Anak muda akan dilihat lebih cool jika mereka terun berdemo di jalan raya. Berdemo yang paling cool ialah berdemo dengan kekasih. Kekasih yang cool ialah kekasih yang memakai Levis 501 dan dan kasut gerah Fung Keong.

Najib sepanjang hidupnya tidak pernah turun ke jalan raya berdemo. Najib sepanjang hidupnya tidak pernah bertempur dengan FRU. Fakta ini pasti tidak disedari oleh syarikat iklan antarabangsa ini.

Di London , mereka berjaya melahirkan imej cool pada Tony Blair kerana Blair memiliki asas untuk dilihat cool. Ketika di universiti Tony Blair berambut panjang, menghisap ganja dan turun berdemo.

Lihat pula Presiden Sarkozy di Peranchis. Sarkozy sebenarnya seorang mamat poyo tetapi Nicolas Sarkozy ini bijak berfikir. Dia merancang masa depan politiknya. Nicolas Sarkozy menceraikan isteri pertamanya untuk memerangkap Carla Bruni - seorang pelakon, penyanyi, model chic yang berhaluan kiri.

Najib yang poyo merancang juga masa depan politiknya. Tetapi kalau ini bukan Mamat Poyo maka matahari tidak akan terbit dari sebelah Timur.

No comments:

Post a Comment