"Seorang pegawai SKMM akan datang menemui saya di pejabat di Gombak jam 1030 ini.
"Mungkin kerana desakan (kolumnis) Awang Selamat dalam MM (Mingguan Malaysia) semalam," katanya kepada Malaysiakini pagi ini.
7:41AM Okt 17, 2011
Saya sudah mengambil keputusan untuk membawa segala fitnah dan kekeliruan yang dibawa oleh Utusan Malaysia dan pihak-pihak tertentu ke mahkamah.
Sebab itu saya tidak mahu mengeruhkan suasana. Dan saya tidak mahu terlibat dalam perbicaraan melalui media yang tidak adil ini meskipun Utusan semacam sudah menjatuhkan hukuman ke atas saya.
Bagaimanapun apa yang ditulis oleh Awang Selamat dalam Mingguan Malaysiasemalam memerlukan respon segera supaya pembaca khususnya dan umat Islam amnya tidak terkeliru. Saya berpendapat pembaca berhak untuk mengetahui fakta yang sebenar.
Mungkin Awang Selamat dan Datuk Zulkifli Nordin tidak sedar bahawa saya telah memulakan penyelidikan mengenai gejala riddah, khususnya bagaimana undang-undang menanganinya, sejak 1996 sekembalinya saya dari pengajian PhD di United Kingdom. Selain beberapa kertas seminar hasil kajian itu kemudian diterbitkan dalam jurnal undang-undang UKM pada 1999.
Dalam makalah ini saya huraikan ruang lingkup Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, khususnya kes Jamaluddin Othman yang diputuskan oleh Mahkamah Agung pada 1989, sebuah kes yang begitu menyulitkan umat Islam.
Tafsiran baru yang saya dapati itu kemudian menjadi salah satu hujah yang dikemukakan dalam kes Lina Joy - kes murtad - di mahkamah yang akhirnya diputuskan di pihak Islam oleh Mahkamah Persekutuan pada 2007.
Ini dimaklumkan oleh para peguam yang mengendalikan kes tersebut kepada saya. Justeru untuk menuduh saya tidak sedar usaha memurtad atau mengkristiankan umat Islam adalah tidak benar.
Buku-buku
Tentang kedudukan dan peranan Raja-Raja sebagai ketua agama kenyataannya ialah setakat yang saya tahu hanya ada satu huraian mengenai perkara tersebut dan ia adalah tulisan saya sendiri yang dimasukkan dalam buku saya yang berjudul Islam dalam Perlembagaan yang terbit pada 2005.
Selain bab ini saya juga telah menyentuh isu ini dalam tesis PhD saya yang bertajuk The Development and Role of Constitutional Monarchy in Malaysia yang dikemukakan kepada fakulti undang-undang Universiti Birmingham, England pada penghujung 1995.
Saya telah menghasilkan beberapa tulisan lain selepas itu termasuk buku Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan di dalam Perlembagaan yang diterbitkan oleh DBP pada 2002. Ia telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri pada bulan Disember 2002.
Saya fikir tulisan-tulisan itu, bersama dengan sekian banyak tulisan dalam buku-buku saya yang lain, sudah cukup untuk memahamkan masyarakat tentang sikap saya kepada kedudukan Islam dan Raja-Raja dalam perlembagaan.
Mereka boleh menilai segala tuduhan dan kecaman yang dilemparkan oleh Awang Selamat, Zulkifli, Senator Ezam dan kawan-kawan mereka kepada saya selama seminggu ini. Selain itu takkan mereka tidak pernah mengikuti kolum-kolum saya dalam akhbar Sinar Harian (2008-2010) dan Sunday Sun(1996-1998) . Lebih menghairankan lagi saya telah banyak kali diwawancara oleh Mingguan Malaysia sendiri dalam isu-isu itu; beberapa kali selepas pilihan raya umum 2008.
Kegilaan Utusan
Pendeknya kalau Awang sibuk sangat dan tidak berkesempatan untuk membuat rujukan ilmiah wawancara-wawancara semuka penuh dengan saya dengan akhbar beliau dalam antara 2008 dan 2010 itu sebenarnya sudah memadai untuk beliau memahami perspektif saya mengenai Islam, raja dan kebebasan beragama dalam perlembagaan kita.
Saya terkejut bila Awang menghentam saya hari ini. Saya tidak anggap Zulkifli dan Ezam penting sangat, maklumlah mereka orang politik. Tetapi saya menunggu tawaran sebuah stesen TV web yang bercadang mengadakan debat antara orang buangan PKR itu dengan saya.
Adalah diharapkan ahli parlimen Kulim-Bandar Baru itu sudi hadir untuk menjernihkan keadaan. Saya tidak ada peluang mempertahankan diri di parlimen sewaktu beliau menyerang saya.
Sehingga ini saya masih tidak jelas apakah sebenarnya sikap Utusan Malaysia terhadap isu-isu Melayu dan agama itu. Apa pun saya tidak yakin dengan kegilaan yang Utusan pamerkan sekarang.
Sikap tak konsisten
Ini kerana sewaktu saya terlibat dalam usaha memerangi murtad sekitar 2005 Utusan tidak menunjukkan sikap itu. Dan semenangnya Umno - pemilik akhbar itu pun - tidak mempunyai sikap yang konsisten.
Hatta dalam tragedi Natrah yang menyayat hati di Singapura pada 1950 itu pun kita tidak tahu di mana Umno sebenarnya. Isu itu adalah isu Islam yang melibatkan orang Melayu.
Dalam kes Lina Joy itu pun kelibat Umno dan Utusan tidak kelihatan. Saya masih ingat bertemu dengan seorang menteri Umno dalam penerbangan: beliau menyumpah mengapa orang bukan Islam dipaksa masuk Islam. Sedangkan dalam kes Lina Joy itu isunya lain: orang Islam yang masuk Kristian! Apa kataUtusan?
Sikap saya jelas. Bagaimanapun saya juga menjunjung hak dan kebebasan orang bukan Islam. Ini saya tegaskan dalam wawancara saya dengan Mingguan pada akhir 2010, tidak lama selepas bekas exco Perak Ngar Kor Ming dibelasah oleh Utusan - seperti saya sekarang - kerana dikatakan membangkitkan soal peruntukan untuk masjid dan hak orang bukan Islam.
Abdul Aziz Bari adalah pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau banyak memantau perkembangan politik tanah air dan mengulasnya secara kritikal dari perspektif perlembagaan negara.
No comments:
Post a Comment