Monday, September 24, 2012

Pahang rugi RM60 juta batal perjanjian air


http://www.harakahdaily.net/index.php/headline/13389-pahang-rugi-rm60-juta-batal-perjanjian-air

Harakahdaily,25 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob telah membuat rakyat Pahang kerugian pendapatan berjumlah RM60 juta setahun, kata Fuziah Salleh (gambar).

Ini ekoran kenyataan Adnan yang mahu membatalkan perjanjian membekalkan air mentah kepada Selangor.

Adnan mengugut pada 23 Sept di Bentong bahawa beliau akan membatalkan perjanjian konsesi penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor sekiranya Selangor terus berdegil untuk tidak meneruskan projek Langat 2.

Fuziah berkata, di dalam Projek Langat 2 sejumlah RM60 juta setahun perlu dibayar oleh Selangor kepada Pahang untuk air mentah.

Katanya, Pahang akan menerima 10 sen untuk setiap satu meter padu air mentah yang dibekalkan oleh Pahang kepada negeri Selangor.


Ahli Parlimen Kuantan itu menambah, dengan membatalkan perjanjian membekalkan air mentah tersebut, Pahang bukan sahaja rugi RM60 juta setahun, mungkin perlu membayar penalti di atas pembatalan perjanjian tersebut.

“Di dalam keadaan negeri Pahang berhutang lebih RM2 billion kepada Kerajaan Pusat, keputusan ini akan menambah beban kewangan negeri Pahang.

“Sebaliknya sekira pihak negeri Selangor yang membatalkan perjanjian, maka Pahang mungkin boleh menuntut ganti rugi,” ujarnya yang juga Naib Presiden PKR.

Baginya, Menteri Besar Pahang juga tersilap pandang dengan menganggap bahawa Selangor kekurangan air mentah.

Beliau menjelaskan, yang sebenarnya Selangor mempunyai cukup air mentah tetapi kurang air terawat.

Ini, ujarnya disebabkan oleh syarikat konsesi air Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang tidak melaksanakan tugas mereka dengan baik, juga merupakan asas kenapa Selangor bertegas mengambil alih pengurusan air di negeri itu.

Maka dengan itu, katanya Selangor langsung tidak akan merasai kerugian apa-apa dengan Pahang membatalkan perjanjian membekalkan air.

Sebaliknya, kata Fuziah Selangor lebih beruntung kerana tidak terbeban dengan terpaksa membeli air mentah dari Pahang yang tidak diperlukan.


“Projek Langat 2 yang bernilai RM8.6 billion itu menimbulkan banyak kontroversi kerana Kerajaan Negeri Selangor menolak projek tersebut dengan tegas bersandarkan alasan bahawa bekalan air mentah di Selangor adalah mencukupi untuk kegunaan rakyat,” ujarnya.


Beliau berkata, Langat 2 tidak lain dan tidak bukan hanyalah merupakan usaha Kerajaan Barisan Nasional untuk memberi projek kepada syarikat kroni.

Katanya lagi, Kerajaan Selangor juga mengandaikan bahawa harga air akan naik 100% selepas Langat 2 siap nanti, justeru itu merugikan rakyat negeri Selangor.

Menurutnya, jalan penyelesaian masalah air di Selangor ialah dengan penstrukturan semula industri air di Selangor dan memastikan tiada air terawat yang dibazirkan.


“Akan tetapi apabila Menteri Besar Pahang mengugut untuk tidak membekalkan air ke Selangor, di dalam keadaan Selangor berdegil tidak mahu Langat 2, ianya menunjukkan  ketidakwajaran dan silap perhitungan di dalam keputusan MB Pahang.

“Rugilah rakyat Pahang sekiranya pemimpin Pahang terus menerus membuat keputusan yang tidak menyebelahi rakyat seperti ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment