KUALA KRAI: Rakyat Kelantan malu tindakan pihak tertentu mempamerkan aksi samseng sehingga menyebabkan bas Program Merdeka Rakyat dipecahkan cermin dan disimbah cat merah.
Kejadian itu merupakan kali kedua berlaku di Kelantan, di mana sebelum ini kereta dinaiki Datuk Seri Anwar Ibrahim ditendang di Jalan Sultan Ibrahim ketika mahu menghadiri program ceramah di Padang Perdana.
Dan awal pagi semalam pula bas rombongan Program Merdeka Rakyat yang di parkir berhampiran Pasar Besar Siti Khatijah pula menjadi mangsa pihak terbabit.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, di belakang insiden itu pastinya musuh politik kepada Pakatan Rakyat.
“Insiden itu dianggap biadap dan memalukan orang Kelantan. Ia jelas menyalahi budaya orang Kelantan yang terkenal dengan kemesraan dan menyambut tetamu dengan penuh hormat.
“Tindakan pihak terbabit jauh sekali dengan budaya Islam. Pemuda PAS amat kesal terhadap apa yang berlaku,” katanya di sini.
Beliau yang juga Adun Mengkebang berkata, sekiranya tidak berpuas hati mereka perlu berdepan dengan hujah.
Menurutnya juga mungkin ada kebenaran pengakuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang lebih baik menyokong parti syaitan yang dikenali berbanding malaikat yang tidak dikenali.
“Pemuda bimbang budaya samseng inilah yang akan terbawa-bawa sehingga PRU ke-13. Jika BN kalah mereka akan mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekali pun,” katanya.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir berharap pihak berkuasa menyiasat dengan telus isu tersebut kerana ia sudah dua kali berlaku di Kelantan membabitkan Anwar.
Di Gerik, Perak semalam kelihatan dua sepanduk yang dipasang di laluan Gerik-Jeli bagi mencemuhkan Ketua Pembangkang.
Laluan tersebut dilalui rombongan Anwar untuk ke Kedah dan Perak dalam misi jelajah Merdeka Rakyat selepas menghadiri program di Kelantan.
Himpunan Hijau
Sementara itu dalam perkembangan lain PAS Kelantan akan menganjurkan dua program serentak pada 15 September ini iaitu Himpunan Hijau Ke Putrajaya dan Jamuan Aidilfitri.
Ketua Penerangan PAS negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, program berkenaan akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Machang (MDM) dan padang MDM.
Katanya, program Himpunan Hijau akan menampilkan pidato oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Ibrahim Tuan Man.
“Pada hari tersebut juga diadakan program Anak Muda Kelantan Ekspresi Hijau melibatkan program ceramah, motivasi anak muda dan persembahan hiburan.
“Pada sebelah pagi pula program khas muslimat akan diadakan di dewan MDM,” ujarnya.
Manakala di RANTAU PANJANG 4 September ini, bekas anggota Parlimen Batu Berendam, Datuk Tamrin Ghafar akan menyampaikan ceramah merdeka di Pusat Tarbiah Rantau Panjang.
Selain itu turut ditampilkan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakub dan bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Sabri Shafii.
Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun berkata, ceramah tersebut diadakan sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-55
Di KOTA BHARU pula diadakan solat hajat dan ceramah perdana yang akan menampilkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud.
Program tersebut akan diadakan 3 September (esok) di Padang Perdana bermula jam 8 malam.
Di MACHANG ceramah perdana sempena merdeka akan menampilkan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof.
Program ceramah tersebut akan diadakan pada 4 September di Pasti Paloh Rawa, Dun Temangan.
No comments:
Post a Comment