Thursday, September 6, 2012

Morsi: 'Perubahan kerajaan' diperlukan Syria


http://harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12960-morsi-perubahan-kerajaan-diperlukan-syria

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya,06 Sep 2012
(Morsi  menegur Syria dalam ucapan yang disampaikan dalam sidang kemuncak Pergerakan Negara Berkecuali (Non-Aligned Movement) di Tehran pada 30 Ogos.)

KAHERAH: Presiden Mesir, Mohammed Morsi, dalam persidangan Liga Arab berkata bahawa ‘perubahan kerajaan’ diperlukan di Syria dan masa tidak harus dibazirkan dengan hanya "bercakap tentang reformasi".

"Masa ini telah berlalu. Kini sudah tiba masanya untuk perubahan," ujar Morsi dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden  Mesir kepada Liga Arab Rabu lalu di Kaherah.

Beliau berkata bahawa empat negara serantau - Arab Saudi, Iran, Turki dan Mesir - akan bertemu untuk membincangkan krisis Syria, yang bermula 17 bulan lalu dengan pemberontakan, tetapi akhirnya bertukar menjadi perang sivil dengan kumpulan penentang berjuang untuk menjatuhkan Bashar al -Assad dari tampuk pemerintahan.

“Empat negara yang dipanggil Mesir akan bertemu sekarang," Morsi memberitahu mesyuarat yang dihadiri Menteri Luar negara Arab, tanpa memberitahu butiran lanjut tentang pertemuan tersebut.

Komen Morsi ini adalah lanjutan daripada ucapannya pada sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Tehran di mana beliau berkata ia adalah satu ‘kewajipan etika’ untuk menyokong rakyat Syria menentang "rejim yang menindas" di Damsyik.

Beliau berkata Assad mesti belajar daripada "sejarah yang berlaku baru-baru ini" dan berundur sebelum terlambat, merujuk kepada nasib rejim autoritarian di Tunisia, Libya, Mesir dan Yaman yang telah ditumbangkan ketika kebangkitan Arab.

"Saya memberitahu rejim Syria bahawa 'masih ada peluang untuk menamatkan pertumpahan darah ini'," kata Morsi, sambil menambah: "Jangan mengambil langkah yang betul pada masa yang salah ... kerana itu akan menjadi satu langkah yang salah"

Morsi, yang dilantik sebagai Presiden Mesir Jun lalu selepas kebangkitan Arab menumbangkan Hosni Mubarak, menggesa diplomat Arab bertindak pantas untuk menyelesaikan konflik Syria yang telah mengorbankan 26,000 nyawa, menurut Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (Syrian Obervatory for Human Rights).

Wartawan Al-Jazeera, Jacky Rowland, yang melaporkan dari Kaherah berkata Morsi juga mengenalpasti bahawa Iran perlu terlibat untuk menyelesaikan konflik di Syria.

"Ucapan Morsi menyentuh banyak isu yang berkaitan dengan kebangkitan Arab. Dalam hal Syria, beliau berkata perlu ada satu penyelesaian Arab untuk konflik negara tersebut," kata Rowland.

"Kita bertanggungjawab ke atas darah rakyat Syria yang mengalir siang dan malam," kata Morsi.

"Kita tidak boleh tidur sedangkan pertumpahan darah berlaku di Syria.”

"Saya menyeru anda, Menteri Luar negara Arab, untuk bekerja keras untuk mencari penyelesaian segera kepada tragedi di Syria.

"Jika kita tidak bertindak, dunia juga tidak akan bertindak dengan bersungguh-sungguh."

No comments:

Post a Comment