Monday, September 24, 2012

Pahang rugi RM60 juta batal perjanjian air


http://www.harakahdaily.net/index.php/headline/13389-pahang-rugi-rm60-juta-batal-perjanjian-air

Harakahdaily,25 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob telah membuat rakyat Pahang kerugian pendapatan berjumlah RM60 juta setahun, kata Fuziah Salleh (gambar).

Ini ekoran kenyataan Adnan yang mahu membatalkan perjanjian membekalkan air mentah kepada Selangor.

Adnan mengugut pada 23 Sept di Bentong bahawa beliau akan membatalkan perjanjian konsesi penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor sekiranya Selangor terus berdegil untuk tidak meneruskan projek Langat 2.

Fuziah berkata, di dalam Projek Langat 2 sejumlah RM60 juta setahun perlu dibayar oleh Selangor kepada Pahang untuk air mentah.

Katanya, Pahang akan menerima 10 sen untuk setiap satu meter padu air mentah yang dibekalkan oleh Pahang kepada negeri Selangor.


Ahli Parlimen Kuantan itu menambah, dengan membatalkan perjanjian membekalkan air mentah tersebut, Pahang bukan sahaja rugi RM60 juta setahun, mungkin perlu membayar penalti di atas pembatalan perjanjian tersebut.

“Di dalam keadaan negeri Pahang berhutang lebih RM2 billion kepada Kerajaan Pusat, keputusan ini akan menambah beban kewangan negeri Pahang.

“Sebaliknya sekira pihak negeri Selangor yang membatalkan perjanjian, maka Pahang mungkin boleh menuntut ganti rugi,” ujarnya yang juga Naib Presiden PKR.

Baginya, Menteri Besar Pahang juga tersilap pandang dengan menganggap bahawa Selangor kekurangan air mentah.

Beliau menjelaskan, yang sebenarnya Selangor mempunyai cukup air mentah tetapi kurang air terawat.

Ini, ujarnya disebabkan oleh syarikat konsesi air Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang tidak melaksanakan tugas mereka dengan baik, juga merupakan asas kenapa Selangor bertegas mengambil alih pengurusan air di negeri itu.

Maka dengan itu, katanya Selangor langsung tidak akan merasai kerugian apa-apa dengan Pahang membatalkan perjanjian membekalkan air.

Sebaliknya, kata Fuziah Selangor lebih beruntung kerana tidak terbeban dengan terpaksa membeli air mentah dari Pahang yang tidak diperlukan.


“Projek Langat 2 yang bernilai RM8.6 billion itu menimbulkan banyak kontroversi kerana Kerajaan Negeri Selangor menolak projek tersebut dengan tegas bersandarkan alasan bahawa bekalan air mentah di Selangor adalah mencukupi untuk kegunaan rakyat,” ujarnya.


Beliau berkata, Langat 2 tidak lain dan tidak bukan hanyalah merupakan usaha Kerajaan Barisan Nasional untuk memberi projek kepada syarikat kroni.

Katanya lagi, Kerajaan Selangor juga mengandaikan bahawa harga air akan naik 100% selepas Langat 2 siap nanti, justeru itu merugikan rakyat negeri Selangor.

Menurutnya, jalan penyelesaian masalah air di Selangor ialah dengan penstrukturan semula industri air di Selangor dan memastikan tiada air terawat yang dibazirkan.


“Akan tetapi apabila Menteri Besar Pahang mengugut untuk tidak membekalkan air ke Selangor, di dalam keadaan Selangor berdegil tidak mahu Langat 2, ianya menunjukkan  ketidakwajaran dan silap perhitungan di dalam keputusan MB Pahang.

“Rugilah rakyat Pahang sekiranya pemimpin Pahang terus menerus membuat keputusan yang tidak menyebelahi rakyat seperti ini,” katanya.

Wednesday, September 12, 2012

'P'raya DUN S'gor tidak serentak dengan PRU13'


  • Hafiz Yatim
  • 3:08PM Sep 12 2012
 
Pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dijalankan secara berasingan daripada pilihan raya umum - memecahkan tradisi lama dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

NONEMajlis Presiden Pakatan Rakyat membuat keputusan itu dalam mesyuaratnya hari ini, dengan memetik "masalah yang tidak dapat diselesaikan" pada senarai pemilih di negeri itu yang dikatakan termasuk ribuan pengundi yang diragui.

Majlis itu juga mungkin mempertimbangkan permohonan Pulau 
Pinang untuk mengadakan pilihan raya DUN berasingan, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, mereka bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya nasional kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal membersihkannya.

Menurut Anwar, terdapat ratusan ribu pengundi yang diragui yang berdaftar di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) dan Pulau Pinang, dan pihaknya memandang berat perkara itu kerana SPR gagal memberi reaksi.
Di Kelantan, kata Setiausaha Agung PAS , Datuk Mustafa Ali, menteri besar telah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang.

"Bagi Kedah, kita belum mendapat maklum balas daripada menteri besar," katanya.

Wakil MB S'gor tinggalkan debat Talam


  • Koh Jun Lin
  • 11:22PM Sep 12 2012
Empat wakil Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak dibenarkan mengambil tempat mereka di majlis debat anjuran MCA mengenai langkah penstrukturan semula hutang Talam Corp.

NONEMereka meninggalkan majlis tersebut selepas ianya jelas
bahawa mereka tidak akan dibenarkan naik ke pentas, di tengah-tengah sorakan 'boo'  kira-kira 500 hadirin yang pro-MCA.

Satu pergelutan kecil tercetus antara penyokong MCA dan Pakatan Rakyat, yang berjumlah sekitar 200 orang, menyebabkan polis campurtangan.

Sekurang-kurangnya empat orang kelihatan digari dan dibawa oleh pihak polis atas sebab-sebab yang tidak jelas.

NONEKhalid sebelum ini melantikan empat wakilnya - Tony Pua (DAP),
Dzulkefly Ahmad (PAS) dan William Leong (PKR), dan setiausaha politiknya, Faekah Husin - untuk menjawab semua perkara berkaitan penstrukturan semula hutang Talam.

Mereka berada di Pusat Belia Antarabangsa di Kuala Lumpur sebelum jam 8 malam, yang merupakan masa yang diiklankan untuk perdebatan itu dimulakan.

Bagaimanapun, menjelang kira-kira jam 8.20 malam, pengacara mengumumkan majlis itu akan bermula  jam 8.30 malam
sementara menunggu ketibaan Khalid, manakala Chua Tee Yong (ahli Parlimen Labis) sudah menunggu.

NONEBeliau meminta pada hadirin menunggu untuk melihat sama ada Khalid berani menerima cabaran pihak penganjur untuk mengambil bahagian dalam debat tersebut.

Pengacara juga mempelawa wakil rakyat Pakatan itu untuk mengikuti majlis tersebut dan mungkin mempunyai soalan untuk Chua.

Pada ketika ini, wakil Khalid meninggalkan dewan, diiringi suara ejekan daripada hadirin yang  pro-MCA.



http://www.malaysiakini.com/news/208728

Hutang Talam: Wakil MB S'gor berdepan Chua Jr malam ini
5:26PM Sep 12 2012 
Empat wakil Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan berdepan dengan anggota jawatankuasa pusat MCA,  Chua Tee Yong dalam satu majlis debat anjuran MCA di Bandar Tun Razak malam ini.

Khalid telah melantik mereka sebagai jurucakap beliau dalam semua perkara berkaitan dengan langkah penstrukturan semula Talam Corp Bhd, yang didakwa oleh Chua sebagai satu skandal besar.

Mereka adalah Ahli Parlimen Tony Pua (Petaling Jaya Utara), William Leong (Selayang), Zulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan setiausaha politik Khalid, Faekah Husin.

NONEPihak Chua telah menulis kepada Abdul Khalid pada 4 
September untuk mencabarnya untuk menyertai perbahasan tersebut. Abdul Khalid belum menjawabnya.

Menurut Pua, beliau dan tiga rakan sepasukannya memenuhi tugas mereka sebagai wakil Khalid untuk hadir di majlis itu malam ini.

"Jika mereka tidak terima, maka ia membuktikan Chua hanya cuba mempolitikkan isu ini. Dia harus menerima kami kerana kami dilantik oleh Khalid," katanya.

Pua berkata memandangkan keputusan untuk menyertai debat itu dibuat pada saat-saat akhir, maka pasukannya tidak akan meminta penyokong mereka hadir.

"Kami tidak pergi ke sana untuk menimbulkan masalah. Tujuan kami adalah untuk membincangkan isu Talam. Kami sudah lama bersedia untuk ini," katanya.

Majlis tersebut akan berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa pada pukul 8 malam.

Usaha untuk menghubungi ketua MCA bahagian Bandar Tun Razak, Chiew Lian Keng, penganjur acara itu, bagi mendapat komennya tidak dijawab

Tuesday, September 11, 2012

BN salahguna agensi untuk tekan Suaram, kata penasihat


  • Ahmad Fadli KC
  • 2:21PM Sep 11 2012
 
Penasihat Suaram Kua Kia Soong hari ini berkata, siasatan demi siasatan yang dijalankan agensi kerajaan ke atas NGO tersebut merupakan satu bentuk salahguna kuasa oleh BN ke atas badan berkenaan.

Katanya lagi, tindakan itu juga bertentangan dengan semangat masyarakat demokratik yang meletakkan agensi tersebut bebas daripada pengaruh parti yang memerintah.

Kua berkata, beliau melihat demikian apabila Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dikerah untuk menyiasat Suaram.

"Dalam masyarakat demokratik, pentadbiran awam sepatutnya bebas daripada (parti) yang memerintah.

"Apa yang kita lihat kerajaan mengerahkan SSM, Perkeso, dan LHDN (untuk menekan kami).

"Dan sekarang kerajaan mengarahkan Bank Negara untuk menyiasat kami. Ini adalah salahguna perkhidmatan awam yang amat jelas," katanya.
Beliau mengulas kenyataan menteri perdagangan dalam negeri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang meminta Bank Negara menyiasat dakwaan bahawa spekulator matawang George Soros menyalurkan dana kepada Suaram.

Ismail berkata, siasatan kementerian itu menunjukkan Suaram menerima lebih RM558,500 daripada jutawan itu dalam tempoh 2007 hingga 2010.

Siasatan ke atas Suaram bermula selepas pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) membuat laporan ke atas pertubuhan itu yang didakwa menerima dana asing bagi membiayai aktivitnya.
Ditanya lanjut sdkiranya Suaram bercadang membuat laporan balas terhadap JMM, Kua menjelaskan keutamaan Suaram adalah menjuarai isu yang diperjuangkan, antaranya membongkar skandal Scorpene.

"Kita perlu ingat di Malaysia banyak lagi aktiviti kerajaan Malaysia yang tidak disiasat dengan teliti, contohnya skandal kapal selam Scorpene.

"Kami akan tumpukan perhatian kami pada perkara-perkara besar (begini)," katanya.

Sementara itu, pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga dalam sidang media sama menyifatkan siasatan ke atas Suaram sebagai gangguan kepada pertubuhan sivil yang mengambil sikap tidak memihak.

Menurutnya, persatuan NGO mewakili pertubuhan sivil lain berdiri teguh bersama Suaram dalam menghadapi gangguan-gangguan tersebut.

"Kami tidak akan biarkan Suaram bersendirian. Anda (kerajaan BN) bukan mengganggu Suaram, tetapi keseluruhan pertubuhan sivil lain," katanya.

Selain BERSIH, lebih 130 NGO lain turut menyatakan sokongan sama ke atas Suaram, melalui satu kenyataan bersama hari ini.

Monday, September 10, 2012

FGVHB: Bukti peneroka dikhianati makin terserlah


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/13030-fgvhb-bukti-peneroka-dikhianati-makin-terserlah

Dr. Rosli Yaakop,10 Sep 2012
Maka pada tarikh puaka 28 Jun 2012 tercatatlah di dalam sejarah Malaysia satu lagi pengkhianatan besar oleh pemimpin Melayu ke atas umat Melayu. Kali ini dalam bentuk penggadaian tanah perladangan yang telah diusahakan peneroka Felda berabad-abad lamanya bersama-sama dengan rangkaian perniagaan yang dibina di atas biaya wang peneroka kepada kapitalis rakus yang tidak pernah mencurah barang setitik keringat pun dalam membangunkan hutan belantara menjadi tanah ladang luas terbentang.


Dalam tempoh 55 tahun, sudah terlalu banyak hak umat Melayu dikhianati. Dibawakan satu contoh di sini sebagai ilustrasi.

Dalam awal tahun 1980an, pemimpin Melayu melalui Bank Bumiputra Malaysia Berhad (yang ditubuhkan kononnya untuk menyediakan pembiayaan kepada orang Melayu menerokai dunia perdagangan dan perindustrian) telah mengkhianati orang Melayu dengan memberi pinjaman berbilion-bilion ringgit  kepada seorang kapitalais penipu bernama George Tan, mengenepikan puluhan ribu umat Melayu yang pada ketika itu, amat dahagakan pembiayaan. Akhirnya, Bank Bumiputra Berhad kerugian RM3 bilion. Walau pun telah diselamatkan beberapa kali melalui suntikan wang Petronas (berbilion ringgit jumlahnya), BBMB akhirnya runtuh dan kini hanya tinggal batu nisan. Natijahnya, umat Melayu, setelah 55 tahun merdeka, kekal menjadi kaum termundur dalam dunia perdagangan dan perindustrian.

Dibandingkan dengan skandal BBMB, skandal penggadaian tanah Felda ini adalah satu pengkhianatan berganda-ganda besarnya. Harta paling strategik milik umat Melayu, iaitu, tanah tempat mereka dan keluarga bergantung hidup dan bertelapak, telah digadaikan kepada kapitalis yang sudah sedia kaya. Bukan tidak ada peneroka yang menentang pengkhianatan ini tetapi penentangan menjadi tidak bermaya apabila umat Felda disuakan dengan habuan kebendaan yang tidak seberapa nilainnya. Mereka telah termakan umpan keuntungan segera. Tidak cukup, mereka dibuai pula dengan lagu “putar alam” mainan media perdana yang menjadi alat pemimpin Melayu yang khianat.  Malang sekali umat Melayu yang memiliki pemimpin yang khianat.

Setelah kertas bernama saham (yang menjadi sijil milik ke atas aset yang dipindahmilik secara tidak sah kepada syarikat bernama Felda Global Ventures Holding Berhad)  bertukar tangan pada hari puaka itu, maka peneroka Felda hanya memilik 2.5% dari jumlah saham yang diapongkan dan 97.5% lagi berpindah ke tangan kapitalis yang mengejar keuntungan.

Jelas, peneroka telah termakan janji palsu bahawa “kepentingan mereka di dalam Felda tetap akan terpelihara dan tidak hilang barang seinci pun” walhal, akibat penyenarainan, pemilik majoriti kepentingan Felda sekarang ialah pelabur bukan peneroka. Apakah mereka mahu menafikan kenyataan bahawa mereka kini hanya memiliki 2.5% saham di dalam FGVHB dan 97.5% lagi sudah dikuasai dan dikawal oleh pelabur bukan peneroka? Sedarkah mereka bahawa daripada RM400 juta dividen awal yang bakal diagihkan, mereka hanya menerima RM10 juta sedangkan RM390 juta akan dinikmati pelabur bukan peneroka? Apakah mereka masih tidak mahu percaya bahawa akibat pengapongan saham FGVHB, pengurusan harta mereka termasuklah tanah milik peribadi mereka (seluas 10-12 ekar seorang) dan urusan jual-beli hasil, sudah dimonopoli dan diurus oleh FGVHB yang bukan lagi milik peneroka?

Satu perkara yang wajar didedahkan ialah, saham FGVHB pada awalnya dijangka diapongkan pada harga terbitan awam awal RM5.85 se saham. Tetapi, prestasi FGVHB yang menurun dan pasaran saham dunia yang lemah memaksa harga terbitan diturunkan kepada RM4.55 se saham, iaitu, penurunan sebanyak RM1.45 se saham.

Penyenaraian FGVHB yang dibuat dalam masa pasaran saham yang lemah ini telah membawa kerugian besar kepada Felda. Berdasarkan jumlah saham yang diapongkan, iaitu, 2.19 bilion unit, pada harga RM4.55 se unit, penyenaraian menjana RM9.93 bilion. Tetapi, pada harga RM5.85 seunit, dana yang dijana berjumlah RM11.8 bilion. Penyenaraian yang tergegsa-gesa yang gagal mengambilkira keadaan pasaran saham yang lemah telah membawa kerugian sebanyak kira-kira RM2 bilion kepada Felda dan FGVHB. Ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab, tidak professional dan mengkhianat Felda dan peneroka.  Sepatutnya penyenaraian dibuat dalam keadaan pasaran yang membawa keuntungan maksimum kepada Felda.

Saham FGVHB diapongkan pada 28 Jun 2012 pada harga terbitan awam awal RM4.55 se saham (harga pembeli institusi) dan RM4.45 sesaham (harga pembeli runcit). Pada hari pertama pengapongan harga ditutup pada RM5.30 sesaham, kenaikan sebanyak RM0.75 atau 16.5%. Kenaikan ini sederhana berbanding dengan jangkaan bahawa harga saham FGVHB akan melonjak tinggi sehingga ke RM6.00-7.00 seunit menghasilkan keuntungan durian runtuh kepada pemegang saham.  Ini tidak terjadi sehingga kini, setelah hampir dua setengah bulan saham diapongkan.

Harga tutup tertinggi pernah dicapai ialah RM5.50 se saham (pada 4 Julai dan 11 Julai). Harga tutup semalam (Rabu, 5 september 2012) ialah RM4.85 se saham, iaitu, premium sebanyak RM0.30 atau 6.6% di atas harga terbitan awam awal.   Kenaikan harga yang sederhana ini memeranjatkan ramai penganalisis pasaran kerana lonjakan besar yang dijangka dan diuwar-uwarkan oleh pengerusi Felda tidak terjadi.

Di dalam prospektus penyenaraian FGVHB, tidak didedahkan unjuran keutungan untuk tahun 2012. Yang ada ialah maklumat kewangan interim (laporan kewangan tidak terodit) yang mendedahkan bahawa untuk tiga bulan pertama berakhir pada 31 Mac 2012, FGVHB untung sebanyak RM223.212 juta berbanding RM350.158 juta untuk tempoh yang sama (3 bulan) dalam tahun 2011, kemerosotan sebanyak RM126.944 atau 36.2%.

Laporan kewangan terkini (disiarkan oleh media pada 28 Ogos 2012) menunjukkan bahawa keuntungan FGVHB pada setengah tahun 2012 (6 bulan pertama berakhir 30 Jun 2012) berjumlah RM380.5 juta, lebih rendah daripada unjuran kebanyakan pengalisis pasaran. Jumlah keuntungan ini hanyalah 39% dari untung yang diunjurkan bagi tahun 2012 (sekitar RM1.2 bilion). Dibandingkan dengan keuntungan 6 bulan pertama 2011 (RM638.4 juta), keuntungan dalam 6 bulan pertama 2012 merosot sebanyak 34%, berpunca  dari pengeluaran buah sawit (buah tandan segar) yang merosot, kenaikan kos operasi  dan sumbangan sektor gula yang megecil.

Walaupun keuntungan kurang memuaskan, pada 28 Ogos 2012, FGVHB telah mengishtiharkan dividen awal (interim) sebanyak 5.5% se saham yang bakal dibayar pada atau sebelum 28 November 2012. Ini adalah tindakan untuk menyokong pasaran tetapi kesannya kepada harga saham nampaknya tidak memberangkan.

Pembayaran dividen ini tidak membawa apa-apa makna kepada nasib 112,000 peneroka kerana mereka hanya memegang 830 unit saham FGVHB se orang. Sebahagian besar dividen akan dinikmati oleh pemegang saham utama (cornerstone investors) yang terdiri daripada Lembaga Tabugn Haji, Kumpulan Wang Persaraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan pengurus dana antarabangsa seperti BlackRock Fund Advisors, FIL Investment Mangement (Singapore) Ltd., Goldman Sachs Asset Management Brazil Ltda., The Vanguard Group, Inc., ThreadNeedle Asset Mangement Limited dan Legal and General Investment Management Ltd. Kumpulan pemegang saham yang digelar “cornerstone investors” setakat ini menguasai 21.35% saham FGVHB dan merekalah yang akan mengaut sebahagian besar dividen. Golongan yang tidak pernah berjerih payah membangunkan hutan belentara menjadi perladangan terbesar di dunia kini mengaut nikmat terbesar sedangkan peneroka yang mengorbankan keringat, airmata dan darah - kerana mereka tidak mampu membeli sekeping kertas yang bernama saham - hanya menggigit jari.

Berikutan penyenaraian FGVHB, peneroka Felda diperuntukkan 830 unit saham setiap seorang. Namun, setelah lebih dairpada 2 bulan berlalu, didapati masih ramai yang belum membayar harga saham berkenaan (kira-kira RM3,800) kerana tidak mampu. Juga, ramai peneroka yang beranggapan saham itu adalah percuma. Ini bermakna, tanpa memiliki sekeping kertas bernama saham, peneroka tidak ada hak ke atas dividen 5.5% yang bakal dibayar.

Menyedari hal ini,  Perdana Menteri mengisytiharkan bahawa Felda akan membiayai pembelian saham oleh peneroka dengan bayaran balik yang mudah sebanyak RM50 sebulan. Langkah baru ini mengesahkan bahawa penyenaraikan FGVHB tidak membawa apa-apa keuntungan kepada peneroka.  Yang untung besar hanyalah kroni dan kaum pemodal tempatan dan antarabangsa yang sudah sedia kaya.  Pemberian pembiayaan ini tidak lain hanyalah umpan untuk memancing undi peneroka. Manakah dia saham percuma yang pernah dijanjikan?

Selain dari itu, peneroka kononnya bakal diberi “bonus” RM400 seorang. Ini satu penipuan kerana yang bakal diberi kepada peneroka itu bukan “wang percuma” tetapi itu adalah dividen daripada saham yang mereka pegang (5.5% daripada 830 unit saham). Bukan semua peneroka akan mendapat dividen ini kerana ramai yang tidak membeli saham.

Ada penganalis berpandangan bahawa prestasi keuntugan FGVHB bagi setengah tahun terakhir 2012 akan bertambah baik kerana pengeluaran buah meningkat. Namun, majoriti penganalis mengunjurkan bahawa keuntungan bagi tahun kewangan 2012 akan lebih rendah dari unjuran awal memandangkan lebih dari 50% pokok sawit yang ada sudah tua dan perlu ditanam semula. Kos penanaman semula bakal berjumlah RM2.6 bilion. Kenaikan kos operasi bersama penurunan hasil buah memberi kesan negatif kepada prestasi syairkat menyebabkan harga saham akan tertekan.  Jumlah saham yang besar dan keadaan pasar saham yang tidak menentu juga boleh membawa kesan menurun kepada harga saham. Persaingan sengit daripada pengeluar minyak sawit utama dunia, Indonesia, juga akan memberi kesan negatif kepada harga sawit and akhirnya menekan harga saham FGVHB.

Saham FGVH menjunam, peneroka mula rugi


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/13039-saham-fgvh-menjunam-peneroka-mula-rugi

Harakahdaily,10 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Saham Felda Global Venture Holding (FGVH) terus menjunam jatuh dengan pantas menuju harga awal ketika dilancarkan iaitu RM4.55 apabila jatuh lapan sen lagi tengahari ini.

Saham itu terus jatuh sebanyak 89 sen sejak mencecah RM5.55 pada 5 Julai lalu dan ditutup pada harga RM4.69 tengahari ini.

Saham FGVH terus jatuh selepas mencecah batasan saikologinya apabila jatuh ke RM5.00 Rabu minggu lepas, iaitu jatuh sehingga 31 sen.
Mula rugi

Sementara itu, Penasihat Ekonomi Anak (Persatuan Anak Peneroka Felda), Dr Rosli Yaakob (gambar atas) berkata, peneroka Felda kini mula rugi apabila sahamnya jatuh melepasi 4.70.

Ini kerana, dividen yang diperolehi tidak akan mampu menampung interest pinjaman yang mereka buat untuk membeli saham FGVH.

"Kadar interest pinjaman mereka untuk membeli saham ini pada kadar RM4.45 kini lebih tinggi berbanding dengan dividen yang mereka perolehi," kata Dr Rosli.

Kini, semasa laporan ini ditulis, saham FGVH adalah lebih rendah dari RM4.70 iaitu RM4.69.

Friday, September 7, 2012

Mahfuz: Gambar PM lebih suci dari masjid?


  • Aidila Razak
  • 1:20PM Sep 7 2012
 
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan membaling kasut di dalam masjid lebih tercela daripada memijak gambar perdana menteri dan isterinya.

Ini kerana, katanya, masjid merupakan tempat suci dan dikira rumah Allah.

NONEJusteru, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan dan akhbar arus perdana membesar-besarkan insiden memijak gambar melebihi insiden di sebuah masjid di Alor Setar baru-baru ini.

"Adakah mereka hendak kata gambar itu lebih suci daripada masjid, rumah Allah?" soalnya.

Beliau merujuk kepada insiden minggu lalu apabila anggota kumpulan pendesak Melayu didakwa membuat kacau tazkirah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di masjid.

Thursday, September 6, 2012

Rogol: Najib gagal selaku pemangku Menteri Wanita


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12980-rogol-najib-gagal-selaku-pemangku-menteri-wanita

Hafizan Taib Selangorku,07 Sep 2012
SHAH ALAM: Kerajaan perlu melantik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam tempoh terdekat berikutan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku pemangku jawatan berkenaan.


Isu ini tercetus dan menjadi bualan umum disebabkan Najib didakwa gagal menjalankan tugas tersebut kerana tiada sebarang tindakan atau kenyataan diberi berhubung kes perogol gadis bawah umur yang dibebaskan Mahkamah Sesyen Pulau Pinang akhir Ogos lalu.

Mengulas perkara itu, Ketua Srikandi PKR, Siti Aisyah Shaik Ismail (gambar) berkata adalah amat mengecewakan apabila perkara itu berlaku dengan tiada pembelaan dilihat bagi melindungi gadis bawah umur yang menjadi mangsa dalam kes berkenaan.

Lebih mendukacitakan, tambahnya, tiada sebarang tindakan diambil Perdana Menteri bagi mengangani perkara ini.

“Kita lihat tiada satu pun kenyataan daripada Perdana Menteri yang memangku jawatan tersebut yang secara lantang mengutuk dan mendesak segera agar kes ini dibuka serta hukuman setimpal dijatuhkan kepada pesalah.

“Sepatutnya kerajaan boleh menilai bahawa satu isu yang boleh dipandang serius tetapi jelas tidak hanya kerana ia tidak diberikan kepada seseorang yang berhak bagi menjaga kepentingan rakyat Malaysia iaitu wanita.

“Kita kesal kerana Perdana Menteri hanya disebabkan keangkuhannya yang tidak mahu melantik mana-mana pimpinan Wanita Umno dan BN sebaga orang yang menggalas tugas itu,” katanya kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Najib bertindak sebagai pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berikutan berakhirnya tempoh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa 8 April lalu.

Dalam kes itu, Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membebaskan seorang juruelektrik, Chuah Guan Jiu, 22, dengan bon jaminan RM25,000 supaya berkelakuan baik atas kesalahan merogol teman wanitanya berusia 12 tahun sebanyak dua kali tahun lalu.

Mahkamah mengambil kira faktor Chuah yang masih muda dan kesalahan pertama serta hakikat bahawa perbuatan seksual adalah persetujuan bersama dan dia juga seorang murid tercicir.

Selain itu, kes lain berkaitan melibatkan pemain tenpin boling negara, Noor Afizal Azizan yang dibebaskan Mahkamah Sesyen Melaka pada 5 Julai 2010 dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun bernilai RM25,000 dengan seorang penjamin selepas mengaku salah merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka.

“Kalau kita teliti kedua-dua kes, kita melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan yang dikira luar jangka kerana kes yang melibatkan remaja itu harus dipandang penting dan juga harus diutamakan.

“Dalam kes ini disertakan dengan kenyataan seolah-olah memandang remeh pelakuan jenayah melibatkan remaja yang bakal mencorakkan sistem pentadibran dan kehidupan di negara ini. Ia sesuatu yang kita kesali,” kata Siti Aisyah lagi.

Bimbang ancaman pengganas 'syaitan yang dikenali'


https://harakahdaily.net/index.php/headline/12976-bimbang-ancaman-pengganas-syaitan-yang-dikenali

Abdul Aziz Mustafa,07 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Jika polis tidak mahu mengawal keselamatan rakyat yang bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) dari serangan demi serangan, lebih baik panggil pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengawal keamanan negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar melontarkan cadangan sinis itu ketika meluahkan kekesalannya terhadap sikap pihak polis yang bagaikan berpeluk tubuh terhadap serangan demi serangan yang dilakukan oleh gerombolan-gerombolan dari parti "syaitan yang kita kenali" terhadap rakyat yang bersama-sama PR.

"Bukan setakat serang ceramah-ceramah PR, serang pejabat parti-parti di dalam PR, tungging punggung ke arah pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), membakar rumah pemimpin PAS, hari ini sudah melarat kepada serangan ke atas masjid dan membaling selipar ke dalam rumah Allah itu.

"Tetapi seperti biasa, polis bagaikan tidak mahu bertindak apabila kezaliman dan penganiyaan dilakukan ke atas rakyat yang berada dalam PR.

"Kalau begitu, lebih baik panggil pasukan pengaman PBB untuk mengawal keamanan negara ini dan menjaga keselamatan rakyat," katanya.

Menurut Mahfuz, sebahagian besar rakyat kini bukan sahaja takut kepada penjenayah malah mereka juga semakin bimbang keselamatan mereka yang kian diancam oleh keganasan pengganas-pengganas parti "syaitan yang kita kenali".

"Lebih buruk lagi, polis seolah-olah memberikan perlindungan kepada pengganas-pengganas itu.

"Memberi perlindungan kepada pengganas-pengganas itu bermakna memberikan galakan kepada mereka untuk meningkatkan lagi keganasan mereka," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz mengingatkan, rakyat kini semakin terasa bahawa pihak polis seperti terlibat dalam konspirasi politik jahat untuk menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dari kejatuhan dan memburukkan PR.

"Kalau ada sedikit pun kesalahan dibuat oleh rakyat biasa ke atas pemimpin Umno BN, begitu pantas polis bertindak memburu, menangkap dan menggari mereka seperti penjenayah.

"Tetapi pengganas-pengganas dari parti 'syaitan yang dikenali' dibiarkan bermaharajalela untuk terus mengganas lagi," katanya.

Polis lebih sibuk memburu rakyat yang menolak pemerintahan Umno BN ketika indeks jenayah terus mengancam dan membimbangkan rakyat, kata Mahfuz.

"Ketika polis semakin gagal meyakinkan rakyat bahawa indeks jenayah berjaya mereka kurangkan, pada masa yang sama pengganas-pengganas dari parti 'syaitan yang dikenali' dibiarkan mengganasi rakyat," katanya.

Dua kejadian terakhir keganasan gerombolan parti 'syaitan yang dikenali' ialah serangan ke atas sebuah masjid dan ibu pejabat PKR.

Mahfuz menyifatkan keengganan polis bertindak tegas terhadap keganasan-keganasan itu meningkatkan lagi indeks jenayah di negara ini.

"Indeks jenayah yang menjadi-jadi dan menakutkan itu bukan dakwaan kita tetapi dibangkitkan oleh bekas Ketua Polis Negara sendiri," kata beliau.

Sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan bahawa kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai.

Musa turut mengakui kadar jenayah di Malaysia pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan.

Morsi: 'Perubahan kerajaan' diperlukan Syria


http://harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12960-morsi-perubahan-kerajaan-diperlukan-syria

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya,06 Sep 2012
(Morsi  menegur Syria dalam ucapan yang disampaikan dalam sidang kemuncak Pergerakan Negara Berkecuali (Non-Aligned Movement) di Tehran pada 30 Ogos.)

KAHERAH: Presiden Mesir, Mohammed Morsi, dalam persidangan Liga Arab berkata bahawa ‘perubahan kerajaan’ diperlukan di Syria dan masa tidak harus dibazirkan dengan hanya "bercakap tentang reformasi".

"Masa ini telah berlalu. Kini sudah tiba masanya untuk perubahan," ujar Morsi dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden  Mesir kepada Liga Arab Rabu lalu di Kaherah.

Beliau berkata bahawa empat negara serantau - Arab Saudi, Iran, Turki dan Mesir - akan bertemu untuk membincangkan krisis Syria, yang bermula 17 bulan lalu dengan pemberontakan, tetapi akhirnya bertukar menjadi perang sivil dengan kumpulan penentang berjuang untuk menjatuhkan Bashar al -Assad dari tampuk pemerintahan.

“Empat negara yang dipanggil Mesir akan bertemu sekarang," Morsi memberitahu mesyuarat yang dihadiri Menteri Luar negara Arab, tanpa memberitahu butiran lanjut tentang pertemuan tersebut.

Komen Morsi ini adalah lanjutan daripada ucapannya pada sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Tehran di mana beliau berkata ia adalah satu ‘kewajipan etika’ untuk menyokong rakyat Syria menentang "rejim yang menindas" di Damsyik.

Beliau berkata Assad mesti belajar daripada "sejarah yang berlaku baru-baru ini" dan berundur sebelum terlambat, merujuk kepada nasib rejim autoritarian di Tunisia, Libya, Mesir dan Yaman yang telah ditumbangkan ketika kebangkitan Arab.

"Saya memberitahu rejim Syria bahawa 'masih ada peluang untuk menamatkan pertumpahan darah ini'," kata Morsi, sambil menambah: "Jangan mengambil langkah yang betul pada masa yang salah ... kerana itu akan menjadi satu langkah yang salah"

Morsi, yang dilantik sebagai Presiden Mesir Jun lalu selepas kebangkitan Arab menumbangkan Hosni Mubarak, menggesa diplomat Arab bertindak pantas untuk menyelesaikan konflik Syria yang telah mengorbankan 26,000 nyawa, menurut Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (Syrian Obervatory for Human Rights).

Wartawan Al-Jazeera, Jacky Rowland, yang melaporkan dari Kaherah berkata Morsi juga mengenalpasti bahawa Iran perlu terlibat untuk menyelesaikan konflik di Syria.

"Ucapan Morsi menyentuh banyak isu yang berkaitan dengan kebangkitan Arab. Dalam hal Syria, beliau berkata perlu ada satu penyelesaian Arab untuk konflik negara tersebut," kata Rowland.

"Kita bertanggungjawab ke atas darah rakyat Syria yang mengalir siang dan malam," kata Morsi.

"Kita tidak boleh tidur sedangkan pertumpahan darah berlaku di Syria.”

"Saya menyeru anda, Menteri Luar negara Arab, untuk bekerja keras untuk mencari penyelesaian segera kepada tragedi di Syria.

"Jika kita tidak bertindak, dunia juga tidak akan bertindak dengan bersungguh-sungguh."

Saham FGVH kritikal, apa jaminan Najib


http://harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12955-saham-fgvh-kritikal-apa-jaminan-najib

Anis Nazri,06 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa memberi jaminan berhubung kedudukan saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang kini dianggap berada dalam kritikal.

Jaminan itu perlu dilakukan kepada pemegang-pemegang saham berkenaan, khususnya para peneroka yang membeli saham tersebut dengan pinjaman bank yang tidak mereka ketahui.

Gesaan itu disuarakan Pertubuhan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) yang menyifatkan saham FGVH mula meruncing sejak tengah hari semalam.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata pihaknya akan mengutuskan surat rasmi kepada Najib bagi meminta satu jaminan segera daripada pemimpin itu ekoran kedudukan saham tersebut.

Beliau juga turut meminta perdana menteri untuk menyatakan apakah tindakan susulan yang akan diambil ekoran penurunan harga saham tersebut.

Dalam pada sama, beliau mengecam kenyataan Pengerusi FGVH, Tan Sri Isa Samad yang juga disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab apabila ditanya tentang saham FGVH yang menjunam.

"Isa mengatakan, "adatlah bermain saham, ada turun naiknya". Soalnya, sejak awal lagi kita sudah menyatakan risiko-risiko yang bakal dihadapi peneroka dan juga pemegang-pemegng saham.  Satu lagi, kenyataan itu tidak menunjukkan sikap tanggungjwab beliau dalam hal ini," tegas Mazlan ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau juga akan menghantar surat ke Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah bagi memohon maklum balas berkaitan memorandum yang diserahkan pada Jun lalu.

Pada tengahari semalam, harga saham FGVH yang ditutup mencatat penurunan, tinggal RM4.79.  Manakala, mengikut penganalisis pasaran saham, jika saham FGVH turun ke paras RM4.70 maka pemegang saham FGVH mula menanggung kerugian.

FGVH mula disenaraikan di Bursa Malaysia pda 28 Jun 2012, biarpun mendapat tentangan hebat daripada Anak hingga satu himpunan aman diadakan bagi membantah penyenaraian tersebut.

Sejak penyenaraian, saham FGVH itu dilihat tidak stabil dengan kedudukannya yang statik, selain tidak melonjak naik seperti yang diharapkan Najib dan Isa.

Saham: Tak mahu ayam terlepas tangan bau tahi


http://harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12956-saham-tak-mahu-ayam-terlepas-tangan-bau-tahi

Khairil Abdul Rahim,06 Sep 2012
Akhirnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mengakui 800 unit saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) yang diagihkan kepada peneroka semasa penyenaraian dulu, adalah dalam bentuk hutang dan bukannya pemberian atau ‘durian runtuh’.

Pengakuan tersebut diucapkan oleh Ahmad semasa menutup Kem Anak Muda Generasi Felda (Kemuda) dan Kursus Induksi Permuafakatan Siswa/Siswi Felda (Persada) 2012 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang baru-baru ini.

Cuma cara pengakuan beliau itu agak lunak sedikit iaitu dengan mengatakan “peneroka tidak perlu lagi membayar kepada bank mulai bulan depan apabila hutang mereka itu diambil alih Felda” setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan dana RM360.

Di bawah tajuk berita “Felda ambil alih hutang peneroka beli saham mulai 1 September” yang disiarkan sebuah akhbar, Ahmad berkata, peneroka akan membayar balik kepada Felda dalam tempoh lima tahun iaitu kira-kira RM50 sebulan.

Tambahnya, pembayaran balik kepada Felda dilakukan dengan potongan pendapatan daripada hasil tuaian ladang peneroka. Dengan lain-lain perkataan, saham FGVH yang diagihkan kepada peneroka adalah hutang yang mesti dibayar (melalui potongan) sama seperti hutang-hutang lain (baja, membesarkan rumah, tanah ladang, jalan pertanian dan lain-lain).

Jadi apa hebatnya peneroka mendapat saham jika pemberian tersebut dikira hutang? Sedangkan Timbalan Menteri yang juga Ketua Penerangan Umno itu pernah berhujah di parlimen satu ketika dulu berhubung penyenaraian saham FGVH bahawa tujuannya untuk meningkatkan taraf hidup peneroka.

Setelah dihamburkan dengan pelbagai janji yang indah-indah kononnya peneroka akan melalui tranformasi besar dalam kehidupan baru mereka, kononnya peneroka akan keluar daripada tradisi berladang kepada pemain saham dunia apabila saham kedua terbesar selepas Facebook itu disenaraikan, rupa-rupanya 112,635 warga peneroka masing-masing hanya mendapat 800 unit. Itupun dikira berhutang.

Dalam berita tersebut juga, Ahmad mengaku jumlah keseluruhan pemilikan saham peneroka hanya 5%. Bakinya dijual kepada bukan peneroka dan pelabur-pelabur luar negeri. Manakala 180,000 unit saham yang dianugerahkan kepada Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad, tidak diketahui sama ada dikira hutang atau sebaliknya.

Jadi inikah  maksud Ahmad Maslan bahawa peneroka akan dapat manfaat besar daripada penyenaraian saham FGVH? Bagaimana pula nasib tanah rizab Melayu seluas 360,000 ekar yang dicagarkan selama 99 tahun?

Hutang saham: Kenapa tidak bercakap benar?

Apa yang menjadi kemusykilan banyak pihak, kerajaan dan Felda tidak berkata benar ketika mahu menyenaraikan FGVH ke Bursa Kuala Lumpur 28 Jun lalu.

“Sudah jenuh kami berkempen sebelum ini mengatakan saham 800 unit yang diberi bukan dengan percuma, tetapi amaran kami itu bukan saja dipandang sepi malah kami dicerca dan dihina kononnya kami pengkhianat Felda.

“Tetapi sekarang Ahmad Maslan sendiri sahkan bahawa saham itu bukannya durian runtuh atau percuma, tetapi hutang,” kata Pengerusi Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit) negeri Pahang Abdul Rahim Abdul Rahman yang ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kuala Krau baru-baru ini.

Beliau merupakan salah seorang daripada 8 peneroka yang memfailkan saman terhadap Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Temerloh bulan lalu kerana ungkapan menghina ‘haram jadah’ terhadap mereka.

Sebelum penyenaraian FGVH, Pakatan Rakyat, Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) dan aktivis-aktivis peneroka yang bergabung dalam Gerakan Selamatkan Felda (GSF) membuat road show di seluruh negara bagi menghalang penyenaraian FGVH. Himpunan Oren juga diadakan pada 14 Julai lalu bagi memohon Yang Dipertuan Agong masuk campur kerana penyenaraian FGVH tidak menguntungkan peneroka tetapi beberapa kerat individu tertentu.

Meskipun gagal menghalang penyenaraian FGVH, sekurang-kurangnya mereka berjaya menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada terjerumus sama dalam penyenaraian FGVH.

Usaha selamatkan Felda dicemuh pro Umno

Malangnya mereka diherdik dan dicemuh semahunya oleh kumpulan peneroka pro-Umno yang memang pengampu kerana berkepentingan lalu mereka membuat demonstrasi di sana sini serta menghalang pihak tersebut memberi penerangan kepada umum.

Laporan polis juga dibuat seluruh negara bagi menggambarkan pejuang-pejuang nasib warga Felda itu pengkhianat. Cercaan demi cercaan dihamburkan bagi melemahkan semangat mereka.

Kemuncaknya ialah apabila Najib sendiri ketika mengumumkan "durian runtuh" di Jengka 8 Mei lalu menggelarkan pejuang kebenaran warga Felda sebagai haram jadah. Sudah tentu ia amat memeranjatkan kerana ungkapan  itu paling kasar, biadab dan tidak bertamadun yang pernah diluahkan oleh seorang Perdana Menteri terhadap rakyatnya. Ungkapan menghina itu pula dibuat di hadapan lebih 40 ribu yang hadir dan liputan langsung media.

Tidak cukup begitu, ketika para peneroka tersebut mengambil wang hak mereka sendiri yang diumumkan Najib sebagai "durian runtuh", media pro-Umno terus mengaibkan mereka seolah-olah "keselak" atau kemaruk sangat dengan wang yang diagihkan Felda itu.

Najib sendiri ketika berceramah di Pekan, terus mengaibkan mereka dengan gelaran "muka tak malu".

Namun apabila sebuah akhbar harian menyiarkan kenyataan Ahmad Maslan bahawa saham sebanyak 800 unit itu sebenarnya hutang, ia mula mendedahkan apa yang sebenarnya kerana sebelum ini pihak kerajaan dan Felda tidak berkata benar atau sengaja menyembunyikannya.

Ahmad Maslan turut membenarkan, pemilikan saham peneroka seluruh negara hanya berjumlah 2.5 peratus secara keseluruhan. Jadi benarlah dakwaan dan amaran yang pernah diberi oleh PR, Anak dan GSF. Bahkan amaran risiko harga saham turun naik, memang tepat. Lihatlah saham FGVH terus merudum. Tidak sebagaimana janji pemimpin Umno bahawa jika saham Felda disenarai, peneroka-peneroka akan menjadi kaya raya, dapat durian runtuh dan akan mengalami perubahan besar dalam kehidupan selepas 50 tahun!

Akhirnya semuanya temberang. Yang betulnya hanyalah amaran PR, Anak dan GSF tadi.

“Sudahlah peneroka yang majoritinya berusia 50 tahun ke atas itu dipaksa berhutang, apa pula yang mereka tahu tentang bermain saham? Malah hutang yang dipaksa ke atas peneroka bukannya mereka yang untung tetapi dikaut oleh bank, peguam dan broker.

“Inilah yang Pakatan dan  GSF perjuangkan sekarang,” kata Abdul Rahim.

Tambahnya, jika saham terus menjunam dan peneroka tidak mampu membayar balik hutang bank apa yang akan terjadi? Oleh itu jangan diperkecilkan jika peneroka berasa bimbang dengan tergadainya tanah ladang 10 ekar dan tapak rumah mereka.

“Jadi kami dari Bangkit dan GSF bertungkus lumus menyelamatkan nasib peneroka kerana tidak mahu bak kata pepatah ayam terlepas tangan bau tahi,” katanya.

Wednesday, September 5, 2012

Hudud oh hudud!



  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 4:16PM Ogos 30 2012
ULASAN Isu hudud dalam negara kita sering kali dipolitikkan atas pelbagai kepentingan. Umno dalam rekodnya tidak bersetuju cadangan hudud yang PAS bawa.

Ketidaksetujuan itu boleh ditafsirkan atas pelbagai alasan; ada yang munasabah dan ada yang tidak munasabah. Hari ini nampaknya Umno macam mula berubah.

PAS sejak dahulu menyebut tentang perlaksanaan hudud sehingga kelihatan pada mata umum PAS dan hudud bagaikan isi dan kulit. Seolah-olah matlamat utama kenegaraan PAS ialah menegakkan hudud.

Ini agak menarik, di kala kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia tidak lagi memperkatakan tentang undang-undang jenayah hudud, PAS masih.

Gerakan-gerakan Islam yang mendapat kerajaan di Mesir, HAMAS di Palestin, di Libya dan Tunisia meninggalkan tajuk hudud buat masa ini, tetapi PAS terus dengan slogannya.
Pertikai Hukum
Saya meyakini keikhlasan YAB TG Nik Abd Aziz Nik Mat. Saya banyak kali bersembang dengan beliau secara peribadi, ternyata hasrat Islam beliau begitu mendalam. Islam itu cuba dilahirkan dalam amalan peribadinya sehingga kepada usaha-usaha politiknya.

NONENamun, tidak semestinya hal yang sama ada dalam diri setiap pembicara atas nama hudud. Sebahagian kadang-kala mengelirukan pihak lain terutama non-Muslim dalam negara kita.

Saya mencadangkan pembaca yang membaca tulisan ini turut membaca artikel saya "Hudud dan Beberapa Gambaran Salah".

Kita tidak boleh mempertikaikan hukum Allah, tetapi kita boleh mempertikaikan cara perlaksanaan dan pentafsiran hukum berkenaan oleh manusia. Ini seperti kita tidak boleh mempertikaikan syariat haji, tetapi kita boleh mempertikaikan amalan haji individu tertentu jika ia tidak bertepatan.

Kita tidak boleh mempertikaikan sistem muamalat al-Quran dan Sunnah, tetapi kita boleh mempertikaikan bank, pajak gadai, syarikat, koperasi dan lain-lain yang menggunakan nama Islam dalam operasi mereka jika kita dapati ia tidak menepati semangat Islam yang sebenar.

Demikian kita tidak boleh mempertikaikan syariat hudud, tetapi kita boleh mempertikaikan perlaksanaan oleh pihak tertentu apabila kita dapati ia tidak memenuhi semangat keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasul-Nya.

Namun, tujuannya hendaklah untuk memelihara nama Islam agar tidak disalahgunakan atau disalahfahami.
Sukar

Sesuatu yang wajar diakui bahawa bukannya mudah untuk melaksanakan hudud di zaman kini, terutama di negara kita yang mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dibanding hari-hari awal hudud dilaksanakan.

Dalam masyarakat seperti kita, melaksanakan hudud tanpa penelitian bagaikan memasang pintu istana untuk sebuah rumah buruk. Ia bukan menambahkan kecantikan, sebaliknya mungkin merobohkan rumah yang buruk itu dan merosakkan pintu yang cantik dan berharga itu.

Tokoh ilmuwan Muslim yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya Punishment in Islamic Law menyatakan bahawa dari penelitian beliau bahawa belum sempat dua kurun selepas kewafatan Nabi SAW hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia Muslim.

NONESejak zaman Abbasiyah lagi penekanan perlaksanaan hudud sudah tiada. Ini disebabkan kerangka masyarakat seperti mana waktu hudud dilaksana pada awal sudah lagi.
Dalam The Oxford Encyclopedia of the Islamic World, John L Esposito menyebut bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang di beberapa negara tetapi tidak dilaksanakan, ini seperti di Libya dan Pakistan.

Sementara di Sudan dan Utara Nigeria hanya dilaksanakan beberap tahun selepas diperkenalkan, kemudian dihentikan. Pada zaman kini hanya Arab Saudi menjadi contoh dalam perlaksanaan hudud.

Ada pendapat menyebut bahawa penulisan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan hudud, ini seakan menunjukkan semacam ia terhenti. Sementara itu tokoh seperti Prof Tariq Ramadan dalam artikelnya "An International Call for Moratorium on Corporal Punishment" pula menyeru kepada moratorium (penangguhan) hudud disebabkan keadaan dunia yang berubah.

Demikian juga tokoh fikah yang terkenal as-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam Fatawa Mustafa al-Zarq meminta agar hukuman rejam tidak dilaksanakan di zaman kini kerana itu akan menjadi fitnah kepada Islam.
Tiga golongan
Maka, mereka yang enggan menerima perlaksanaan hudud itu ada tiga golongan; pertama, mereka yang membenci hudud itu sendiri dan menganggapnya zalim dan buruk. Maka golongan ini rosak akidahnya.

Kedua, mereka yang tidak menolak hudud tetapi menolak tafsiran perincian hudud yang dibuat oleh pihak tertentu. Ini kerana nas-nas hudud dalam al-Quran dan hadis umum, perinciannya adalah ijtihad ataupun tafsiran para pengkaji.

Sebagai contoh, Prof Dr Hashim Kamali seorang sarjana Muslim yang terkenal telah menulis mengkritik enakmen hudud Kelantan dan Terengganu. Sesiapa yang berminat boleh membaca tulisan beliau ‘Hukuman Dalam Undang-Undang Islam: Suatu Penelitian Terhadap Hukum Hudud Kelantan dan Terengganu".

Golongan ini tidak boleh dianggap mengkritik Islam sebaliknya mengkritik tafsiran pihak tertentu tentang hudud. Golongan ketiga, mereka tidak menolak hudud tetapi menyatakan keadaan hari ini ataupun masyarakat yang sedang ada tidak kondusif untuk dilaksanakan hudud.

Dalam erti kata lain, persekitaran yang membolehkan hudud itu berfungsi dengan adil tidak wujud. Maka hudud mestilah ditangguhkan sehingga suasana yang sesuai itu muncul. Ini seperti kita menyatakan haji itu wajib tetapi oleh kerana kewangan tidak cukup, ataupun perjalanan tidak aman, maka hendaklah ditangguhkan.

Jika hudud dilaksanakan juga ia tidak akan mencapai tujuan yang Allah kehendaki. Golongan ketiga tidak menolak hudud tetapi menyatakan bahawa dari segi maqasidnya ia tidak wajar dilaksanakan pada waktu ini sebelum suasana yang kondusif muncul.
Tujuan kenegaraan
Hakikatnya tujuan kenegaraan dalam Islam bukanlah untuk hudud. Tujuan kenegaraan lebih luas dari itu. Pemerintah menegak social justice ataupun keadilan masyarakat dalam segala aspek. Hudud hanyalah mekanisme dalam mengatasi jenayah tertentu. 

Bahkan perkataan ‘hudud Allah' dalam al-Quran tidaklah merujuk kepada undang-undang jenayah sebaliknya dalam Surah al-Baqarah ayat 187 merujuk kepada hukum-hakam puasa, Surah al-Baqarah ayat 229-230 merujuk kepada hukum-hakam talak, Surah an-Nisa ayat 13 tentang harta pusaka, Surah al-Mujadilah ayat 4 tentang hukum zihar, Surah at-Talaq ayat 1 tentang edah talak.

Ertinya perkataan hudud dalam al-Quran secara peraturan Allah bukan hanya tertumpu kepada hukum jenayah sahaja.
Menjadikan politik tertumpu kepada hudud bukan satu kebijaksanaan. Tidak dari segi maqasid agama, tidak juga dari segi kepentingan politik. Tujuan politik jauh lebih luas dari hanya membincang cara memotong tangan pencuri.

Sebelum pencuri dipotong tangan, politik sepatutnya membincang bagaimana memastikan tiada alasan untuk sesiapa pun mencuri disebabkan keadilan dan kebajikan negara. Hendak dipastikan semua warga sama di hadapan undang-undang.

Tidak boleh ada pihak yang boleh bermaharajalela yang jika mereka didakwa, yang membawa kes pula akan dikenakan di bawah akta hasutan.

Jangan sampai rakyat yang mencuri di pasar raya dipotong tangan, tapi pembesar yang mencuri hutan balak negara dibiarkan.
Akhirnya, saya ingin memetik apa yang al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar'iyyah:

"Berkata al-Shafi'i: Tiada siasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak. Kata Ibn ‘Aqil: Siasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya.

"Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu 'Tiada siasah melainkan apa yang menepati syarak' iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah.

"Apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan agama-Nya. Allah SWT lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk hanya membataskan jalan-jalan keadilan dan tanda-tanda serta alamat-alamatnya dengan sesuatu kemudian menafikan apa yang lebih jelas daripada itu, lebih kuat dalilnya, lebih nyata tandanya, lalu dia tidak menerima dan menilai kewujudannya dan menegakkan tuntutannya.

"Bahkan Allah SWT telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hamba-Nya dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya.

Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa siasah yang adil itu menyanggahi apa yang ungkapkan oleh syarak, sebaliknya ia menepatinya. Bahkan siasah yang adil itu satu juzuk dari syarak.

"Kita menamakannya siasah mengikut istilah mereka padahal sebenarnya ia adalah keadilan Allah dan rasul-Nya yang zahir menerusi tanda-tanda dan bukti-bukti tersebut."

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkang pendirian rasmi Malaysiakini.

Himpunan Hijau akan buat sekatan di Pelabuhan Kuantan


  • Hazlan Zakaria
  • 5:11PM Sep 5 2012
 
Kumpulan alam sekitar Himpunan Hijau berikrar untuk membuat sekatan di Pelabuhan Kuantan sekiranya syarikat pelombong nadir bumi Lynas mula menghantar bahan berkenaan untuk diproses di lojinya di Gebeng.

Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack memberi jaminan bahawa penghantaran itu tidak akan melepasi sekatan mereka.

"Kami akan adakan keingkaran awam terbesar di negara ini dan mengumpulkan semua golongan.

"Pelabuhan Kuantan tidak akan beroperasi selagi bijih berkenaan berada di situ," katanya.

Kenyataannya itu timbul susulan keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) untuk meluluskan Lesen Pengendalian Sementara (TOL) kepada Syarikat Lynas (Malaysia) Sdn Bhd (Lynas) secara bersyarat hari ini.

Kenyataan AELB menyebut, mesyuarat lembaga itu pada hari Isnin lalu berbuat hati bahawa Lyna mematuhi semua aspek teknikal untuk lesen tersebut.

Ia termasuk kaedah kawalan debu serta imobilisasi bahan radioaktif dalam residu, dan keperluan perundangan yang ditetapkan.

"Lembaga juga mengambil maklum bahawa Lynas telah membuat komitmen untuk membawa residu Water Leach Purification (WLP) yang terhasil dalam projek LAMP keluar daripada Malaysia dalam bentuk produk komersial," kenyataan itu dipetik.
Sementara itu, kumpulan yang menentang operasi loji pemprosesan nadir bumi Lynas, Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas (SMSL) berkata mereka akan memfailkan injunksi di mahkamah untuk menghalang lesen operasi sementara (TOL) kepada loji di Gebeng, Kuantan itu daripada dikuatkuasakan.

Seorang jurucakap SMSL memberitahu Malaysiakini bahawa badan tersebut telah mengarahkan peguam mereka supaya memfailkan injunksi berkenaan.

Katanya, injuksi itu sekurang-kurangnya bagi membolehkan dua permohonan semakan kehakiman yang difailkan mereka sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan.

Permohonan semakan kehakiman pertama adalah ke atas penganugerahan TOL kepada loji Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan satu lagi ke atas keputusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Maximus Ongkili yang menolak rayuan mereka.

TOL berkenaan, bagaimanapun dikeluarkan oleh AELB kepada syarikat perlombongan nadir bumi Australia itu.
[Baca berita penuh]

 
 
 
 

Menteri: Kolej buat pertimbangan wajar pecat pelajar tunjuk punggung


8:05AM Sep 6 2012 
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya keputusan pengurusan sebuah kolej swasta di Cheras memberhentikan seorang pelajarnya berikutan insiden menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara telah dipertimbangkan dengan sewajarnya.

Beliau berkata tindakan itu wajar dilakukan kerana ia telah mencemar nama baik institusi pengajian tinggi berkenaan.
    
NONE"Saya percaya keputusan memberhentikan pelajar itu telah 

dipertimbangkan sebaik-baiknya sehingga membawa kepada pemecatan itu," katanya kepada pemberita di Bangi malam tadi.

Beliau mengulas mengenai seorang pelajar semester tiga Diploma Multimedia Kreatif sebuah kolej, yang ditahan semalam dan kemudiannya dibebaskan berhubung insiden menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara pada sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka, malam Khamis lepas.

Difahamkan pelajar itu diberhentikan serta merta untuk mencerminkan pendirian pihak kolej yang tidak akan berkompromi dengan sebarang tingkah laku menyalahi undang-undang negara.

Ditanya sama ada pelajar itu boleh merayu untuk menyambung semula pengajiannya, Khaled berkata ia terpulang kepada budi bicara kolej berkenaan.

Beliau, bagaimanapun berkata pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar terbabit, juga telah diberhentikan serta merta.
    
Terdahulu, Khaled menghadiri majlis tinjauan mesra menteri bersama pelajar Kolej Keris Mas sempena Minggu Mesra Pelajar Sesi Akademik 2012-2013 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.
    
Dalam ucapannya, beliau menasihati pelajar supaya memahami dan menghayati matlamat berada di universiti iaitu untuk menguasai ilmu pengetahuan.

"Anda perlu memahami kebebasan. Tapi ia tidak bermaksud kita membuat apa yang kita suka dan melanggar undang-undang negara," katanya.

Seramai 521 pelajar baru mendaftar masuk ke Kolej Keris Mas untuk sesi akademik 2012-2013. Mereka antara 3,180 pelajar baru yang mendaftar di UKM sesi tersebut.

- Bernama

Penganjur: 'Anak muda berani' kibar Sang Saka


12:08PM Sep 5 2012 
Penganjur perhimpunan Janji Demokrasi mempertahankan tindakan individu yang mengaku mengibarkan bendera Sang Saka Malaya ketika sambutan ambang kemerdekaan, 30 Ogos lalu dengan menyifatkannya sebagai satu tindakan berani.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Gabungan JANJI turut menyeru akhbar dan ahli politik supaya tidak lagi mengecam remaja yang bertanggungjawab mengibarkan bendera tersebut.
NONE"Dua anak muda telah dengan gagah berani mengakui bahawa mereka mengibarkan bendera bersejarah ini.
"Ini bertujuan untuk mengingati kembali sejarah para pejuang kemerdekaan yang telah dilupakan.
"Gabungan JANJI menyeru semua ahli politik dan media terutamaUtusan Malaysia untuk memberhentikan perangai bodoh mengancam anak-anak muda yang berani ini.

Gabungan 47 NGO itu turut menyelar tindakan polis yang berhasrat untuk menyiasat Datuk A Samad Said kerana membaca sajak pada malam tersebut. 

"Pada 28 Ogos, Pak Samad telah menulis sebuah sajak bernama Janji Demokrasi dan dibacakan pada malam ambang Merdeka 30 Ogos. Gabungan JANJI meminta pihak  polis dan kerajaan hentikan perangai bodoh yang ingin mengancam dan menggangu ini.

himpunan janji democracy 310812 samad said"Pak Samad membaca sajak kerana itu adalah hak kebebasan beliau. 

"Gabungan Janji menyeru semua sektor – politikus, media dan pihak kerajaan agar tidak meneruskan perangai bodoh mempolitikkan pekara tersebut. Janji Demokrasi datang ke Dataran Merdeka untuk merayakan ambang Merdeka bersama orang ramai," kata kenyataan itu lagi.
Gabungan NGO berkenaan bagaimanapun tidak menyokong tindakan segelintir individu yang dilaporkan memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan juga gambar pengerusi Suruhanjay Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Yusof.
"Kami tidak bersetuju dengan Najib dan Rosmah – cara kami ialah melalui perbincangan. Kami harap memijak gambar ini tidak akan berlaku lagi. Sesiapa yang melakukannya wajib bertanggung jawab."
NONEDalam gambar insiden tersebut yang kini beredar di Internet, seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an, kelihatan melondehkan seluarnya dan menunjukkan punggungnya pada gambar Najib, Rosmah serta Abdul Aziz.

Manakala dalam video yang dimuat naik ke YouTube oleh blogger pro-BN Yuseri Yusoff,  orang ramai memijak gambar Najib dan Rosmah yang telah koyak, yang dikatakan selepas insiden tersebut.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata ia memandangkan perbuatan mengibarkan "bendera baru" Sang Saka Malaya dengan serius.
Ketua setiausaha kementerian itu Datuk Abd Rahim Mohd Radzi berkata tindakan itu dijalankan individu yang tidak bertanggungjawab.
"Jelas sekali jika perkembangan seperti yang berlaku baru-baru ini tidak dibendung dan masyarakat keseluruhannya tidak memahami kesan dan implikasi negatif daripada perbuatan seumpama ini, ia dikhuatiri akan menjejas kepentingan awam dan menyemai rasa benci di kalangan masyarakat.
"Masyarakat perlu faham bahawa apa yang berlaku adalah bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia. KDN dengan penuh komited akan bersama-sama membantu pihak polis untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat," katanya.
Polis Diraja Malaysia membentuk tiga pasukan khas untuk menyiasat tindakan peserta perhimpunan itu mengikut Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 290, 504 dan 509 Kanun Keseksaan.