Wednesday, February 15, 2012

PRU13: Kenapa SPR guna dakwat kekal berbeza?

KUALA LUMPUR, 16 Feb: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mempersoalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggunakan warna dakwat kekal yang berbeza bagi undian awal dan undian biasa di dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar)menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di dalam Sinar Harian hari ini yang beranggapan dengan pembezaan warna dakwat kekal itu akan dapat mempastikan kelancaran proses pengendalian pilihanraya yang telus, bebas serta bersih sepenuhnya.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia tetap menolak penggunaan dakwat yang berbeza untuk pengundian pada kali ini kerana masih ada ruang-ruang untuk manipulasi penipuan akan berlaku sekiranya penggunaan dakwat berbeza ini dilaksanakan,” katanya kepada Harakahdaily.

Contohnya, kata beliau sebelum ini Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mendedahkan bahawa ada dalam kalangan pengundi pos dari kalangan penjawat awam seperti tentera dan polis serta lain-lain juga mempunyai kelayakan untuk mengundi sebagai pengundi awam kerana mereka mempunyai dua pengenalan diri.

Tambahnya, penggunaan dakwat yang berbeza masih lagi tidak akan menyelesaikan masalah pengundi yang berganda.

Justeru, ujarnya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan SPR supaya jangan bersikap ‘bodoh sombong’ dan perlu belajar dengan negara-negara lain yang lebih mampu menguruskan hal-hal pilihan raya yang lebih telus dengan skala pengundi yang lebih besar.

Beliau berkata, pihaknya mempertegaskan kepada pihak SPR supaya menggunakan hanya satu warna dakwat kekal sahaja di dalam pilihanraya umum nanti selain mempastikan buku daftar pemilih pengundi telah ‘diputihkan dan dibersihkan’ sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment