Menurut Husam, jika JATI benar-benar ditubuhkan untuk memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja, maka ia sepatutnya berganding bahu dan bukannya memilih bergaduh dengan PAS.
“JATI diperalat Umno untuk menyerang PAS,” kecam Husam yang juga ahli exco kerajaan negeri Kelantan dalam satu kenyataan media, semalam.
Katnya, jika benar bahawa pergerakan itu dibentuk kononnya untuk melindungi agama Islam, maka ia perlu dipimpin oleh seorang ulama.
“Kenapa (Mufti Perak) Tan Sri Harussani tidak mengetui JATI sebagaimana PAS yang diketuai oleh ulama.
“Datuk Hasan Ali bukan ulama dan dia tinggalkan ulama (PAS). Malah menentang ulama PAS. Kontradiksi ini jelas,” katanya.
Husam juga mempersoalkan mengapa JATI perlu menjaga orang Melayu sahaja sedangkan Islam melangkaui kaum dan tidak terhad kepada satu-satu bangsa sahaja.
Mengulas, ucapan yang dibuat oleh Harussani semasa pelancaran JATI bahawa Nabi Muhammad SAW juga anjur pertahankan Raja dan kaum, Husam berkata mufti itu telah mengambil pendekatan yang salah dan tidak sesuai untuk sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.
“Tan Sri Harussani sepatutnya lebih brhati-hati dan telus. Islam atasi kaum dan tidak terhad kepada satu-satu kaum sahaja.
“Malaysia meliputi pelbagai kaum. Jika mahukan kaum lain menerima Islam, maka tidak boleh dihadkan hanya kepada Melayu sahaja,” katanya.
Menurutnya, kenyataan seperti itu hanya membuktikan kegagalan Umno selama ini untuk membangunkan masyarakat Melayu.
Beliau turut memberikan contoh, mengenai beberapa institusi bagi membangunkan masyarkat Melayu pada zaman pemerintahan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang telah digugurkan.
Antaranya, Padiberas Nasional Berhad atau Bernas yang diswastakan dan tanah-tanah Perbadanan Pembangunan Bandar; atau UDA di tengah-tengah bandar, katanya telah dijual, manakala Majlis Amanah Rakyat atau MARA makin mati fungsinya.
“Pendekatan yang salah. Menggunakan agenda perkauman Melayu mengatasi Islam.
“Islam membawa agenda keadilan, perpaduan, kesaksamaan dan kebajikan mengatasi bangsa. Umno hanya menjadikan Islam sebagai alat. Dalam konteks itulah PAS dilihat berbeza dengan Umno,” katanya.
No comments:
Post a Comment