Thursday, February 23, 2012

Bila pula Sultan jadi bayangan Allah?

Minggu ini saya kembali ke Oxford, United Kingdom setelah beberapa minggu berada di Malaysia. Di samping menyambut kedatangan ‘puteri baru’, banyak juga aktiviti yang sempat saya sertai.

Bahang pilihan raya semakin kuat sehingga segala perkara berbau politik. Semasa seminar Islam dan Eropah di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), baru-baru ini, pengarahnya Dr Farhan Nizami bersembang dengan kami. Beliau memberi pandangannya tentang Malaysia.

Katanya, betapa beliau tidak menyangka bahawa bangsa Melayu yang kelihatan sopan santun itu apabila tiba kepada bab politik, mereka berpolitik habis-habisan. Saya senyum sahaja mendengar ulasannya.

NONEBerkaitan fenomena pilihan raya juga, beberapa hari lalu saya menerima begitu banyak soalan berhubung dengan kenyataan “Raja adalah bayangan Allah di bumi”.

Hadis ini katanya telah diwar-warkan oleh pihak tertentu dalam menjustifikasikan perjuangan tertentu.

Saya dengar ada yang lebih lantang lagi dengan menyebut lafaz asal hadis itu – “al-Sultan adalah bayangan Allah di bumi – bagi merujuk sultan pilihannya. Ada pula yang seakan ingin menyuburkan feudalisme Melayu dengan hadis tersebut.

Saya bergurau dengan sesetengah pihak yang berminat menggunakan hadis itu dengan berkata: “Raja yang menjadi bayangan Allah itu Raja Jordan ke, atau Raja Saudi? Atau Raja Moroko? Oleh kerana terlalu umum, apakah boleh juga digunakan oleh Raja Siam?

thailand airport reopen flights king speech tourism 041208 03Sebenarnya, perkataan yang digunakan dalam hadis ‘al-Sultan, bukan al-Malik (Raja). Jika ia difaham secara bahasa Melayu, mungkin para sultan seperti Sultan Qabos di Oman atau Sultan Brunei tergambar semasa membaca hadis ini.

‘Negara Pasir Berdengung’

Sudah pasti bukan Sultan Damsyik Jani dari ‘Negara Pasir Berdengung’ dalam filem Do Re Mi arahan allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Sebenarnya hadis tersebut mempunyai banyak riwayat. Ada yang palsu, ada yang sangat daif (daif jiddan), ada yang daif dan ada yang hasan, ataupun mungkin boleh mendekati sahih.

Antara lafaz yang palsu atau sekurang-kurang teramat daif (bermaksud):

“Al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika mereka berbuat baik bagi mereka pahala dan wajib ke atas kamu syukur. Jika mereka jahat, mereka mendapat dosa, wajib ke atas kamu sabar. Janganlah kejahatannya itu menyebabkan kamu keluar dari ketaatan. Ini kerana, sesungguhnya kehinaan dalam mentaati Allah (dengan mentaati sultan yang jahat) lebih baik dari kekal dalam neraka (kerana menentang sultan). Jika tidak kerana mereka, manusia tidak akan aman”. (Hadis ini dihukum oleh al-Albani sebagai ‘terlalu daif’ dalam Silsilah al-Daifah/ no 1664.)

Namun secara kesimpulan penilaian hadis, setakat lafaz “al-Sultan bayangan Allah di bumi” adalah sahih disebabkan pelbagai riwayat.

Adapun tambahan selepas lafaz tersebut ada yang hasan, daif, sangat daif dan palsu.

Ada juga riwayat dalam al-Jami’ al-Saghir oleh al-Sayuti (meninggal 911H) yang menyebut (bermaksud):

“Al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu negeri yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya.”

azlanSaya bimbang menjelang musim berkempen ini akan ada yang menggunakan riwayat yang daif ini untuk melarang orang tinggal di negeri-negeri yang tiada sultan seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Kemudian, di negara Arab, hanyalah negara Oman yang boleh tinggal dalamnya sebab masih ada Sultan Qabos. Selainnya sudah tiada sultan. Indonesia pun tidak boleh tinggal dalamnya kerana sudah tiada sultan.

Hanya Brunei yang sesuai. Jangan sampai begitu pula tafsiran kita.

Apakah maksud al-Sultan?

Perkataan al-Sultan bukanlah bermaksud pemerintah yang memakai gelaran ‘sultan’. Jika tidak sudah pasti al-Khulafa al-Rasyidin menggunakan gelaran sultan. Sultan bermaksud pihak yang berkuasa.


Ertinya ia merangkumi semua mereka yang mempunyai kuasa pemerintahan tanpa mengira apa pun gelarannya. Abu Bakr al-Siddiq naik memerintah selepas Rasulullah memakai gelaran ‘Khalifah Rasulillah’.

NONEKemudian pada zaman ‘Umar mula diperkenalkan gelaran ‘Amir al-Mukminin. Selepas itu beberapa dinasti seperti Ayyubiah, Mamalik dan ‘Uthamaniyyah memakai gelaran sultan. Mereka itu kebanyakannya bukan arab. Ada juga yang memakai al-Malik iaitu ‘raja’ dan sebagainya.

Maka hendaklah jelas, perkataan sultan dalam hadis merujuk kepada ulul amri iaitu mereka yang berkuasa memerintah. Jangan putarkan hadis untuk pemainan politik.

Ertinya, secara literal dalam konteks Malaysia, perdana menteri juga zhillu Allah ataupun bayangan Allah di bumi. Demikian Presiden Mesir, Libya dan sebagainya.

Kini kita wajar bertanya apakah maksud bayangan Allah? Apakah kita memahami seperti golongan literalis yang akan melihat sultan atau raja atau penguasa atau presiden sebagai benar-benar bayangan Allah yang kemudian mungkin dijustifikasikan segala tindakannya.

NONEJika mereka itu berjudi di London ini sehingga tergadai balak dan minyak di negara mereka, apakah itu bayangan Allah? Jika mereka kejam seperti Assad di Syria, atau mereka rasuah dan bermewahan dengan harta rakyat jelata, apakah mereka tetap dimuliakan sebab mereka bayangan Allah?

Bayangan Allah

Jika kita faham makna khalifah, ia bermaksud pengganti ataupun wakil. Apabila kita menyebut manusia khalifah Allah bermaksud manusia mengganti Allah di bumi.

Ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah ayat 30 berhubung manusia sebagai khalifah Allah di bumi, al-Imam al-Baidawi berkata:

“Khalifah itu dari bermaksud (segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak yang lain atau menjadi penggantinya. Yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat ini adalah Adam AS kerana beliau merupakan khalifah Allah di bumiNya.

“Demikian sekelian nabi yang Allah utuskan mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan manusia, menyempurnakan keperluan mereka dan melaksanakan perintah Allah ke atas mereka.” (Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/64).

Makna yang sama merujuk kepada sultan ataupun penguasa itu bayangan Allah di bumi. Bukan bermaksud kesucian penguasa sehingga tidak boleh dibahas dan dipertikaikan. Sama sekali tidak!

NONESebab betapa ramai manusia ini yang Allah tabalkan menjadi khalifah telah melakukan kerja yang sebaliknya. Apakah kita tetap mempertahankannya atas nama khalifah Allah?

Justeru al-Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir ketika menafsir maksud: “al-Sultan bayangan Allah di bumi”, beliau berkata:

“Kerana dia memelihara manusia dari keburukan seperti bayang memelihara dari panas matahari”.

Ya! Demikianlah tugasan penguasa!

Kepentingan politik

Dalam masa yang sama kita hendaklah sedar, bahawa berlebihan dalam menggunakan agama untuk kepentingan politik telah mengorbankan agama itu sendiri. Inilah yang berlaku di Barat yang diistilahkan sebagai secularism ataupun lebih mudah difahami sebagai a movement towards the separation of religion and government.

Walaupun secularism itu mempunyai akar yang lama sejak zaman Greek dan Roman tetapi di Eropah ia subur dan diperjuangkan pada era Enlightenment akibat dari kesedaran rakyat tentang betapa buruk peranan agama dalam politik. Saya akan bahaskan nanti.

Islam memandu politik supaya harmoni dan kudus. Islam bukan alat politik tetapi cahaya yang menerangi jalan politik yang dibina atas maslahah rakyat.

NONESultan ataupun penguasa bayangan Tuhan boleh disalahtafsirkan seperti yang berlaku dalam sejarah politik pelbagai bangsa. Akibatnya, kerakusan penguasa mencengkam rakyat dan dihalalkan atas nama Tuhan.

Jika hendak memahami maksud penguasa bayangan Tuhan dalam Islam, fahamilah ucapan Abu Bakr al-Siddiq apabila menjadi khalifah:

"Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.

“Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan.

“Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku."(Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

Inilah insan yang paling faham maksud sultan itu bayangan Allah di bumi. Jangan kita gadaikan Islam untuk suatu pentafsiran nas yang akhirnya akan menimbulkan syak manusia terhadap Allah dan Rasul-Nya.


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis. Beliau kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment