Aziz Muda , | 08 Feb 2012 |
KUALA LUMPUR, 8 Feb: Dr Mujahid Yusof Rawa secara jujur mengakui berasa amat teruja dengan inisiatif Penang Institute yang akan mengadakan Forum Legasi Kepimpinan dan Pemikiran Yusof Rawa pada malam esok.
Namun dalam masa yang sama, beliau berusaha menolak tawaran yang dibuat oleh agensi Kerajaan Pulau Pinang itu terhadap beliau agar menjadi salah seorang panel pada seminar tersebut.
Menurut Mujahid, Allahyarham ayahandanya, Yusof Rawa sememangnya diakui pelbagai pihak sebagai tokoh penting yang banyak berjasa bukan sahaja kepada rakyat Pulau Pinang, tetapi juga kepada seluruh rakyat negara ini, malah rantau Nusantara.
Katanya, oleh itu, keperibadian, pemikiran, prinsip hidup dan asas perjuangannya amat perlu ditonjolkan oleh pelbagai pihak untuk dikenali dan dihayati oleh seluruh lapisan rakyat negara ini terutama kepada generasi muda.
"Sejarah hidup dan perjuangan Allahyarham Haji Yusof Rawa sebenarnya bukan sahaja terhad dalam aspek politik, tetapi juga merangkumi agama, pendidikan, keusahawanan dan perpaduan antara kaum di negara ini.
"Jadi forum seperti itu amat wajar diadakan oleh pelbagai pihak bagi membolehkan tokoh tersebut dikenali dengan lebih dekat oleh setiap rakyat negara ini bagi dijadikan inspirasi dalam perjuangan," katanya yang juga AJK PAS Pusat ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.
Penang Institute atau Institut Pulau Pinang yang dahulunya dikenali sebagai Seri kini telah mengambil langkah untuk mengembalikan fungsi Pulau Pinang sebagai hub intelektual Nusantara dengan menganjurkan Forum Intelektual Nusantara.
Forum tersebut merupakan siri forum awam yang mengetengahkan pandangan alam dan budaya fikir cendekiawan, sasterawan, budayawan dan institusi-institusi kelimuan yang ada kaitan dengan Pulau Pinang dan hubungannya dengan kebudayaan Nusantara secara keseluruhannya.
Pulau Pinang yang suatu ketika dulu merupakan pusat pertembungan perdagangan, kebudayaan dan keilmuan yang sangat kosmopolitan sifatnya telah banyak mencambahkan benih perubahan dalam masyarakat.
Tidak mahu hanya dibelenggu oleh romantism silam, Penang Institute turut terpangil untuk mengajak seluruh rakyat Pulau Pinang untuk bersama-sama mengembalikan kegemilangan itu kepada kejayaan masa depan rantau Nusantara.
Setelah dua siri forum berlangsung, Penang Institute kini turut mengambil inisiatif menganjurkan Forum Legasi Kepimpinan dan Pemikiran Yusof Rawa pula pada malam esok, 9 Februari, mulai jam 7.30 malam di Auditorium Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Forum yang akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman itu akan dipengerusikan pengamal media dan penggiat politik, Mohd Hashim, manakala barisan panelnya terdiri daripada Dr Mujahid sendiri, pengarang dan tokoh wartawan, Subky Abdul Latif dan ahli akademik yang juga penyelidik, Prof Madya Dr Fadlullah Jamil.
Allahyarham Tuan Guru Yusuf Abdullah Ar-Rawi atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Yusof Rawa dilahirkan pada 8 Mei 1922 dan meninggal dunia pada 28 April 2000 yang bukan sahaja pemikir dan ahli politik, malah ahli perniagaan yang dihormati.
Beliau adalah pengasas Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan dilantik sebagai Bendahari Kehormat yang pertama dalam pertubuhan tersebut.
Allahyarham, anak kepada Abdullah Mohamad Noordin ar-Rawa yang banyak menerbitkan kitab-kitab jawi, adalah tokoh gerakan Islam dan bekas Yang Dipertua atau Presiden PAS dan merupakan satu-satunya pemimpin PAS yang memegang kedua-dua jawatan terpenting dalam parti iaitu Presiden dan juga Mursyidul Am.
Beliau yang dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang dari kalangan peniaga dan pengusaha percetakan merupakan anak Pulau Pinang yang pertama menjawat jawatan menteri dalam kabinet Malaysia.
Allahyarham bersekolah Melayu Jalan Carnarvon, sekolah menengah di Government English School dan kemudian ke Penang Free School sehingga lulus peringkat Junior Cambridge sebelum ke Mekah.
Beliau berperanan penting dalam penerbitan majalah al-Islah yang membawa idea-idea progresif pada tahun 1970 dan mengajukan perspektif yang luas terhadap hubungan pendidikan dan konsep kewarganegaraan.
Menurut Mujahid, sebelum menganjurkan forum itu, pihak Penang Institute telah mengadakan perbincangan dengan beliau terlebih dahulu dan sehubungan itu turut menawarkan kepadanya untuk menjadi panel pada forum tersebut.
"Disebabkan saya adalah anaknya, tentunya tidak kena jika saya yang menjadi anggota panelnya bagi menerangkan tentang jasa-jasa bapa saya sendiri kepada orang ramai.
"Jadi, saya telah mencadangkan kepada pihak Penang Instutute agar mencari tokoh-tokoh lain sebagai panelnya. Sekiranya hendak dilibatkan saya juga, memadailah jika saya membicarakannya dari aspek kekeluargaan sahaja yang membabitkan antara saya dan ayah saya secara langsung," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.
Beliau yang jelas tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya di atas inisiatif tersebut turut merakamkan penghargaan yang tinggi kepada pihak Kerajaan Pulau Pinang dan Penang Instutute kerana berusaha menonjolkan bapanya kepada orang ramai.
"Tentunya amat rugi jika anak-anak muda terutama yang tinggal di Pulau Pinang tidak mengambil manfaat untuk sama-sama hadir mengikuti forum itu nanti.
"Tambahan pula, panel-panel yang terlibat kesemuanya bukan sekadar rapat dan mengenali Allahyarham secara dekat, malahan juga turut berkemampuan mengupas segala pemikiran Allahyarham dengan jelas dan tepat," katanya.
Sebelum ini, tambahnya, forum seperti itu pernah dianjurkan oleh pihak Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, tetapi penganjuran oleh Penang Institute pada malam esok ternyata lebih besar, terbuka dan lebih memudahkan orang ramai mengikutinya.
Sejajar dengan pengorbanan dan jasa-jasa Allahyarham yang sebegitu besar kepada negeri Pulau Pinang khasnya, beliau serta keluarganya dan beberapa pihak kini sedang mengambil beberapa inisiatif untuk mengabadikan nama bapanya kepada pertubuhan atau pembinaan tertentu.
Antaranya termasuklah menamakan sebatang jalan di Pulau Pinang dengan nama bapanya dan pembinaan sebuah yayasan yang akan diberi nama Yayasan Yusof Rawa tidak lama lagi.
Dengan itu diyakini seluruh rakyat Pulau Pinang khasnya dan rakyat Malaysia amnya akan sentiasa mengingati pengorbanan dan perjuangannya yang melepasi sempadan politik dan kaum, bagi dijadikan sumber inspirasi generasi muda ke arah perjuangan yang benar-benar memberi nilai kepada agama dan negara.
No comments:
Post a Comment