Friday, August 23, 2013

Anjing dan isu masyarakat Malaysia

 
Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara sensitif mudah timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan muncul. Sememang inilah realiti masyarakat ‘era baru' kini yang mempunyai pelbagai dimensi dan perspektif baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang hidup dalam era yang lepas. 

Umpamanya apabila isu video anjing yang dikaitkan dengan umat Islam menyambut hari raya timbul, pelbagai reaksi lahir. Ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi Islam. Ada yang kata video itu hina umat Islam. 

Ada yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata, apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.

Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara ringkas isu-isu berikut:

Samakan dengan anjing

Walaupun manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya semua masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing merupakan satu penghinaan. 

Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man's best friend' namun jika kita berkata ‘you are like a dog' ia merupakan satu penghinaan. Jika pun ada yang memahami dengan maksud kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan yang membuta tuli.

Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman Allah yang bermaksud: 

"Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-'Araf: 175-176).

Jadi, jika masyarakat muslim sensitif apabila mereka ataupun amalan mereka dibandingkan dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang membuat apa-apa provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar dan ingin menimbul permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab. Perbuatan itu merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini.

Islam benci anjing?

Ada orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?

Dalam al-Quran, Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah yang bermaksud: 

"Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka." (Surah al-Kahfi, ayat 18).

Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat Yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir'. 

Sementara dalam hadis pula, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: 

"Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu" (Riwayat al-Bukhari).

Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing? Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.

Bolehkah muslim memiliki anjing?

Dalam al-Quran, Allah menyebut yang bermaksud: 

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" bagi menjawabnya: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisab-Nya" (Surah al-Maidah, ayat 4)

Binatang pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi (meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.

Ertinya, muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab al-Kahfi yang disebutkan tadi.

Bolehkah muslim memegang anjing?

Ada yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. 

Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek.

Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. 

Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah" (Riwayat al-Bukhari).

Memelihara anjing dalam rumah

Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: 

"Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. 

Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.

Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. 

Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.

Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak penyelidikan yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. 

Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!

Dalam hadis tadi Nabi SAW bersabda: "Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah" (Riwayat al-Bukhari).

Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifik maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.

Maka ini ringkasan yang sempat saya coretkan petang ini berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan dengan anjing.


Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas mufti Perlis.

Wednesday, June 12, 2013

'Masa jahat tidak tangkap, bila buat baik kena pula'

http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/19987-masa-jahat-tidak-tangkap-bila-buat-baik-kena-pula

Harakahdaily,12 Jun 2013

KUALA LUMPUR:"Masa saya buat jahat dalam Umno dulu tidak pun kena tindakan tetapi bila saya nak buat baik dalam PAS ni kena tindakan pula," kata Tamrin Tun Ghafar(gambar) yang buat pertama kalinya ditangkap polis  baru-baru ini.

Bukan sekali tetapi beliau telah dua kali ditangkap secara yang agak kasar oleh polis berhubung dengan kenyataannya tentang pilihan raya umum lalu.

"Saya ditahan oleh Polis Bukit Aman. Polis sedang menunggu saya menghabiskan makan tengahari di Chawan (Restoran), Bangsar," kata Tamrin dalam sms kepada rakan-rakannya apabila buat pertama kalinya ditangkap pada 23 Mei lalu.

Ketika itu Tamrin bersama seorang rakannya sudah memesan makanan untuk makan tengahari di sebuah restoran dekat Bangsar.

Seorang yang mengaku sebagai pegawai polis datang meminta beliau mengikutnya ke balai polis.

Oleh kerana beliau sudah memesan makanan untuk makan tengahari, beliau memohon supaya beliau makan dulu serta mengajak polis berkenaan untuk makan sama.

Namun, pegawai polis itu berkata, beliau kena pergi ke balai sekarang juga atas arahan pegawai atasannya.

Setelah bertengkar, polis itu membiarkannya makan.

Sekali lagi pertengkaran belaku apabila beliau sedang membuat bayaran dan menunggu bayaran baki dari tuan restoran tersebut.

"Sedang saya tunggu bayaran baki, sekali lagi dia paksa saya ke balai. Saya kata tunggu bayar baki sekejap. Namun pegawai polis itu berkeras.

"Sekali lagi saya naik berang dan menjerit kepada polis itu dan diperhatikan oleh semua yang ada di kedai itu," cerita Tamrin mengenang kembali saat beliau di tahan polis buat pertama kalinya.

Tamrin kemudiannya di bawa ke balai polis Jinjang. Sesampai di sana, sehingga lewat petang, pegawai penyiasat kes itu belum ada.

Beliau naik berang kerana ketika hendak di tahan mereka menggunakan alasan hendak cepat sehingga tidak boleh makan dan tidak boleh tunggu untuk mengambil baki bayaran.

Tetapi apabila sampai ke balai, masa di habiskan begitu sahaja kerana menunggu pegawai penyiasat kes yang entah ke mana.

Malam itu, Tamrin serta dua lagi tahanan iaitu Haris Ibrahim dan Tian Chua tidur di lokap balai polis Jinjang.

Mereka diberikan pakaian oren sebagai orang tahanan sambil menunggu di bawa ke mahkamah dalam masa 24 jam untuk mendapatkan perintah tahanan reman dari mahkamah.

"Dapatlah saya merasa buat pertama kalinya tidur di lokap yang dalamnya ada pangkin kayu keras, makan berlauk kaki ayam dan mandi serta berak dengan diperhatikan orang melalui CCTV," kata Tamrin.

(Tamrin dan Tian Chua berpakaian orang tahanan di Balai Polis Jinjang)

Apabila di bawa ke mahkamah, dengan pembelaan pasukan peguam yang membela secara sukarela, Tamrin, Haris dan Tian Chua dibebaskan tanpa mendapat kebenaran tahanan reman oleh mahkamah.

Ini kerana, dalam tempoh 24 jam mereka ditahan di lokap, tidak ada sebarang penyiasatan dibuat oleh polis.

"Hujjah para peguam yang diketuai Datuk Ambiga (Sreenevasan), kalau 24 jam tidak ada sebarang penyiasatan, apa guna tahanan reman lebih lama lagi," beritahu Tamrin.

Selepas bebas dan merasai tidur di lokap dan berpakaian sebagai orang tahanan, masing-masing pulang ke rumah tanpa sebarang rasa takut atau bimbang.

Mereka penuh keyakinan mereka tidak bersalah dan apa yang dibuat hanyalah untuk menakutkan orang ramai agar jangan bercakap dan berhimpun membantah pilihan raya ke 13.

"Bagi saya, (Datuk Seri) Zahid Hamidi mahu tunjuk dia lebih tegas dari menteri dalam negeri yang sebelum ini saja. Ini penting untuk pemilihan Umno akan datang," kata Tamrin walaupun Zahid dengan tegas menyatakan beliau tidak ada kena mengena dengan semua tangkapan yang dibuat oleh polis ini.

Tamrin adalah bekas Exco Pemuda Umno bersama Zahid. Beliau pernah menjadi Pengerusi Mara dan mendapat kedudukan tersendiri dalam Umno kerana anak Tun Ghafar, bekas Timbalan Perdana Menteri.

Hujung tahun lalu, Tamrin mengisytiharkan dirinya menyertai PAS.

Selepas empat hari bebas, ada pula orang yang datang kepada beliau. Kali ini mereka mengetuk rumah beliau di waktu lewat petang.

"Ketika itu jam sudah 6.30 petang. Mereka tekan loceng rumah saya. Dengan memakai tuala saja, saya keluar dan mendapati polis yang sama juga datang mencari saya," cerita Tamrin lagi.

Kali ini, polis datang dengan waran untuk menangkap beliau berbanding tangkapan pertama yang dibuat tanpa sebarang waran.

(Tamrin bersama Tian Chua dan Harris  Ibrahim selepas dibebaskan dari Lokap Balai Polis Jinjang)

Mereka meminta beliau pergi ke balai polis pada ketika itu juga.

"Saya kata, tunggulah sekejap, saya belum solat Asar lagi ni. Bagilah saya solat dulu. Mereka kata tak boleh, di balai pun ada surau.

"Saya kata, kalau pergi sekarang tidak ada jaminan saya sempat solat Asar di sana. Dengan jalannya yang  jam pada waktu itu, biarlah saya solat Asar dulu.

"Mereka berkeras nak bawa masa itu juga. Sekali lagi saya bertekak dengan polis ini supaya tunggu saya solat dulu," cerita Tamrin.

Akhirnya, selepas solat Maghrib, Tamrin di bawa ke balai polis Dang Wangi.  Ketika keluar dari rumahnya, Tamrin memohon maaf kepada polis berkenaan kerana berkasar tadi dan faham mereka hanya menjalankan tugas.

Di sana belum ada yang lain lagi. Selepas itu baru datang yang lain. Haris Ibrahim, Tian Chua yang di bawa dari Port Dickson dan turut kelihatan Safwan Anang yang turut ditangkap. Malam itu, Hishamudin Rais juga datang menyerahkan diri kerana beliau turut dikehendaki polis untuk kes itu.

Sementara mereka didalam berbincang dengan polis dan para peguam, beratus-ratus berhimpun di luar bagi mendesak mereka dibebaskan.

Akhirnya, kesemua mereka dibebaskan demgan jaminan polis sementara menunggu hari perbicaraan.

Apabila keluar, semua mengerumuni mereka. Bagi Tamrin, tidak terdetik sedikitpun ketakutan dan kebimbangan akibat tangkapan ini jika ini tujuan pihak berkuasa berbuat demikian.

"Saya rasa macam hero pula," kata beliau apabila di sambut ratusan orang penyokong yang terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa di luar penjara.

Kelima-lima mereka didakwa di bawah Akta Hasutan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Wednesday, June 5, 2013

Mirzan Mahathir tidak miliki saham Petron Malaysia

 
Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (Petron Malaysia) hari ini memaklumkan kepada Bursa Malaysia yang Mirzan Mahathir tidak memiliki sebarang saham ataupun beliau mempunyai peranan dalam syarikat.
    
Petron Malaysia membuat kenyataan itu sebagai maklum balas kepada pertanyaan daripada seorang pemegang saham di mesyuarat agung tahunan berhubung pegangan saham Mirzan dalam Petron Malaysia dan syarikat induk, Petron Corporation, dan syarikat pegangan, San Miguel Corporation.
    
Syarikat itu mengesahkan yang Mirzan ialah ahli lembaga syarikat induknya, Petron Corporation Filipina.
    
Beliau telah dipilih sebagai pengarah Petron Corporation pada 13 Ogos 2010 dan memegang 1,000 saham,
    
Di bawah undang-undang kecil syarikat, seseorang itu harus menjadi pemegang saham untuk layak sebagai Pengarah.
    
Petron Corporation mempunyai 9.4 bilion saham yang disenaraikan di Bursa Saham Filipina.
    
Sebelum memegang jawatan pengarah dalam Petron Corporation, syarikat berkata yang Mirzan ialah pengarah San Miguel Corporation untuk tempoh singkat dari 1 September 2009 sehingga 15 April 2010.
    
Beliau masa ini menguasai 5,000 saham San Miguel. San Miguel Corporation mempunyai sejumlah 3.3 bilion saham yang disenaraikan di Bursa Saham Filipina.

"Kami berharap yang fakta ini akan mengakhiri segala spekulasi yang berkaitan Mirzan, yang sememangnya tidak adil untuk keluarga Dr Mahathir.
    
"Saham yang dipegang Mirzan dalam San Miguel Corporation dan Petron Corporation sememangnya saham yang melayakkan untuk jawatan pengarah," kata pengerusi dan ketua pegawai eksekutif, Ramon S Ang dalam satu kenyataan.
    
"San Miguel, Petron Corporation dan Petron Malaysia ialah syarikat penyenaraian awam, yang patuh kepada standard ketat tadbir urus," tambah Ang.

- Bernama

Monday, June 3, 2013

'Menang bukan kerana kuat, tapi ketakutan Melayu'

 
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata belum sampai masanya bagi Barisan Nasional (BN) untuk menjadi sebuah parti yang terbuka kepada rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Bekas perdana menteri itu berkata pendekatan terbaik pada masa ini ialah kerjasama antara parti-parti yang mewakili kaum dalam konsep perkongsian kuasa dan kekayaan negara.

"Kita tak boleh ketepikan parti-parti yang mewakili kaum mereka. Walaupun dalam BN terdapat parti-parti yang berbilang kaum, tetapi pada hakikatnya parti yang mendakwa dirinya sebagai berbilang kaum juga didominasi oleh satu kaum sahaja.

"Kalau kita lihat parti Gerakan sebagai sebuah parti berbilang kaum, tapi ia dikuasai oleh orang Cina, jadi belum sampai masa kita boleh ketepikan kaum dan kita adakan satu parti," katanya kepadaBernama di Yogyakarta Isnin.

"Kita lihat DAP umpamanya dikatakan berbilang kaum, tapi sebenarnya dikuasai oleh orang Cina. Demikian juga dengan PKR dikuasai oleh orang Melayu.

"Jadi biasanya, walaupun diadakan satu parti berbilang kaum, satu-satu kaum akan mendominasi dan ini tidak menjadikannya sebuah parti berbilang kaum," kata Dr Mahathir.

Beliau berada di Yogyakarta kerana memberi syarahan umum mengenai "Keamanan Global dan Penyelesaian Konflik" sempena perasmian Mahathir Global Peace School di Universiti Muhammadiyah Yogyakarta (UMY).

Dr Mahathir berkata BN tidak boleh tergesa-gesa menerima sesuatu cadangan tentang corak dan bentuk parti itu di masa depan, sebaliknya semua cadangan perlu dikaji dengan mendalam akan kesan baik dan buruknya.

Beliau ditanya mengenai sama ada BN boleh menerima kemasukan parti-parti pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagaimana Perikatan pada suatu masa lalu membawa masuk parti pembangkang ke dalam parti gabungan itu.

Dr Mahathir berkata BN terbuka kepada parti pembangkang, tetapi mereka mestilah membelakangkan prinsip mereka yang bertentangan dengan perjuangan BN.

Mengenai prestasi UMNO pada PRU13, Dr Mahathir berkata walaupun parti itu menjadi parti terbesar yang menang dalam pilihan raya itu, ia masih berdepan dengan banyak kelemahan.

"Kemenangan UMNO kali ini bukan kerana kekuatan UMNO ataupun perpaduan dalam UMNO, kemenangan UMNO kali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu, terutamanya kalau-kalau parti lawan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim bersama dengan DAP mendirikan kerajaan di Malaysia.

"Kalau mereka mendirikan kerajaan di Malaysia, sudah tentu nasib orang Melayu akan menjadi lebih buruk. Sebab itu mereka memberi sokongan kepada UMNO," kata Dr Mahathir. 

Thursday, May 23, 2013

WANG BANTUAN, UPAH SOKONGAN DAN UNDI - DR. MAZA


Cinta adalah perkara yang tidak boleh dibuat-buat. Ia satu perasaan yang muncul dari lubuk sanubari. Ia lahir dalam jiwa dan diterjemahkan dalam tindakan. Apabila seseorang itu benar-benar kasihkan kita, maka tindakan dan sikapnya terhadap kita juga adalah lambang dan hasil dari keindahan cintanya.

Sesiapa yang ada pasangan yang mencintainya, dia akan tahu keindahan hubungan yang dibina atas cinta. Lihat cara suami atau isteri anda melayan anda, maka anda dapat mengukur tahap cintanya kepada anda. Lagi dalam kasihnya, lagi indah hubungan dan sikapnya terhadap anda. 

Justeru, hendaklah dibezakan antara kehendak seks antara pasangan dan cinta. Seks ada yang berteraskan nafsu semata dan ada yang merupakan gabungan antara cinta dan nafsu. Seseorang yang ghairah seksnya, bukan bererti dia penuh cinta.

Namun, cinta yang mendalam membawa kepada hubungan seks yang indah. Ini boleh diibaratkan macam pemberian wang bantuan oleh sesebuah kerajaan kepada rakyat. Pemberian itu bukan semestinya menggambarkan cinta kerajaan kepada rakyat. Boleh jadi ia sekadar nafsu ingin berkuasa dan pemberian itu demi melangsaikan kehendak dirinya.

Rakyat yang menerima bantuan juga bukan semestinya mencintai kerajaan yang memberi. Dia sudi menerima kerana merasakan itu haknya, ataupun dia memerlukannya tapi jiwanya mungkin menyumpah dan menyampah. Persis seperti hubungan antara suami isteri yang hidup dalam keadaan keterpaksaan tapi penuh kebencian.

Namun tidak boleh dinafikan betapa ramai yang tertipu lalu menganggap setiap hubungan seks itu tanda cinta sehingga gagal membezakan antara pelacur yang menanti upah dan isteri yang menanti pahala dan takutkan dosa.


Pelacur

Demikian, ada rakyat dalam dunia ini yang menganggap setiap pemberian kerajaan itu tanda cinta kepada mereka sedangkan mereka lupa pemberian itu tidak dibina atas kejujuran cinta, sebaliknya atas upah sokongan dan undi.

Pun begitu, pelacur kadangkala kurang buruk dari sesetengah kerajaan atas muka bumi ini kerana pelacur mengambil upah dari hasil dirinya.

Sementara pemimpin dan kerajaan yang menipu mengambil wang negara dan rakyat yang dibahagikan semasa sendiri terlebih dahulu dan sedikit pemberian untuk rakyat sambil berlagak seolah wang tersebut dari poket peribadi mereka.

Adapun hubungan seks halal yang penuh cinta itu melahirkan kepuasan jasmani dan rohani. Tiada pemberontakan dan penuh kedamaian.

Ia seperti sebuah kerajaan yang cintakan rakyat. Amanah terhadap pengurusan negara. Harta negara bukan habuan untuk isteri dan keluarga mengaut kekayaan yang gila-gila.

Negara diuruskan dengan sebaiknya dengan penuh keikhlasan sehingga rakyat terasa kejujuran itu. Kejujuran itu menimbulkan rasa cinta rakyat kepada diri pemerintah.

Pemerintah mengawal negara dari ancaman luaran dan juga dalaman. Ancaman musuh yang terang, dan juga orang sekelilingnya yang kadang-kala lebih memusnah kekayaan negara dibanding mereka yang digelar ‘musuh’.

Isteri dan Kroni
Betapa ramai pemerintah yang dibenci kerana tingkah laku isteri dan kroni. Inilah ancaman dalaman yang meragut peluang dan kesempatan sehingga kekayaan negara tertumpu dalam tangan mereka.

Hanya pemerintah yang amanah dan cekap sahaja dapat menguruskan negara dari ancaman luaran dan dalaman ini. Hasilnya, kasih-sayang rakyat dan kesetiaan lahir dalam tindakan para pegawai kerajaan dan rakyat bawahan.

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah:“Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya.
Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda: “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”

“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.

Sambung Ibn Taimiyah lagi: “Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.”

Lagi kata Ibn Taimiyyah: “Pernah dibawa kepada ‘Umar bin al-Khattab r.a. harta yang banyak dari bahagian khumus (bahagian dari rampasan perang). Kata ‘Umar: “Sesungguhnya tentera telah menunaikan amanah”. Kata mereka yang hadir kepada ‘umar: “Sesungguhnya engkau telah menunaikan amanah kepada Allah ta’ala, maka mereka pun menunaikan amanah kepada engkau. Jika engkau mengambil harta negara sesuka hati, begitulah juga mereka akan lakukan” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)].


Teladan

Dari jawapan rakyat kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, kita dapat tahu bahawa antara punca utama rakyat bawahan tidak amanah, setia dan jujur kepada negara dan harta awam adalah disebabkan pemimpin yang tidak amanah.

Jika pemimpin itu amanah, pasti rasa cinta dan setia kepada negara akan bersemarak dalam jiwa rakyat jelata. Justeru jangan hairan jika kita lihat rakyat di negara-negara maju rakyat mereka lebih sayangkan negara dibandingkan negara-negara umat Islam yang pengurusan kepimpinannya tidak jujur dan khianat.

Hilang ataupun terhakisnya semangat patriotic dan setia kepada tanahair, sebahagiannya hasil dari tindak tanduk kegelojohan golongan atasan mengisi tembolok sendiri. Apabila golongan atasan memiliki kekayaan yang zahir pada diri, ‘isteri’ dan anak dengan kadar yang tidak masuk akal dan sangat luar biasa, maka rakyat kesusahan mula membenci para penguasa mereka. Sekalipun jika ada yang mendakwa kekayaan itu hasil menabung dari kecil, tetapi itu hanya ungkapan untuk memperbodohkan rakyat jelata.

Apabila datang musim maulid kita bercakap tentang Nabi s.a.w dan teladan dalam kepimpinan, namun dunia umat Islam masih terlalu jauh. Nama Nabi s.a.w hanya sekadar untuk modal politik menyedapkan bicara di hadapan rakyat. Di mana Nabi Muhammad s.a.w dan kepimpinan negara umat Islam kita?!  Semasa peperangan Badar, tentera Islam mempunyai jumlah kenderaan yang begitu terhad. 70 ekor unta terpaksa dikongsi oleh tiga ratus beberapa belas orang tentera.
Nabi s.a.w berkongsi dengan ‘Ali bin Abi Talib dan Abu Lubabah. Memandangkan kedudukan Nabi s.a.w dan mereka berdua lebih muda dari Nabi s.a.w maka mereka meminta agar Nabi s.a.w sahaja yang menggunakan unta tersebut. Namun, dengarlah jawapan Nabi s.a.w kepada mereka: “Tidaklah kamu berdua lebih kuat daripadaku, dan tidak juga aku orang yang paling kurang memerlukan pahala dibanding kamu berdua” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dll. Hadis bertaraf hasan).

Demikianlah pemimpin yang berkongsi perasaan dan keadaan rakyat. Maka dari situ suburlah cinta dan setia antara rakyat dan pemimpin. Teruruslah negara, hidupkan kedua pihak dalam keadaan cinta dan setia. Pemimpin bukan pelacur yang menjual diri untuk mendapat upah. Pemimpin tidak boleh menipukan rakyat dengan pemberian yang mengkaburkan untuk mendapatkan undi sedangkan kesemua itu tidak dibina atas cinta dan kejujuran terhadap negara.

PANDAI DAKWAH BELUM PANDAI SIYASAH - DR. MAZA



Apabila dunia Islam bergolak disebabkan kebosanan dan rasa menyampah rakyat kepada regim ataupun penguasa mereka yang korupsi dan tidak jujur, mereka mula mencari alternatif pemimpin baru untuk diberikan amanah memimpin negara. 

Dalam carian mereka, tokoh-tokoh agamawan ataupun mereka yang dilihat sebagai pendakwah antara yang dicalonkan untuk amanah tersebut.
Malangnya, dalam masa yang sama, kelompok agama ini pula ada yang seakan dalam dilemma ataupun kekaburan dalam melihat persamaan dan perbezaan antara tugasan dakwah dan tugasan politik.

Persamaan

Sebelum kita sebut perbezaan, kita tahu dakwah dan siyasah dalam Islam ini ada persamaan dalam beberapa sudut. Antaranya, keduanya hendaklah dilakukan sebagai menunaikan perintah Allah. Maka keikhlasan wajib untuk keduanya. Dakwah ke jalan Islam bermaksud mengajak manusia kepada ajaran Islam yang begitu luas. 

Siyasah syar'iyyah itu pula sebahagian dari ajaran Islam. Dalam gerak kerja dakwah, seseorang mungkin menyeru atau memfokuskan seruan dakwahnya kepada mana-mana ajaran Islam seperti akidah, ibadah, akhlak muamalat dan juga siyasah. Dengan itu seruan kepada menghayati siyasah syar'iyyah merupakan sebahagian dari aktiviti dakwah.

Kerja dakwah itu menyuruh kepada yang baik, mencegah dari kemungkaran, itulah juga tanggungjawab seseorang muslim yang mendapat kuasa siyasah. Firman Allah dalam Surah al-Hajj ayat 41 yang bermaksud: 

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."

Dari ayat di atas kita tahu kekuasaan bagi membolehkan manusia aman menunaikan ibadah badaniyah dan maliyah yang diwakili oleh solat dan zakat. Kemudian dengan kekuasaan ditegakkan yang makruf iaitu segala bentuk kebaikan untuk kehidupan manusia daripada akidah, ibadah, kebajikan kehidupan harian seorang insan tanpa mengira latar agama, keadilan dan ihsan. 

Begitu dengan kuasa dicegah kemungkaran yang diperintahkan oleh Islam untuk cegah. Kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan sebagainya.

Menegakkan kemaslahatan rakyat adalah tugasan penguasa, sementara mengajak manusia kepada kemaslahatan awam adalah tugasan pendakwah. Konsep 'al-Khair' ataupun kebaikan dengan makna yang luas yang diminta oleh al-Quran untuk pendakwah seru kepadanya, al-Khair yang sama dituntut kepada pemerintah untuk menegakkannya. 

Justeru, Pemerintah yang soleh sebenarnya melakukan tugasan dakwah, sementara pendakwah yang soleh membantu kepada menegakkan siyasah syar'iyyah. Maka Ta'awun ‘ala al-Birr wa al-Taqwa boleh berlaku antara dua pihak. 

Perbezaan

Walaupun terdapat persamaan antara gerak kerja ataupun tugasan dakwah dibandingkan siyasah, namun di sana juga terdapat perbezaan antara keduanya yang jika tidak difahami dengan betul akan menyebabkan kekeliruan kepada yang terlibat. Ia juga akan membawa kepada sesetengah keliru dan berada dalam dilemma dalam memahami perbezaan antara keduanya.

Antaranya, dalam dakwah, yang penting ialah kejelasan mesej yang disampaikan kepada mad'u (orang yang didakwa). Ini kerana tujuannya untuk memudahkan mereka beriman dan beramal. Sementara dalam siyasah yang penting adalah terlaksananya kemaslahatan sekalipun mungkin tidak difahami oleh orang bawahan. 

Inilah yang berlaku dalam Perjanjian Hudaibiyyah. Majoriti sahabat Nabi S.A.W melihat perjanjian itu tidak selaras dengan semangat juang mereka. Mereka terpaksa membatalkan hasrat mereka yang datang untuk menunai umrah ke Mekah dan menerima isi perjanjian yang sepintas lalu tidak selaras dengan jiwa mereka yang bersedia untuk mati membela kebenaran.

Paling tegas membantah ialah ‘Umar bin al-Khattab sendiri. Umar berkata: Wahai Rasulullah! Tidakkah kita di atas kebenaran dan mereka atas kebatilan?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya'. Kata ‘Umar: "Tidakah orang yang mati dalam kalangan kita di syurga, sedangkan yang mati dalam kalangan mereka dalam neraka?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya'. 

Kata ‘Umar: "Maka atas alasan apa kita mengurangkan agama kita dan pulang (ke Madinah) sedangkan Allah belum lagi menurunkan hukuman-NYA antara kita (siapa yang menang ataupun kalah). Jawab Nabi s.a.w: "Wahai anak al-Khattab! Aku ini Rasulullah, Allah tidak akan mensia-siakan aku sama sekali". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim.)

Namun Nabi S.A.W melihat perjanjian itu di sudut politik yang mempunyai kesan yang lebih mendalam dan berterusan. Perjanjian itu telah memberi nafas baru dalam penyebaran risalah Islam dengan cara yang lebih luas dan berwibawa. Semangat dakwah menolak, tetapi strategi siyasah menerimanya.

Pemimpin

Mereka yang boleh melakukan tugasan dakwah belum tentu boleh melakukan tugasan politik. Justeru, Nabi S.A.W tidak memberikan jawatan kepimpinan kepada mereka yang soleh tetapi tidak mempunyai kemampuan kepimpinan. 

Sabda Nabi S.A.W kepada sahabatnya yang soleh Abu Zar: "Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).

Dalam bahasa tempatan kita, bukan semua yang bergelar ustaz tahu berpolitik. Bahkan dalam sirah, Rasulullah S.A.W melantik muka-muka baru yang mungkin ‘tidak terkenal dengan warak' tetapi tangkas dan menetapi sasaran kepimpinan. Ini seperti melantik ‘Amr bin al-As menjadi gabenor ‘Oman walaupun beliau masih baru menganut Islam dibandingkan sahabat-sahabat yang lain.

Bahkan Nabi S.A.W mengiktiraf mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang tertonjol semasa zaman jahiliah. Apabila mereka menganut Islam dan dapat memahami Islam dengan baik, maka mereka yang terpilih semasa zaman jahiliah akan terpilih juga semasa Islam. 

Senioriti dalam menganut agama bukan penentu kepada kepimpinan. Ini disebut dalam hadis "Manusia bagaikan bahan galian, seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kurang Soleh

Dakwah itu menentu menuntut kepada uswah hasanah ataupun teladan yang baik. Mereka yang tertonjol dalam dakwah itu terdiri dari mereka yang terpuji akhlak di khalayak manusia. Hal ini tidak semestinya berlaku dalam politik. Dalam politik amanah kepimpinan dirujuk kepada tuntutan ataupun keperluan jawatan. Sekalipun akhlak dan nilai diri amat penting, namun kadang-kala keadaan menuntut jawatan diberikan berdasarkan kepada keperluan semasa sesuatu jawatan.

Ini disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani - walaupun padanya ada kejahatan - diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.

Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi soleh tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat. Ini kerana kekuatannya untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri . Adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam". Maka berperang bersama yang kuat dan jahat."

Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda: "Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). [Ibn Tamiyyah, al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah, m.s 29. Kuwait: Dar al-Arqam] 

Kerjasama

Secara umumnya, muslim perlu perkongsian dengan penganut agama lain dalam menyeru kepada akidah dan ibadah. Namun, dalam politik kerjasama dibolehkan jika ada keperluan untuk melakukan hal tersebut demi kemaslahatan awam. Bahkan kadang-kala tolak ansur antara pihak muslim dan selain muslim dibolehkan jika kemaslahatan menuntut berbuat demikian. 

Justeru Nabi s.a.w mengiktiraf dan menyokong perjanjian yang dibuat oleh Quraish semasa jahiliah kerana isinya membela golongan yang ditindas. Al-Tahawi dalam Mushkil al-Athar, juga Imam al-Baihaqi - dalam as-Sunan al-Kubra meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda: 

"Sesungguhnya aku telah menyaksikan satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad'an. Aku sukakan perjanjian itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku akan sertai."

Banyak lagi perbezaan yang perlu difahami oleh golongan agamawan tentang neraca politik serta gerakerjanya yang mungkin berbeza sebelum mereka menyertai dan mengulas mengenainya.

Monday, April 29, 2013

Manifesto Pakatan Kedah : 15 faktor mencapai Kedah Sejahtera


http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=26217

Posted on Tuesday, April 30 @ 08:54:21 MYT by paktam
Fokus IsuDALAM tahun 2008 Pakatan Rakyat Kedah telah menyertai pilihan raya umum ke-12 dengan manifesto 14 perkara bagi membawa kesejahteraan kepada rakyat jika diberi mandat untuk memerintah negeri ini.

 Mandat itu telah diberikan dan sebagai parti dan pemimpin yang bertanggungjawab, janji-janji yang didokumenkan itu telah ditunaikan satu persatu mengikut keutamaan dan kemampuan kerajaan. Bahkan pelbagai inisiatif dan agenda yang tidak dipra-janjikan tetapi kemudian dikenalpasti sebagai keperluan untuk membela nasib rakyat turut dilaksanakan dengan adil, telus dan amanah.Hari ini Pakatan Rakyat Kedah boleh mendakwa telah berjaya, melalui tindakan kerajaan yang diterajuinya membawa perubahan positif dari segi ekonomi, sosial, dan politik. Proses pensejahteraan rakyat tidak boleh terhenti di sini kerana potensi serta nikmat Allah di bumi Kedah bertuah ini masih belum digarap sepenuhnya.
Pakatan Rakyat beriltizam dan berjanji jika terus diberi kepercayaan untuk mentadbir negeri ini akan membawa kesejahteraan rakyat ke tahap yang lebih tinggi dengan penekanan kepada aspekaspek keadilan, kecekapan perkhidmatan, kemajuan ekonomi serta kesaksamaan agihan kekayaan negeri dan pembangunan insan yang menjamin kebebasan serta kerukunan hidup dalam konteks masyarakat majmuk.
Sehubungan itu Pakatan Rakyat mengemukan Manifesto Pilihan Raya Ke-13 ini dengan mengekalkan tema: “Kedah Sejahtera.”.
PENTADBIRAN
Kerajaan negeri telah berjaya menerapkan amalan tadbir urus yang cemerlang.
Pengurusan yang cekap, telus dan bertanggungjawab mewarnai pelbagai peringkat pentadbiran sehingga berupaya mencapai piawai sifar rasuah, perbelanjaan berhemah, pertambahan hasil dan mengoptimumkan penggunaan sumber. Bukti pencapaian tersebut ialah ulasan positif yang diterima kerajaan daripada Laporan Ketua Audit Negara tahun 2009 dan 2010.
Tawaran Kami
1. Sebuah pentadbiran yang mantap dan terus diperkukuh dengan penghayatan prinsip-prinsip unggul Pengabdian kepada Tuhan, kebertanggungjawaban dan kesungguhan.
2. Sebuah pentabiran yang menghayati dan memartabatkan Islam serta nilai-nilai murni sejagat dalam setiap perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pelaksanaan bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan semua rakyat.
3. Sebuah pentadbiran yang mempertahankan hak dan bidang kuasa Kerajaan Negeri.
4. Menubuhkan Pusat Aduan Rakyat di setiap daerah.
HAL EHWAL ISLAM
Kerajaan Negeri sudah berjaya meningkat dan menyemarakkan program dakwah melalui pemantapan pengurusan pusat pengajian yang berkembang di seluruh pelusuk negeri.
Kerajaan juga telah menggalakkan umat Islam mengeluarkan zakat dan wakaf.
Hal ini terbukti apabila semakin ramai orang yang tampil untuk mengeluarkan zakat dan jumlah kutipan zakat bertambah setiap tahun.
Satu lagi pencapaian kerajaan dalam konteks hal ehwal Islam ialah kesedaran terhadap kepentingan peranan guru-guru al-Quran sukarela dalam proses pembentukan masyarakat yang bertaqwa dan sehubungan itu telah melaksanakan program pengiktirafan terhadap guru-guru ini melalui sumbangan tahunan.
Tawaran Kami
1. Komitmen untuk terus meningkatkan skop pendidikan dan amalan bagi melahirkan insan kamil kearah membentuk sebuah masyarakat yang bertakwa, adil dan bersatu padu.
2. Meningkatkan peranan masjid melewati fungsi tradisional dengan menjadikan masjid di negeri ini sebagai pusat utama kegiatan masyarakat, pusat pengajian, pendidikan serta pusat kegiatan dakwah.
3. Janji untuk berusaha menghapuskan pelbagai aktiviti yang boleh meruntuhkan akhlak dan akidah umat Islam melalui peningkatan pelaksanaan program-program pencegahan, dakwah dan penguatkuasaan undang-undang.
4. Memperbanyak dan menggalakkan program-program amal makruf dan nahi mungkar.
5. Mengadakan Modul pembangunan belia Islam.
PENDIDIKAN
Kerajaan negeri sudah membuktikan komitmen untuk menjadikan bidang pendidikan sebagai satu daripada teras utama pembangunan negeri.
Pembinaan kampus induk Kolej Universiti Insaniah dengan kos RM330 juta (fasa pertama) dan mempelbagaikan program yang ditawarkan (dari 7 kepada 47 program dalam tempoh 3 tahun) oleh Institusi ini. Ia adalah manifestasi kesungguhan kerajaan untuk membangunkan insan berkualiti yang diperlukan dan menyumbang ke arah menjadikan Kedah sebagai pusat kecemerlangan ilmu di Malaysia.
Komitmen untuk membangun premis tetap sebuah Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba Langkawi dan memperlengkap premis tersebut sebagai institusi tahfiz moden yang merangsang daya usaha pelajar.
Sebagai rangsangan, sumbangan berkala kepada Institut Pendidikan Janaan Rakyat telah diberikan bagi menghargai penglibatan mereka menyebarkan ilmu dan mendidik rakyat negeri ini.
Tawaran Kami
1. Mewujudkan dasar kerajaan negeri yang bersungguh-sungguh dan berupaya menyemarak proses pendidikan sepanjang hayat untuk seluruh rakyat.
2. Meneruskan usaha membantu institusi-institusi pendidikan formal persendirian di negeri ini termasuk SAR, Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Tamil.
3. Mengangkat dan menyemarakkan institusi pondok sebagai satu lagi produk pendidikan alternatif formal dan tidak formal bagi semua peringkat.
4. Memberi bantuan secara pajakan tanah untuk dimajukan secara komersial bagi menjana pendapatan Intitusi Pendidikan Janaan Rakyat.
EKONOMI
Kerajaan telah berjaya memperkukuh struktur dan asas pembangunan dan kemajuan ekonomi negeri. Ia dilaksanakan melalui amalan tadbir urus yang baik dan dasar mesra pelabur.
Ekoran pendekatan cemerlang itu Kedah telah menerima peningkatan berterusan pelaburan langsung dari luar negara (FDI).
Kerajaan juga telah berjaya meningkatkan penglibatan secara langsung dalam pelbagai sektor ekonomi melalui syarikat milik kerajaan (GLC).
Dengan amalan tadbir urus yang baik dan pengurusan yang lebih berhemah, bertanggungjawab dan berhatihati, syarikat-syarikat ini bukan sahaja berjaya dipulihkan malahan mampu merakyatkan ekonomi negeri Kedah melalui penyertaan langsung dan pelbagai bentuk sumbangan di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk semua rakyat.
Tawaran Kami
1. Mewujudkan skim mikrokredit bagi membantu pengusaha kecil.
2. Meneruskan dasar perkongsian bijak kerajaanswasta untuk merancakkan pembangunan ekonomi melalui pelaksanaan projek-projek berskala besar yang berdaya maju.
3. Mempelbagaikan dan meningkatkan peranan syarikat milik kerajaan dengan menerokai bidang-bidang baru yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.
4. Memperbesar asas pendapatan kerajaan melalui penemuan dan pengusahaan sumber-sumber hasil yang baru khususnya sumber galian. 5. Komitmen untuk membangun dan memajukan sektor IKS sebagai penggerak ekonomi desa melalui galakan dan bantuan ke arah penggunaan optimum sumber-sumber.
6. Kuala Ketil dibangunkan sebagai Bandar berteraskan pendidikan.
7. Mewujudkan medan peniaga kecil disetiap kawasan pembangunan baru.
PERTANIAN
Kerajaan negeri sudah memartabatkan sektor pertanian dengan mengangkat aktiviti ini menjadi kegiatan teras pembangunan ekonomi negeri Kedah.
Sehubungan ini Kerajaan akan terus komited serta melipatgandakan usaha menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur, negeri pertanian yang maju dan berpendapatan tinggi.
Tawaran Kami
1. Melaksanakan pelbagai program yang berupaya merancakkan inisiatif serta meluaskan kawasan pengeluaran makanan.
2. Melaksanakan dasar yang ketat mengenai pengekalan serta pemuliharaan keluasan guna tanah pertanian bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan (food security).
3. Komitmen untuk mencari, memperluas dan menjamin pasaran domestik dan antarabangsa untuk produkproduk pertanian yang dihasilkan di negeri ini.
4. Membangun dan mengembangkan industri hiliran berasaskan pertanian.
5. Memperkenalkan dasar yang menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan pertanian (R&D).
6. Membangunkan ladang buah-buahan di seluruh negeri Kedah sebagai pembekal makanan dengan menjadikan ladang buah-buahan di Charok Genting Bunga sebagai projek perintis.
7. Mewujudkan skim khas mikrokredit untuk menggalakkan sektor pertanian.
8. Memperkenalkan skim pemulihan tanah terbiar dengan pelancaran program merakyatkan pertanian melalui program 1 rumah 10 pokok.
TANAH
Kerajaan ini sudah berjaya mengadakan dasar pengurusan tanah yang pragmatik. Untuk kesejahteraan rakyat cukai tanah telah dikurangkan pada kadar di antara 25% hingga 75% sebaik saja Pakatan Rakyat mengambilalih pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah.
Untuk menjamin pendapatan kerajaan dari hasil tanah tidak terjejas, kecekapan mekanisme kutipan cukai tanah ditingkatkan dan proses kelulusan permohonan geran dan tukar syarat guna tanah dipermudah dan dipercepat.
Natijah kebijaksanaan dasar tersebut ialah hasil kutipan cukai tanah telah berjaya ditingkatkan dan ada pejabat tanah yang berjaya memenangi anugerah peringkat kebangsaan kerana inovasi dan kecekapan jentera kutipan hasilnya.
Tawaran Kami
1. Menjamin setiap inisiatif pembangunan tanah di negeri ini adalah berdasarkan konsep pembahagian keuntungan antara kerajaan dengan rakyat.
2. Merancakkan pembangunan tanah berkonsepkan Ladang Sejahtera.
3. Mewujudkan usaha sama di antara Kerajaan dan pemilik tanah terbiar.
4. Mempermudahkan proses memberi hak milik tanah dan menyelesaikan permohonan tertunggak.
KEBAJIKAN DAN PEMBANGUNAN SOSIAL
Kebajikan dan keadilan sosial merupakan aspek yang diutamakan Kerajaan selaras dengan slogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.
Pelbagai inisiatif baru berasaskan kebajikan telah berjaya dilaksanakan bagi membantu rakyat yang kurang bernasib baik. Antara inisiatif itu termasuklah Skim Kafalah,Sumbangan khas kepada pelajar yang menyambung pelajaran ke IPTA, kenaikan 100 peratus kadar minimum bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dari RM75 sebulan ke RM150 sebulan, sumbangan hari-hari perayaan bagi setiap kaum dan program Mahligai Sejahtera.
Di samping itu bantuan dan kemudahan-kemudahan yang telah dinikmati rakyat secara tradisi tidak sedikit pun dikurangkan.
Menyediakan skim membina dan membaik-pulih rumah yang uzur dikalangan rakyat.
Tawaran Kami
1. Komitmen jangka panjang untuk memberi keadilan sosial yang lestari kepada semua rakyat di Negeri Kedah.
2. Memperbanyak programprogram kebajikan untuk warga emas, ibu tunggal, anak yatim dan OKU.
3. Memperkukuh pengurusan sistem e-Sinar.
4. Memperkenalkan kursus asas jaya diri kepada para penerima bantuan bagi menjamin manfaat yang maksimum diperolehi dari bantuan yang diterima.
5. Menaikkan kadar bayaran sumbangan Kafalah.
6. Memperkenalkan program sumbangan “Beras Sejahtera” secara percuma dan berkala.
7. Meningkatkan peruntukan bantuan membaik pulih kediaman golongan miskin dan berpendapatan rendah.
KEMUDAHAN ASAS
Kejayaan kerajaan negeri dalam bidang ini semenjak tahun 2008 dapat dilihat dari segi peningkatan kualiti serta perkhidmatan bekalan air, selepas pengkorporatan Jabatan Bekalan Air Kedah melalui SADA.
Pencapaian lain yang membanggakan termasuk penyelesaian yang baik terhadap isu-isu pelupusan sampah, perparitan, saliran dan penyenggaraan infrastruktur jalan raya yang menjadi tanggungan kerajaan negeri.
Tawaran Kami
1. Komitmen jangka panjang untuk mewujudkan persekitaran serta kemudahan kehidupan yang lengkap dan berkualiti.
2. Menambah baik kemudahan asas yang sedia ada dan mengenal pasti serta menyediakan kemudahan-kemudahan baru yang sesuai dengan tahap kemajuan masyarakat yang dicapai.
3. Komitmen jangka panjang untuk membina dan mengadakan rumah kos rendah dan rumah mampu milik secukupnya melalui inisiatif GLC dan kerjasama kerajaan-swasta bagi mengatasi masalah rakyat yang tidak berkemampuan untuk membeli rumah di pasaran terbuka.
PIHAK BERKUASA TEMPATAN
Dasar kerajaan negeri telah berjaya memperkasakan PBT dan menjadikan majoriti PBT yang mandiri dari segi kewangan dan cemerlang dari segi penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Kejayaan kerajaan negeri yang paling bermakna dalam konteks hubungannya dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ialah kesediaannya menghormati hak-hak dan tanggungjawab PBT sebagai kerajaan ketiga sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Penglibatan langsung kerajaan negeri dalam pentadbiran PBT sangat minimum dan hanya dilakukan sebagai tindakan terakhir dalam usaha menyelesaikan masalah yang rumit.
Tawaran Kami
1. Memperkukuhkan peranan semua PBT di negeri ini agar menjadi kerajaan tempatan yang berkesan, cekap, bertimbang rasa dan mesra rakyat.
2. Memastikan setiap PBT menyediakan Plan Struktur Pembangunan Setempat dengan melibatkan penyertaan semua pihak yang berkepentingan dan dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah dipersetujui.
3. Memastikan kemahiran dan peranan ahli-ahli majlis terus dipertingkat selaras dengan tuntutan masyarakat.
4. Jaminan kerjasama PBT dan masyarakat yang lebih akrab bagi mewujudkan suasana dan persekitaran kediaman yang damai dan kondusif.
5. Memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan keceriaan disempurnakan.
PEMBANGUNAN INSAN
Kerajaan telah berjaya meletak dan melaksanakan dasar pembangunan insan yang bertujuan melahirkan individu seimbang dari segi fizikal, mental dan kerohanian.
Dari segi pembangunan fizikal dan mental keterlibatan kerajaan meliputi penyediaan prasarana, galakan penyertaan dan bantuan serta pengiktirafan kepada mereka yang mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.
Dari segi pembanguan kerohanian pula kerajaan secara aktif dan tekal menganjur serta menyemarakkan programprogram pentarbiyahan dan bimbingan yang bertujuan membentuk peribadi insan soleh.
Antara program yang dilaksanakan dan mendapat sambutan luar biasa masyarakat ialah Kem anak soleh, Kem bina Insan, Kem bina Sahsiah dan Kem Belia Sejahtera.
Tawaran Kami
1. Komitmen jangka panjang untuk membimbing dan memajukan potensi golongan muda agar menjadi tenaga yang berdisiplin, produktif dan membanggakan masyarakat.
2. Menubuhkan sebuah agensi khas kerajaan negeri yang bertanggungjawab mengenalpasti keperluan program dan melaksanakan program pembangunan insan yang berimpak besar.
3. Memperkasa serta meningkatkan peranan Institut Latihan Belia Sejahtera (ILBAS)
4. Meningkat dan memperhebat program-program kesedaran tanggungjawab serta memotivasikan ibu-bapa dalam pembangunan insan.
5. Komitmen untuk menginstitusikan agenda amal makruf dan nahi munkar melalui penubuhan unit bimbingan dan kaunseling serta menyemarakkan pelaksanaan program kepemudaan.
HAL EHWAL WANITA
Kerajaan ini komited mengangkat dan melindungi kemuliaan golongan wanita mengikut tuntutan agama.
Kegigihan kerajaan melaksanakan pelbagai program pentarbiyahan serta pengukuhan akhlak dan latihan kemahiran yang bertujuan memanfaatkan potensi wanita untuk menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat sudah menunjukkan kejayaan.
Usaha ini akan dilipatganda dan dipelbagaikan pada masa hadapan.
Tawaran Kami
1. Memastikan kedudukan serta peranan golongan wanita di negeri ini terus diperkasa dan tidak berlaku sebarang bentuk penganiayaan atau pengeksploitasian wanita melalui pemantauan, tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang.
2. Komitmen untuk meningkatkan sumbangan golongan wanita dalam pembangunan negeri melalui penubuhan Pusat Pembangunan Keusahawanan Wanita.
3. Memantapkan peranan Institusi Latihan Keluarga Sakinah bagi membangun dan melahirkan keluarga dan masyarakat yang bahagia.
4. Menubuhkan pusat penjagaan harian bayi dan kanak-kanak di jabatan-jabatan kerajaan negeri dan GLC mengikut keperluan dan kesesuaian bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh para ibu yang berkerjaya.
5. Mewujudkan “Rumah Sejahtera” sebagai perlindungan kepada anak terbiar dan wanita yang dianiayai.
HAK DAN KEPENTINGAN BUKAN ISLAM
Kerajaan negeri sudah membuktikan keikhlasan dan kesungguhannya untuk memelihara dan menghormati kebebasan beragama dan mengamalkan budaya masingmasing.
Bahkan kerajaan ini telah berjaya membawa inisiatif baru iaitu menyediakan peruntukan khas dalam belanjawan tahunan mulai tahun 2011 untuk maksud membiayai program-program kebudayaan masyarakat bukan Islam.
Kerajaan juga telah menambah wakil dari kalangan bukan Islam dalam struktur pentadbiran peringkat akar umbi melalui lantikan Ahli-ahli Majlis Perbandaran dan Daerah, Pengerusi serta Setiausaha Majlis Ketua kampung/komuniti yang mencerminkan komposisi kaum yang sebenar dalam masyarakat.
Tawaran Kami
1. Menambah peruntukan dalam belanjawan tahunan untuk membiayai program-program dan aktiviti kebudayaan masyarakat bukan Islam.
2. Menjamin keadilan dan layanan saksama terhadap bukan Islam serta hak-hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan negeri akan sentiasa dilindungi.
3. Menjamin hak untuk mereka menyertai aktiviti ekonomi bukan sahaja dihormati tetapi juga akan disokong dan dipermudahkan.
PELANCONGAN
Kerajaan berjaya mengekalkan dan memelihara sektor pelancongan sehingga Kedah terus menjadi satu daripada destinasi pelancongan paling popular di Malaysia.
Perkara ini dicapai melalui dasar pro-pelancongan dan mesra perniagaan sehingga berjaya menghilangkan keraguan awal pelbagai pihak dan seterusnya memberi keyakinan kepada pengusaha-pengusaha utama industri ini.
Tawaran Kami
1. Komitmen jangka panjang untuk menjadikan sektor pelancongan satu daripada pemacu yang utama kemajuan ekonomi negeri ini.
2. Dasar yang menjamin perkembangan serta peningkatan aktiviti pelancongan tidak menjejaskan keharmonian kehidupan dan alam sekitar.
3. Memperbanyak serta meningkatkan kualiti produkproduk pelancongan terutama sekali yang berasaskan pertanian (agrotourism) dan alam semula jadi (ecotourism) di samping melaksanakan promosi pelancongan yang lebih agresif.
4. Menggalakkan penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan dalam bidang pelancongan yang mampu disertai majoriti rakyat.
5. Mewujudkan program baru iaitu “ziarah kebudayaan” yang melibatkan aktiviti lawatan ke pondok-pondok di Negeri Kedah.
6. Menjadikan Kedah sebagai pusat rawatan tradisional rantau ini sebagai tarikan pelancongan.
BELIA
Keutamaan kerajaan ialah memupuk serta membimbing golongan belia supaya merealisasikan potensi diri terutama dalam aspek beragama,berbudaya dan mandiri.
Ke arah mencapai hasrat tersebut kerajaan telah berjaya menubuhkan Institut Latihan Belia Sejahtera (ILBAS) untuk memberi latihan kemahiran dan menerap serta menyuburkan budaya berpersatuan di kalangan belia.
Tawaran Kami
1. Menggubal dasar dan menyediakan pelan strategik lima tahun pembangunan belia negeri Kedah yang bermatlamat membentuk generasi belia yang mengutamakan perpaduan, berdisiplin dan menyumbang kepada pembangunan negeri.
2. Mendekati dan memahami idealisme, aspirasi dan kekangan yang dihadapi golongan belia melalui program-program “Pemimpin Bersama Belia.”
3. Memaksimakan peranan pertubuhan Belia Sejahtera dan menyalurkan bantuan untuk kepelbagaian aktiviti.
4. Menyuburkan aktiviti NGO belia dan memberi banyak kemudahan untuk golongan belia mengadakan aktiviti.
5. Mengiktiraf kepentingan belia dan sumbangan oleh golongan muda dengan memberi lebih ruang kepada perkongsian pendapat, khusus isu yang berkaitan langsung dengan kehidupan golongan muda.
SUKAN
Kerajaan telah berjaya mengukuhkan pengurusan badanbadan sukan negeri ini melalui penstrukturan semula dan rombakan anggota pentadbiran, galakan, sokongan dan bantuan kewangan bagi menyelesaikan bebanan hutang tertunggak yang semakin meningkat.
Di samping itu, walaupun dasar sukan kerajaan ialah mengutamakan penyertaan sebagai strategi mensejahterakan rakyat, kerajaan tetap memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada atlet dan jaguh sukan yang telah mengharumkan nama negeri sebagai insentif untuk menggalakan penyertaan dalam sukan secara yang lebih serius.
Menggalakkan penyertaan syarikat milik kerajaan dalam membantu menyumbang kepada pembangunan sukan di negeri Kedah melalui MSN.
Tawaran Kami
1. Membina sebuah litar lumba untuk sukan permotoran. 2. Menganjurkan lebih banyak pertandingan sukan di peringkat Daerah dan Negeri.
3. Menyalurkan lebih banyak insentif dan geran bantuan kepada atlit sebagai galakan dan motivasi.
4. Mengadakan modul pembangunan bakat sukan. 5. Memperkenalkan skim bantuan kewangan kepada persatuan-persatuan sukan seluruh Kedah melalui MSN.

http://kedah.pas.org.my

Tuesday, March 12, 2013

Mungkin Azlan Lazim sengaja tak dipanggil sebagai saksi


http://www.malaysiakini.com/news/223605
 
Pada 9 Mac yang baru berlalu, negara dikejutkan dengan pendedahan oleh Azlan Mohd Lazim, iaitu bapa kepada Saiful Bukhari – pengadu dalam kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim.

Secara peribadi saya mengalukan kepantasan Timbalan Ketua Polis Negara, mengeluarkan kenyataan bahawa polis akan segera memanggil Azlan Lazim, untuk mengenal pasti sebab dan tujuan beliau membuat keterangan sedemikian.

Bagaimanapun kenyataan Timbalan KPN yang menyatakan, bahawa oleh kerana Azlan tidak pernah dipanggil memberi keterangan di mahkamah dalam perbicaraan kes liwat berkenaan, maka pendedahan Azlan sedemikian itu tidak bernilai dan tidak boleh digunapakai, adalah suatu kenyataan yang tidak wajar dibuat di peringkat ini, sedangkan keterangan dari Azlan masih belum diambil lagi.

Mungkin beliau semangnya mempunyai keterangan yang lain yang belum didedahkan lagi, atau mungkin juga akibat daripada pendedahan itu, saksi lain yang tidak pernah muncul akan timbul pula memberikan keterangan baru dalam kes ini, tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Persoalan Azlan Lazim tidak dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat itu sebenarnya bukan salah beliau, tetapi terletak ditangan pegawai penyiasat dan pihak pendakwaan. Telah banyak kali berlaku di mana saksi atau keterangan yang boleh membantu dalam sesuatu perbicaraan, disorokkan daripada dikemukakan kepada mahkamah, sepertimana yang jelas berlaku dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya Shariibuu.

Dalam hal Azlan Lazim ini pula, kemungkinannya pihak pendakwaan yang dengan sengaja tidak memanggil beliau sebagai saksi, kerana jika dipanggil mungkin keterangan yang akan Azlan Lazim berikan, tidak akan memihak kepada pihak pendakwaan.

Banyak kes lampau yang boleh dijadikan teladan antaranya dalam kes yang agak masyhur, iaitu kes bunuh Jean Perera Sinappa tahun 1980, di mana tertuduh dibebaskan daripada hukuman gantung, setelah mahkamah ketika di peringkat rayuan, mendapati keterangan palsu telah digunakan dalam perbicaraan utama kes tersebut.

Apa yang ingin disarankan di sini ialah supaya pihak polis mengambil pendedahan yang dibuat oleh Azlan Lazim itu sebagai maklumat baru dan menjalankan siasatan terperinci mengenai isi kandungan pendedahan tersebut dan bukan menutup kes itu memandangkan penyiasatan belum dimulakan lagi.

Pernah berlaku sebelum ini, di mana mantan KPN Musa Hassan dan Peguam Negara Gani Patail, sama-sama berpakat mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa kes siasatan salahguna kuasa terhadap mantan Perdana Menteri Tun Mahathir, telah ditutup pada 15 Februari 2000, walhal laporan polis mengenainya hanya dibuat pada 12 Jun 2000 dan kertas siasatan dibuka pada 13 Jun 2000. Dalam keadaan sebegitu pun, PM mengatakan Gani dan Musa orang-orang yang jujur.

Soal mengapa Azlan Lazim baru sekarang membuat pendedahan tersebut adalah soal kedua. Yang pentingnya ialah maklumat yang beliau ingin dan dapat dedahkan. Lagipun tidak ada had tempoh bagi mendedahkan sesuatu kejadian jenayah.

Sambil itu pula saya sarankan Tan Sri melihat semula beberapa maklumat penting yang telah saya sampaikan menerusi surat terbuka atau surat terhad, berkaitan dengan perbuatan mereka keterangan palsu dalam kes melibatkan penyiasatan insiden mata lebam, kes liwat tahun 1998 (Liwat I) dan kes liwat tahun 2008 (Liwat II). Saya juga menyarankan Tan Sri menyegarkan ingatan kepada perbincangan kita di Bukit Aman pada 5 Januari 2011, yang turut dihadiri oleh mantan Timbalan Ketua Polis Negara Hussein Ismail dan SUPM Ghazali Md Amin.

Kenyataan palsu dalam afidavit Najib


PM Najib telah mengikrarkan dua afidavit, iaitu pada 21 dan 23 September 2011, bagi menyokong permohonan beliau untuk mengenepikan sepina, yang mengehendaki beliau memberi keterangan dalam perbicaraan kes Sodomi II. Isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor juga mengikrarkan affidavit berasingan pada 21 September 2011 dalam permohonan yang sama.

Pada bulan November 2011, saya telah menyampaikan maklumat bertulis kepada KPN dan Menteri Dalam Negeri, berkaitan penegasan mustahak yang diikrarkan oleh PM Najib, yang boleh dibuktikan sebagai tidak benar atau palsu.

Setakat yang saya ketahui, dalam perkara pembikinan afidavit palsu yang dikemukakan dalam sesuatu perbicaraan, adalah tanggungjawab pegawai penyiasat kes atau Timbalan Pendakwa Raya, untuk membuat laporan polis supaya dakwaan tersebut disiasat berasingan. Ianya bukan tanggungjawab tertuduh atau peguambela tertuduh membuat laporan tersebut.

Kesalahan membuat affidavit palsu atau memberi keterangan palsu, adalah kesalahan yang tergolong sebagai kesalahan terhadap Keadilan Awam (Public Justice) dan bukan kesalahan terhadap seseorang individu. Malangnya setakat yang diketahui, tidak ada sebarang siasatan yang dilakukan ke atas perkara ini, mungkin kerana kes ini melibatkan Perdana Menteri.

Saya menegaskan di sini bahawa bukan sahaja PM Najib tidak akan dapat memberi penjelasan berkaitan kenyataan palsu yang beliau telah ikrarkan dalam afidavit tersebut, malahan beliau akan menghadapi masaalah untuk menjelaskan berkaitan kekalutan mengenai nama beliau sendiri.

Ketika mengangkat sumpah jawatan sebagai PM keenam pada April 2009, dengan nama Allah, beliau malafazkan nama beliau sebagai Muhammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Semasa mengikrarkan afidavit pada September 2011 beliau menegaskan nama beliau sebagai Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan menggugurkan nama Muhammad dari nama beliau. Sementara ketika menandatangani Ikrar Integriti PRU-13 pada Februari 2013 pula, beliau memberikan nama beliau sebagai Najib Razak sahaja, dengan menggugurkan nama “Muhammad” dari nama beliau dan nama “Abdul” dari nama Allahyarham bapa beliau.

Jika nama sendiri, sama ada terdapat nama Muhammad atau pun tidak, Perdana Menteri boleh keliru, apatah lagi dengan perkara lain. Apa pula nama yang beliau lafazkan ketika mengangkat sumpah di-masjid Guar Perahu? Wallahua’lam.

Apa pun PM Najib tidak boleh menafikan yang beliau mengikrarkan afidavit-afidavit tersebut sedemikian rupa, di atas kerelaan dan kehendak beliau sendiri. Beliau tidak boleh menyalahkan orang lain sekalipun peguam dan penasihat beliau.

PM Najib juga wajar sedar, bahawa kekeliruan berkaitan nama beliau yang sebenar dan kekalutan beliau melafazkan sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia sebagai PM Malaysia ke-6, boleh menyebabkan kesahan (legitimacy) beliau sebagai perdana menteri dicabar, sekiranya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dipatuhi sepenuhnya.

Pendedahan Musa Hassan
Dakwaan terhadap Musa Hassan dan Gani Patail kerana telah memalsukan keterangan DNA dan lain lain pemalsuan melibatkan kes salahguna kuasa dan liwat terhadap Anwar Ibrahim, serta dalam penyiasatan insiden mata lebam telah dibuat menerusi pelbagai saluran sejak 1998 lagi.

Namun begitu, Musa Hassan dan Gani Patail serta kerajaan, telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut, walaupun rekod mahkamah dan Suruhanjaya Diraja Siasatan, menunjukkan dakwaan tersebut adalah berasas dan boleh dibuktikan sebagai benar.

Bagaimanapun pada 31 Mei 2012 secara tiba-tiba Musa Hassan sendiri, ketika diwawancara oleh pemberita Malaysiakini, akhirnya telah mengaku bahawa memang betul beliau ada mengambil contoh darah Anwar (dari simpanan pihak Hospital Kuala Lumpur) untuk ujian DNA di atas tilam masyhur yang kontroversi itu.

Pengakuan Musa Hassan yang dibuat hampir 14 tahun kemudian itu, telah membuktikan dua perkara yang sangat penting. Pertama, keterangan DNA Anwar yang dikatakan terdapat di atas tilam masyhur tersebut adalah palsu dan diperolehi menerusi jalan fraud, penipuan dan menyalahi undang-undang.

Kedua, afidavit Musa Hassan yang diikrarkan pada 2 September 1998 dan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes jenayah No:45-40-1998, menyatakan beliau telah memperolehi laporan forensik pada ketika itu, adalah palsu memandangkan tindakan Musa 'mencuri' contoh darah tersebut dari HKL ialah pada 15 Oktober 1998.

Mengenai peranan Musa Hassan dan Gani Patail dalam merekacipta keterangan DNA di atas tilam tersebut, telah saya jelaskan secara terperinci menerusi surat terhad saya bertarikh 27 Disember 2010 dialamatkan kepada KPN dengan salinannya kepada Perdana Menteri dan Peguam Cara Negara yang kesemuanya telah mengesahkan penerimaannya.

Persoalannya ialah mengapa polis tidak memanggil Musa Hassan untuk siasatan lanjut setelah beliau membuat pendedahan terbuka pada 31 Mei 2012 itu? Beliau bukan sahaja pegawai penyiasat kes salahguna kuasa, malah beliau merupakan penyelia penyiasatan semua kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim. Di samping itu, Musa telah turut memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bersabit dengan kes kes tersebut sementara Gani Pula pula bertindak sebagai ketua pendakwa.

Adakah polis mengelak daripada menyiasat semula terhadap pendedahan Musa Hassan sedemikian itu disebabkan kebimbangan hasil siasatannya kelak, akan membongkar dan mengaitkan penglibatan pemimpin-pemimpin politik tertentu pada ketika itu? Terserah kepada KPN untuk menjelaskannya kepada seluruh rakyat. Mereka berhak mengetahui.

Rayuan keputusan kes Liwat II

Pada pandangan saya,walaupun tanpa pendedahan yang dibuat oleh Azlan Lazim itu, perbicaraan kes Liwat II sebenarnya memang tidak boleh diteruskan lagi. Ini adalah kerana PM Najib telah membawa masuk keterangan palsu dalam perbicaraan tersebut menerusi afidavit yang beliau ikrarkan, sepertimana yang dijelaskan di perenggan-perenggan terdahulu.

Manakala, Gani Patail sebagai orang yang memberi kata putus untuk menuduh Anwar dalam kes Liwat II, dan memfailkan rayuan apabila Mahkamah Tinggi mendapati Anwar tidak bersalah, boleh dibuktikan telah melakukan beberapa banyak pemalsuan dan mereka keterangan palsu untuk mensabitkan kesalahan jenayah terhadap Anwar semenjak 1998 lagi.

Pendek kata, Gani boleh dibuktikan mempunyai niat jahat terhadap Anwar sejak dari 1998 yang berlarutan sehingga kehari ini.

Biar banyak mana sekali pun penafian Gani Patail, pendedahan yang dibuat oleh Musa Hassan berkaitan keterangan DNA itu, adalah cukup untuk membuktikan dakwaan-dakwaan yang telah dibuat terhadap mereka berdua adalah benar dan betul.

Apa pun motif Gani memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Liwat II, beliau sebenarnya telah membuka ruang kepada pihak pembelaan dan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan, untuk mencabar afidavit yang diikrarkan oleh PM Najib seperti yang dijelaskan di atas.

Desak siasat Najib jika benar-benar berani


Semenjak tercetusnya insiden pencerobohan senjata di Lahad Datu, kita perhatikan beberapa ramai menteri kanan dan pemimpin politik dengan lantang membuat seruan mengajak rakyat, sama-sama memperjuangkan dan mempertahankan kedaulatan dan undang-undang negara. Kita hormati keberanian mereka itu.

Jika mereka benar-benar berani, jujur dan ikhlas, kita mengajak mereka pula untuk bersama-sama dengan rakyat, mendesak pihak berkuasa untuk melancarkan siasatan terperinci terhadap PM Najib, Gani Patail dan Musa Hassan kerana terdapat bukti yang mereka secara bersingan atau bersama-sama, mengkhianati dan melanggari kedaulatan dan undang-undang Negara.

Pada pandangan saya, kita tidak perlu pun menggunakan keterangan daripada Azlan Lazim atau Deepak Jaikishan atau P Balasubramaniam untuk membuktikan salahlaku jenayah mereka.

Perbuatan mereka sendiri, antaranya menerusi pembikinan affidavit mengandungi kenyataan mustahak yang tidak benar atau palsu, memberi keterangan palsu di mahkamah dan mereka keterangan palsu dalam bentuk laporan pakar palsu, adalah cukup untuk mensabitkan kesalahan jenayah masing-masing. Mereka sebenarnya tidak ada pembelaan.


MAT ZAIN IBRAHIM merupakan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur. Tulisan ini adalah surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Thursday, March 7, 2013

Bapa Saiful mohon maaf pada Anwar, dakwa anaknya dipergunakan


http://www.malaysiakini.com/news/223284
pr

1:25PM Mac 8 2013 
Bapa Saiful Bukhari hari ini memohon maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa bahawa anaknya telah dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang didakwanya termasuk seorang pegawai perdana menteri untuk memfitnah Anwar dalam kes Liwat II.
NONE"Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan telah menjadi mangsa fitnah ini," kata Azlan Mohd Lazim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam satu sidang akhbar hari ini.
"Dengan ini saya  memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan famili beliau. Beliau dan familinya telah banyak menderita dan sangsara akibat fitnah ini," tambahnya
Anwar telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun lepas daripada tuduhan meliwat Saiful, yang merupakan pembantunya pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Jabatan Peguam Negara telah merayu terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan akan mendengar kes pada 22 Julai.
Dalam kenyataannya, Azlan, 60, mendakwa semua kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh anaknya dan beliau sendiri, telah dirancang dan disediakan pegawai perdana menteri itu dan seorang peguam.

Malaysiakini 
tidak menyiarkan identiti kedua-duanya sementara menunggu respons daripada mereka.

"Mereka inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap YB Datuk Seri Anwar, yang melibatkan anak saya."
[Baca berita penuh]