Wednesday, June 12, 2013

'Masa jahat tidak tangkap, bila buat baik kena pula'

http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/19987-masa-jahat-tidak-tangkap-bila-buat-baik-kena-pula

Harakahdaily,12 Jun 2013

KUALA LUMPUR:"Masa saya buat jahat dalam Umno dulu tidak pun kena tindakan tetapi bila saya nak buat baik dalam PAS ni kena tindakan pula," kata Tamrin Tun Ghafar(gambar) yang buat pertama kalinya ditangkap polis  baru-baru ini.

Bukan sekali tetapi beliau telah dua kali ditangkap secara yang agak kasar oleh polis berhubung dengan kenyataannya tentang pilihan raya umum lalu.

"Saya ditahan oleh Polis Bukit Aman. Polis sedang menunggu saya menghabiskan makan tengahari di Chawan (Restoran), Bangsar," kata Tamrin dalam sms kepada rakan-rakannya apabila buat pertama kalinya ditangkap pada 23 Mei lalu.

Ketika itu Tamrin bersama seorang rakannya sudah memesan makanan untuk makan tengahari di sebuah restoran dekat Bangsar.

Seorang yang mengaku sebagai pegawai polis datang meminta beliau mengikutnya ke balai polis.

Oleh kerana beliau sudah memesan makanan untuk makan tengahari, beliau memohon supaya beliau makan dulu serta mengajak polis berkenaan untuk makan sama.

Namun, pegawai polis itu berkata, beliau kena pergi ke balai sekarang juga atas arahan pegawai atasannya.

Setelah bertengkar, polis itu membiarkannya makan.

Sekali lagi pertengkaran belaku apabila beliau sedang membuat bayaran dan menunggu bayaran baki dari tuan restoran tersebut.

"Sedang saya tunggu bayaran baki, sekali lagi dia paksa saya ke balai. Saya kata tunggu bayar baki sekejap. Namun pegawai polis itu berkeras.

"Sekali lagi saya naik berang dan menjerit kepada polis itu dan diperhatikan oleh semua yang ada di kedai itu," cerita Tamrin mengenang kembali saat beliau di tahan polis buat pertama kalinya.

Tamrin kemudiannya di bawa ke balai polis Jinjang. Sesampai di sana, sehingga lewat petang, pegawai penyiasat kes itu belum ada.

Beliau naik berang kerana ketika hendak di tahan mereka menggunakan alasan hendak cepat sehingga tidak boleh makan dan tidak boleh tunggu untuk mengambil baki bayaran.

Tetapi apabila sampai ke balai, masa di habiskan begitu sahaja kerana menunggu pegawai penyiasat kes yang entah ke mana.

Malam itu, Tamrin serta dua lagi tahanan iaitu Haris Ibrahim dan Tian Chua tidur di lokap balai polis Jinjang.

Mereka diberikan pakaian oren sebagai orang tahanan sambil menunggu di bawa ke mahkamah dalam masa 24 jam untuk mendapatkan perintah tahanan reman dari mahkamah.

"Dapatlah saya merasa buat pertama kalinya tidur di lokap yang dalamnya ada pangkin kayu keras, makan berlauk kaki ayam dan mandi serta berak dengan diperhatikan orang melalui CCTV," kata Tamrin.

(Tamrin dan Tian Chua berpakaian orang tahanan di Balai Polis Jinjang)

Apabila di bawa ke mahkamah, dengan pembelaan pasukan peguam yang membela secara sukarela, Tamrin, Haris dan Tian Chua dibebaskan tanpa mendapat kebenaran tahanan reman oleh mahkamah.

Ini kerana, dalam tempoh 24 jam mereka ditahan di lokap, tidak ada sebarang penyiasatan dibuat oleh polis.

"Hujjah para peguam yang diketuai Datuk Ambiga (Sreenevasan), kalau 24 jam tidak ada sebarang penyiasatan, apa guna tahanan reman lebih lama lagi," beritahu Tamrin.

Selepas bebas dan merasai tidur di lokap dan berpakaian sebagai orang tahanan, masing-masing pulang ke rumah tanpa sebarang rasa takut atau bimbang.

Mereka penuh keyakinan mereka tidak bersalah dan apa yang dibuat hanyalah untuk menakutkan orang ramai agar jangan bercakap dan berhimpun membantah pilihan raya ke 13.

"Bagi saya, (Datuk Seri) Zahid Hamidi mahu tunjuk dia lebih tegas dari menteri dalam negeri yang sebelum ini saja. Ini penting untuk pemilihan Umno akan datang," kata Tamrin walaupun Zahid dengan tegas menyatakan beliau tidak ada kena mengena dengan semua tangkapan yang dibuat oleh polis ini.

Tamrin adalah bekas Exco Pemuda Umno bersama Zahid. Beliau pernah menjadi Pengerusi Mara dan mendapat kedudukan tersendiri dalam Umno kerana anak Tun Ghafar, bekas Timbalan Perdana Menteri.

Hujung tahun lalu, Tamrin mengisytiharkan dirinya menyertai PAS.

Selepas empat hari bebas, ada pula orang yang datang kepada beliau. Kali ini mereka mengetuk rumah beliau di waktu lewat petang.

"Ketika itu jam sudah 6.30 petang. Mereka tekan loceng rumah saya. Dengan memakai tuala saja, saya keluar dan mendapati polis yang sama juga datang mencari saya," cerita Tamrin lagi.

Kali ini, polis datang dengan waran untuk menangkap beliau berbanding tangkapan pertama yang dibuat tanpa sebarang waran.

(Tamrin bersama Tian Chua dan Harris  Ibrahim selepas dibebaskan dari Lokap Balai Polis Jinjang)

Mereka meminta beliau pergi ke balai polis pada ketika itu juga.

"Saya kata, tunggulah sekejap, saya belum solat Asar lagi ni. Bagilah saya solat dulu. Mereka kata tak boleh, di balai pun ada surau.

"Saya kata, kalau pergi sekarang tidak ada jaminan saya sempat solat Asar di sana. Dengan jalannya yang  jam pada waktu itu, biarlah saya solat Asar dulu.

"Mereka berkeras nak bawa masa itu juga. Sekali lagi saya bertekak dengan polis ini supaya tunggu saya solat dulu," cerita Tamrin.

Akhirnya, selepas solat Maghrib, Tamrin di bawa ke balai polis Dang Wangi.  Ketika keluar dari rumahnya, Tamrin memohon maaf kepada polis berkenaan kerana berkasar tadi dan faham mereka hanya menjalankan tugas.

Di sana belum ada yang lain lagi. Selepas itu baru datang yang lain. Haris Ibrahim, Tian Chua yang di bawa dari Port Dickson dan turut kelihatan Safwan Anang yang turut ditangkap. Malam itu, Hishamudin Rais juga datang menyerahkan diri kerana beliau turut dikehendaki polis untuk kes itu.

Sementara mereka didalam berbincang dengan polis dan para peguam, beratus-ratus berhimpun di luar bagi mendesak mereka dibebaskan.

Akhirnya, kesemua mereka dibebaskan demgan jaminan polis sementara menunggu hari perbicaraan.

Apabila keluar, semua mengerumuni mereka. Bagi Tamrin, tidak terdetik sedikitpun ketakutan dan kebimbangan akibat tangkapan ini jika ini tujuan pihak berkuasa berbuat demikian.

"Saya rasa macam hero pula," kata beliau apabila di sambut ratusan orang penyokong yang terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa di luar penjara.

Kelima-lima mereka didakwa di bawah Akta Hasutan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

No comments:

Post a Comment