Kesilapan yang datang dari ucapan pemimpin United Malays National Organisation tidak menghairankan. Ini kerana saya tahu mereka tidak memiliki fikrah kritikal yang berkeupayaan berfikir lebih jauh dariUtusan Malaysia. Apa yang merisaukan saya ialah apabila saya mendengar ucapan kesilapan yang sama dari pemimpin parti PAS dan pemimpin PKR.
Biar saya cuba sekali lagi jelaskan di sini: Yahudi ialah satu bangsa. Bangsa Yahudi ini menganut agama Judaisme. Tetapi ada juga orang yang bukan Yahudi yang memeluk agama Judaisme. Contohnya penyanyi pop Madonna, aktres Elizebeth Taylor dan pemuzik kulit hitam Sammy Davis Junior. Mereka meninggalkan agama lama mereka untuk menganut Judaisme. Malah banyak warga Ethiopia yang berkulit hitam yang menganut agama Judaisme. Bagitu juga di India dan di tanah besar China akan ditemui penganut agama Judaisme ini.
Saya harap ini jelas - Yahudi ialah bangsa dan Judaisme ialah agama. Satu bangsa dan yang satu lagi agama, dua perkara yang jauh berbeza.
Agama Islam mewajibkan penganutnya mengetahui nama-nama 25 Nabi dan Rasul, termasuk Nabi Muhammad. Semua nama-nama Nabi dan Rasul ini daripada bahasa Yahudi. Hanya Nabi Muhammad dari bangsa Arab Qaraish dan Nabi Saleh sahaja mempunyai nama Arab.
Apa yang ingin saya terangkan di sini, apabila kita mengutuk Israel, yang seharusnya kita kutuk bukan Yahudi kerana Yahudi itu bangsa. Sebagai contoh kita wajib sedar bahawa Nabi Isa ialah seorang Yahudi. Justeru yang wajib kita kutuk, lawan dan tentang ialah fahaman Zionisme, bukan bangsa Yahudi.
Kenapa kita kutuk dan tentang Zionisme? Zionisme ini ialah satu gerakan politik yang bermula pada awal kurun ke-19 ini. Gerakan ini dimulakan oleh seorang wartawan Yahudi yang bernama Theodor Herzl. Gerakan Zionisme ini berlatar belakangkan penindasan yang dihadapi oleh orang Yahudi di Eropah. Orang Yahudi di Eropah menerima penindasan dan penghinaan dari warga Eropah yang berkulit putih. Ini adalah fakta sejarah.
Pensejarahan intim Yahudi dengan Palestin
Justeru gerakan Zionis ini telah berkongres pada tahun 1917. Kongress Zionis ini telah membincangkan permasalahan yang dihadapi oleh orang Yahudi di Eropah. Akhirnya kaum Zionis yang berkongres telah mengeluarkan ketetapan untuk menubuhkan sebuah negara khusus untuk orang Yahudi. Ketetapan dari kongres Zionis ini kemudian mendapat surat sokongan dari menteri luar British yang bernama James Balfour. Maka surat sokongan inilah yang dipanggil Balfour Declaration 1917.
Israel akhirnya berjaya diwujudkan pada tahun 1948 berasaskan Deklarasi Belfour. Sesudah Perang Dunia Kedua, Eropah telah melihat bagaimana Yahudi telah ditindas oleh Nazi Jerman. Maka Eropah merasakan perlu untuk orang Yahudi memiliki negara sendiri. Kaum Yahudi telah mundar mandir mencari makan di merata-rata tempat di Eropah tidak memiliki tanah air semenjak 2000 lagi.
Melalui ketetapan Pertubuhan Bangsa-banga Bersatu, Palestin telah dipilih untuk menjadi tanah air orang Yahudi. Pada awalnya gerakan Zionis antarabangsa telah menerima cadangan untuk memilih Afrika Selatan, Australia Barat dan Uganda sebagai negara Israel. Ini juga fakta sejarah.
Palestin akhirnya dipilih kerana di Palestin telah ada komuniti Yahudi yang telah menjadi warga Palestin. Malah agama Judaisme juga memiliki pensejarahan yang intim dengan Palestin.
Justeru apabila kita menentang gerakan Zionis ini bukan kerana ianya dianggotai oleh orang Yahudi. Ini bukan sebab kenapa Zionisme ditentang. Harus disedari bahawa bukan semua Yahudi itu Zionis dan bukan semua Zionis itu Yahudi. Ada juga Yahudi yang menentang Zionisme.
Zionis ialah gerakan yang memiliki asas pandang politik. Zionisme memiliki ideologi. Sesiapa yang menyokong pandangan politik dan ideologi politik ini boleh dianggap sebagai Zionis atau penyokong Zionis.
Asas utama ideologi Zionisme ialah menyokong kewujudan Israel. Israel yang diwujudkan hasil dari rampasan tanah hak milik warga Palestin. Tidak cukup dengan sokongan ini kaum Zionis juga mengistirahatkan bahawa negara Israel hanya khas untuk orang Yahudi sahaja.
Ada juga kumpulan kaum Zionis yang percaya bahawa hanya agama Judaisme sahaja yang betul dan tepat. Agama lain dianggap salah dan menyeleweng. Mengikut fahaman Zionis ini, orang-orang Yahudi dalam dunia ini adalah bangsa ‘pilihan tuhan' atau 'the choosen people'. Salah satu cabang ideologi Zionis ialah menyokong kuat sistem ekonomi kapitalis. Justeru kaum Zionis antarabangsa menjadi kapitalis besar dan mengawal Wall Street. Tetapi awas dan waspada, bukan semua kapitalis ini Zionis tetapi semua Zionis menyokong kapitalis.
Perdebatan Nik Aziz-Anwar
Saya timbulkan persoalan Zionis, Yahudi dan Israel ini kerana saya ingin memberi kefahaman tentang gerakan Zionis Antarabangsa. Zionis bukan hanya ditemui di Israel. Zionis bukan hanya Yahudi atau berkulit putih sahaja. Zionis bukan hanya berada di Tel Aviv. Zionis berada di Washington DC, di London, di Paris malah ada Zionis Melayu sedang bersarang di Putrajaya.
Cuba berfikir sajenak. Fikirkan bagaimana jarum Zionis dapat masuk mencucuk ke badan politik Melayu Islam. Jarum Zionis terbukti sedang mengasak dan mengancam politik Melayu. Semua dilakukan dengan begitu halus sekali. Malah ada pembaca yang mengatakan saya ini keterlaluan sedang dipengaruhi oleh teori konspirasi.
Ini bukan teori konspirasi. Apa yang saya tulis adalah fakta sejarah. Apa yang saya paparkan adalah bukti-bukti sahih tentang bagaimana jarum Zionis antarabangsa dapat bergerak dalam badan politik Melayu Islam secara licik dan tersusun.
Kita semua telah diberitahu bagaimana APCO telah dapat menyusup masuk ke pintu kuasa di Putrajaya apabila gerombolan yang dikaitkan dengan Zionis ini dilanggan oleh Najib Razak. Kita juga diberitahu bagaimana satu lagi gerombolan dikaitkan dengan Zionis telah didakwa menyusup masuk melalui sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura. Gerombolan ini dikatakan telah dilanggan untuk memasang peralatan komputer untuk polis Malaysia. Ini bukan teori.
Melalui akhbar Asian Wall Street Journal (AWSJ) - media milik dan penyokong Zionis - kita lihat bagaimana badan politik Melayu telah diporak perandakan. Laporan dari akhbar pro-Zionis ini telah melahirkan kekecohan malah boleh memudaratkan persefahaman dalam Pakatan Rakyat.
Parti PAS melalui Nik Aziz Nik Mat menyatakan bahawa kenyataan Anwar Ibrahim dalam AWSJ mengenai Isreal tidak boleh diterima. Mengikut PAS, Israel wajib terus ditentang. Inilah bukti bagaimana kaum Zionis dapat bergerak dengan licik. Pandangan yang berbeza - sengaja diwujudkan - tentang Israel ini memungkinkan PKR dan PAS terus bertelagah. Jika tidak berwaspada mungkin membawa perpecahan.
Sebenarnya isu Palestin ini bukan isu politik asas - bukan isu induk - di Malaysia. Isu induk dan agenda utama di Malaysia ialah untuk menghumbankan gerombolan United Malays National Organisation dari terus berkuasa.
Tetapi dengan bijak kaum Zionis melalui kuncu-kuncunya telah menjadikan isu negara Isreal sebagai satu perdebatan berminggu-minggu dalam negara kita. Media kita secara tidak sedar telah diperalatkan oleh kaum Zionis. Kalau di TV isu ‘sokongan Anwar terhadap Israel' ini berhari-hari menjadi induk berita. Akbar cetak juga tidak mahu kalah - terus melaporkan berhari-hari tentang ‘sokongan Anwar terhadap Israel' di muka depan mereka.
Teladan dari Front Sosialis
Lihatlah hampir satu bulan kaum Zionis antarabangsa telah berjaya menjadikan agenda mereka sebagai perdebatan kita. Kita berdebat dan bermasam muka tentang Israel walhal negara Israel ini jauh sekali dari wilayah kita. Jika kita bergaduh dan Pakatan pecah kerana perbezaan pandangan tentang Israel, maka inilah buktinya kaum Zionis telah berjaya masuk jarum.
Lihat bagaimana kaum Zionis bergerak untuk mempertahankan Israel. Tidak ada media media Melayu dalam negara ini berani menimbulkan agenda senjata nuklear Israel. Tidak ada suara politikus Islam yang berani bersuara. Semua takut dengan kuasa Zionis.
Apakah yang saya tulis ini bohong? Kalau saya berbohong sila tanya: Kenapa TV atau media kita tidak membuat berita dan penyelidikan tentang bom nuklear Israel? Tetapi heboh tak tentu pasal tentang Israel.
Untuk menjawab soalan ini biar saya bawa ke satu kisah yang agak lama dahulu. Pada satu ketika dahulu Parti Rakyat dan Parti Buruh telah bergabung untuk menjadi Front Sosialis. Ketika ini Front Sosialis adalah satu-satunya gerakan penentang gerombolan United Malays National Organisation yang ampuh di dalam dan di luar Parlimen.
Kemudian, SB telah memasukkan jarum untuk mencucuk pemimpin dan ahli kedua parti ini untuk berdebat. Agenda debat ialah tentang bahasa. Parti Rakyat mahu Bahasa Melayu dinobat sebagai bahasa kebangsaan. Manakala Parti Buruh mahu Bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan atau lingua franca.
Berbulan-bulan dua gerakan kiri ini berbincang dan bermasam muka membincangkan satu perkara yang tidak fundamental. Mereka terlalai dan terlupa bahawa menjatuhkan kerajaan Tunku Abdul Rahman ialah agenda utama. Bahasa hanyalah agenda sampingan. Akhirnya Front Sosialis retak dan pecah. Perseriktan kaum kiri pecah.
Kesah Parti Rakyat dan Parti Buruh ini wajib dijadikan teladan untuk kita semua. Ilmu pengetahuan ialah pengumpulan pengalaman. Debat bahasa - racun SB - yang telah terjadi kepada Front Sosialis adalah sama dengan debat Isreal - racun Zionis - dari AWSJ. Dua-dua debat ini bukan agenda utama untuk menghumbankan gerombolan United Malays National Organisation.
Justeru orang yang berilmu ialah mereka yang belajar dari pengalaman. Orang yang bodoh dan bebal ialah mereka yang mengulang kesilapan.
No comments:
Post a Comment