http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9354-pas-sertai-himpunan-duduk-bantah-bersih-30 Hazayani Zakaria, | 05 Apr 2012 |
Timbalan Presiden, Mohamad Sabu berkata, PAS akan mengerahkan seramai mungkin ahli untuk "Duduk dan Bantah" di Dataran Merdeka, jam 2 petang.
"Saya menyeru ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat turun beramai-ramai bagi menuntut pilihan raya yang bersih.
"Kita anggarkan kehadiran dalam setengah juta rakyat untuk menunjukkan kesungguhan rakyat hendakkan pilihan raya yang bersih dan adil," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, hasrat badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan Bersih 3.0 adalah tepat kerana hanya satu daripada lapan tuntutan rakyat ke arah pilihan raya bersih dilaksanakan, iaitu penggunaan dakwat kekal.
"Daftar pemilih adalah paling kotor dan tuntutan PSC tidak diendahkan, hanya satu dariapda lapan diterima. Jadi kita kena turun membantah," kata beliau yang juga Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi PAS.
Mengulas dakwaan bahawa "Duduk dan Bantah" di Dataran Merdeka akan mencetuskan kekecohan, beliau berkata perhimpuan sebelum ini aman sebelum provokasi pihak polis dan pihak lain yang tidak bertanggungjawab.
"Itu merupakan tafsiran pihak berkuasa tapi Bersih memilih untuk duduk dan bantah kali ini . Lain kali mungkin kita akan pilih berlari pula... itu dari semasa ke semasa, nanti akan berlari dari Johor ke Kuala Lumpur.
"Selalu (perhimpunan)aman , selalu dia (polis) tembak gas, orang lari merata. Kalau tak tembak gas tak ada masalah.
"Jangan sekatlah, biar orang masuk ke (Dataran Merdeka). Kalau sembur gas, kandang babi pun kita masuk (sebab pedih) mata," selorohnya.
Perjumpaan awal dengan polis
Sementara itu, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pihaknya akan bertanggungjawab menjaga keamanan perhimpunan dan akan mengadakan pertemuan awal dengan polis bagi mendapatkan kerjasama.
"Pemuda akan berusaha mengadakan pertemuan awal dengan pihak keselamatan untuk beri kerjasama yang baik.
"Kita mahu perbincangan dua hala, tak mahu ada provokasi sama ada dari parti lawan atau mana-mana pihak yang mahu melihat perhimpunan menjadi kacau bilau," katanya.
Timbalan Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud pula turut menyatakan kesediaan muslimat untuk turut serta pada 28 April ini.
Beliau turut menghadrapkan kerjasama yang baik daripada pihak polis.
"Dewan muslimat beri sokongan penuh dan akan gerakkan ahli muslimat. kami biasa menyertai perhimpunan dan aman kalau polis tak kacau.
"Biarkan kita berlalu dan berjalan ke Dataran Merdeka, lepas tu kita pergi shopping. Ini bergantung kepada pihak kerajaan bagaimana menangani perkara ini. Kalau polis yang bertindak kasar, jangan salahkan kami
Wakil aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul halim yakin mampu mengumpulkan ribuan mahasiswa untut turut serta.
"Dari segi mobilisasi kita telah mengerakan sebahagian besar warga kampus yang mana kita ada wakil di setiap kampus untuk mempromosikan Bersih 3.o dan saya yakin 5,000 hingga 6,000 ribu boleh hadir," katanya.
Turut bersama pada sidang media Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Rani Osman, Setiausaha Perhubungan PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad dan Ketua Penerangan Muslimat, Aiman Athirah Al Jundi.
No comments:
Post a Comment